Pengikut dan Ex-smgrian

Sunday, May 15, 2011

Monsun


Cuaca di Malaysia dipengaruhi oleh dua monsun iaitu monsun barat daya (Mei hingga September) dan monsun timur laut (November hingga Mac).

Monsun timur laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Monsun barat daya secara relatifnya adalah lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai peralihan monsun.


ASAL NAMA MONSUN

Perkataan 'monsun' berasal daripada perkataan Arab 'mausim' yang bermaksud musim. Pedagang-pedagang kuno yang berulang-alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan perkataan ini bagi menjelaskan sistem silih ganti angin yang bertiup mantap dari arah timur laut semasa musim sejuk hemisfera utara. Sebaliknya, semasa musim panas hemisfera utara, angin yang bertiup adalah dari arah barat daya.


APAKAH YANG MENYEBABKAN MONSUN?

Monsun disebabkan oleh perbezaan suhu antara daratan dan lautan hasil pemanasan sinaran matahari. Semasa musim sejuk, daratan benua menyejuk dengan cepat menghasilkan suhu yang amat rendah di kawasan tengah Asia. Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi yang hebat (antisiklon) di Siberia. Udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.

Dari masa ke semasa, ledakan keluar udara sejuk yang kuat (luruan monsun) saling bertindak dengan sistem tekanan rendah (siklon) yang terbentuk berhampiran khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai Semenanjung Malaysia dan pantai barat Sarawak.

Pada musim panas, tenaga (haba) suria yang kuat meningkatkan suhu di daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa-tetap terbentuk. Angin lengas tenggara yang berasal dari selatan Lautan India dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila melepasi Khatulistiwa dan bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum memumpun ke arah Indochina, China dan Pasifik Barat Laut.


CIRI-CIRI MONSUN

Tempoh monsun timur laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama dengan letusan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di sepanjang pantai negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur dan barat Sarawak.

Monsun barat daya secara bandingannya adalah lebih kering di seluruh negara kecuali Sabah. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, lazimnya 100 - 150mm. Keadaan ini menandakan atmosfera yang stabil di kawasan Khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera.

Sabah secara relatifnya lebih lembab (melebihi 200mm) kerana kesan ekor taufan yang kerap melintasi Filipina dalam perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan persekitarannya.

Semasa tempoh peralihan monsun, angin bertiup perlahan dari pelbagai arah. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini akan membantu pembentukan ribut petir di sebelah petang. Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menyumbang kepada purata hujan bulanan maksimum kepada kedua-dua monsun peralihan.


NASIHAT DAN AMARAN CUACA

Jabatan Meteorologi Malaysia memantau dengan rapinya situasi perubahan cuaca bila keadaan memerlukan. Kategori nasihat dan amaran monsun adalah seperti berikut:
  • Nasihat Hujan Lebat - dikeluarkan apabila ada kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam.
  • Amaran Hujan Lebat - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan hujan lebat akan berlaku.
  • Nasihat Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila ada kemungkinan angin kencang dan laut bergelora di perairan Malaysia akan berlaku dalam masa 24 jam hingga 48 jam.
  • Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku.


SEBELUM MONSUN

Sentiasa dengar amaran cuaca melalui siaran radio dan televisyen.

Pastikan bekalan air dan makanan disimpan secukupnya.

Bersihkan longkang dan parit daripada tersumbat.


SEMASA MONSUN

Tinggal di tanah kukuh. Jauhi daripada longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.

Jangan memandu ke kawasan banjir. Jauhi daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.

Ikut arahan pihak berkuasa bencana alam.

Bersedia untuk berpindah jika diarahkan sekiranya anda tinggal di kawasan pantai, dekat sungai atau kawasan rendah.

Pastikan kenderaan ditempatkan di kawasan tinggi serta harta benda dilindungi daripada hilang dan musnah akibat banjir.

Elak penggunaan bot atau kapal kecil ke sungai dan laut.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia.

No comments: