Misi & Visi Sekolah

Misi & Visi Sekolah

Visi Baru SK Nami

Visi Baru SK Nami

Thursday, May 24, 2012

Lawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah ke Sekolah Kebangsaan Nami



Sekalung Budi Buat Tuan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah iaitu Tuan Haji Rooslee bin Ismail, BCK.

Pagi ini merupakan pagi yang sangat bertuah bila mana warga SK Nami menerima kunjungan daripada Tuan Timbalan Pengarah.Kunjungan ini sememangnya amat dinanti-nantikan dari seluruh warga SK Nami. Seawal jam 6.50 pagi  Tuan Timbalan tiba dan turut sama-sama menyambut kehadiran murid bersama-sama guru besar, penolong kanan dan para guru. Hujan renyai-renyai yang turun pada pagi ini seolah-olah renjisan air mawar merestui kedatangan Tuan Timbalan ke SK Nami di pagi yang amat bertuah ini.

Dalam ucapannya, beliau berterima kasih kepada semua warga guru SK Nami yang sudi untuk menumpahkan khidmat bakti kepada seluruh masyarakat di Nami (Sekolah Luar Bandar). Beliau juga turut mengingatkan para guru agar sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan semasa serta turut sama seiring mengarungi gelombang transformasi pendidikan yang telah dicanangkan. Konsep Sekolah Penyayang juga turut menjadi topik yang diperkatakan. Beliau berharap konsep sekolah penyayang seperti yang telah diamalkan sentiasa dibuat penambahbaikan agar murid-murid dapat merasakan mereka dihargai dan sentiasa disayangi apabila berkunjung ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Nami juga amat bertuah apabila Tuan Timbalan Pengarah mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM20,000 untuk melengkapkan lagi prasarana sekolah.

Kepada para murid, Tuan Timbalan Pengarah berharap agar murid-murid di SK Nami sentiasa memburu kecemerlangan dan yakin suatu hari nanti lebih ramai keluaran SK Nami yang berjaya dalam pelajaran dan mengecapi kejayaan yang lebih gemilang di peringkat tertinggi.

Apa yang lebih manis, Tuan Timbalan Pengarah juga turut sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam acara yang dipertandingkan sempena minggu bahasa yang dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu baru-baru ini.Dalam pada itu, beliau juga turut menyampaikan cenderamata dan sama-sama menyanyikan lagu” Selamat Hari Jadi” bersama guru dan murid bagi meraikan murid yang menyambut sambutan hari lahir pada hari ini.

Sejurus selesai perhimpunan pagi, Tuan Timbalan Pengarah diiringi tuan guru besar dan Tuan Pegawai PPD En. Mokhtar bin Hashim merasmikan “Laluan Kasih Sayang” (bersebelahan Kantin Sekolah) yang baru siap pembinaannya.Tuan Timbalan juga tidak lupa menitipkan kata-kata yang sangat bermotivasi untuk para guru dan murid di SK Nami. Kata-kata tersebut diabadikan di laluan tersebut sebagai kenang-kenangan.



Sebelum meninggalkan SK Nami Tuan Timbalan Pengarah juga sudi menikmati sarapan pagi bersama guru dan ibu bapa. Sesungguhnya walaupun singkat kunjungan Tuan Timbalan Pengarah ke teratak SK Nami namun ianya sarat dengan pengetahuan dan pengalaman yang sangat bermakna kepada kami seluruh warga SK Nami. Serangkap pantun lipatan kasih buat Tuan Timbalan Pengarah..

Kuning merah masaknya padi,
Bunga mawar dalam jambangan,
Terima kasih sekalung budi
Kepada Tuan kami ucapkan.



Laporan Oleh : Abdul Manaf bin Abdullah

0 comments:



UPTOWN HOMESTAY KUALA NERANG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Penafian: Pihak Sekolah Kebangsaan Nami tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. (nami7007)

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP