Rock antara genre muzik yang telah lama bertapak dalam senario
perjalanan seni, muzik tempatan. Sejak kebangkitan era rock dalam era 80an
muzik rock tempatan terus berkembang dengan kelahiran pelbagai genre muzik rock
seperti rock n roll, heavy metal, punk rock, alternative rock, arena rock,
blues rock, country rock, glam rock, hard rock, power rock, progressive rock, surf
rock dan bermacam-macam lagi rock. Namun tumpuan adalah lebih terarah kepada
beberapa genre muzik rock yang telah lahir dalam industri muzik tempatan sejak
berkembangnya muzik rock di Malaysia. Bermula dengan kelahiran Battle Of The
Bands maka dari situ dilihat irama rock terus menular dalam arena muzik
tempatan. Pelbagai nama kumpulan rock ujud dengan versi rock tersendiri namun
setakat yang ujud ketika itu genre muzik mereka agak terarah pada genre muzik
rock n roll, heavy metal, glam rock, folk rock dan hard rock. Selang beberapa
tahun kemudian ada usaha untuk memasuki elemen power rock / metal, progressive
rock / metal, symphonic rock, symphonic metal dan piano rock ke dalam arena
muzik rock tempatan namun sayang usaha itu tidak menampakkan kejayaan. Lantas
setelah terhukum begitu sahaja, usaha untuk mempelbagaikan genre muzik rock di
Malaysia terus terbantut.
Dalam pada itu juga penularan muzik underground juga terus menerjah
dengan kehadiran pelbagai kumpulan baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Kehadiran kumpulan secara underground ini lebih menjurus kepada genre muzik
thrash metal, black metal dan death metal walaupun demikian ada juga segelintir
kelompok pemuzik underground lebih menjurus ke arah mainstream seperti bermain
genre reggae, ska dan beberapa genre yang ada dalam aliran mainstream serta
komersial. Meskipun kedua aliran seakan-akan bangkit secara serentak namun
perjalanannya juga terbahagi kepada dua saluran iaitu satu kelompok pergi lebih
terarah dan komersial dan satu kelompok lagi bergerak secara underground dan
cuma diikuti oleh pengikut-pengikut dan golong mereka sendiri. Pergerakan
kumpulan underground nampak lebih eksklusif lantaran cuma golongan pengikut
irama genre itu sahaja yang lebih berpeluang untuk menikmati muzik underground.
Namun untuk catatan ini apa yang ingin disentuh ialah perjalanan genre
muzik rock yang bergerak secara komersial dalam mencorak senario muzik rock
tempatan. Secara lebih jelas lagi perkembangan genre muzik rock yang lebih
meriah dalam atmosfera muzik tempatan ialah dengan kelahiran album pertama
kumpulan Searh – Cinta Buatan Malaysia dalam tahun 1985 diikuti pula dengan
terbitnya album Battle Of The Bands 1 & 2 yang terus mengangkat genre muzik
rock di Malaysia. Kalau diperhatikan secara lebih menjurus kepada genre muzik yang
ditampilkan oleh kumpulan-kumpulan rock yang ditubuhkan waktu itu, rata-rata
mereka tampil dengan genre muzik rock atau subgenre muzik rock yang seakan-akan
sama iaitu rock n roll, hard rock, heavy metal, thrash dan glam rock. Secara
amnya perkembangan muzik rock dalam senario tempatan waktu itu masih lagi
sangat terhad sedangkan pelbagai genre muzik rock boleh diterokai waktu itu.
Dari satu sudut pula kalau diperhatikan cara ahli kumpulan-kumpulan tersebut
berpakaian pula lebih menjurus kepada glam rock yang mana penampilan dan cara
berpakaian mereka yang lebih glamour dan juga cara tata rias atau make-up
mereka. Secara umumnya penampilan mereka ala-ala wanita. Manakala dari aspek
muzik yang dianuti mereka lebih terarah pada sub genre muzik rock ‘n’ roll,
heavy metal, glam rock dan pop rock.
Dalam perkembangan senario sedemikian kumpulan rock yang ditubuhkan
juga tidak harus dipersalahkan begitu sahaja. Kehendak pendengar dan peminat
juga perlu diambil kira, begitu juga dengan permintaan pasaran namun sebagai
pengikut setia rock, ruang untuk mempertikaikan kenapa keadaan itu terjadi
sedemikian juga masih terbuka. Namun itu adalah cerita lama dan telahpun
menjadi sejarah. Untuk seterusnya dalam arena sebegitu kita tumpu pada perkembangan
muzik rock tempatan masa kini, ini adalah kerana apa yang ada sekarang ini
adalah lanjutan dari apa yang telah sedia ujud sejak dekad lapan puluhan lagi.
Bayangkan kalaulah genre muzik rock seperti progressive rock / metal, power
rock / metal, symphonic rock / metal, neo-classic metal, glam rock, cello rock,
garange rock, punk rock, punta rock, raga rock, psychedelic rock, british
invasion, chicano rock, glitter rock, pub rock dan banyak lagi genre dan sub
genrenya telah kita takluki ketika itu.
Bukankah mudah untuk para penggiat muzik rock kita menentukan aliran
genre manakah yang patut mereka anuti. ‘Bukan salah ibu mengandung….’ kita
terpaksa akur pada kehendak pasaran dan pendengar. Itulah yang terpaksa kita
lalui ketika ini dalam meneruskan perjalanan muzik rock di Malaysia. Cuba kira
berapa kerat sangatlah genre muzik rock yang pemuzik rock kita anuti ketika
ini? Persoalannya kenapa jadi begitu? Apakah puncanya genre dan sub genre muzik
rock seakan-akan terbantut dalam arena muzik tempatan? Apakah kerana pendengar
atau peminat muzik rock tempatan lebih gemar pada rock n roll, heavy metal,
alternative dan beberapa kerat lagi genre muzik rock? Persoalan sebegitu
mungkin seringkali bermain dalam minda peminat atau pemuzik atau mungkin para
pengubah lagu tempatan. Tapi tiada tindakan yang diambil untuk memastikan genre
muzik rock lain terus berkembang dalam senario muzik rock tempatan. Pernah
diajukan persoalan itu pada pemuzik, penyanyi dan mereka yang terlibat dalam
senario muzik rock tempatan, namun jawapan yang kurang menyuntik semangat rock
dikeluarkan “…tiada ‘market’… ”, “…susah orang nak terima…”, “…company tak mau
‘bikin’…” dan pelbagai lagi alasan yang cukup kukuh untuk menidakkan kehadiran
pelbagai lagi genre muzik rock ke persada muzik tempatan. Isu itu bukanlah
untuk menyalahkan mereka yang terlibat dalam muzik rock, tapi bagi pengikut,
pengemar dan peminat rock yang mempunyai pelbagai citarasa dan pilihan ini juga
turut terbantut.
Mereka inilah golongan yang menjadi mangsa keadaan, namun mereka ini
jugalah golongan yang tidak pernah putus asa dalam mencari apa yang mereka
hendak, maka dengan permintaan dari mereka inilah juga secara tidak langsung
telah mewujudkan satu lorong istimewa dalam kepelbagaian genre muzik rock
tempatan. Mereka telah membawa masuk pelbagai genre dan sub genre muzik rock ke
dalam senario muzik rock tempatan selain dari genre muzik rock yang telah sedia
ada dalam masyarakat rock tempatan. Beberapa genre dan sub genre muzik rock
mulai memasuki arena muzik tempatan meskipun tidak mengujudkan kelompok
kumpulan pemuzik yang mampu tampil dengan album komersial namun pengikut genre
muzik rock seperti gothic rock / metal, symphonic rock / metal, neo-classic
metal, cello rock, power metal, progressive metal, glam rock, arena rock,
garage rock, post rock dan beberapa genre dan sub genre yang lain mulai merayap
dan berkembang, meskipun tidak sehebat zaman kegemilangan rock 80’an.
Pengaliran genre sedemikian menjalar cuma melalui para pengemar dan peminat
muzik genre rock sedemikian.
Namun secara keseluruhannya pengikut muzik begitu masih boleh di
bilang dengan jari. Ini bermakna aliran muzik sedemikian belum mampu
mencambahkan lagi putiknya di persada muzik rock tempatan. Nampak cuma
disebelah pihak sahaja yang berusaha menjadikan muzik genre rock sedemikian
bertapak di kalangan warga rock tempatan. Maka di sini sekali lagi boleh
ditimbulkan apakah peranan para pemuzik dan penggiat irama rock sendiri dalam
menyemarakkan lagi arena rock tempatan agar terus meriah dengan pelbagai sub
genre muzik rock. Kita fikirkan bersama dan sebagai warga rock tempatan
mampukah kita mengemilangkan kepelbagaian irama rock itu kembali seperti apa
yang terjadi di era 80’an. Untuk kegemilangan kali ini terdayakah kita
menyemarakan kepelbagaian sub genre rock sekaligus agar arena rock tempatan
terus mekar dan meriah. Horns up untuk rockers yang tetap berjiwa rock meski
pada zahir nampak macam biasa.
No comments:
Post a Comment