Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 31, 2009

Jangan Marah

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair :

“Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata “Barangkali” dan “Kalau”.

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan ” Inna lillahi wainna lillahi raji’un.”. Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : ” Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qais, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais.

Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman ” Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu.” Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim” Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia ” tuan” kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa “ketuanan” kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz ( A’uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur.

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Dicuplik daripada blogs.iium.edu.my

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia yang ke-7 sejak tahun 2000. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilahirkan di Johor Bahru dan merupakan anak kepada Professor Ungku Aziz. Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada tahun 1958. Pada tahun 1970 beliau telah menerima ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal dan kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa dalam tahun 1978.

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memulakan kerjayanya sebagai Penyelidik Ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (South East Asia Central Bank Training & Research Centre pada tahun 1979 sehingga 1984. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.

Pada tahun 1994 beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia. Pada 1 September 1998, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia. Pada 1 Mei 2000 beliau telah dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dan merupakan wanita pertama di Malaysia yang menjawat jawatan tersebut.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dari tahun 1998 sehingga 2000. Selain dari itu beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad sejak tahun 2000.

Pada 16 November 2008, beliau telah dilantik untuk menganggotai Pasukan Petugas peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan reformasi sistem kewangan global. Ini termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia susulan krisis kewangan dunia semasa.

Panel itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pakar-pakar Reformasi sistem kewangan dan Monetari Antarabangsa dipengerusikan oleh bekas Ketua Ekonomi Bank Dunia Joseph Stiglitz, penerima Anugerah Nobel bagi Ekonomi tahun 2001.

Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miguel Descoto telah mengumumkan senarai penuh anggota pasukan petugas dan mereka berperanan dalam merangka langkah-langkah yang boleh diambil oleh negara anggota bagi menjamin ekonomi global yang lebih stabil.

Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah berkahwin dengan Dr. Taufik Ayman dan dikurniakan dua orang cahayamata.

Sumber: wikipedia

Daerah Kinta

Peta Daerah Kinta

Kinta adalah salah satu daerah dalam negeri Perak dan merupakan kawasan yang paling padat di Perak.

Majoriti penduduk Kinta menetap di bahagian utara, iaitu kawasan sekitar ibu negeri Perak, Ipoh.

Kecemerlangan daerah ini bermula dengan penemuan bijih timah pada awal abad ke-19.

Ini menarik ramai kaum Cina untuk berhijrah ke Tanah Melayu terutama sekali di Larut dan kemudiannya Lembah Kinta.

Penglibatan dalam industri bijih timah telah menjadi batu loncatan Perak untuk menjadi tumpuan ramai sehingga menjadi negeri paling ramai penduduk pada awal abad ke-20.

Namun, disebabkan pembangunan pesat di negeri jiran seperti Selangor dan Pulau Pinang, ramai rakyat Perak berhijrah.

Sumber: Sinar Harian

Gua Tambun

Gua Tambun (imej dari southeastasianarchaeology.com)

Lukisan Neolitik yang terdapat dalam Gua Tambun (imej dari cavesofmalaysia.com)

Gua Tambun terletak di bawah bukit batu kapur di bandar raya Ipoh, Perak.

Dalam gua ini terdapat lukisan purba zaman Neolitik berusia 3,000 tahun seperti gambar aktiviti perburuan binatang menggunakan lembing.

Motif ini termasuklah Orang Asli purba, rusa, pelanduk, kura-kura dan dugong.

Motif dipercayai dugong atau serangga hutan ini menimbulkan kesangsian ramai pihak.

Dikatakan pada tahun 1959, Leftenan R. L. Rawlings dalam rondaan pada zaman darurat telah menjumpai lukisan-lukisan purba terbabit.

Gua ini berdekatan dengan Kem Syed Putra, Tambun, Ipoh.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, July 30, 2009

25 Pesanan Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya

Daripada Abdullah bin 'Amr r.a Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sampaikanlah Pesanku Biarpun Satu Ayat..."

1. Hai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2. Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

3. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawaduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

4. Hai anakku, seandainya ibu bapa marah kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.

5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

7. Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak berbicara hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkut batu besar dan besi tetapi ianya lebih berat daripada itu, seandainya engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Jika tiada sesiapa yang layak, sebaiknya dirimulah sahaja yang menjadi utusan.

10. Jauhilah sifat dusta, sebab dusta itu memberikan akibat yang berbahaya.

11. Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir di majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Janganlah engkau makan sampai terlalu kenyang kerana sesungguhnya makan yang terlalu berlebihan itu adalah lebih baik diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku, janganlah engkau terus menelan sesuatu kemanisan dan memuntahkan sesuatu kepahitan kerana manisnya itu belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Makanlah makananmu bersama-sama dengan mereka yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Hai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18. Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkah laku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20. Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24. Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya hati menjadi sejuk apabila mendengarkan nasihatnya, hidupkan hati dengan cahaya hikmah daripada mutiara kata-katanya, kerana ianya bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.

25. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau buang dunia ini ke dalam bakul sampah kerana engkau akan menjadi pengemis yang menjadi bebanan orang lain. Janganlah engkau peluk dunia ini ibarat meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Persediaan menghadapi bencana


  • Memeriksa potensi risiko kebakaran - Pendawaian elektrik dan sistem paip gas memasak kerana amat berbahaya bila berlaku gempa bumi.
  • Mengetahui di mana suis-suis utama dan injap di mana dan bagaimana menutup bekalan elektrik, gas dan air.
  • Memastikan anda memiliki lampu suluh dan radio berkuasa bateri sekiranya berlaku; terputus bekalan elektrik, simpan lampu suluh di tepi katil anda atau tempat yang dikhaskan.
  • Menyimpan satu atau lebih alat pemadam api di lokasi yang mudah diambil.
  • Menyimpan bekalan asas pertolongan cemas di samping mempunyai pengetahuan asas tentang prosedur pertolongan cemas.
  • Menempatkan objek-objek yang besar dan berat di rak sebelah bawah.
  • Menyimpan barang-barang berbahaya seperti cecair mudah terbakar dan beracun di tempat yang selamat di mana ianya tidak mudah jatuh atau pecah.
  • Memasang lampu-lampu lekap di siling dengan kukuh. Pendawaian kecil atau rantai yang sesuai boleh mengatasi risiko ini.
  • Menyiasat kewujudan rekahan dinding dan syiling. Rekahan tersebut terutamanya di siling boleh runtuh dalam bentuk keping-kepingan besar dan boleh menyebabkan kecederaan.
  • Sentiasa tenangkan diri dalam menghadapi saat-saat kecemasan.
Sumber: www.bkn.gov.my Maklumat Krisis dan Bencana.

Wednesday, July 29, 2009

Lagi lagi wallpaper

Kucing

Tanda larangan

Nelly Furtado

The Unborn

Zirafah menjilat tupai

Lagi Wallpaper

Gambar aku (buruk kan gambar aku, siapa la design artwork ni)

Evo

Supernatural

Tropical Island

Winter 2

Koleksi wallpaper

Ini pun kes tak ada idea (dan tengah tak ada kerja) jadi nikmatilah koleksi-koleksi desktop wallpaper yang menghiasi PC aku. Kalau berkenan boleh save dan jadikan wallpaper di desktop PC anda. Diizinkan.

Alanis Morisette - Hands Clean

Muse - Black Hole and Revelation

Regatta

Suzuki

Winter

Loghat Perak 13

Hangat pijor

Maksud: Suhu sekitar yang panas

Contoh ayat: "Huh, hangat pijor betui malam ni, susah nak tidor".

Ayat moden: "Panas betul malam ini, susah nak tidur".

Tuesday, July 28, 2009

Ini bukan penamat


Ini bukan penamatnya
Atas apa yang telah kita lalui

Ini bukan penamatnya
Atas apa yang telah kita tempuhi

Tiada perkara yang akan tamat
Selagi ia belum menemui penamatnya

Ini adalah permulaan
Untuk sesuatu yang baru dimulakan

Ini adalah permulaan
Kepada sesuatu pengalaman

Benarlah kata mereka
Memulakan sesuatu lebih sukar
Dari menamatkannya.

Skuasy

Nicol Ann David, pemain skuasy wanita nombor 1 dunia

Skuasy adalah acara sukan terbaru yang berjaya menaikkan nama negara kita di persada antarabangsa. Sukan ini dimainkan oleh dua orang pemain perseorangan. Mata bagi permainan ini ialah setakat 11 mata dan akan dimainkan dalam beberapa set.

Pencapaian negara kita dalam sukan ini memang cemerlang, yang mana contohnya, Nicole Ann David telah berjaya mencipta sejarah menjadi pemain nombor satu dunia setelah beberapa kejohanan utama pada tahun ini.

Antaranya ialah Kejohanan Terbuka Malaysia, menjadi wanita pertama Asia memenangi Terbuka British dan terbaru memenangi Kejuaraan Dunia di Hong Kong.

Antara anak watan Malaysia lain yang berjaya dalam sukan ini ialah Kenneth Low.

Mengikut sejarah, skuasy mula dimainkan pada abad ke-19 dan gelanggang pertama bagi sukan ini dipercayai telah dibina di Harrow School. Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang membentuk sebuah persatuan bagi sukan ini pada tahun 1907 dan Persatuan Tenis dan Raket dari British juga telah menubuhkan satu jawatankuasa kecil bagi mentadbir permainan ini.

Persatuan Raket Skuasy (British) telah ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran permainan skuasy ini pada tahun 1928.

Pada masa ini sukan ini ditadbir oleh Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dengan permainan profesional bagi lelaki ditadbir oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sementara bagi wanita ianya ditadbir oleh Persatuan Pemain Skuasy Antarabangsa Wanita (WISPA).

Skuasy adalah antara sukan yang popular di negara-negara seperti Australia, Eropah, Amerika Utara dan juga Asia termasuk negara kita, Malaysia dengan kemunculan beberapa jaguh handalan.

Sumber: Sinar Harian

Batu Kurau

Pekan Batu Kurau terletak dalam daerah Larut Matang, Perak.

Terdapat beberapa kampung kecil di bawah Mukim Batu Kurau iaitu Kampung Sungai Ara, Kampung Paya, Kampung Batu 14 1/2, Kampung Batu 15 1/2, Kampung Changkat Semambu, Kampung Kepala Batas dan Kampung Bukit Sungai Akar.

Nama tokoh besar yang berasal dari Batu Kurau adalah Allahyarham Datuk Seri Haji Kamaruddin Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970 - 1974), Allahyarham Tuan Haji Muhammad Saman Muhammad yang lebih dikenali sebagai Haji Mat Saman Kati (1922 - 1995) adalah seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak pada tahun 1978 - 1986.

Tuan Haji Muhammad Saman Muhammad (gambar) atau dikenali juga sebagai Haji Mat Saman Kati merupakan ulama tasawuf yang terkenal bukan sahaja di Malaysia malahan di Indonesia dan Brunei Darussalam.

Sumber: Sinar Harian, wikipedia

Pusat Penetasan Penyu Segari


Papan tanda Pusat Penetasan Penyu Segari (imej dari lumutvalley.blogspot.com)

Pusat ini dibina pada tahun 1990 di atas keluasan tapak berukuran 0.1 ekar. Kajian kesesuaian tapak telah pun bermula pada pertengahan tahun 1989 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan dan WWF. Pada tahun 1992 keluasan 10 ekar tanah telah dipohon dan seluas 5.5 ekar telah diluluskan di atas rizab Jabatan Perikanan oleh kerajaan negeri Perak pada tahun 1994.

Terdapat dua jenis penyu yang mendarat di kawasan ini iaitu Penyu Agar dan Penyu Lipas. Penyu ini mendarat sekitar Mac hingga Julai setiap tahun. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh pengunjung ialah melawat kolam penyu dan pameran.

Sumber: Sinar Harian

Monday, July 27, 2009

Antara Pemimpin Kanan Dunia yang mati dibunuh


James A. Garfield (19 November 1831 - 19 September 1881)
Presiden Amerika Syarikat yang ke-20. Ditembak pada 2 Julai 1881 oleh Charles J. Guiteau.


John F. Kennedy (29 Mei 1917 - 22 November 1963)
Presiden Amerika Syarikat yang ke-35. Mati ditembak pada 22 November 1963 oleh Lee Harvey Oswald.


Abraham Lincoln (12 Februari 1809 - 15 April 1865)
Presiden Amerika yang ke-16. Mati ditembak pada 15 April 1865 oleh John Wilkes Booth.


William McKinley (29 Januari 1843 - 14 September 1901)
Presiden Amerika yang ke-25. Ditembak pada 5 September 1901 oleh Leon Frank Czolgosz tetapi mati lapan hari kemudian akibat serangan gangren pada luka kesan tembakan.


Mohandas Karamchand Gandhi (2 Oktober 1869 - 30 Januari 1948)
Bapa Kemerdekaan India. Mati ditembak pada 30 Januari 1948 oleh Nathuram Godse.


