Tuesday, March 18, 2014

KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PENGGALAK PELANCONGAN MALAYSIA, SEMENANJUNG MALAYSIA



KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PENGGALAK PELANCONGAN MALAYSIA, SEMENANJUNG MALAYSIA

PENGENALAN
Malaysia merupakan salah sebuah destinasi pelancongan terbaik di dunia. Negara ini amat bertuah kerana mempunyai masyarakat yang pelbagai kaum tetapi masih boleh berkongsi budaya untuk hidup dalam satu negara dengan semangat 1 Malaysia. Di samping itu Malaysia juga dikurniakan dengan pelbagai jenis makanan yang lazat, gugusan pulau-pulau yang menarik dan tempat-tempat pelancongan yang bertaraf dunia. Buktinya saban tahun statistik ketibaan para pelancong ke Malaysia menunjukkan pergerakan yang positif. Badan yang diberi mandat memancu industri ini agar lebih maju ialah Lembaga Pelancongan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Tourism Malaysia. Sehingga ke hari ini, Tourism Malaysia terus menabur bakti dan ternyata masih berdiri teguh, kukuh serta terus didukungi oleh sekelian warga pekerja dari pelbagai generasi. Jika dilihat dari satu sudut interpretasi, ini pasti satu pencapaian yang berprestasi tinggi. Kejayaan demi kejayaan yang diukir oleh entiti ini sememangnya wajar mendapat pengiktirafan oleh semua pihak (Majalah Libur,2011). Warga kerja yang berkecimpung dalam industri pelancongan perlu dijaga hak dan kebajikan mereka sejajar dengan bakti yang ditabur kepada negara. Ironinya, masih terdapat sesetengah pihak yang tidak menjaga kebajikan para pekerja pusat-pusat pelancongan yang beroperasi khasnya di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu sebuah kesatuan sekerja telah ditubuhkan di bawah Ordinan Kesatuan Sekerja 1959. Kesatuan yang dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah ditubuhkan dan didaftarkan pada tahun 1999. Kewujudannya adalah untuk mewakili warga kerja dalam industri pelancongan di Semenanjung Malaysia. Objektif utamanya penubuhannya adalah untuk menjamin hak dan kebajikan para pekerja yang menjadi duta kecil negara dari kacamata para pelancong. Ianya adalah sejajar dengan pertambahan dan kepelbagaian bidang kerja ekoran dengan peningkatan bilangan pelancong yang datang ke Malaysia. Di mana peranan penting sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk menyelesaikan sebarang pertikaian atau konflik yang wujud dalam hubungan perindustrian di antara majikan dengan pekerja. Dengan kata lain, sesebuah kesatuan sekerja merupakan orang ketiga dalam konteks hubungan perusahaan dalam sesebuah organisasi.

DEFINISI KESATUAN SEKERJA
Menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967, kesatuan sekerja boleh ditakrifkan sebagai mana-mana kesatuan sekerja atau kesatuan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pendaftaran kesatuan sekerja. Oleh itu sesebuah kesatuan sekerja bukan sahaja milik para pekerja malah kesatuan kerja juga boleh dianggotai kesatuan majikan-majikan. Walau bagaimanapun, di negara kita pihak majikan tidak menggunapakai istilah kesatuan kerana ianya bercanggah atau bertentangan dengan peruntukan statut. Lantaran itu pihak majikan kebiasaanya menggunakan perkataan persatuan untuk kesatuan mereka.
SEJARAH PENUBUHAN
Seksyen 2 Ordinan Kesatuan Sekerja 1995 mentakrifkan kesatuan sekerja sebagai apa-apa pertubuhan atau gabungan pekerja-pekerja atau majikan-majikan yang berada di Malaysia Barat, Sabah dan Serawak. Di mana lokasi para pekerja di sesebuah organisasi mesti terletak  di Malaysia Barat, Sabah atau Serawak atau majikan-majikan yang mengambil para pekerja di Malaysia Barat, Sabah atau Serawak.
Manakala menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pula mendefinisikan kesatuan sekerja sebagai mana-mana kesatuan sekerja yang didaftarkan dengan pejabat Pendaftaran Kesatuan Sekerja, Jabatan Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia. Justeru sesebuah kesatuan sekerja boleh terdiri daripada kesatuan pekerja-pekerja di sesebuah organisasi atau sebuah kesatuan yang dianggotai oleh majikan-majikan ( ILBS, 2001).
Oleh yang demikian, sesebuah kesatuan sekerja di Malaysia dapat dikelasifikasikan kepada tiga (3) jenis utama yakni kesatuan sekerja sektor awam, kesatuan sekerja sektor swasta dan kesatuan sekerja majikan. Kesatuan sekerja sektor awam boleh dianggotai oleh kakitangan atau majikan yang berkhidmat di sektor kerajaan, badan berkanun dan kerajaan tempatan. Kakitangan yang bertugas di sektor awam hanya boleh menubuh dan menganggotai kesatuan dalam kementerian, jabatan atau bidang pekerjaan yang serupa. Contoh kesatuan sekerja di sektor kerajaan ialah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Manakala kesatuan sekerja sektor swasta merupakan sebuah kesatuan yang bersifat kebangsaan atau bersifat kesatuan dalaman. Kesatuan yang bercorak kebangsaan adalah mereka yang berada dalam tred[1] dan industri yang sama. Sebaliknya kesatuan dalaman ialah sebuah kesatuan yang terdiri daripada kakitangan yang bekerja di sesebuah organisasi. contohnya Kesatuan Sekerja Pengangkutan (TWU), Kesatuan Kebangsaanb Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Kesatuan Sekerja Pekerja Telekom (NUTE) dan lain-lain lagi.
Akhir sekali kesatuan majikan atau lebih dikenali sebagai peraturan. Akta Kesatuan Sekerja memberi hak yang sama terhadap majikan untuk menubuh dan menganggotai kesatuan sekerja majikan. Namun majikan tidak boleh menganggotai kesatuan sekerja pekerja dan begitulah sebaliknya, pekerja tidak boleh mengamggotai kesatuan sekerja yang anggotai oleh majikan atau kesatuan sekerja majikan (ILBS,2001). Contoh kesatuan majikan ialah The Malayan Agricultural Producer’s Association (MAFA).
Seterusnya berdasarkan kelasifikasi tersebut maka Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Pelancongan Malaysia di Semenanjung Malaysia merupakan sebuah kesatuan yang terletak di bawah kesatuan sekerja sektor swasta. Sebagai mana yang dijelaskan sebelum ini, kesatuan sekerja pekerja merupakan sebuah organisasi yang mewakili para pekerja dalam rangka kerja hubungan di antara pekerja dengan majikan. Peranan utama sesebuah kesatuan sekerja ialah untuk mewakili dan melindungi pekerja tanpa wujudnya diskriminasi serta memperjuangkan hak dan keperluan ahli-ahlinya. Ringkasnya, penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk menyelesaikan sebarang masalah pekerja dengan majikan jika berlaku konflik atau perselisihan yang boleh memudaratkan kepentingan kedua-dua pihak. Di mana kesatuan sekerja bertindak sebagai pernyataan terancang hak-hak utama para pekerja bagi mengatur diri mereka, melindungi dan memajukan kepentingan mereka melalui tindakan kolektif. Justeru, semakin ramai keanggotaan para pekerja dalam sesebuah kesatuan menjadikan kesatuan tersebut semakin kuat dan berpengaruh. Pepatah Melayu ada menyatakan “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Matlamat utama sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk memelihara hak dan kebajikan ahli-ahlinya disamping berperanan mewakili mereka sekiranya wujud sebarang tindakan perusahaan dalam perhubungan antara majikan dengan pekerja di sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah ekoran daripada terbentuknya suatu masalah atau pertikaian yang tidak dapat diselesaikan secara terus di antara majikan dengan para pekerja. Maka sebagai satu kaedah penyelesaian jangka panjang para pekerja telah bersepakat menubuhkan sebuah kesatuan sekerja sebagai wakil mereka untuk berunding dengan pihak pengurusan. Selain berurusan secara terus dengan pihak pengurusan sesebuah kesatuan sekerja juga berperanan untuk mengadakan perundingan dengan pihak kerajaan seandainya mereka berdepan dengan suatu isu yang memerlukan jawapan daripada mahkamah perusahaaan atau pihak kerajaan. Sekiranya konflik tersebut dibiarkan berlanjutan tanpa adanya tindakan daripada kesatuan sekerja atau organisasi tersebut tidak mempunyai kesatuan sekerja maka dibimbangi  isu tersebut menjadi semakin serius seperti satu wabak apabila ia mula dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan atau dihebahkan kepada masyarakat umum oleh media-media massa sama ada media elektronik atau media cetak. Masalah utama yang timbul dikalangan pekerja-pekerja sektor pelancongan ialah masalah tangga gaji mimimum, perlindungan insuran untuk pemandu-pemandu pelancong sama ada pemandu bot pelancongan atau pemandu pelancong bagi aktiviti lasak seperti meredah hutan, mendaki gunung, peminat hidupan liar, penyelam scuba dan sebagainya, mereka juga berdepan dengan sikap majikan yang mandang remeh atau mengambil sikap acuh tidak acuh aspek kesihatan dan keselamatan pekerja-pekerja di sektor pelancongan seperti mereka yang berkhidmat sebagai house kiping di hotel-hotel.
PENUBUHAN KESATUAN SEKERJA
Nama kesatuan: Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja  Lembaga Penggalak Pelancongan
  Malaysia.
Alamat                        : Aras 6, No.2, Menara 1 (KPK), Jalan P5/6, Persint 5, 62200 Puterajaya,
  Malaysia.
No Tel             : 02-8891 8000
Fax                  : 03-8891 8999
Email               : tm-union@gmail.com

OBJEKTIF
1.                  Melindungi kepentingan ahlinya.
2.                  Menjaga kebajikan para pekerja pusat-pusat pelancongan di Semenanjung Malaysia.
3.                  Mengawal selia perhubungan antara pekerja dan majikan mereka.
4.                  Memperjuangkan hak dan keadilan para pekerja pusat pelancongan
5.                  Mewakili pekerja dalam Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Buruh, dan sebagainya.
6.                  Menggalakkan atau mengatur apa-apa tindakan perusahaan yang sah, termasuk mogok atau piket di mana ianya tertakluk kepada peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

VISI
Matlamat Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia adalah untuk mewujudkan suasana kerja yang konduksif untuk keselesaan para pelancong dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajib dilawati oleh setiap pelancong.

KEAHLIAN
Pada peringkat awal penubuhannya keahlian Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia ini berjumlah 57 orang. Namun keahliannya semakin bertambah dari masa ke samasa. Contohnya pada tahun 2001 jumlah keanggotaan kesatuan ini adalah seramai 350 orang. Penubuhannya adalah untuk mewakili pekerja-pekerja pusat pelancongan dan penggalak pelancongan yang berada di Semenanjung Malaysia. Manakala pekerja-pekerja pusat pelancongan di Serawak dan Sabah pula tidak berada di dalam kesatuan ini kerana mereka tertakluk kepada akta kesatuan yang berbeza. Kesatuan sekerja ini diketuai seorang ketua dan diikuti oleh beberapa orang pegawai sepertimana carta organisasi kesatuan untuk pegawai-pegawai kesatuan sesi 2013-2015 (lampiran disertakan).

PENUBUHAN KESATUAN SEKERJA
Sesebuah kesatuan sekerja yang ditubuhkan perlu mendaftarkan penubuhan mereka  dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia, Malaysia. Oleh itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia di Semenanjung Malaysia juga mesti mendaftarkan penubuhan kesatuan mereka dengan jabatan yang sama dan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.
            Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh sesebuah kesatuan sekerja yang mahu mendaftarkan penubuhan mereka. Lima(5) syarat tersebut ialah permohonan mesti ditandatangani oleh sekurang-kurangnya tujuh ahli dalam kesatuan mereka, sesebuah kesatuan sekerja mesti menggunakan borang pendaftaran kesatuan yang telah ditetapkan dan perlu diserahkan bersama-sama yuran atau fi yang ditetapkan, sesalinan peraturan kesatuan yang dicetak dan ditandatangani oleh tujuh ahli tersebut perlu diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia,
Kesatuan sekerja pekerja-pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah ditubuhkan dan didaftarkan pada tahun 2000 . penubuhannya adalah berdasarkan peraturan Ordinan Kesatuan Sekerja 1959. Pada peringkat awalnya kesatuan mempunyai keahlian seramai 57 orang dan semakin bertambah dari masa ke semasa. dengan jumlah keahlian pada tahun berikutnya berjumlah 350 orang.

SEBAB-SEBAB PENUBUHAN
Sesuatu konflik dalam hubungan perusahaan boleh wujud pada bila-bila masa. Contohnya, konflik atau pertikaian dalam sesebuah industri terjadi disebabkan oleh silap komunikasi, sikap semulajadi manusia yang mempunyai kehendak yang tidak terbatas, sikap atau tindakan majikan yang memberi tekanan yang keterlaluan kepada para pekerja, pengabaian hak dan kebajikan pekerja oleh sesebuah majikan dan sebagainya. Pertikaian atau konflik di antara pekerja dengan majikan merupakan sesuatu yang lumrah dalam sesebuah organisasi.
            Pada umumnya terdapat tiga sebab utama penubuhan sesebuah kesatuan sekerja oleh pekerja. Pertamanya, adalah motif ekonomi seperti sesuatu isu yang melibatkan masalah gaji, pembayaran bonus dan juga elaun-elaun tertentu. Penyertaan pekerja di dalam sesebuah kesatuan sekerja juga adalah disebabkan mereka mahukan hak dan kebajikan mereka dilindungi. Umum mengetahui sesebuah kesatuan mesti ditubuhkan berdasarkan undang-undang tertentu maka sesebuah kesatuan itu sudah semestinyalah dilindungi oleh undang-undang yang berkaitan dengan penubuhannya. Rasional penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja ialah untuk mengelak diskriminasi majikan ke atas mereka, menghalang dari amalan-amalan yang tidak adil seperti bias, pilih kasih, membezakan gaji di antara pekerja kerana faktor agama, kaum, jantina dan sebagainya. Menurut Allen Flanders, sesebuah kesatuan bertindak sebagai “watch dog” bagi ahli-ahlinya daripada sebarang layanan yang tidak adil yang mereka terima daripada majikan mereka (Marilyn Aminuddin, 1990).
            Sebab ketiga penyertaan pekerja di dalam sesebuah kesatuan sekerja adalah atas sebab-sebab sosial. Sebagaimana yang kita sedia maklum manusia adalah haiwan sosial. Justeru, disebabkan keperluan sosial itulah para pekerja akan menyertai sesebuah kesatuan sekerja di dalam sesebuah organisasi yang mereka bekerja. Antara sebab-sebab sosial tersebut ialah pengaruh rakan-rakan sekerja, keinginan untuk berpesatuan, untuk status seperti mereka yang menjawat jawatan tinggi dalam sesebuah kesatuan akan dipandang tinggi oleh rakan-rakan sejawatan mereka.
            Sebagaimana penubuhan kesatuan sekerja lain, kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Pelancongan Malaysia juga berperanan untuk menjaga hak dan kebajikan ahli-ahli mereka. Dengan kata lain kesatuan sekerja ini bertindak sebagai wakil kepada ahli-ahli kesatuan untuk menyuarakan pendapat, cadangan dan juga bertindak sebagai peguam bela untuk terus membela nasib ahli mereka secara konsisten dan berdasarkan undang-undang yang betul.
Seniman agung negara P.Ramlee ada menyatakan menerusi bait-bait lagunya iaitu “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Situasi yang hampir sama berlaku dalam perhubungan pekerja dengan majikan di sesebuah organisasi. Dalam kesibukan mereka bekerja untuk mencapai matlamat syarikat, kewujudan suatu konflik atau perselisihan dalam perhubungan industri adalah sesuatu yang lumrah (Maimunah Amunudin, 1992). Terdapat sesetengah isu yang boleh diselesaikan dengan kadar segera dan ada juga isu yang tidak menemui jalan penyelesaian. Lantaran itu sebagai alternatif penyelesaian konflik di antara mereka maka sebuah kesatuan pekerja terpaksa diwujudkan. Kesatuan tersebut akan memberi kekuatan kepada para pekerja dalam proses perundingan tawar menawar dengan majikan mereka. Contohnya masalah kadar gaji yang tidak setimpal dan di bawah tahap gaji mimimum merupakan permasalah utama yang berlanjutan hingga ke hari ini.



HAK DAN TANGGUNGJAWAB MAJIKAN, PEKERJA DAN KESATUAN SEKERJA
Seterusnya seseorang pekerja, majikan dan juga kesatuan sekerja perlu memainkan peranan masing-masing dari aspek hak dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka semua. Menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967, tiada sesiapapun boleh campur tangan dengan memaksa, menghalang atau melarang seseorang pekerja atau majikan dalam menjalankan hak-hak mereka seperti hak untuk menubuh dan mengendali sesebuah kesatuan sekerja, hak untuk berkesatuan dan hak untuk meyertai sebarang aktiviti-aktiviti yang sah yang dianjurkan oleh kesatuan mereka. Justeru, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 tidak membenarkan sebarang bentuk campur tangan sama ada dalam bentuk kewangan, keanggotaan atau sebagainya oleh kesatuan majikan terhadap kesatuan sekerja pekerja-pekerja mereka dan sebaliknya kesatuan pekerja-pekerja juga ditegah untuk melakukan campur tangan ke atas kesatuan sekerja milik majikan mereka.

ISU DAN PERMASALAHAN YANG WUJUD DALAM HUBUNGAN INDUSTRI
Terdapat beberapa isu atau pertikaian di antara majikan dengan para pekerja di pusat-pusat pelancongan di Semenanjung Malaysia. Menurut Abdul Razak Omar & Zainal Ariffin Ahmad (1999) di antara masalah yang terdapat dalam perhubungan perusahaan di Malaysia ialah isu tangga gaji minimum, insuran berkelompok untuk pekerja yang terdedah dengan risiko tertentu, masalah gangguan seksual, kepekaan majikan terhadap sensitiviti agama, budaya dan adat resam masyarakat setempat, isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja dan sebagainya.
            Sebenarnya isu penentuan tangga gaji minimum merupakan suatu isu yang global di mana ia bukan sahaja terjadi di sektor industri pelancongan tetapi ia wujud di seluruh negara dan di setiap bidang pekerjaaan (Akhbar Utusan Online, 29.08.2013). Dalam bidang pelancongan, kebanyakan majikan meletakkan gaji minimum seseorang pekerja terutama bagi pekerja am di bawah tahap gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan ianya tidak sama di setiap majikan. Contohnya, gaji pekerja am di pusat-pusat pelancongan di Kelantan tidak sama dengan gaji yang di bayar oleh majikan untuk pekerja am di pusat-pusat pelancongan di Terengganu dan di negeri-negeri lain. Pelbagai rayuan telah dikemukan kepada pihak majikan masing-masing tetapi tidak diendahkan. Situasi ini menimbulkan perasaan tidak puas hati pekerja-pekerja. Oleh itu mereka telah bertindak untuk menubuhkan sebuah kesatuan sekerja yang akan bertindak menyuarakan pendapat mereka.
            Selain daripada isu pembayaran gaji minimum, pekerja-pekerja di pusat-pusat pelancongan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia juga berhadapan dengan masalah keenganan pihak majikan untuk melindungi pekerja-pekerja mereka yang terdedah dengan risiko ketika menjalankan rutin tugasan mereka. Di antara bentuk pekerjaan yang berisiko tinggi ialah pemandu bot pelancong, pemandu van pelancong, pemandu pelancong untuk aktiviti ekstrem atau lasak seperti mendaki gunung, meredah hutan, penyelam skuba dan sebagainya. Memikirkan dengan risiko yang bakal dihadapi dan minat mendalam terhadap pekerjaan mereka maka para pekerja pusat pelancongan telah sebulat suara membangkitkan isu tersebut kepada majikan mereka sekali lagi setelah suara mereka tidak didengari oleh majikan masing-masing. Dengan bergabung tenaga dan dengan bilangan mereka yang ramai maka mereka yakin suara mereka akan didengari apabila mereka menyertai Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia. Para pekerja yang sentiasa berdepan dengan risiko ketika menjalankan tugas merasakan sudah tiba masanya pihak majikan menjaga kebajikan mereka dengan mewujudkan satu insuran berkelompok khas bagi para pekerja yang terdedah dengan risiko kehilangan nyawa.
            Selain itu terdapat satu lagi masalah yang sudah lama berlaku tetapi disebabkan perasaan malu dan kerana bimbang dengan persepsi yang pelbagai daripada masyarakat luar dan rakan sejawatan maka mereka yang menjadi mangsa ini mengambil pendekatan untuk berdiam diri. Namun apabila isu seumpama ini telah diketengahkan oleh pihak kerajaan maka satu demi satu kejadian telah dibawa kemuka pengadilan. Masalah gangguan seksual yang menjadikan para pekerja hotel dan para pekerja pelancongan sebagai mangsa bukanlah suatu isu baru dan ianya bukan hanya menjadikan golongan hawa sebagai mangsanya tetapi terdapat juga dikalangan pekerja lelaki di industri pusat-pusat pelancongan yang telah menjadi mangsa ganguan seksual. Isu yang mengejutkan banyak pihak ini bukan hanya dikatakan dilakukan oleh para pelancong asing tetapi mereka juga mendakwa turut diperlakukan oleh pelancong tempatan dan oleh majikan mereka sendiri. Oleh yang demikian dengan penubuhan Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia yang beroperasi di Semenanjung Malaysia ini bertepatan dengan masa dan isunya. Harapan para pekerja adalah agar kesatuan tersebut mampu menangani masalah kritikal yang melanda mereka yang berkecimpung dalam industri pelancongan negara. Sekiranya mereka yang menjadi mangsa tidak menyertai kesatuan ini maka sudah tentu suara mereka tidak diendahkan oleh pihak majikan kerana suara mereka yang bergerak secara individu adalah kecil. Justeru mereka telah memilih untuk mejadi ahli kesatuan seupaya suara mereka dapat didengari, mereka yang menjadi mangsa juga tidak diperlekehkan dengan pelbagai cara dan mangsa juga tidak akan dimomokkan dengan bermacam-macam alasan (Akhbar Metro online, 2012).
            Masalah keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja juga tidak kurang pentingnya. Pekerja-pekerja pusat pelancongan terutamanya “house keeping” adalah terdedah secara langsung dengan penggunaan bahan kimia ketika menjalankan tugas harian. Bahan kimia yang terdapat dalam bahan-bahan yang mereka gunakan seharian sedikit sebanyak memberi kesan terhadap isu keselamatan dan kesihatan mereka (Kementerian Sumber Manusia, 2013). Isu keselamatan dan kesihatan ini juga terjadi kepada pemandu bot pelancongan, pemandu van pelancongan, dan pemandu pelancong yang terlibat dengan program aktiviti ekstrem. Isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja atau lebih dikenali sebagai OSHA ini sering kali diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
            Akhir sekali masalah yang sering berlaku ialah ketidakpekaan majikan terhadap sensitiviti agama, budaya dan adat resam masyarakat setempat. Majikan terutama dari kalangan warga asing kebiasaannya tidak mempedulikan masalah tersebut. Contohnya pengusaha pusat-pusat pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan sebagainya menyediakan minuman keras dan menganjurkan parti liar yang mengganggu bukan hanya masyarakat setempat tetapi dikalangan pekerja mereka sendiri. Isu terbaru ialah terdapat majikan di sebuah pusat pelancongan di Johor telah menjadikan surau untuk penganut agama Islam sebagai tempat penyebaran dan tempat ibadat agama Budha (Sinarharian,14 Ogos 2013).              
           
BENTUK-BENTUK PENYELESAIAN YANG DILAKSANAKAN
Rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang amat sukakan kedamaian dan menolak sebarang bentuk amalan kekerasan. Malah kemerdekaan negara juga adalah hasil daripada proses rundingan dan bukanlah daripada peperangan atau sebarang bentuk pertumpahan darah. Oleh yang demikian, para pekerja telah mengadakan beberapa siri proses rundingan dengan majikan mereka berhubung dengan masalah dan konflik yang melanda mereka.
            Proses rundingan dipilih kerana para pekerja merasakan mereka perlu menghormati majikan mereka. Di samping itu ketiadaan tokoh-tokoh yang berwibawa dan berpengaruh di kalangan para pekerja di sesebuah pusat pelancongan juga menyebabkan mereka memilih kaedah rundingan untuk menyelesaikan masalah dalam hubungan perusahaan dengan majikan mereka. Sebagaimana penubuhan kesatuan sekerja lain, kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Pelancongan Malaysia juga berperanan untuk menjaga hak dan kebajikan ahli-ahli mereka. Dengan kata lain kesatuan sekerja ini bertindak sebagai wakil kepada ahli-ahli kesatuan untuk menyuarakan pendapat, cadangan dan juga bertindak sebagai peguam bela untuk terus membela nasib ahli mereka secara konsisten dan berdasarkan undang-undang yang betul.

SEJAUHMANA KEJAYAAN RUNDINGAN
Walau bagaimanapun, disebabkan suara para pekerja yang sedikit maka proses rundingan dan tuntutan mereka itu gagal. Majikan telah memanipulasi para pekerja mereka dengan pelbagai momokan sehingga mempengaruhi tuntutan mereka. ketiadaan pengaruh dan kredibiliti di kalangan para pekerja juga menjadi peyumbang kegagalan proses rundingan mereka dengan pihak majikan.

KESAN DARI KEGAGALAN RUNDINGAN
Ekoran daripada kegagalan tersebut dan bentuk masalah yang hampir sama di kalangan pekerja-pekerja pusat pelancongan di Semenanjung Malaysia telah mendorong para pekerja untuk menubuhkan kesatuan sekerja agar suara mereka didengari oleh pihak majikan. Justeru pada tahun 1999 Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan telah ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib ahli-ahli mereka dan para pekerja pusat pelancongan secara umumnya.
Tindakan awal pihak kesatuan adalah mengadakan rundingan dengan majikan. Dan sekiranya proses rundingan tersebut juga menemui kegagalan maka beberapa tindakan perusahaan boleh dilakukan terhadap pihak majikan sejajar dengan peruntukan undang-undang yang sah. Di antara tindakan perusahan yang menjadi pilihan utama kesatuan sekerja ialah untuk mengadakan piket. Seksyen 40 Akta Perhubungan Perusahaan memberi keizinan kepada para pekerja  melancarkan piket di tempat kerja atau di kawasan yang berhampiran dengan tempat kerja dengan syarat ia dilakukan secara aman.
Objektif utama piket ialah untuk memberi maklumat kepada masyarakat umum dan pihak majikan khasnya tentang konflik yang sedang melanda mereka. Ia juga adalah satu kaedah untuk meraih simpati masyarakat umum di samping menarik sokongan daripada para pekerja lain. Interpretasi pekerja daripada tindakan piket ini ialah ia akan memalukan majikan. Oleh itu pihak majikan lazimnya akan menyetujui untuk diadakan proses rundingan seterusnya untuk menyelesaikan masalah di kalangan mereka.
Namun, sekiranya tindakan piket tidak diendahkan oleh pihak majikan maka Akta Perhubungan Perusahaan 1967 membenarkan ahli-ahli kesatuan untuk melancarkan tindakan yang lebih keras iaitu mogok. Tindakan perusahaan ini bermaksud memberhentikan kerja secara keseluruhannya dengan hasrat untuk menghadkan atau melambatkan proses produktiviti. Walau bagaimanapun, tindakan mogok tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, ianya perlulah mengikut garis panduan mogok sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja.
Sekiranya kedua-dua tindakan perusahaan tersebut juga gagal maka sebagai langkah terakhir pihak kesatuan sekerja boleh mengfailkan tuntutan mereka ke Mahkamah perusahaan.

KESIMPULAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan, kepelbagaian kaum, agama dan adat resam. Malah Malaysia cukup bertuah kerana terletak digarisan khatulistiwa menyebabkan negara kita diselimuti dengan pelbagai fauna dan flora yang sesetengahnya amat jarang dijumpai di dunia. Di sebabkan faktor tersebut dan dengan pelbagai kemudahan infrastruktur serta prasarana menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajib untuk dilawati oleh pelancong asing. Namun pihak majikan dan para pekerja juga perlu mengambil ikhtibar dan pedoman untuk tidak mencacatkan keindahan negara kita dari kaca mata pelancong dengan pelbagai masalah. Justeru dengan adanya Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia ini adalah diharapkan ianya dapat memain peranan dengan sebaik mungkin dalam menyelesaikan masalah dan kemelut yang melandan majikan dan ahli-ahli mereka. Dengan adanya kesatuan sekerja ini proses transformasi pelancongan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya dan slogan keramat “pelancong didahulukan, pencapaian diutamakan” dapat direalisasikan.





Bibliografi

Abdul Razak Omar,& Zainal Ariffin Ahmad.(1999). Perhubungan Industri di Malaysia. Kota
Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

ILBS. (2001). Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kuala Lumpur: International Law Book
Services.

ILBS. (2001). Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) & Peraturan-Peraturan. Kuala Lumpur:
International Law Book Services.

Maimunah Aminudin. (1992). Human resource management. Kuala Lumpur: Fajar Bakti

Mariln Aminuddin. (1990). Malaysian industrial relations. Singapore: McGraw-Hill

Laman Sesawan
Akhbar myMetro online,2012 capaian pada 28.10.2013 di http://www.hmetro.com.my

Akhbar sinarharian online, 14 Ogos 2013 capaian pada 28.10.2013 di http://www.sinarharian.com.my

Akhbar utusan online, 20.08.2013 capaian pada 28.10.2013 di http://www.utusan.com.my

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia, capaian pada
28.10.2013 di http://www.dosh.gov.my






[1] Tred merujuk kepada bidang sesebuah entiti.

1 comment:

  1. Boleh tak saya nak tahu apakah kejayaan yang telah dikecapi oleh kesatuan ini?

    ReplyDelete