Ahad, 16 Februari 2014

Tukang cincin kerjaya utama

Tukang cincin kerjaya utama
Mohd Zikri menunjukkan cincin rekaannya

Tukang cincin kerjaya utama
Antara cincin yang direka oleh Mohd Hassan dan Mohd Zikri

TANAH MERAH - Bermula dari 1980an lagi, Mohd Hassan Nik Husin, 50an dan adiknya Mohd Zikri Nik Husin, 40an dari Manal 1, dekat sini, menjadikan seni pertukangan cincin sebagai mata pencarian mereka bagai menyara kehidupan keluarga mereka.

Sejak keluar dari Pusat Kraftangan Bunut Payung, Kota Bharu, kedua-dua beradik ini tidak lagi menoleh ke belakang dan cincin buatan mereka diterima baik peminat cincin dari merata tempat seperti Tanah Merah, Jeli, Machang serta Kuala Lumpur yang banyak membuat tempahan.

Malah pelanggannya terdiri daripada penduduk setempat, ahli perniagaan serta pegawai kerajaan. Tempahan banyak sekali diterima ketika menjelangnya musim perayaan dan cuti persekolahan.

Mohd Hassan berkata, dalam bidang pertukangan perak dan suasa, dia sememangnya mahir membuat serta mengukir bukan sahaja cincin tetapi juga perhiasan wanita seperti gelang tangan, subang, loket dan tali tangan.

Menurutnya, cincin berbunga awan larat, cincin pahat biasa, cincin pahat tebuk jawa dan cincin lilit berlian, menjadi kegemaran kerja seninya itu, selain mengukir dan membuat temin perak bagi hulu keris.

“Saya pernah membuat cincin bagi permata delima dan zamrud yang bernilai ribuan ringgit. Bayarannya agak lumayan dan saya juga pernah membuat cincin bunga tebuk lilitan berlian,” katanya.

Menurutnya, bagi membentuk sebuah cincin yang cantik dan berseni, dia menggunakan tulang sotong katak sebagai acuan, kerana tulang itu mudah dibentuk.

Katanya, ilmu yang diperoleh daripada gurunya yang hanya dikenali Che Din dan Che Hassan, banyak membantu kerja seninya itu hingga hari ini.

“Sebenarnya bidang pertukangan ini boleh menyara keluarga kalau dilakukan secara bersungguh-sungguh, cermat dan sabar,” katanya yang juga bekas anggota tentera. 

Bagi Mohd Zikri pula, sebelum memulakan kerja seninya di sini, dia pernah menimba ilmu dan pengalaman membuat cincin di Bazar Arkib Uda, Kota Bharu.

Menurutnya, selepas keluar dari Pusat Kraftangan Kelantan, di situlah tempat pertama dia menambah pengalaman dalam pertukangan cincin.

Katanya, terdapat banyak corak cincin yang boleh diukirnya, antaranya corak bunga jawa, bunga pahat mesem, ayam serama, pelana kuda, tangkai kendi dan pacat kenyang.

"Hari Khamis dan Sabtu serta musim cuti sekolah merupakan masa yang paling sibuk dengan tempahan. Pada musim itu saya mesti siapkan tempahan paling tidak dua bentuk cincin bersaiz M setiap hari.

"Malah dalam sebulan saya kena siapkan paling kurang 30 cincin bagi menampung kehidupan," katanya.

Mohd Zikri berkata, generasi muda sewajarnya mempelajari pertukangan cincin agar seni warisan ini tidak hilang ditelan zaman selain ia menjanjikan pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Apa yang penting adalah ketekunan dan kesabaran. Kita membuat cincin pelanggan itu seolah-olah kita hendak memakainya sendiri cincin itu, barulah kita berjaya dalam bidang seni pertukangan ini,” katanya.

Sumber Artikel Dari : http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan