SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Monday 11 June 2012

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KPM 2011 : TEKS UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA


TEKS UCAPAN
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 

8 JUN 2012
AUDITORIUM KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA

Bismillahhirramanirrahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I 

YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran II

YBhg. Dato' Dr. Rosli bin Mohamed,Ketua Setiausaha Kementerian 

YBhg. Tan Sri  Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pelajaran

Ketua - Ketua Bahagian dan Jabatan

Dato-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan  yang dihormati sekelian, 


Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapatlah kita bersama-sama di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia pada hari ini. Pertamanya, saya ingin mengucapkan  tahniah kepada pengurusan Kementerian di atas penganjuran Majlis ini, bagi memberikan pengiktirafan kepada warga KPM yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di sepanjang tahun 2011. 

Tuan / Puan yang dihormati sekelian, 

2.  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang dianjurkan setiap tahun adalah merupakan satu bentuk penghargaan ke atas usaha dan kegigihan anggota perkhidmatan awam yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang melampaui dari kebiasaan. Insentif ini diberikan untuk terus menggalakkan anggota perkhidmatan awam secara amnya untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. Di peringkat KPM, saya berharap penganugerahan yang diberikan ini akan dapat dijadikan sebagai  pembakar semangat kepada warga Kementerian yang lain agar terus bekerja keras bagi mencapai matlamat untuk menjadikan  Kementerian Pelajaran sebagai World Class Education Provider.  

3.  Saya dimaklumkan pada tahun ini  seramai 448 orang warga KPM dari pelbagai peringkat jawatan telah dipilih untuk menerima anugerah pada hari ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima dan saya berharap agar mereka yang berjaya ini akan terus bersemangat mencurahkan khidmat bakti kepada Negara yang dicintai ini. Jadikanlah anugerah ini sebagai titik tolak untuk kita terus memacu pencapaian Kementerian dengan lebih terkemuka setanding dengan pencapaian anggota perkhidmatan awam di negara-negara maju. 

4.  Namun, apa yang lebih penting, mereka yang terpilih sebagai penerima anugerah ini  seharusnya menjadi role model kepada yang lain untuk terus berusaha dengan gigih agar matlamat yang disasarkan tercapai. Kepada mereka yang masih  belum menerima sebarang pengiktirafan, marilah bersama kita renungkan kata-kata pakar motivasi antarabangsa, Larry Bielat, yang menyatakan  bahawa  berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik. 

Hadirin Hadirat Sekalian,

5.  Kecemerlangan atau sesuatu kejayaan itu bukanlah mudah untuk dicapai atau dikecapi tanpa perjuangan dan pengorbanan.  Saya percaya bahawa kita semua sentiasa mahu mencapai kecemerlangan dan menginginkan pengiktirafan terutamanya dalam kerjaya, tetapi tidak semua di antara kita yang sanggup menyingsing lengan menongkah arus cabaran.  Oleh yang demikian, bagi meniti hari-hari mendatang yang penuh dengan ujian dan rintangan, kita perlu menjunjung prinsip-prinsip pengurusan berkualiti, tadbir urus yang lebih telus serta berpegang teguh pada ajaran agama masing-masing. Tanpa pegangan hidup dan kawalan jati diri yang mantap, pastinya kita akan mudah terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak diingini seperti salah laku dan penyelewengan. 

6.  Pengumuman YAB Perdana Menteri pada 8 Mac 2012 yang lalu mengenai Sistem Saraan Malaysia yang ditambah baik merupakan ganjaran kepada semua anggota perkhidmatan awam termasuk warga KPM. Ganjaran yang diberikan merupakan suntikan motivasi oleh Kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam untuk terus memberi perkhidmatan berkualiti tanpa sempadan. 

7.  Namun, ingin saya tegaskan di sini  bahawa janganlah kita melaksanakan kerja yang diamanahkan dengan sentiasa mengharapkan ganjaran dan pengiktirafan sahaja.  Kita seharusnya meletakkan keikhlasan dalam bekerja sebagai batu asas untuk terus menabur bakti demi kecemerlangan bangsa, agama dan negara. Pastinya keikhlasan dan kesungguhan itu akan terbalas jua dengan kebaikan dan kebajikan oleh Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, InsyaAllah.

Tuan / Puan yang dihormati sekalian,

8.  Sesebuah Kementerian sentiasa dinilai dari sudut kualiti penyampaian perkhidmatan yang diberikan kerana  pelanggan  pada ketika ini mahukan hasil atau outcomes yang boleh diterjemahkan serta memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Keadaan ini menuntut kepada keperluan untuk menghasilkan kerja yang lebih efektif,  cepat dan tepat.  Malah,  ekspektasi pelanggan  terhadap mutu perkhidmatan kini semakin  tinggi, terutamanya dalam menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka. 

9.  Oleh itu, saya berpandangan bahawa sudah sampai masanya anggota KPM di segenap lapisan, perlu melaksanakan anjakan paradigma yang radikal, supaya penyampaian perkhidmatan yang diberikan mempunyai outcome serta mampu memuaskan hati semua pelanggan dan stakeholders, tanpa membelakangkan dasar dan prinsip-prinsip asas perkhidmatan. 

10.  Selain itu, sewajarnya  juga  terpahat di hati  sanubari kita bahawa setiap sen  wang  rakyat yang kita belanjakan, seharusnya  memberi pulangan (return of investment)  yang berganda kepada mereka. Justeru, setiap  perancangan dan pelaksanaan program atau aktiviti yang ingin dibuat hendaklah diteliti dengan sebaik mungkin, agar pelaksanaannya dapat memberi impak yang baik, berjaya mengoptimakan penggunaan semua sumber dan  tidak berlaku pembaziran.  

Tuan / Puan yang dihormati sekelian, 

11.  KPM merupakan nadi utama dalam proses  pembangunan modal insan negara. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi  amat bergantung  kepada keupayaan warga Kementerian  ini dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Tambahan pula, kualiti perkhidmatan warga sesebuah organisasi merupakan  elemen utama  dalam penentuan  kecemerlangan keseluruhan organisasi,  yang  merangkumi  dari kumpulan  pengurusan tertinggi sehinggalah kepada anggota sokongan. 

12.  Oleh itu, penilaian penarafan bintang (Star Rating) ke atas penyampaian perkhidmatan oleh  Kementerian-kementerian termasuk KPM oleh pihak MAMPU, pastinya akan dapat menggambarkan tahap penyampaian  perkhidmatan  yang telah diberikan oleh  Sektor  Awam. Oleh itu, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar penilaian kali ini akan memberikan  keputusan yang membanggakan  kepada Kementerian. Namun, ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang kita lakukan bukanlah hanya untuk menghadapi penilaian yang  akan dilakukan  semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah untuk memastikan bahawa penyampaian perkhidmatan kita sentiasa berada di puncak kecemerlangan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.  

Tuan / Puan yang dihormati sekelian, 

13.  Dalam dunia moden yang serba canggih dan tanpa sempadan ini, sistem penyampaian amat bergantung kepada faktor penggunaan ICT, yang seharusnya membantu untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Namum  demikian, kebergantungan sepenuhnya kepada ICT dalam penyampaian perkhidmatan  akan menjadikan sesuatu perkhidmatan yang diberikan lebih bersifat impersonal dan mekanistik. Justeru itu, saya menyeru agar dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan, kita perlu berusaha untuk mengurangkan krisis komunikasi dengan membiasakan semula elemen  sentuhan kemanusiaan  bagi  menangani dan menyelesaikan kes-kes tertentu. 

14.  Sebagai contoh, penggunaan automatic reply di dalam komunikasi secara emel kadang kala tidak memperlihatkan sensitiviti dan kemesraan kepada pelanggan bagi situasi yang memerlukan penjelasan lanjut.  Oleh itu, adalah wajar dalam  keadaan tertentu, pertanyaan pelanggan boleh dijawab dengan memberi penerangan yang lebih jelas serta meletakkan nilai insaniah dan empati, yang secara tidak langusng dapat mengelakkan pelanggan keliru dan salah faham. 

Hadirin Hadirat Sekalian,

15.  Kesibukan dalam bekerja sedikit sebanyak telah menjadikan masyarakat kini bersikap individualistik. Namun, saya berpandangan sekiranya kita dapat turut serta terlibat dalam kegiatan sukan dan menyertai kelab mahupun persatuan, ianya bukan  dapat membentuk gaya hidup yang lebih sihat, meningkatkan keyakinan diri, malah semangat kemasyarakatan yang bersatu padu dan penyayang dapat dipupuk dalam kalangan kita. Saya yakin penerima-penerima anugerah pada hari ini, yang pastinya cemerlang dalam menjalankan tugas rasmi, juga aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan atau kegiatan lain di luar daripada tugas rasmi.

16.  Saya  juga menyeru kepada semua yang berada di hadapan saya pada hari ini agar sentiasa bersiap siaga dan bersikap lebih terbuka serta beriltizam untuk melaksanakan tugas dengan  lebih berkesan, dan seterusnya mampu menjadi contoh tauladan yang terbaik. Marilah bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah  diberikan dengan lebih baik agar matlamat yang telah disasarkan tercapai.   

17.  Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan tahniah kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 yang diraikan pada hari  ini. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan majlis pada pagi ini. Saya berharap segala kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. 

Sekian,  terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya

8 Jun 2012

Dipetik daripada Laman Sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia 
Sila klik di sini

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com