Tuesday, September 15, 2009

Siapa anak yatim?

DEFINISI ANAK YATIM


Ulama telah mentakrifkan anak yatim sebagai:
“Apabila seorang kanak-kanak kematian bapanya sama ada lelaki atau perempuan yang belum baligh, maka mereka digelar yatim”.
Kebanyakan ulama berpendapat kanak-kanak yang kematian bapa sahaja yang digelar yatim. Ini kerana keperluan mereka kepada bapa di dalam menyediakan makan minum, tempat tinggal dan sebagainya ini merujuk kepada peranan dan tanggungjawab seorang ayah. Selain itu juga, istilah yatim piatu pula tidak ada dalam kamus Arab melainkan ia terdapat dalam kamus perbualan masyarakat Melayu.Panggilan serta kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak yatim ialah selagi mana mereka belum mencapai umur baligh. Ibn Ruslan pernah berkata:
“Apabila anak yatim itu sampai kepada umur baligh yang diketahui umum (umur pada adatnya baligh) maka tidak boleh lagi digelar dengan nama ‘yatim’”.

Keutamaan memelihara anak yatim

1. Menjadi teman Rasulullah SAW di syurga
2. Dihindarkan dari musibah
3. Menjadikan rezeki berkat dan bertambah
4. Diberikan jalan keluar dari permasalahannya
5. Dimudahkan urusan-urusannya
6. Menimbulkan sifat lemah lembut dan kasih sayang
7. Sebagai jalan menuju husnul khatimah

Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim. Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud:
Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu. (riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam syurga. Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara.Kelebihan ini diperoleh sama ada dengan melindungi anak yatim dengan hartanya atau pun dengan harta anak yatim yang ditinggalkan melalui pentadbiran dan pengurusan yang baik. Dalam sepotong athar daripada Abi Umamah berkata :
“Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim kerana Allah baginya pahala atas setiap helai rambut yang disentuhnya.”
Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.”

Harta Anak Yatim
Allah s.w.t. memberi amaran yang keras ke atas orang-orang yang merosakkan harta anak-anak yatim dengan mencampuradukkan harta mereka dengan harta anak yatim.Firman Allah yang bermaksud:
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar. (al-Nisa’: 2)

Dalam ayat-ayat yang lain Allah mengecam perbuatan memakan harta anak yatim tanpa hak. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka sedang memenuhkan perut mereka dengan memakan api neraka dan tempat kembali mereka ialah neraka. (al-Nisa’: 10)Maksud firman Allah lagi:Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. (Dhuha: 9-10) Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud:
Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (al-Israk: 34)

Apabila turun ayat ini sahabat yang di rumahnya ada anak yatim mula mengasingkan makanan mereka daripada makanan yang lebih baik bagi anak-anak yatim. Kadang-kadang makan yang diasingkan itu menjadi basi dan rosak. Maka turunlah ayat 220 surah al-Baqarah itu tadi.Anak-anak yatim adalah amanah Allah s.w.t., orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak.

Pahala besar jaga kebajikan anak yatimMengusahakan kebaikan-kebaikan untuk anak-anak yatim itu lebih baik daripada berasingan. Ini kerana tidak ada apa-apa kesalahan dalam percampuran dengan mereka selama percampuran itu mendatangkan kebaikan kepada mereka. Anak-anak yatim itu adalah sama seperti saudara-saudara kepada para penjaga mereka. Mereka adalah saudara seagama dalam Islam. Mereka adalah anggota-anggota dalam keluarga Islam yang besar dan Allah mengetahui sesiapa yang membuat kerosakan dan sesiapa yang membuat kebaikan. Yang menjadi asas pegangan bukannya tindakannya yang lahir, tetapi ialah niat dan hasilnya.Demikianlah segala urusan ini dihubungkan kepada Allah dan diikatkan pada paksinya yang kukuh di mana berlegarnya akidah dan hayat. Inilah kelebihan perundangan yang diasaskan di atas akidah. Oleh itu, jaminan pelaksanaan undang-undang selama-lamanya tidak datang dari luar andainya ia tidak tercetus dan bertunjang di dasar-dasar hati nurani.Firman Allah: Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); Apabila Allah mengizinkan manusia bercampur gaul dengan anak-anak yatim bagi tujuan memperbaiki dan menyelia urusan mereka, maka itu adalah dalil keharusan mengurus bagi pihak anak yatim sebagaimana mengurus bagi pihak anak yatim. Dalam athar ada disebutkan: Sebagaimana caranya engkau mendidik anakmu maka didiklah anak yatim dengan cara itu.

Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan: Adalah harus bagi pengasuh membelanjakan harta anak yatim sebagaimana wasi membelanjakannya dalam soal jual beli, pembahagian dan selainnya. Apabila seseorang mengambil tanggungjawab menjaga anak yatim, maka dia boleh menguruskan harta anak yatim itu. Sekalipun tidak dilantik oleh wali anak yatim itu. Ketahuilah bahawa tidak ditemui berita daripada mana-mana khalifah yang melantik seseorang untuk menjaga anak yatim, walaupun ramai anak yatim yang ada pada zaman mereka, tetapi mereka memperakui hak menjaga anak yatim itu apabila anak yatim itu tinggal dengan mereka.Diriwayatkan daripada Umar r.a. bahawa beliau berkata tentang seorang anak pungut:
“Dan merdeka, engkau boleh menjadi walinya dan kami bertanggungjawab membiayainya.”
Yang dimaksudkan dengan wali itu ialah wali bagi urusan penjagaan bukannya bagi urusan harta pusaka, seperti yang disangkakan oleh satu kumpulan.
Penutup
Surah Al Baqarah Ayat 177 : “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan , akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”.


Sumber :http://www.geocities.com/skpd1023