Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, March 11, 2011

Ciri-ciri musuh Allah

Firman Allah SWT: "Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu pada hal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu). Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya? Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kan kebenaran pada hal kamu mengetahuinya? Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula". Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya pertunjuk yang sebenar-benarnya ialah pertunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujjah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar." - Surah Ali-Imran: ayat 69 - 74

Di dalam ayat di atas Allah menceritakan tentang golongan Ahli Kitab yang ingin menyesatkan umat Islam, sebaliknya mereka gagal dan hanya menambahkan kesesatan di dalam diri mereka sendiri dan mereka tidak sedar akan apa yang telah mereka lakukan.

Allah juga menjelaskan tentang sikap Ahli Kitab dan juga mereka yang memusuhi agama Islam seperti orang kafir, orang munafiq dan fasiq yang akan menjadi musuh Allah dan mereka yang beriman sehingga hari Kiamat.


CIRI-CIRI MUSUH ALLAH
  1. Sangat berkeinginan untuk menyesatkan umat Islam.
  2. Engkar kepada ayat-ayat Allah walaupun mereka mengetahui kebenarannya.
  3. Mencampur-adukkan yang haq dengan yang bathil.
  4. Menyembunyikan kebenaran walaupun mereka mengetahui.

Musuh-musuh Islam dan Allah akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengembalikan manusia beriman kepada kekufuran. Antara kaedah-kaedah yang digunakan adalah seperti berikut:
  1. Golongan Ahli Kitab berkata sesama mereka: "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mu'min) kembali (kepada kekafiran)."
  2. Golongan Ahli Kitab juga berkata sesama mereka: "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikuti agamamu."
  3. Golongan Ahli Kitab juga berkata sesama mereka: "Jangan kamu percaya dan tunjukkan apa yang ada pada tanganmu ( Taurat yang menceritakan tentang sifat Nabi Muhammad ) kepada Orang-Orang Islam yang akan menjadikan mereka beriman dan menggunakannya sebagai Hujjah untuk menolak kesesatan kamu."
Golongan orang munafiq akan berpura-pura memeluk Islam atau menyokong perjuangan Islam pada awalnya ketika pertolongan mereka diperlukan tetapi apabila keadaan tidak memihak kepada Islam mereka akan keluar daripada Islam sehingga menampakkan kepada orang lain seolah-olah menyokong Islam itu adalah satu kesilapan.

Kita hendaklah memperkasakan keimanan kita kepada Allah SWT.  Orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya pasti akan mendapat kurniaan Allah kerana segala kurniaan itu adalah hak Allah dan Allah akan memberikan kurniaanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Sesungguhnya Allah itu Maha Luas kurniaaNya lagi Maha Mengetahui.

Dicerna daripada Khutbah Jumaat Ciri-ciri Musuh Islam yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Abdul Aziz bin Hj. Ahmad pada 11 Mac 2011 di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

No comments: