Pengikut dan Ex-smgrian

Saturday, July 3, 2010

Jering


Di kalangan orang Melayu terdapat peribahasa yang diabil sempena dengan buah jering iaitu tangkai jering yang bermaksud orang yang kedekut. Ini kerana buah jering tidak akan gugur atau luruh dengan sendiri.

Buah jering atau nama botaninya Pithecellobium jiringa Prain mempunyai bunga yang berwarna putih dan berjambak manakala buahnya dalam bentuk lenggai panjang tetapi tidak lurus dengan ukuran lazim antara 20 dan 26 sentimeter.

Kulit jering tebal dan berwarna coklat tua sementara bijinya bersaiz besar lebih kurang 3 hingga 5 sentimeter tetapi leper. Ulam jering ini mengandungi sejenis sebatian alkaloid pelawas yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil.

Jering juga dikatakan boleh menjadi penawar yang berkesan bagi pesakit kencing manis sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Oleh itu tidak hairanlah mengapa orang Melayu telah memanfaatkan pelbagai jenis ulam-ulam tradisional ini termasuklah juga petai, kerdas, daun pegaga, ulam raja, pucuk gajus, kacang botor, pucuk betik dan daun tenggek burung.

Buah atau biji benih jering yang masih muda selalunya dimakan mentah atau dikunyah begitu sahaja. Ramai juga yang mencicahnya dengan sambal selain ditumbuk atau dihiris untuk dicampurkan dalam masakan terutama gulai lemak cili api.

Jering juga mengeluarkan bau yang sangat kuat sepertimana buah kerdas dan petai. Sebab itulah ia kurang disenangi oleh sesetengah orang, namun bagi mereka yang menggemari ulam ini, ia mempunyai kelebihan dan tarikan untuk memakannya kerana jering dikatakan mempunyai kandungan protein yang agak tinggi iaitu sehingga 10.5 peratus.

Kandungan pemakanan lain yang terdapat dalam buah jering ialah 84.1 peratus karbohidrat, 52 peratus air, 1 peratus abu, 0.8 peratus lemak dan 3.6 peratus serat.

Sumber: Utusan Pengguna

No comments: