Hebahan

Selamat Datang Ke Laman Blog Shamsul-AlBesuti

Saturday, August 14, 2010

Buang Bayi: Hilangnya Roh Islam

Assalamu'alaikum,


Saya rasa terpanggil untuk respon kepada tragedi buang bayi mutakhir ini.Kenapa harus terjadi? Saya berasa hairan kenapa insan yang bergelar ibu atau bapa sanggup memperlakukan sedemikian rupa terhadap bayi yang sedikit pun tidak ada dosa? Ia suci, bersih.Tiada salah. yang bersalah dan berdosa adalah insan yang melahirkannya.

Saya rasa geram dan marah terhadap mereka yang zalim ini dan saya menyokong hasrat kerajaan untuk mengenakan hukum berat (mati) kepada pelaku yang zalim ini. Kenyataan ini juga disokong oleh TG Nik Aziz.Meskipun hukuman itu tidak menepati kehendak syarak, setidak-tidaknya (mungkin) menggusarkan mereka yang ada niat bersekedudukan untuk membatalkan niat mereka itu. Manalah tahu, tiba-tiba lepas 'projek' pasangan 'termengandung'...yang jadi mangsa adalah wanita itu. Hendak tutup malu, buang anak. Jika ditahan pihak berkuasa dan didapati bersalah-dijatuhi hukuman mati! Silelaki itu, apakah boleh senyum tanpa ada apa-apa hukuman?

WANITA DAN ISLAM
Allah menciptakan wanita sebagai penghias. Wanita mempunyai darjat tersendiri dalam Islam. Islam tidak meletakkan wanita ditempat yang hina lalu kenapakah wanita itu sanggup 'menghinakan' diri dengan perlakuan sumbang yang akhirnya terpalit dosa dan membinasakan diri sendiri? Bukankah dengan akal yang Allah berikan itu, boleh dimanfaatkan untuk membuat keputusan terbaik? Kenapa jalan singkat dan dangkal yang dipilih? Murah sangatkah harga seorang wanita?

TEGAKAN HUKUM ALLAH
Mungkin sudah sampai masanya kita kembali kepada hukum Allah. Hukuman manusia tidak memberi kesan kepada manusia itu sendiri. Buktinya, dalam tempoh masa yang singkat selepas menteri mencadangkan agar hukuman berat dijatuhkan kepada sipembuang bayi, masih ada bayi yang dibuang bagai bangkai. Dengan perlaksanaan hukum Allah sahajalah manusia akan gerun. Kalau dengan tertegaknya hukum Allah, masih ada lagi yang melakukannya, memang layakkan ia dihukum dan mungkin tidak layak untuk tinggal di bumi Allah. Carilah tempat lain jika mereka yakin ada alam lain yang bukan dicipta oleh Allah. Mereka perlu belajar daripada kisah anak dan isteri juga pengikut Nabi Noh yang degil apabila diseru naik keatas bahtera nabi. Mereka yakin ada daratan, walhal tiada tempat selamat buat mereka.

HILANG SIFAT KEMANUSIAAN
Tergamak siibu mencampakkan bayi yang tidak berdosa ditepi longkang, tandas, semak samun dan tongsampah. Dibiarkan mati disitu lalu dihurung semut atau digigit anggota badan oleh anjing liar. Apa salah bayi itu? Kenapa ia harus diperlakukan sehina itu dikala siibu bersusah payah menanggung segala kepayahan semasa mengandung? Bukankah 9 bulan itu suatu tempoh yang panjang dan penuh onak dan cabaran? Disaat melahirkan anak itu pun sakit, namun lahir saja bayi itu kedunia terus diseksa dan dicampak merata tempat bagai bangkai ayam! Zalim! lebih zalim daripada seekor singga yang garang dan ganas.

Dimanakan nilai kemanusiaannya? Tiadakah sekelumit perasaan kasihan ketika mendengar tangisan bayi itu? Sudah pasti bayi itu ditempatkan disyurga, tetapi sipelaku itu yakinkah yang ia juga akan kesyurga? Mungkin kerana hati telah dibaluti dosa, lantaran itu ia tidak kisah dengan tangisan sibayi.

Jika dizaman Nabi Musa, Firaun hanya membunuh bayi lelaki namun kini bayi lelaki atau perempuan semuanya dibunuh. Ini lebih zalim daripada Firaun! zaman jahiliah, memang ada antara sahabat yang membunuh anak-anak perempuan kerana dianggap memalukan keluarga. Mereka yang mempunyai anak perempuan dikatakan tidak hebat. Itu zaman jahiliah. hari ini bukan zaman jahilliah lagi, kita dizaman telah sempurna Islam. Apakah zaman ini lebih teruk daripada zaman jahilliah?

KEMBALI KEPANGKAL JALAN
Kita perlu muhasabah tentang kejadian ini. Mungkin ini juga satu bala daripada Allah lantaran masyarakat terlampau bebas dan lebih mementingkan diri sendiri. Dunia hari ini menuntut agar kita jaga tepi kain kita.. Sebab itulah kita buat tidak kisah dengan segala kemaksiatan disekeliling. Maka tidak hairan jika hari ini, kita dipaparkan dan dikejutkan sekali lagi dengan kejadian serupa. Kembalilah ke pangkal jalan. Kita ini adalah hamba. Anak-anak itu amanah Allah. Jagalah ia dengan iman dan taqwa. Sama-sama tegakkan Islam. Allah berpesan kepada kita agar kita sama-sama menjaga diri dan keluarga daripada azab api neraka. Sebagai ibu-bapa, perlu ajar anak-anak tentang hukum hakam Islam agar ia memagari anak-anak daripada terjerumus kelembah hina. Ajar mereka tentang aurat dan batas pergaulan. Hanya didikan Islam yang mampu membentuk generasi berakhlak mulia. Melentur buluh biarlah dari rebung.Biar anak-anak kita menangis hari ini daripada kita menangis esok hari....Biar kita dikatakan kotot kerana Islam hari ini daripada senggara dihari pembalasan yang pasti tiada lagi peguambela hebat untuk membela kita. Hanya iman dan taqwa yang menjadi penyelamat...

Renung-renungkanlah....

No comments:

Post a Comment