Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 27, 2011

Peranan harta wakaf dalam pembangunan ummah


Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipat gandakan pahala khususnya bagi mereka yang diberi kelebihan harta dan wang ringgit. Beruntunglah orang yang diberi kelebihan oleh Allah SWT serta suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan. Justeru Islam menggesa umatnya supaya bermurah hati dan segera memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan bantuan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

Harta wakaf yang kita lihat pada hari ini ada sebahagiannya tidak dimajukan untuk pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada umat Islam khususnya tanah, ia tidak dimanfaatkan untuk mendapatkan untuk mendapatkan pulangan yang memuaskan. Begitu juga seringkali timbul pelbagai isu dan masalah apabila tanah wakaf yang ingin dibangunkan dihalang oleh pemegang amanah tanah wakaf dan sebagainya. Ini disebabkan kurang kefahaman tentang konsep wakaf itu sendiri dengan mempersoalkan bagaimana cara dan bentuk ia dibangunkan atau dimajukan.

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya membangunkan atau menggunakan tanah wakaf untuk manfaat umat Islam yang lain khususnya membantu golongan yang miskin. Dalam konteks ini ulamak Fekah telah mentakrifkan harta wakaf sebagai suatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya ia digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaatnya. Oleh yang demikian, tidak salah sekiranya ada dikalangan umat Islam yang menawarkan diri untuk membangunkan tanah wakaf bagi manfaat umat Islam selagi mana ianya tidak bercampur dengan unsur-unsur riba, penipuan dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Justeru, umat Islam harus faham dan sedar bahawa ganjaran pahala harta wakaf akan bertambah dan pahalanya berkekalan selagi harta yang diwakafkan masih boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh umat Islam, selagi itulah pahala wakaf akan terus diterima selama-lamanya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kepadanya". - Hadis Riwayat Muslim

Berdasarkan kepada hadis tersebut, Jumhur ulamak sepakat bahawa sedekah jariah tersebut adalah termasuk harta wakaf.

Antara kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ikhlas mewakafkan harta sepertimana yang disebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 261 :

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikendakinya dan Allah Maha Luas (rahmatnya) kurniaannya lagi meliputi ilmu pengetahuan".

Selain itu, diantara hikmah dan tujuan syariat Islam mengharuskan wakaf untuk kepentingan dan faedah tertentu seperti:
  1. Membuka jalan ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT
  2. Mendorong minat orang yang beriman berlumba-lumba dalam mengerjakan amal kebajikan serta mengharapkan pahala yang berkekalan semasa hidup dan selepas pewakaf meninggal dunia.
  3. Untuk kebaikan umat Islam seperti membina masjid, sekolah dan tempat komersial yang mendatangkan keuntungan kepada umat Islam.
  4. Membantu dan mengurangkan beban penderitaan golongan fakir miskin dan anak yatim dari segi sosio ekonomi dan sebagainya.
  5. Salah satu cara untuk membina kekuatan ummah dan mengekalkan pemilikan harta secara perkongsian di kalangan umat Islam.

Menyedari kepentingan dan manfaat harta wakaf, maka umat Islam perlu sedar dan bangkit untuk sama-sama menangani isu pembangunan harta wakaf untuk kemajuan Umat Islam seperti berikut :
  1. Sama-sama membantu menyelesai dan mengurangkan masalah sosio ekonomi di kalangan umat Islam serta dapat membantu golongan fakir miskin seperti membina rumah kos rendah dan disewakan kepada mereka di samping melatih mereka untuk hidup berdikari.
  2. Mengurus dan memajukan harta-harta wakaf mengikut perkembangan semasa sesuai dengan syariat Islam.
  3. Umat Islam harus sedar dan faham bahawa harta wakaf boleh dibangunkan untuk mendatangkan keuntungan yang maksima seperti pembinaan kompleks bangunan pejabat dan sebagainya.  Bukan berfahaman bahawa tanah wakaf hanya untuk dijadikan tanah kubur dan masjid sahaja.

Justeru, pada dasarnya pembangunan harta wakaf dapat menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan modal insan dikalangan umat Islam jika ia diurus tadbir dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana ianya bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi ummah, malahan ianya mampu merubah sosio ekonomi umat Islam ke tahap yang lebih baik dan kelangsungan hidup yang sempurna.

Semoga dengan kesedaran dan kerjasama semua pihak, harta wakaf dapat dibangunkan dan dikembangkan sebagaimana yang dipraktikkan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Begitu juga bagaimana Universiti al-Azhar, Mesir boleh maju dan membiayai palajar-pelajar dari seluruh dunia hingga ke saat ini dengan bersumberkan sumbangan harta wakaf. Justeru itu, kejayaan pembangunan harta wakaf bergantung kepada kefahamanan yang jelas di kalangan Umat Islam tentang konsep, peranan dan matlamat wakat yang disyariatkan Allah SWT.

Selain itu, peranan dan tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama memajukan dan membangunkan serta mengembalikan fungsi dan peranan harta wakaf untuk kemajuan umat Islam, khususnya melalui sumbangan idea, bantuan kewangan dan kepakaran tertentu dalam menjayakan pembangunan harta wakaf.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 133 - 134 bermaksud:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bandingannya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

Sumber: e-khutbah JAKIM

Tuesday, May 24, 2011

Akidah benteng kekuatan ummah


Berdasarkan Rukun Islam yang pertama umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW secara tepat dan betul. Lafaz Lailahailallah dan Muhammadur Rasulullah menunjukkan bahawa Allah SWT adalah tuhan dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi kita. Penggunaan lafaz Lailahailallah adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya.

Dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, dasar utama perjuangan Baginda adalah menguatkan akidah yang mengambil masa selama 13 tahun di Mekah. Perjuangan menegakkan akidah yang berasaskan tiada tuhan melainkan Allah ini bukan perkara mudah. Baginda terpaksa menjelaskan kepada masyarakat Musyrikin tentang konsep Tuhan Yang Maha Esa itu. Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah Tuhan Yang Maha Esa itu?

Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1 - 4 yang bermaksud:

"Katakanlah wahai Muhammad, tuhanku ialah Allah Yang maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, ia tidak beranak, dan ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya".

Berdasarkan penjelasan surah al-Ikhlas ini maka mimbar ingin mengulangi sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa Allah mempunyai sifat-sifat Yang Maha Esa. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan serta tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya. Oleh itu, umat Islam wajib menolak segala bentuk atau konsep Tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap wujudnya Tuhan dalam Islam.

Namun sejarah membuktikan bahawa manusia pada asalnya mentauhidkan Allah SWT tetapi terdapat di kalangan manusia telah terpesong menjadi sesat kerana terpengaruh da'yah yang sentiasa dibayangi musuh Allah yakni syaitan dan hawa nafsu bahkan mereka mencipta pula pelbagai ajaran sehinggalah muncul agama yang pelbagai.

Mereka terpesong sehingga menukar sifat Allah Yang Maha Esa itu sesuka hati mereka seperti mewujudkan tuhan yang pelbagai jantina, pokok besar sebagai tuhan, tuhan boleh makan dan minum dan manusia juga boleh menjadi tuhan. Malah mereka menyempitkan bidang kuasa tuhan itu. Berdasarkan identiti tuhan boleh bertukar ganti, maka konsep Allah Yang Maha Esa inilah yang membezakan akidah Islam dengan agama yang lain.

Ajaran Nabi dan Rasul misalnya sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad SAW telah berusaha meluruskan akidah manusia agar berterusan menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam melalui pesuruh-Nya Nabi Muhammad SAW hadir untuk meluruskan kembali kesesatan agar kembali mengesakan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 171 yang bermaksud:

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya Pesuruh Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya)".

Diakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam kitab suci yang diterjemah ke bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengah penganut samawi termasuk Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan lain-lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah. Ia berbeza sama sekali dengan konsep tiga dalam satu (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut pada hari ini.

Kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Jika kita melihat dengan teliti isu ini ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam Liberal. Para penda'yah Islam Liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, musuh-musuh Islam telah menterjemahkan Kitab Bible sebagai Al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Quran baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Semuanya ini adalah agenda penda'yah-penda'yah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia.

Islam adalah agama suci yang mempunyai standard piawaian hukum-hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab suci al-Quran. Orang-orang Islam sendiri pun tertakluk kepada standard piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita amat bimbang pihak lain menyalahgunakan kalimah suci itu. Kita pernah mendengar dan membaca laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak-pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Amat dibimbangi sekiranya pihak-pihak terlibat menyalahgunakan penggunaan lafaz Allah dan mengambil kesempatan menghina agama lain, maka dikhuatiri akan menimbulkan pertikaian agama dan mengancam keselamatan negara. Bagi mengekalkan suasana aman dan kehidupan harmoni yang telah wujud di negara ini, maka umat Islam dan rakyat di negara ini hendaklah mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif dan kemarahan sesuatu agama dan kaum. Apatah lagi, penggunaan lafaz Allah telah digunakan beratus-ratus tahun oleh masyarakat Islam yang menjadi akar umbi di negara ini.

Dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, umat Islam hendaklah berpendirian selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008. Kandungan keputusan itu yang berbunyi:

"Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan".

Umat Islam harus sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja penggunaan lafaz Allah, mungkin selepas ini akan timbul banyak lagi cabaran yang berniat menggugat akidah, maka umat Islam diseru agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenalpasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa. Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih prihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan da'yah sesat dalam pemahaman tentang Allah SWT.

Kesimpulannya, akidah menjadi benteng kekuatan ummah. Untuk mengelakkan daripada akidah kita terpesong atau sesat beberapa perkara perlu diberi penekanan iaitu:
  1. Kalimah tauhid atau kalimah syahadah adalah ikrar pengesaan Tuhan Yang Maha Esa, tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan tetapi kita mesti membuktikan perbuatan dengan tindak tanduk seharian selari dengan hukum Allah.  Kita akan marah apabila pihak lain menghina Islam tetapi terdapat di kalangan kita yang tidak beramal dengan akidah dan syariat Islam.
  2. Kalimah syahadah yang dijadikan asas akidah adalah kalimah paling selamat untuk mengelakkan dan memelihara kita dari terlibat dengan syirik.
  3. al-Quran dan as-Sunnah dijadikan bahan rujukan mutlak untuk mengetahui dan memahami akan sifat-sifat Allah kerana maklumat-maklumatnya yang lebih lengkap, lebih konsisten dalam mempertahankan ciri-ciri kesejagatan Allah itu.
  4. Mempertahankan konsep ketuhanan bermaksud mempertahankan pengertian mengesakan Allah yang sebenar oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

"Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam". - Surah Ali Imran ayat 64.

Sumber: e-khutbah JAKIM

Wednesday, May 18, 2011

Sejarah ringkas pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak

J.W.W. Birch

Kisah pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British pertama di Perak bermula daripada Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

Perjanjian tersebut adalah antara Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke dan Raja Muda Abdullah. Perjanjian ini telah memberi kebenaran kepada pihak British untuk mencampuri urusan negeri Perak.

Perjanjian ini sebenarnya adalah satu kesilapan yang telah dibuat oleh Raja Abdullah kerana ia telah membuka peluang kepada British untuk masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Kerajaan Inggeris telah menggunakan diplomasi yang mana mereka akan mengikitiraf Raja Abdullah sebagai Sultan Perak dan pada masa yang sama memaksa kerajaan negeri Perak menerima James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) sebagai Residen British yang akan terlibat secara tidak langsung dalam urusan pentadbiran negeri Perak.

Atas perlantikan ini Birch menjadi bongkak dan sombong dan melakukan beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran negeri Perak. Kelakuan Birch ini telah menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak seperti Raja Ismail, Dato' Maharaja Lela dan Tok Sagor. Mereka kemudiannya telah membuat satu pakatan untuk membunuh J.W.W. Birch.

Birch kemudiannya telah dibunuh pada 2 November 1875 apabila dia datang ke Pasir Salak untuk memungut cukai. Terdapat dua versi tentang cara pembunuhan Birch. Versi yang popular adalah Birch dikatakan dibunuh sewaktu sedang mandi di sungai oleh seorang lelaki bernama Si Putum. Versi yang kedua pula mengatakan Birch dibunuh sewaktu sedang menaiki sampan (atau rakit). Penduduk-penduduk kampung bersama-sama Dato' Maharaja Lela, Si Putum dan Tok Sagor telah menunggu kedatangan Birch di tebing sungai. Apabila sampan Birch menghampiri mereka, mereka telah merejam lembing ke arah Birch dan para pegawainya. Turut terbunuh ialah kerani kepada Birch yang bernama Mat Arshad. Mayat mereka kemudian dihumbankan ke dalam sungai.

Tindakan pembesar-pembesar Melayu ini telah menimbulkan kemarahan pihak British. Akibatnya, Dato' Maharaja Lela, Tok Sagor dan mereka yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap oleh British dan dihukum gantung. Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

sumber: Wikipedia, Sejarah Malaysia

Hulu Perak


Pada akhir abad ke 19, peperangan meletus di Hulu Perak. Peperangan ini turut melibatkan daerah kecil Lenggong. Perang saudara tersebut hanya berakhir pada 1909.

Setelah perang berakhir, Hulu Perak diserahkan kepada pemerintahan Negeri Perak yang ketika itu telah dijajah oleh Inggeris. Penyerahan bumi itu oleh kerajaan Siam adalah hasil Perjanjian Burney antara kerajaan Siam dengan kerajaan Perak di bawah pemerintahan Inggeris.

Sebahagian daripada Hulu Perak, bermula dari tempat yang bernama Bukit Nasah di bahagian selatan adalah di bawah kekuasaan Siam. Kerajaan Siam melantik pembesar dan wakil raja sebagai pemerintah bahagian Perak Hulu yang dulunya dikenali sebagai Negeri Reman.

Pemerintahan kerajaan Melayu Reman itu berpusat di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Selarong yang terletak tidak jauh dari pekan kecil Pangkalan Hulu atau dulunya disebut Pekan Kroh.

Bekas istana Tuan Jagung, Raja Reman yang terakhir, masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Di kampung ini juga terdapat makam permaisuri Cik Neng, iaitu isteri Tuan Jagung. Permaisuri itu mangkat pada 1915.

Kemangkatan permaisuri itu ada kaitannya dengan kerinduan yang amat sangat terhadap kematian putera bongsunya yang bernama Tuan Lebih Long Raya yang bakal menjadi Raja Reman. Putera Raja Reman ini ditangkap oleh pemerintah Siam pada 1899 dan dibunuh di Bangkok. Beliau disyaki menjalankan kegiatan untuk memerdekakan Reman daripada cengkaman Siam.

Begitulah serba sedikit tentang sebuah kerajaan Melayu yang wujud di Hulu Perak sebelum abad ke-19. Cerita ini meriwayatkan satu teladan bagaimana pada masa dulu pembesar Melayu dapat digunakan oleh orang asing yang melaga-lagakan mereka supaya mereka bergaduh sesama sendiri. Dengan itu senang mereka mengambil alih pemerintahan daripada orang Melayu.

Angkara inilah yang menyebabkan berlakunya beberapa peperangan di Hulu Perak. Dulu Reman ialah daerah hulu dan terletak berhampiran dengan Patani. Kerajaan Melayu Patani yang berteraskan Islam ialah sebuah kerajaan yang kuat dan sangat stabil pemerintahannya pada abad ke-17 dan 18.

Setelah Siam menakluki Patani, negeri itu dipecah-pecahkan menjadi beberapa negeri kecil. Siam melantik pembesar Melayu menjadi raja atau pemerintah di negeri tajaannya. Reman adalah salah satu daripadanya. Di Kampung Kerunai, terdapat beberapa batu tanda yang menjadi sempadan antara Negeri Perak di bahagian hulu dengan negeri Reman yang berada di bawah kuasa Siam.

Pada 1882, satu perjanjian dibuat antara kerajaan Perak di bawah penjajah Inggeris dengan Tuan Jagung, raja Reman di bawah takluk Siam.

Dalam perjanjian itu, kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa sempadan yang baru adalah di Bukit Nasah, yang terletak kira-kira lima kilometer ke selatan pekan Grik. Hingga sekarang, tempat itu disebut bukit Nasah, iaitu mengambil sempena perkataan 'nak disahkan satu perjanjian'.

Pada 1899, satu perjanjian baru dibuat bagi menentukan sempadan yang boleh diterima oleh orang Melayu Hulu Perak. Sempadan baru itu terletak di Kerunai, di utara pekan Grik. Di situ, pada masa ini, terdapat beberapa batu tanda sempadan yang dibuat dengan simen berbentuk segi empat, kira-kira satu suku meter tinggi dan satu meter lebar. Batu itu didirikan di atas sempadan. Jarak antara setiap satu adalah kira-kira satu km.

Pada 1909, satu perjanjian iaitu Perjanjian Burney, disempurnakan antara kerajaan Perak dengan kerajaan Siam. Dalam perjanjian itu, Siam yang menguasai kerajaan Melayu Reman sejak 1826 bersetuju menyerahkan sebahagian besar Hulu Perak yang luasnya kira-kira 1,800 km persegi kepada kerajaan Negeri Perak.

Sejak penyerahan itu, daerah Hulu Perak yang rata-rata didiami oleh orang Melayu Patani dan bertutur dialek Melayu Patani bebas daripada cengkaman Siam. Namun kemerdekaan Hulu Perak bukanlah bermakna mereka terlepas daripada cengkaman penjajah lain.

Kemudian Hulu Perak berada pula di bawah pemerintahan Inggeris yang tahu bahawa daerah ini kaya dengan khazanah yang tersembunyi dalam hutan belantaranya.

Nasib kerajaan Melayu Reman agak malang. Setelah kematian Tuan Jagung, kerajaan Siam memansuhkan pemerintahan beraja ke atasnya. Dengan itu berakhir sebuah kerajaan Melayu Reman yang memerintah sebahagian daripada Hulu Perak dan sebahagian Hulu Patani yang dahulunya di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Patani.


Dalam mana mana penulisan sejarah Perak, jarang-jarang disentuh negeri Reman, sebuah kerajaan Melayu yang ditaja oleh Siam. Cuma dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah yang ditulis oleh Tok Muda Raja Razman bin Raja Abdul Hamid, Tok Muda Meor Shamsuddin bin Meor Yahya dan Husin bin Mahmud, ada menceritakan dengan panjang lebar kewujudan kerajaan Melayu Reman di Hulu Perak.

Demikianlah apa yang saya tahu serba sedikit tentang sebuah kerajaan Melayu di Hulu Perak dan perang saudara yang berlaku sesama orang Melayu yang didalangi oleh kuasa asing.

Utusan Malaysia 8 April 1998

Monday, May 16, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya.

Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Statistik pada masa ini menunjukkan bahawa bilangan guru ialah seramai 380,000 orang manakala bilangan anak-anak kita yang berada di alam persekolahan ialah seramai 5.4 juta orang.

Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak kita ini. Kerana itu, setiap tahun pada tanggal 16 Mei telah dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan para guru terutamanya dalam mendidik dan menjana transformasi pendidikan bagi membina negara bangsa.

Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a:

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".

Sejarah ketamadunan Islam telah mencatatkan bahawa guru atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka.

Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan: "Ilmu itu didatangi bukan mendatangi".

Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: "Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran".  Lihatlah betapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.

Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: "Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini". Saidina Ali r.a. juga pernah berkata: "Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada aku". Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati sehingga Allah berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan".

Dalam menjana transformasi pendidikan tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai murabi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat. Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa yang cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan dihormati.

Maka dalam merealisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian dan maklumat agar selari dengan kehendak yang diperlukan oleh masyarakat bagi tujuan mencapai aspirasi negara.

Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya.

Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu ke arah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah adalah amat diperlukan.

Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak fardhu ain dan fardhu kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 18 yang bermaksud:

"Allah menerangkan ( kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti ) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu ( mengakui dan menegaskan juga yang demikian ) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana".

Untuk mendapatkan anak bangsa yang berkualiti haruslah bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah didokong bersama antara guru dan masyarakat terutama ibu bapa. Jika tidak, nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa 'Ulul Albab' akan sia-sia, seperti kata pepatah 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing'.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)".

Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam memacu pendidikan dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Di samping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak.

Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak. Hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting dalam usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna.

Persatuan ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam membina pendidikan anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalinkan hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibbah.

Semua pihak hendaklah selari dengan ajaran Islam dan sifat orang beriman yang bersyukur, bersama-sama bertanggungjawab untuk membentuk transformasi pendidikan dengan menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini.

Allah SWT berfirman dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

"Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal".


SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2011, GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

sumber: e-khutbah JAKIM

Sunday, May 15, 2011

Monsun


Cuaca di Malaysia dipengaruhi oleh dua monsun iaitu monsun barat daya (Mei hingga September) dan monsun timur laut (November hingga Mac).

Monsun timur laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Monsun barat daya secara relatifnya adalah lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai peralihan monsun.


ASAL NAMA MONSUN

Perkataan 'monsun' berasal daripada perkataan Arab 'mausim' yang bermaksud musim. Pedagang-pedagang kuno yang berulang-alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan perkataan ini bagi menjelaskan sistem silih ganti angin yang bertiup mantap dari arah timur laut semasa musim sejuk hemisfera utara. Sebaliknya, semasa musim panas hemisfera utara, angin yang bertiup adalah dari arah barat daya.


APAKAH YANG MENYEBABKAN MONSUN?

Monsun disebabkan oleh perbezaan suhu antara daratan dan lautan hasil pemanasan sinaran matahari. Semasa musim sejuk, daratan benua menyejuk dengan cepat menghasilkan suhu yang amat rendah di kawasan tengah Asia. Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi yang hebat (antisiklon) di Siberia. Udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.

Dari masa ke semasa, ledakan keluar udara sejuk yang kuat (luruan monsun) saling bertindak dengan sistem tekanan rendah (siklon) yang terbentuk berhampiran khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai Semenanjung Malaysia dan pantai barat Sarawak.

Pada musim panas, tenaga (haba) suria yang kuat meningkatkan suhu di daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa-tetap terbentuk. Angin lengas tenggara yang berasal dari selatan Lautan India dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila melepasi Khatulistiwa dan bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum memumpun ke arah Indochina, China dan Pasifik Barat Laut.


CIRI-CIRI MONSUN

Tempoh monsun timur laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama dengan letusan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di sepanjang pantai negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur dan barat Sarawak.

Monsun barat daya secara bandingannya adalah lebih kering di seluruh negara kecuali Sabah. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, lazimnya 100 - 150mm. Keadaan ini menandakan atmosfera yang stabil di kawasan Khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera.

Sabah secara relatifnya lebih lembab (melebihi 200mm) kerana kesan ekor taufan yang kerap melintasi Filipina dalam perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan persekitarannya.

Semasa tempoh peralihan monsun, angin bertiup perlahan dari pelbagai arah. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini akan membantu pembentukan ribut petir di sebelah petang. Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menyumbang kepada purata hujan bulanan maksimum kepada kedua-dua monsun peralihan.


NASIHAT DAN AMARAN CUACA

Jabatan Meteorologi Malaysia memantau dengan rapinya situasi perubahan cuaca bila keadaan memerlukan. Kategori nasihat dan amaran monsun adalah seperti berikut:
  • Nasihat Hujan Lebat - dikeluarkan apabila ada kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam.
  • Amaran Hujan Lebat - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan hujan lebat akan berlaku.
  • Nasihat Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila ada kemungkinan angin kencang dan laut bergelora di perairan Malaysia akan berlaku dalam masa 24 jam hingga 48 jam.
  • Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku.


SEBELUM MONSUN

Sentiasa dengar amaran cuaca melalui siaran radio dan televisyen.

Pastikan bekalan air dan makanan disimpan secukupnya.

Bersihkan longkang dan parit daripada tersumbat.


SEMASA MONSUN

Tinggal di tanah kukuh. Jauhi daripada longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.

Jangan memandu ke kawasan banjir. Jauhi daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.

Ikut arahan pihak berkuasa bencana alam.

Bersedia untuk berpindah jika diarahkan sekiranya anda tinggal di kawasan pantai, dekat sungai atau kawasan rendah.

Pastikan kenderaan ditempatkan di kawasan tinggi serta harta benda dilindungi daripada hilang dan musnah akibat banjir.

Elak penggunaan bot atau kapal kecil ke sungai dan laut.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia.

Thursday, May 12, 2011

Kurang vitamin D punca alergi


Kajian melibatkan lebih 3,000 kanak-kanak menunjukkan paras vitamin D yang rendah mempunyai kaitan dengan alergi, demikian menurut kertas kajian yang diterbitkan pada 17 Februari lalu dalam edisi talian Journal of Allergy and Clinical Immunology.

Serum vitamin D daripada sampel darah lebih 3,100 kanak-kanak dan remaja serta melalui program National Health and Nutrition Examination Survey (NHANES) yang diadakan untuk menilai status kesihatan dan nutrisi Amerika Syarikat.

Data yang dianalisis menunjukkan tiada kaitan antara paras vitamin D dan alergi dalam kalangan dewasa tetapi kanak-kanak dan remaja menunjukkan keadaan sensitif terhadap 11 daripada 17 alergen alam sekitar seperti rumpai, oak, bulu anjing dan lipas serta kekacang.

sumber: Kosmo!

Wednesday, May 11, 2011

Lenggong 2

Pemandangan di dalam Gua Gunung Runtuh (imej dari www.asiaexplorers.com)

Daerah kecil Lenggong terbentang dari utara, iaitu dari Kenering yang terletak 25 kilometer dari pekan Lenggong, sehingga ke Pulau Kemiri di selatan, yang juga terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Lenggong. Jarak sejauh 50 kilometer itu adalah mengikut jalan raya yang bengkang bengkok.

Lenggong juga dikelilingi oleh banjaran gunung yang indah pemandangannya. Sesekali kita dapat melihat kabus tebal menutup puncak banjarannya. Jika menaiki kereta dari Kuala Kangsar, satu-satunya jalan raya dari bahagian selatan, akan kelihatan Banjaran Gunung Bintang di sebelah kiri jalan.

Gunung Bintang merupakan puncak tertinggi di banjaran tersebut. Tinggi puncak gunung tersebut melebihi 1,860 meter. Di sebelah kanan, terdapat pula Banjaran Gunung Titiwangsa yang agak jauh ke timur letaknya. Dari banjaran ini mengalir Sungai Perak.

Kerana dilingkungi oleh banjaran gunung itulah daerah kecil ini dinamakan 'Lenggong', yang berasal daripada perkataan 'lengkung'. Lengkung bermakna kawasan yang dilingkungi banjaran gunung. Akhirnya perkataan itu disebut 'Lenggong' oleh orang luar, terutamanya orang Siam yang datang dari utara.

Terdapat juga cerita lisan yang menyatakan perkataan 'Lenggong' disebut oleh orang putih yang masuk ke daerah Lenggong pada zaman awal penjajahan Inggeris di Perak. Orang putih sukar menyebut 'lengkung'.

Kerana pelat, orang putih menyebut 'lengkung' sebagai 'Lenggong'. Inilah cerita tentang asal usul 'Lenggong'.

Ada satu cerita lain pula, kononnya terdapat kayu yang terselit di celah batang sebuah pokok besar.

Kedudukan batang kayu yang terpanggung itulah bermulanya perkataan 'lengkung', kemudian disebut 'Lenggong'. Sebagai mengingati perkara itu, satu replika kedudukan kayu itu dibuat di Taman Rekreasi Kg. Raban dekat Lenggong.

Di daerah kecil Lenggong ini terdapat ratusan kampung Melayu tradisional. Ada kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak. Ada pula di sepanjang jalan raya, bermula dari Kampung Pulau Kemiri di selatan hinggalah ke Kampung Sumputan di sebelah utara.

Beberapa buah kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak, seperti Kampung Bukit Sapi, Chepor, Kampung Beng, Kampung Luat dan Kampung Temelong.

Di sepanjang jalan raya, beberapa kampung yang mempunyai ramai penduduk ialah Kampung Chain, Kampung Kota Tampan, Kampung Changkat Berangan, Kampung Banggul Belimbing, Kampung Gelok, Kampung Sekolah Lama (atau disebut juga Kampung Masjid Lama), Kampung Kubang Jambu, Kampung Senerelai, Kampung Sira, Kampung Telok Batu, Kampung Labit, Kampung Kota, Kampung Bukit Nangka, Kampung Lohor, Kampung Tasik, Kampung Hulu Lenggong, Kampung Hulu Jepai, Kampung Sumpitan dan kampung-kampung lain.

Kampung Masjid mempunyai sejarah yang tersendiri. Di kampung inilah masjid pertama di daerah kecil Lenggong didirikan. Dikatakan masjid itu didirikan pada pertengahan abad ke-19 oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, di Selatan Thailand. Mereka datang ke kampung ini kerana berundur daripada serangan kerajaan Siam.

Kampung Masjid juga dikenali Kampung Sekolah, kerana di kampung inilah juga sekolah Melayu pertama didirikan, iaitu pada tahun 1880.

Ketika Inggeris mula-mula menjajah Perak, Kampung Masjid menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Lenggong. Sebab itulah Kampung Masjid Lama Lenggong dipilih bagi didirikan Sekolah Melayu pertama dan masjid pertama. Di kampung ini juga didirikan rumah kadi daerah Lenggong. Kadi Lenggong pada zaman Inggeris, Haji Hashim, pernah tinggal di rumah kadi yang terletak berhadapan Sekolah Melayu Lenggong. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Sufian Hashim, anak Haji Hashim, pernah tinggal di rumah tersebut semasa kecil.

Terdapat dua gunung kecil, iaitu gunung Tasik dan Gunung Gajah. Tidak jauh dari kedua-dua gunung itu, terdapat pula banjaran gunung yang bersambung dengan Banjaran Gunung Bintang.

Tidak jauh dari Gua Tasik, terdapat pula gua Gunung Runtuh. Padanya terdapat dinding batu yang sentiasa retak dan runtuh, lalu orang kampung menamakannya sebagai 'Gunung Runtuh'. Rangka Perak Man telah ditemui di sini oleh ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1991.

Agak jauh sedikit dari Gunung Tasik dan Gunung Gajah, ada beberapa buah gua yang bersejarah. Ahli-ahli sejarah dan kaji purba amat tertarik dengan Gua Gendang, Gua Badak, Gua Puteri, Gua Kajang, Gua harimau, Gua Ular, Gua Tukang dan puluhan gua lagi.

sumber asal: Artikel Lenggong Bandar Kecil Bersejarah tulisan N.A Halim, Utusan Malaysia 1 April 1998

Tuesday, May 10, 2011

Guru pembimbing generasi bangsa


Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan di samping berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan penguasaan diri dalam pelbagai bidang. Selain itu, ilmu pengetahuan juga merupakan kunci kepada kebahagiaan hidup manusia di dunia, kerana sekiranya kita hidup tanpa ilmu, kemungkinan kita pada hari ini masih lagi berada dalam kemunduran dan kemiskinan. Jelaslah kepada kita bahawa ketinggian ilmu pengetahuan merupakan ukuran yang sangat penting dalam membezakan antara kemajuan dan kemunduran bagi sesuatu bangsa dan negara.