Indira Gandhi (19 November 1917 - 31 Oktober 1984)
Perdana Menteri India yang keempat. Mati ditembak pada 31 Oktober 1984 oleh Satwant Singh dan Beant Singh yang mana merupakan pengawal peribadinya sendiri.

Rajiv Gandhi (20 Ogos 1944 - 21 May 1991)
Perdana Menteri India yang ketujuh. Mati akibat dibom oleh pengebom berani mati sewaktu menghadiri satu majlis di sebuah kampung bernama Sriperumbudur pada 21 May 1991. Pengebom tersebut merupakan seorang wanita dikenali sebagai Thenmuli Rajaratnam, dikenali juga dengan nama Gayatri atau Dhannu. Wanita tersebut adalah anggota pengganas LTTE.


Yitzhak Rabin (1 Mac 1922 - 4 November 1995)
Perdana Menteri Israel yang kelima. Mati ditembak pada 4 November 1995 oleh Yigal Amir, seorang Yahudi Ortodoks berhaluan kanan.


Benigno Aquino Jr. (27 November 1932 - 21 Ogos 1983)
Senator Filipina. Mati ditembak pada 21 Ogos 1983 di Lapangan Terbang Manila (kini dipanggil Lapangan Terbang Ninoy Aquino) oleh pembunuh upahan.


Rafiq al-Hariri (1 November 1944 - 14 Februari 2005)
Bekas Perdana Menteri Lubnan sebanyak dua kali iaitu yang ke-41 dan yang ke-43. Meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 20 Oktober 2004 malangnya telah terbunuh apabila keretanya dibom pada 14 Februari 2005.


Anwar El Sadat (25 Disember 1918 - 6 Oktober 1981)
Presiden Mesir yang ketiga. Mati ditembak pada 6 Oktober 1981 oleh Khalid Islambouli sewaktu menghadiri perarakan hari kemerdekaan.


Zulfikar Ali Bhutto (5 Januari 1928 - 4 April 1979)
Presiden Pakistan yang keempat. Mati digantung pada 4 April 1979 atas arahan Jeneral Muhammad Zia-ul-Haq.


Benazir Bhutto (21 Jun 1953 - 27 Disember 2007)
Bekas Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali iaitu pada 1988 - 1990 dan 1993 - 1996. Mati ditembak pada 27 Disember 2007 selepas selesai memberikan ucapan sewaktu berkempen untuk pilihanraya Pakistan 2008. Pembunuhnya masih belum dikenalpasti. Bagaimanapun, komander Al-Qaeda, Mustafa Abu al-Yazid mengaku bertanggungjawab dan menuduh Benazir sebagai aset penting Amerika Syarikat.


Solomon Bandaranaike (8 Januari 1899 - 26 September 1959)
Perdana Menteri Sri Lanka yang keempat. Mati ditembak oleh Talduwe Somarama yang telah menyamar sebagai sami Buddha untuk mendekati Solomon dan menembaknya.


Nihat Erim (1912 - 19 Julai 1980)
Perdana Menteri Turki selama 14 bulan dari tahun 1971 hingga 1972. Mati ditembak di Istanbul pada 19 Julai 1980 oleh dua orang lelaki. Kumpulan militan berhaluan kiri Turki Dev Sol mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.


Ngo Dinh Diem (3 Januari 1901 - 2 November 1963)
Presiden Vietnam Selatan yang pertama. Mati ditembak pada 2 November 1963 oleh Kapten Nguyen Van Nhung dalam kejadian rampasan kuasa.

Ahmed Hussein al-Ghashmi (1941 - 24 Jun 1978)
Presiden Republik Arab Yaman yang keempat. Mati terbunuh apabila beg bimbit yang dibawanya meletup sewaktu pertemuannya bersama wakil daripada Republik Demokratik Rakyat Yaman. Letupan itu telah membunuh dirinya bersama-sama wakil tersebut.

Sumber : Dewan Masyarakat, wikipedia

Perbezaan antara Tomboi, Lesbian dan Pengkid


Tomboi

* Berasal daripada gabungan dua perkataan 'tom' dan 'boy' bermaksud 'lelaki kasar'.

* Dikesan sejak 1579 Sebelum Masihi.

* Penampilan seperti lelaki tetapi tidak semestinya mencintai kaum sejenis.

* Melakukan aktiviti lasak dan mencabar seperti lelaki.

* Mempunyai perasaan terhadap lelaki.


Lesbian

* Lesbian berasal daripada perkataan lesbo, sebuah nama pulau di wilayah Yunani yang terkenal dengan kepemimpinan wanitanya pada zaman dahulu.

* Dikesan di negara Barat sejak 1732. Juga dikenali dengan bahasa slanga, lessy.

* Mengekalkan perwatakan dan ciri keperempuanan.

* Sangat menyukai wanita yang cantik.

* Bercinta dengan kaum sejenis mahupun lelaki. Mengamalkan homoseksual dan biseksual.


Pengkid

* Pengkid merupakan perkataan slanga dalam kelompok wanita lesbian Melayu dan hanya wujud di Malaysia. Sesama pengkid memanggilnya dengan nama 'Peng' atau 'PLU'.

* Bertubuh badan dan bergaya seperti lelaki. Pengkid tidak menerima hakikat bahawa diri mereka perempuan.

* Berambut pendek (ada juga berambut panjang, tetapi mengikut gaya lelaki).

* Membengkung payu dara sehingga leper.

* Amat tertarik dengan wanita cantik.

* Menjalinkan hubungan dengan wanita sahaja (homoseksual).

* Setia kepada seorang pasangan dan pengkid mempunyai ego yang sangat tinggi.

* Pengkid juga menggunakan warna pelangi sebagai lambang universal pengamal homoseksual.


Negara-negara yang membenarkan perkahwinan sesama jenis:

1. Amerika Syarikat
2. Britain
3. Kanada
4. Australia

Sumber : Dewan Masyarakat

Prof Ahmad pakar perundangan sivil, syariah


TAN Sri Ahmad Mohamed Ibrahim adalah tokoh undang-undang hebat dan cemerlang. Sumbangannya yang amat besar dan amat bermakna dalam menjalankan penyelidikan, pembangunan dan kemajuan dalam memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia dan Singapura, selain bidang pendidikan dan kebudayaan.

Di atas sumbangan besarnya itu, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) mengambil inisiatif menerbitkan buku mengenai biografi Prof Ahmad yang memuatkan liku kehidupannya merangkumi sejarah awal hidup, pendidikan diterima dan sumbangan dalam aspek perundangan negara.

Turut dilakarkan di dalam buku ini adalah terhadap keperibadiannya yang sangat rendah diri itu turut dianggap sebagai akademik, perunding dan penasihat, guaman dan kehakiman.

Beliau dihormati atas kepakarannya yang hebat dan istimewa dalam bidang undang-undang sivil dan syariah, selain diiktiraf sehingga ke akhir hayat serta masih dijadikan rujukan.

Kehebatan dan kepakarannya dalam bidang undang-undang turut diakui Prof Diraja Ungku Aziz. Paling ketara ialah sejak penubuhan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) sehingga sekarang, tidak ada perubahan besar dilakukan kepada kurikulum dan sukatan pelajaran undang-undang.

Ini menggambarkan ketelitian serta kejituan ketika merancang penubuhan Fakulti Undang-undang UM sehingga ia sesuai dengan kehendak badan peguam dan akademik selain mengusahakan Journal of Malaysian and Comparative Law yang menjadi platform kepada penulisan akademik undang-undang.

Ahmad Ibrahim turut menumpukan secara bersungguh terhadap penubuhan Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dengan memberi pendekatan baru dalam pengajaran, kurikulum dan suasana pembelajaran.

Selain itu, beliau dilantik dalam pelbagai jawatankuasa antaranya Jawatankuasa Kajian Undang-undang Mahkamah Syariah Kelantan; Jawatankuasa Kajian Taraf Kadii Seluruh Malaysia, dan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah dan Sivil.

Sumbangan dalam aspek kehakiman dapat dilihat secara langsung dalam perbicaraan kes mahkamah syariah serta ada minat mendalam mengenai isu perundangan keluarga Islam serta menunjukkan perjuangannya dalam memastikan undang-undang berkenaan dilaksanakan dengan adil dan berkesan.

Perkara menarik mengenai peribadi Ahmad Ibrahim ialah istiqamah beliau dalam menjaga dan mengekalkan sahsiah Islam walaupun mendapat pendidikan Barat.

Beliau yang dilahirkan di Singapura pada 15 Mei 1916 dan meninggal dunia pada 17 April 1999 ternyata luar biasa serta menguasai semua bidang perundangan. Kegigihannya bekerja tidak pernah lupus sehingga hari-hari terakhir dalam hidupnya yang tetap bertugas seperti biasa walaupun sering diserang sesak nafas.

Ahmad Ibrahim meninggalkan jasa yang tidak ternilai dalam meletakkan asas Undang-Undang Islam tidak saja di Malaysia dan Singapura, malah di negara serantau seperti Indonesia dan Brunei. Beliau mempunyai wawasan hidup yang jelas terhadap tanggungjawabnya sebagai orang Islam dan ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap perkara yang dilakukan.

Mempunyai latar belakang mantap dari segi pendidikan, pendedahan beliau kepada pelbagai bidang profesion perundangan daripada pembantu undang-undang pada zaman penjajahan Jepun hingga ke ke jawatan Peguam Negara, selain menjadi pensyarah dan penulis aktif mengenai subjek perundangan.

Sumber: Berita Harian 12 September 2007

Tugu Negara

Tugu Negara dibina untuk mengenang jasa askar yang terkorban di Malaysia kerana berjuang untuk mencapai kebebasan, dari zaman perang dan darurat pada tahun 1942-1960.

Mengikut Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, tugu berkenaan dihasilkan pengukir Amerika Syarikat, Felix de Weldon, hasil idea Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Tugu Negara setinggi 15 meter itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Februari 1966.

Ia adalah satu kumpulan tujuh patung gangsa, tiap satu empat kali lebih besar daripada orang biasa. Asas tugu mula dibina 1963 yang disalut dengan batu pejal bergilap berwarna zamrud dari Sweden. Patung gangsa ini mewakili pelbagai cawangan pasukan keselamatan memakai pakaian seragam ketika perang. Lima menggambarkan pasukan keselamatan yang beroleh kemenangan dan satu daripadanya memegang Jalur Gemilang manakala dua lembaga terbaring lambang mayat dua anggota komunis.

Tugu Negara menjadi lokasi Hari Pahlawan yang disambut setiap 31 Julai yang dihadiri Perdana Menteri bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Polis Negara.

Sumber : Berita Minggu 26 Ogos 2007

Universiti Malaya


Susur galur sejarah Universiti Malaya (UM) sebagai universiti tertua negara boleh dijejak seawal tahun 1905 sebagai Sekolah Perubatan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat di Singapura.

Sekolah perubatan ini dinaik taraf menjadi Kolej Perubatan King Edward VII bergabung dengan Kolej Raffles yang ditubuhkan pada 1928 menjadi Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949.

UM mempunyai dua kampus dengan kuasa autonomi, iaitu di Singapura (kemudian menjadi Universiti Nasional Singapura) dan Kuala Lumpur (mengekalkan nama asal).

Pada 1960, kerajaan di kedua-dua kampus universiti ini memutuskan untuk mengubah status kedua-dua kampus ini menjadi universiti kebangsaan masing-masing. Selepas mendapat kelulusan perundangan pada 1961, UM diasaskan pada 1 Januari 1962.

Pada 16 Jun 1962, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dilantik sebagai Canselor pertama UM, manakala ahli matematik terkemuka dunia, Profesor Oppenheim, adalah Naib Canselor pertama.

Kampus UM Lembah Pantai seluas 309 hektar dengan cogan kata Ilmu Punca Kemajuan berperanan besar melahirkan cerdik pandai dan golongan profesional serta pemimpin negara.

Antara alumni UM era selepas 1949 hingga sekarang, termasuk Perdana Menteri Kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Graduan sebelum 1949 pula termasuk Perdana Menteri kedua dan keempat, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber : Berita Minggu 26 Ogos 2007

Dewan Bahasa dan Pustaka

Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 - 21 September 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dengan nama Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru.

Dalam sejarah kemerdekaan negara, DBP adalah institusi penting yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Seiring kemerdekaan, DBP berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young pada 1957.

Melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP menjadi sebuah badan berkanun yang diberi kuasa autonomi, iaitu menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjalankan kegiatan penerbitan dan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Walaupun DBP kini beroperasi di sebuah bangunan baru yang tersergam indah pada 2003, bangunan lama DBP di Jalan Dewan Bahasa (sebelum itu dikenali sebagai Jalan Lapangan Terbang Lama) amat unik, terutama dengan lukisan mural yang menghiasi dinding dewan DBP.

Sumber : Berita Minggu 26 Ogos 2007