Kerana itu, Allah SWT telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

"Dari Anas bin Malik r.a. dia berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim dan muslimat." - Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Apabila kita berbicara tentang ilmu dan pendidikan bererti sekaligus kita meletakkan para guru dan pendidik sebagai golongan yang amat penting sebagai agen pembangunan dan perubahan minda ummah.

Tugas seorang pendidik bukanlah satu tugas yang mudah dan bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Justeru itu, kerjaya sebagai seorang pendidik dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istimewa.

Lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, menuntut pengorbanan dan komitmen yang padu dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang, berwibawa dan sentiasa mendapat petunjuk serta keredhaan dari Allah SWT.

Kerana itu kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini baik guru yang terlibat secara langsung mendidik kita di sekolah mahupun di peringkat universiti dan tidak kurang penting juga kepada guru yang mengajar kita mengenal membaca ayat-ayat al-Quran, fardu ain dan sebagainya. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar mereka kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk mengamalkan kefarduan asas dalam Islam.

Sambutan Hari Guru yang disambut setiap tahun merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan serta komitmen warga pendidik dalam mengembeling tenaga membentuk anak-anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Pada hari ini kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku, tanggungjawab dan peranan pendidik sememangnya mencabar berbanding era sebelumnya. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.

Menyedari hakikat inilah maka pelbagai usaha dan program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan mutu dan kualiti pendidikan sentiasa berada di tahap yang terbaik selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang berilmu, bertamadun dan maju. Maka satu pendekatan baru diperkenalkan iaitu 'Mewujudkan Sekolah Bistari' yang menggabungkan sistem pendidikan bersepadu.

Justeru itu, peranan pendidik bukan sahaja mengajar subjek yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah tetapi mereka juga bertindak mendidik minda dan membina sahsiah pelajar. Kita sedar bahawa masa depan pelajar, masa depan bangsa dan negara adalah berkait rapat dengan corak didikan guru pada hari ini. Kerana itu, guru sebagai agen perubah minda adalah sangat dituntut agar menguasai pelbagai kemahiran demi mencapai wawasan negara khususnya dalam era revolusi maklumat dan teknologi masa kini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 109 :

"Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan".

Dari ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa ilmu itu sangat luas dan banyak yang perlu diterokai. Maka jalan terbaik untuk meluaskan penguasaan ilmu pengetahuan ialah dengan belajar dan menuntut ilmu secara berterusan.

Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sewajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Pelajar-pelajar hendaklah sentiasa menghormati para guru dan membalas budi guru dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh Islam diantaranya:
  1. Pelajar hendaklah mendahului memberi salam apabila bertemu dengan guru.
  2. Pelajar hendaklah menjaga maruah guru dan jangan sekali-kali cuba mencari kesilapan dan keaiban guru.
  3. Hendaklah bersikap sopan apabila bercakap dengan guru.
  4. Jangan membantah atau melawan arahan guru serta jangan menyakiti hati guru bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang dipelajari.

Berkat usaha dan pengorbanan para guru ini akan dapat melahirkan generasi ummah khususnya belia yang mantap dari segi akidah dan akhlak serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara di masa akan datang.

Sebenarnya generasi belia yang mendapat pendidikan dengan sempurna merupakan harapan kita semua kerana merekalah yang bakal menggantikan para pemimpin di masa akan datang. Kerana itulah Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi seorang pemikir Islam yang tersohor dan disegani pernah berkata bahwa generasi belia yang berilmu, berakhlak dan berhemah tinggi akan dapat membentuk sebuah negara yang maju serta aman makmur.

Menyedari hakikat ini, seharusnya peranan dan tanggungjawab pendidik serta belia terutamanya dalam menjana pembangunan negara perlu digerakkan. Kerana itu, kita selaku ibu bapa dan warga pendidik perlu menyedarkan golongan pelajar yang mencapai peringkat belia agar tidak menghabiskan masa dengan berfoya-foya dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dengan memberi penekanan bahawa golongan belia sepatutnya berperanan menyumbang idea dan tenaga kearah pembangunan modal insan untuk menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Generasi belia yang telah mendapat pendidikan tinggi pada hari ini perlu memperlengkapkan lagi diri mereka dengan berbagai persiapan merangkumi aspek rohani dan jasmani agar mereka tidak hilang jati diri serta sentiasa mendapat pertolongan dan keredaan dari Allah sepanjang masa. Adalah diharapkan apabila golongan pelajar ini keluar dalam masyarakat menjadikan diri mereka sebagai golongan belia yang bertaqwa, berakhlak mulia dan berupaya menyumbangkan jiwa dan raga kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU

sumber: e-khutbah JAKIM

Generasi belia ulul albab penyelamat negara


Belia adalah aset yang amat berharga. Merekalah tonggak kekuatan generasi serta pewaris kepimpinan masa depan negara. Menurut Kementerian Belia dan Sukan, golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur diantara 15 hingga 40 tahun. Pada masa ini golongan belia dianggarkan seramai 11.9 juta orang atau 41.5% daripada keseluruhan penduduk negara ini yang berjumlah seramai 28 juta orang (menurut statistik tahun 2010).

Berdasarkan peratusan yang besar ini dan selari dengan wawasan belia pemacu pembangunan satu ummah dan satu Malaysia, maka amat wajar golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia ulul albab. Secara umumnya generasi belia ulul albab adalah merujuk kepada belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya dari pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin agar orang lain juga berubah ke arah yang sedemikian. Persoalan besar timbul ialah bagaimana usaha untuk melahirkan generasi belia ulul albab ini?

Berdasarkan sejarah Islam, penglibatan pendakwah negara berjiwa besar memberi sumbangan sangat bererti dalam membentuk remaja dan belia ulul albab. Soalnya, siapakah sebenarnya pendakwah negara ini? Rasulullah SAW selain sebagai pemimpin umat, adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi.

Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri yang beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng” - (Hadis Riwayat Ahmad.)

Berdasarkan hadis ini, pemuda soleh adalah individu yang menerima amanah paling baik sehingga kelihatan coraknya pada akhlak mereka. Generasi pemuda soleh ini terus lahir seperti Khulafa' al-Rasyidin, pemimpin tentera, pemimpin kerajaan di zamannya juga bertindak sebagai pendakwah negara. Mereka berdakwah, mentarbiah dan temu-mesra dengan kumpulan sasar serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat khususnya para belia.

Sejarah juga telah merakamkan tentang kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan kepimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan kota Constantinople (Istanbul) tetapi gagal. Namun satu ketika tampil seorang anak muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Kerajaan Othmaniah Turki bangkit menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun baginda berjaya menawan semula kota Constantinople daripada Rom. Antara penyebab kejayaan tersebut ialah tertanamnya kekuatan bijak, pintar dan kreatif.

Kota tersebut menjadi laluan dan menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata keramat baginda kita melancarkan percubaan akhir pada hari ke-53 kepungan untuk menawan kota Constantinople ialah "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku". Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepimpinan pendakwah negara dimana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.

Jangan dibiarkan api mendekati minyak kerana ia akan menyemarakkan lagi api tersebut. Begitu juga dengan penyebaran budaya menyemarakkan gelojak nafsu dan syahwat. Lebih-lebih lagi pada era dunia tanpa batas dan teknologi media elektronik, internet atau CD/DVD yang sangat mudah diperolehi dan murah pula harganya. Ingatlah dan insaflah bahawa hawa nafsu dan syahwat merupakan ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi kepada golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa. Penglibatabn dengan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan penglibatan dalam gejala sosial lainnya adalah berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu.

Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan ia boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan Sabdanya:

“Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati” - (Hadis Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah).

Selain itu, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 13 dan 14:

“Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam Sabdanya:

"Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain." - (Hadis Riwayat Al-Tabarani)

Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi ulul albab inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk membentuk belia yang kreatif, pencetus dan pembina tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Marilah kita khususnya golongan belia memastikan kehidupan kita di dunia ini mendapat perlindungan Allah SWT. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mafhumnya:

"Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu :

  1. Pemimpin yang adil.
  2. Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT.
  3. Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu menitiskan air matanya.
  4. Orang yang hatinya bergantung kepada masjid.
  5. Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata.
  6. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah SWT.
  7. Orang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.

Firman Allah SWT:

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". - surah Al-Kahfi ayat 10)

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA

sumber: e-khutbah JAKIM

Doa ibu membawa ke syurga


Tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat serta menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:

"Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya". - (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Menurut maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya kerana segala pengorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu beserta sokongan dari si bapa.

Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan Sabda Nabi Muhammad SAW:

"Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."


Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.

Janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati ibu bapa. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga, bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.

Terdapat kes-kes yang mengecewakan sering berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau perbuatan mereka dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka ini perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan sari azab siksaan api neraka Allah SWT.

Bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Diantaranya, kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.

Persoalannya adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu kita? Adakah hanya sekadar bila tibanya Hari Raya atau Hari Ibu barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka amat kita kasihi ini ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka agar Allah SWT sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.

Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." - Surah al-Isra’ ayat 24

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU

sumber: e-khutbah JAKIM

Friday, May 6, 2011

Ops Piramid


Operasi menyelamat yang dikenali sebagai Ops Piramid merupakan satu misi tajaan kerajaan Malaysia yang melibatkan kos sebanyak RM30 juta.

Ops Piramid dilancarkan kerajaan pada 2 Februari 2011 bagi membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir untuk dibawa ke Jeddah dan kemudian ke Malaysia ekoran pergolakan di Mesir.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan sebanyak 18 penerbangan pergi dan balik dari Kaherah ke Jeddah dengan melibatkan 106 pegawai dan anggota dari Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), 33 dari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan sembilan dari pasukan tentera darat.

Seramai 7,392 pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di Mesir dipindahkan ke Jeddah di Arab Saudi dengan menaiki tiga pesawat C-130, bersama lima pesawat komersial iaitu tiga pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan dua pesawat AirAsia.

Seramai 4,645 pelajar dan rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air melalui Ops Piramid. Kumpulan terakhir 96 orang penuntut selamat tiba pada 11 Februari 2011.

PETRONAS telah membiayai RM2 juta dalam operasi ini.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah al-Saud telah membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz al-Saud telah membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan seberapa banyak pesawat Malaysia di Jeddah. Satu 'pertimbangan yang luar biasa' dari negara berkenaan kepada Malaysia.

Dicuplik dari majalah Mentari edisi Februari 2011

Thursday, May 5, 2011

Hernia

Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.


Penonjolan organ ini boleh berlaku ke dalam dan dikenali sebagai hernia internal atau penonjolan keluar, dikenali sebagai external hernia (dapat dilihat).

Mengenai sebab-sebab ia berlaku pula, ia dapat dibahagikan kepada sebab kecacatan lahir (kongenital) dan kecacatan yang diperolehi (acquired).

Abdomen ialah kawasan yang terletak di antara diafragma iaitu di sempadan bawah tulang rusuk dan tulang punggung.

Diafragma memisahkan ruang toraks dan abdomen.

Hernia internal boleh berlaku dalam abdomen itu sendiri atau melalui lubang dalam diafragma.

Manakala hernia external berlaku melalui kecacatan atau 'lubang' pada dinding abdomen sama ada di hadapan atau belakang. Hernia external biasanya dapat dilihat dan dirasai oleh pesakit.

Untuk kefahaman yang lebih mendalam perbincangan akan dilakukan di bawah tajuk hernia yang berkenaan.

Hernia Diafragma:

Biasanya hernia ini berlaku pada kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan kecacatan lahir. Terdapat lubang di diafragma dan usus sama ada usus kecil atau besar boleh masuk ke dalam ruang toraks dan menyebabkan kesesakan nafas.

Limpa juga boleh masuk ke dalam ruang toraks. Keadaan ini mudah dikenali selepas melihat gambar x-ray dada.

Keadaan ini juga boleh berlaku apabila diafragma terkoyak selepas kemalangan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam abdomen.

Rawatan pembedahan boleh mengatasi keadaan demikian dengan cara menutup lubang di diafragma tersebut.


Hernia 'Inguinal' Tidak Terus (Indirect Inguinal Hernia):

Pembengkakan boleh berlaku di pangkal kemaluan (groin) sama ada pada lelaki atau perempuan.

Bengkak disebabkan sama ada usus kecil, usus besar, sekum (caecum) atau pundi kencing telah masuk ke dalam terowong inguinal di mana terdapatnya salur air mani yang dikenali sebagai spermatic cord pada lelaki.

Pada wanita terowong inguinal hanya dipenuhi dengan ligamen lebar. Bengkak boleh merebak ke kerandut buah lelaki atau bibir kemaluan wanita. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Keadaan ini memerlukan rawatan segera kerana khuatir organ dalam akan tersekat dalam terowong inguinal dan menyebabkan kematian bahagian organ terlibat.

Melalui pembedahan, sarung hernia ditutup dan dinding belakang terowong diperkuat dengan menggunakan tali tangsi atau linen.


Hernia Terus (Direct Hernia):

Bengkak boleh berlaku di bahagian atas pangkal kemaluan disebabkan kelemahan pada dinding abdomen di kawasan segitiga.

Bengkak ini tidak menjalar ke kemaluan sebaliknya berada di atas kemaluan.

Penyakit ini berlaku pada orang dewasa dan disebabkan oleh penggunaan otot abdomen secara berlebihan.


Hernia Pangkal Paha (Hernia Femoral):

Bengkak di pangkal paha lebih kerap berlaku di kalangan wanita dan selalunya keadaan ini disalah tafsir sebagai pembengkakan kelenjar limpa.

Sebahagian dinding usus sama ada kecil atau besar boleh terlekat dalam terowong 'femoral' dan boleh menyebabkan kematian bahagian organ terlibat.

Keadaan ini memerlukan rawatan pembedahan segera kerana kebarangkalian usus terlepas sendiri adalah tipis sekali.


Hernia Pusat:

Bengkak boleh berlaku di parut bekas tali pusat atau di sekitarnya apabila usus atau omentum termasuk dalam lubang hernia tersebut.

Pusat akan nampak membonjol keluar dan kadangkala berwarna kebiruan.

Keadaan ini juga memerlukan rawatan secara pembedahan kerana dikhuatiri usus atau omentum akan terlekat di dalam hernia tersebut.


Hernia Epigastrik:

Hernia boleh terjadi akibat kegagalan percantuman tisu rektus di kawasan antara ulu hati dan pusat. Lubang yang terjadi boleh berupa lubang yang kecil sahaja ataupun besar.

Lubang ini akan memerangkap tisu lemak dan boleh menyebabkan kesakitan. Rawatan pembedahan adalah perlu untuk menutup lubang tersebut.


Hernia Insisional:

Hernia jenis ini terjadi selepas pesakit menjalani pembedahan sama ada pembedahan biasa atau pembedahan cesarian. Keadaan ini senang berlaku apabila menjalani aktiviti fizikal sebelum luka sembuh atau terdapatnya jangkitan kuman pada luka tersebut.

Pesakit akan mendapati parut bedah akan melebar dan menonjol terutama ketika mengangkat barang.

Jika hernia melibatkan seluruh parut bedah, 'lubang' hernia biasanya besar dan tidak berbahaya. Apabila 'lubang' hernia itu kecil dan dalam, kemungkinan usus terperangkap adalah tinggi.


Sakit Di Ulu Hati:

Salah satu sebab simptom 'gastrik' ialah berlakunya kemasukan sempadan esofagus dan perut ke dalam ruang toraks. Perut boleh masuk ke toraks secara menggulung (rolling hernia) atau menggelongsor (sliding hernia).

Apabila keadaan ini terjadi, asid hidroklorik dan perut akan terbebas ke dalam esofagus menyebabkan hakisan dan memberikan kesakitan seperti sakit gastritis (gastrik).


Penutup:

Budaya orang Melayu, apabila berlaku kesakitan hernia seperti dalam penerangan di atas, benda pertama yang selalu disebut ialah penyakit angin.

Bomoh akan cepat-cepat mengesahkan ini penyakit banyak angin.

Sebenarnya ini tidak betul dan keputusan yang demikian akan mendorong pesakit hernia untuk tidak mendapatkan rawatan dan menanggung kesakitan tersebut selamanya.

Oleh: DR. HASSAN MAT

Dari arkib Utusan Malaysia

Wednesday, May 4, 2011

Sunyi


Keunyian adalah perkara lumrah yang akan dialami oleh setiap insan di dunia.

Namun jika ia dibiarkan menguasai diri, ia mampu memberi kesan terhadap psikologi seseorang.

Perasaan sunyi biasanya melanda seseorang yang baru sahaja mengalami perpisahan sama ada berpindah ke tempat baharu, bertukar tempat kerja, anak-anak yang berhijrah ke tempat lain sama ada untuk belajar atau bekerja dan mereka yang terlibat dalam perceraian.

Kesunyian boleh diubati dengan cara mencari teman baharu ataupun mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti membaca, beriadah dan melancong.

Antara simptom-simptom mereka yang dilanda kesunyian:
  • Sering bercakap seorang diri
  • Selalu mengharap deringan telefon untuk diri sendiri
  • Tidak mempunyai kehidupan sosial, jarang bergaul dan melakukan aktivit-aktiviti luar
  • Sering keluar secara berseorangan

Individu dewasa paling banyak dilanda perasaan ini walapun hampir kesemua tahap umur merasakannya.

Kanak-kanak juga turut mengalami kesunyian jika ke sekolah seorang diri dan lebih teruk sekiranya bersekolah di tempat baru.

Sesetengah kanak-kanak belajar mengatasinya dengan bermain-main dan mendapatkan rakan baru. Tetapi ada juga antara mereka menjadikan binatang kesayangan sebagai teman berbicara.

Kesunyian pada tahap yang biasa tidak perlu dirisaukan, kerana ia dialami oleh semua orang, tetapi jika individu itu mengalami kesunyian yang teruk, sesuatu harus dilakukan untuk mengatasinya.

Ini kerana kesunyian selalunya diiringi dengan rasa teramat kecewa seterusnya boleh membawa kepada perbuatan yang tidak diingini seperti bunuh diri dan sebagainya.

Cara mengatasi:
  • Tambah bilangan kawan dari semasa ke semasa. Ini penting kerana ramai kawan akan membuatkan anda terasa hidup lebih bermakna.
  • Cipta minat baru seperti sertai mana-mana kelab, mengembara dan sebagainya sekali gus membolehkan anda berjumpa ramai orang.
  • Mereka yang bersara pula disarankan merancang persaraan dengan teliti kerana ketiadaan perancangan yang betul akan mengakibatkan masa banyak terbuang.
  • Sentiasa sibukkan diri dan jika mempunyai masa yang terluang, buatlah kerja-kerja kebajikan. Ini bukan sahaja elok tetapi juga boleh menambah rakan dan mengubati kesepian yang ada.

Bagi mereka yang mempunyai sifat malu, tidak mempunyai rakan serta sering rasa kecewa disarankan bertemu kaunselor untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tok Lalang

Papan tanda Kampung Luat (imej dari skluatperak.net)

Tok Lalang atau Seri Adika Raja ke-3 merupakan Orang Besar Delapan Perak pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah (Sultan Perak ke-3, 1577 - 1584).

Tok Lalang juga dikenali sebagai Tok Putih Berolak bin Tok Hilang Dipilih bin Tok Kelalang, iaitu keturunan Tun Saban, seorang pembesar yang mula-mula membuka Hulu Perak di zaman sebelum pemerintahan beraja.

Menurut sejarahnya, Tok Lalang adalah cicit kepada Puteri Merah anak Tun Saban yang diperisterikan oleh Sultan Muzaffar Syah (Sultan Perak Pertama 1528-1549).

Pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, Tok Lalang telah diberi kuasa mengutip cukai padi dan barang-barang hasil hutan seperti damar, cula badak, gading gajah, kayu gaharu yang terdapat di seluruh Hulu Perak. Hasil itu akan dibahagikan sama banyak.

Adik kepada Tok Lalang ialah Tok Sendalu atau Tok Sandarulu (mungkin berasal dari nama Sandar Halu, sebuah nama kampung di Kampung Luat) yang pernah dilantik menjadi Seri Andika Raja ke-4 sebagai pemerintah Hulu Perak.

Tok Lalang dan Tok Sendalu dimakamkan di Kampung Luat dalam daerah Lenggong di negeri Perak.

sumber: Utusan Malaysia

Pusat Rekreasi Intan Suraya

Pemandangan indah berhampiran Kem Intan Suraya (imej dari panoramio.com)

Pusat Rekreasi Intan Suraya yang terdapat di mukim Pulau Kemiri, Sungai Siput (U), Perak terletak di pinggir bukit, hutan serta di tepi Sungai Perak berhampiran Empangan Chenderoh.

Suasana dan lokasinya yang sesuai sudah tentu menjanjikan sebuah kawasan kedamaian, jauh dari hiruk-pikuk kota, juga merupakan tempat yang selesa untuk bersendirian mahupun bersama keluarga. Di Intan Suraya terdapat beberapa buah calet bagi memudahkan pelancong menginap, jika berhasrat menikmati keindahan kawasan semula jadi di situ.

Di samping dapat menikmati keindahan, di Intan Suraya anda juga dapat melakukan beberapa jenis sukan lasak mahupun sukan ringan. Bagi anda yang suka sukan lasak seperti berkeno, berakit atau berenang, pelbagai kelengkapan disediakan.

Buat peminat memancing ikan air tawar, anda boleh menghabiskan banyak masa di sini dan tidak akan merasa rugi atau pun bosan. Untuk sampai ke tempat ini jika dari Sungai Siput 25 kilometer sahaja dan jika dari bandar Kuala Kangsar cuma sejauh 35 kilometer.

Untuk maklumat lanjut tentang Kem Rekreasi Intan Suraya anda boleh melayari www.kemintansuraya.com

sumber: Utusan Malaysia

Tuesday, May 3, 2011

Buasir

Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.


Buasir seringkali berlaku kepada seseorang yang mengalami sembelit atau kesukaran membuang air besar.

Buasir terjadi akibat turunnya lapisan permukaan dalam (mukosa) liang dubur akibat daripada geseran najis yang keras.

Darah yang keluar berwarna merah terang dan adakalanya memancut.

Pendarahan dalam keadaan berterusan dan berlanjutan agak lama akan menyebabkan penghidapnya mengalami sindrom kekurangan darah (anemia), menjadi letih dan tidak bermaya. Muka juga akan menjadi pucat.

Pada peringkat pertama pesakit akan mengalami pendarahan selepas membuang air besar. Pada peringkat kedua pesakit akan mendapati dubur akan keluar. Walau bagaimanapun dubur akan masuk dengan sendiri selepas ia mengecut.

Di peringkat ketiga pesakit akan mendapati dubur yang keluar tidak mahu masuk kembali ke dalam badan tanpa ditolak dengan jari. Di ketiga-tiga peringkat, pendarahan adalah simptom utama.

Seandainya kesukaran membuang air besar berterusan, keadaan buasir akan menjadi lebih teruk sehingga menjadi bengkak, sakit, berkudis dan mengalami pendarahan dalam buasir tersebut.

Untuk merawat buasir, pesakt perlu menjaga pemakanan. Pesakit perlu mengamalkan memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat gentian yang secukupnya.

Untuk buasir peringkat kedua, buasir yang kembang itu perlu disuntik ubat atau diikat supaya saiznya kecil dan hapus.

Buasir di peringkat ketiga memerlukan pembedahan untuk membuang buasir dan memotong salur darah yang menjadi punca masalah.

Pesakit juga disaran menggunakan ubat suppositori untuk melembutkan najis.

Ada orang akan cuba melambatkan proses membuang air besar untuk menghindar rasa sakit. Tindakan tersebut akan memburukkan keadaan kerana najis akan menjadi lebih keras dan mengakibatkan kecederaan di dubur yang lebih teruk.

Buasir yang tidak dirawat akan merebak ke peringkat keempat. Buasir akan pecah selaputnya dan mudah mendapat jangkitan kuman.

Pendarahan dalam ketulan buasir boleh berlaku dan menyebabkan buasir menjadi lebih teruk.

Saluran darah di dalam ketulan buasir boleh tersumbat dan menyebabkan tisu di ketulan buasir mati.

Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan bisul berlaku di dubur. Bisul ini akan pecah dan kemungkinan akan meninggalkan lubang fistula di dubur.

Keretakan di dubur juga boleh berlaku sekiranya buasir tidak mendapat jagaan yang sepatutnya. Seandainya berlaku keretakan ia boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kuat apabila seseorang cuba membuang air besar.

Di dalam istilah perubatan, keretakan di dubur dikenali sebagai anal fissure. Meskipun keretakan yang berlaku amat sedikit namun kesakitan yang dialami adalah tidak berpadanan dengan keretakan itu. Keretakan boleh berlaku di bahagian belakang atau hadapan dubur.

Keretakan ini disebabkan oleh najis yang keras yang melalui dubur. Adakalanya ia juga akan mengeluarkan darah.

Pesakit boleh melihat sendiri keretakan di dubur ini dengan cara bertinggung di atas cermin.

Keretakan dubur juga boleh terjadi akibat penyakit radang usus seperti Crohn's Disease dan Ulcerative Colitis. Keretakan di dubur ini lazimnya menyerang golongan wanita berbanding lelaki, terutama sekali wabita yang mengandung.

Retak di dubur biasanya akan sembuh dalam masa dua atau tiga minggu.

Untuk mengatasi keadaan ini, jangan sekali-kali menunda untuk membuang air besar. Banyakkan memakan sayur-sayuran yang mempunyai banyak serat gentian kerana ia membantu membentuk najis yang lembut dan mengandungi banyak air.

Amalan memakan buah-buahan yang mengandungi banyak air juga salah satu cara untuk mengatasi masalah buasir. Buah-buahan hendaklah dimakan dalam keadaan segar.

Pesakit juga boleh mengambil julap untuk menjadikan najis lembut dan memudahkan proses membuang air besar. Pesakit juga boleh menyapukan ubat pelali di permukaan dubur yang retak.

Bagi pesakit yang mendapat anal fissure atau keretakan di dubur dalam jangkamasa yang lama, pembedahan adalah digalakkan.

Sebelum pembedahan dilakukan, pesakit hendaklah mengamalkan cara pemakanan yang baik dan sesuai untuk masalah keretakan di dubur supaya masalah yang sama tidak berulang selepas pembedahan dijalankan.

Rawatan pembedahan terbaik ialah dengan memotong otot yang mengawal permukaan dubur di sebelah tepi kiri atu kanan, dikenali sebagai lateral sphincterotomy.

Dengan memotong otot ini, kekemutan pada dubur akan berkurangan dan memberi masa yang cukup untuk keretakan itu melalui proses penyembuhan.

Sumber: Artikel asal Buasir punca dan rawatan tulisan Dr. Hassan Mat, Utusan Malaysia 6 Mac 1998.

Ketinggian akhlak asas keteguhan iman

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah SWT.

Kita tidak dibenarkan sama sekali untuk melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, perkara-perkara keji dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan atau larangan yang nyata.

Salah satu kunci kejayaan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan baik dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini.

Ummul Mu'minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya mengenai akhlak Baginda SAW, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya: "Akhlak Baginda adalah al-Quran". Gambaran ketinggian akhlak Baginda SAW juga dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi:

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia".

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahiyat. Dan ini adalah anugerah Allah SWT ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Keistimewaan yang tiada tarafnya menjadikan Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul.

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul SAW adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa. Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam al-Quran. Maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat.

Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam. Contohnya, kisah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ naik berang dan hendak memukul Badawi tadi. Bagaimanapun, tindakan mereka itu dihalang oleh Rasulullah SAW, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil. Kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan di tempat kencing tersebut. Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil? Maka jawab sahabat, seluruh kawasan itu akan terkena najis air kencingnya. Kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Suasana masyarakat pada hari ini berhadapan dengan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau ideologi yang tidak sihat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam Liberal, dan lebih dahsyat lagi pengaruh Black Metal dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam.

Anasir-anasir yang tidak sihat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang agama, meremehkan nasihat para ulama, mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat.

Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya.

Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam.

Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah.

Ini semua menandakan Islam sedang diuji dan ia merupakan satu peringatan kepada kita. Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad SAW. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran Baginda SAW sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah SAW khususnya sejarah kelahiran baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan yang tidak secara langsung kepada masyarakat terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi cyber dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang.

Eloklah kita menanam keazaman untuk mencontohi akhlak dan sirah perjalanan hidup Baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang.

Di antara akhlak Baginda Rasulullah SAW yang perlu dicontohi:
  1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui.
  2. Baginda sangat menghormati warga tua, mengasihani golongan muda dan kanak-kanak.
  3. Baginda bercakap dengan lemah-lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
  4. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan mereka.
  5. Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan.
  6. Baginda sangat berlemah-lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya.
  7. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.

Marilah kita bersama-sama mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan mengamalkannya. Kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati. Dalam masa yang sama, tanyalah diri kita sendiri, apakah dengan setiap kali meraikan sambutan Maulidur Rasul, roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah SAW telah kita hayati dan perjuangangkan? Atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama?

Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". - Al-Ahzab ayat 21.

sumber: E-Khutbah Jakim

Monday, May 2, 2011

Fakta-fakta kesihatan

Lapan jenis pekerjaan yang dikategorikan boleh mengganggu pernafasan iaitu pembinaan, kilang kain, pelayan bar (terdedah kepada asap rokok), pembuat roti (debunga gandum boleh menyebabkan asma), pengangkutan (terdedah kepada asap karbon monoksida), ahli bomba (terdedah kepada asap), kakitangan hospital (kerap menggunakan sarung tangan getah) dan industri automotif. Pekerja perlu memakai pelindung seperti topeng untuk menghindari dari terkena penyakit saluran pernafasan.

Penyelidik Universiti Standford mendapati dengan melihat dan merenung gambar pasangan tersayang, seseorang pesakit boleh mengurangkan rasa sakit. Perasaan yang hadir semasa pesakit melihat gambar orang tersayang merangsang rasa selesa dan menurunkan kadar kesakitan yang dialami.

68% tahap stres akan menurun sewaktu bercuti. Bercuti mampu merendahkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan ukur lilit pinggang. Tekanan darah juga akan menurun dan badan akan berasa lebih sihat dan cergas.

20 - 40 gram jumlah kandungan gula bersamaan dengan empat hingga lapan sudu teh bagi setiap 325 mililiter bungkusan atau tin minuman.

Duduk yang terlalu lama boleh melemahkan otot dan perut serta menyebabkan kekejangan pada bahagian pinggul. Lama-kelamaan boleh mengakibatkan sakit belakang. Berdiri pula boleh mengurangkan risiko serangan penyakit jantung sehingga 42 peratus. Tempoh paling ideal bagi setiap 15 minit anda duduk, anda perlu berdiri selama 45 minit.

Sekiranya seorang lelaki mengikat tali lehernya dengan ketat, ia boleh menyebabkan glaukoma yang mendorong seseorang itu menjadi buta. Pembuluh darah pada leher akan merangsang peningkatan tekanan pada bola mata sehingga boleh menjadi buta. Pastikan ikatan tali leher anda tidak terlalu ketat.

Sumber: majalah iSihat.