Sunday, April 13, 2014

BINCANGKAN EMPAT (4) KELEMAHAN BERSERTA LANGKAH MENGATASI KELEMAHAN-KELEMAHAN BADAN KORPORAT AWAM (TENAGA NASIONAL BERHAD) DISEBABKAN TERDAPAT KAWALAN OLEH KERAJAAN.

BINCANGKAN EMPAT (4) KELEMAHAN BERSERTA LANGKAH MENGATASI KELEMAHAN-KELEMAHAN BADAN KORPORAT AWAM (TENAGA NASIONAL BERHAD) DISEBABKAN TERDAPAT KAWALAN OLEH KERAJAAN. PENDAHULUAN Korporat sering dikaitkan dengan imej yang hebat seperti seseorang yang berjaya dalam dunia perniagaan, memiliki harta yang banyak, seorang ahli perniagaan yang terkenal dan sebagainya. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) digubal untuk melahirkan lebih ramai golongan korporat di kalangan masyarakat Melayu atau Bumiputera dalam pelbagai bidang. Ianya berpunca daripada Peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Justeru, pelbagai dasar telah digubal untuk mengelak peristiwa yang sama dari berulang (Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin, 2004). Antaranya ialah Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Implikasi dari dua dasar tersebut menyaksikan pada hari ini kebanyakan mereka yang berada dalam Gorvement Link Coorperation atau GLC mendominasi peluang-peluang ekonomi di Malaysia. Ianya lahir dari teras budaya saing melalui perkongsian, usahasama dengan syarat-syarat swasta menerusi konsep Pensyarikatan Malaysia dan Dasar Penswastaan negara. Tenaga Nasional Berhad atau lebih senonim dengan panggilan TNB merupakan salah satu daripada produk yang berjaya diwujudkan melalui dua dasar tersebut. Penswastaan TNB atau sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Lekterik Negara (LLN) pada tanggal 1 September 1990 sewajarnya akan terus berdaya saing, dan mengalami peningkatan pencapaian, kecekapan dan produktiviti. Ironinya keadaan sebaliknya telah menimpa TNB. Justeru pelbagai langkah telah dan bakal dilaksanakan untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan TNB selaku peneraju agensi pembekal tenaga elekterik negara. DEFINISI BADAN KORPORAT AWAM Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), pengkorporatan ditakrifkan sebagai proses mengkorporatkan sesebuah organisasi atau menukar sesebuah agensi kerajaan menjadi perbadanan atau syarikat. Badan korporat lazimnya terletak di bawah Akta Syarikat 1965. Misi dan visi sesebuah badan korporat akan lebih jelas kerana ianya bersendikan kecekapan, keberkesanan, produktiviti yang tinggi, bermatlamat keuntungan, agresif, berorientasikan pelanggan, pengurusan yang cekap dan sebagainya untuk terus kekal bersaing dalam pasaran tempatan dan global. Pelaksanaan pengkorporatan dan penswastaan di Malaysia dibuat secara serentak. Penswastaan bermaksud memindahkan perkhidmatan dan fungsi daripada sektor awam kepada sektor swasta. Manakala pengkorporatan pula melibatkan pemindahan aset, tanggungjawab, hak dan obligasi sesuatu badan berkanun kepada sesebuah organisasi yang diwujudkan di bawah Akta Syarikat 1965, tetapi masih dimiliki oleh pihak kerajaan. SEJARAH PENUBUHAN BADAN KORPORAT AWAM Sejarah penswastaan atau pengkorporatan agensi awam di Malaysia bermula apabila Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu telah mengumumkan Dasar Penswastaan negara dalam bulan Mac 1983. Penswastaan dalam istilah yang lebih luas bererti mengurangan peranan langsung kerajaan dalam agensi awam kepada sektor swasta. Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya di suatu persidangan mengenai Industri Sekuriti di Malaysia pada 28 April 1984 menekankan; “…kerajaan-kerajaan di kebanyakan tempat di dunia memang menghadapi ketidakcekapan apabila menguruskan perusahaan-perusahaan, sekalipun dibantu dengan monopoli dan kuasa kerajaan. Di satu keadaan yang lain, sektor swasta lebih bermotivasi dan umumnya lebih cekap. Adalah diharapkan bahawa penswastaan akan dapat memperbaiki perkidmatan-perkhidmatan prestasi umum dan ekonomi, yang memberi kesan pertumbuhan negara keseluruhannya dengan yang lebih cepat…” (Ahmad Atory Hussain,1998). TUJUAN DASAR PENSWASTAAN. Secara ringkasnya, terdapat lima (5) sebab utama sesuatu dasar penswastaan diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak sebagai Perdana Menteri Malaysia iaitu pada tahun 1983. Tujuan yang dimaksudkan ialah untuk mengurangkan beban kerajaan daripada aspek kewangan dan pentadbiran, penambahbaikan kecekapan dan produktiviti, mengurangkan saiz kehadiran sektor awam dalam ekonomi negara, meluaskan peluang-peluang ekonomi bagi membantu golongan Bumiputera sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru dan untuk membantu dalam aspek pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya. Penswastaan ini dilaksanakan ekoran daripada dasar liberalisasi dan penyahkawalseliaan diperingkat antarabangsa. Malah sektor awam di Malaysia sudah menjadi terlalu besar. Contohnya penghujung tahun 1999 sejumlah 457 agensi kerajaan telah berjaya diswastakan. TENAGA NASIONAL BERHAD (TNB). Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau lebih dikenali sebagai Lembaga Lektrik Negara (LLN) sebelum 1992 merupakan sebuah entiti kerajaan yang memonopoli penjanaan tenaga elektrik negara. Menurut TNB History, LLN merupakan satu entiti yang berjaya dan sentiasa mencatat keuntungan dengan pengurusan berkaliber. Sebelum 1992, LLN mampu menurunkan tarif kepada pengguna mereka. Bank Dunia pernah memujinya dengan mengiktirafkannya sebagai sebuah entiti yang ditadbir dengan baik, sihat dari segi kewangan dengan dasar menentukan harga yang sesuai dan autonomi yang mencukupi (Oxford Business Group Malaysia, 2008). Pengkoporatan Lembaga Lektrik Negara (LLN) menyaksikan berlaku penjenamaan baru apabila nama LLN ditukar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangaan. Latar belakang TNB Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan syarikat utiliti terbesar di Malaysia dengan aset perniagaannya hampir RM71.4 billion. Syarikat ini mempunyai kira-kira 29,149 warga kerja (kumpulan) dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 7.6 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan. TNB juga disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia (www.tnb.com.my). Malah TNB merupakan syarikat tunggal di negara ini yang diberi mandat secara rasmi oleh kerajaan untuk mengurus tadbir semua aspek yang berhubungkait dengan penjanaan sumber tenaga, penyediaan peralatan yang berkaitan seperti tiang lampu, kabel-kabel elektrik untuk perbagai sumber, dan mengurus serta mentadbir elemen-elemen manusia seperti soal pengrekrutan, latihan kemahiran, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan seseorang kakitangan. Peranan TNB Perniagaannya terasnya ialah menjana, menghantar dan membahagi tenaga elektrik ke seluruh Malaysia. Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga adalah pengendali Grid Nasional , iaitu talian penghantar elektrik ke seluruh negara. Rangkaian grid ini menghubungkan stesen-stesen jana elektrik TNB dan Penjana Bebas (IPP) dengan rangkaian sistem pembahagian. Grid ini juga disambungkan dengan stesen penghantaran Thailand di utara dan stesen penghantaran Singapura di selatan. Rangkaian pembahagian TNB pula diuruskan menerusi satu sistem yang komprehensif serta pusat-pusat perkhidmatan pelanggan dan pusat-pusat pengurusan panggilan. Talian yang dimaksudkan terdiri dari talian 132 KV, 275 KV dan 500 KV. Selain itu, TNB melalui anak syarikatnya juga terlibat dalam pembuatan alat pembolehubah, alat suis voltan tinggi dan kabel, sebagai pakar runding di dalam bidang seni bina, awam dan elektrik, menyelenggara dan membaiki peralatan elektrik dan sebagai pakar pengurusan projek. TNB juga menjadi peneraju dalam mengendali universiti swasta mereka sendiri iaitu Universiti Tenaga Nasional (www.tnb.com.my). Keupayaan penjanaan TNB mempunyai keupayaan menjana elektrik sebanyak 11,296 MW dengan menggunakan kemudahan logi hidroelektrik dan logi terma. Logi hidroelektrik Logi hidroelektrik merupakan empangan yang dibina di dalam tasik ataupun sungai dengan menggunakan kekuatan aliran air bagi menjana tenaga elektrik. Terdapat tiga (3) skim hidroelektrik dengan keupayaan sejumlah 1,1911 MW menerusi 21 buah empangan yang beroperasi di beberapa negeri. Skim hidroelektrik Sungai Perak dengan keupayaan 1,249 MW. Di mana tenaga elektrik dijana melalui 7 buah empangan iaitu Empangan Pergau, Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering, Empangan Sungai Piah Hulu, Empangan Sungai Piah Hilir dan Empangan Chenderoh. Skim hidroelektrik tunggal di negeri Terengganu pula terletak Tasik Kenyir. Empangan Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu ini mampu menjana 400 MW. Ia merupakan empangan terbesar di Malaysia yang dibina di atas Tasik Kenyir iaitu tasik buatan manusia. Seterusnya stesen hidroelektrik di Pahang pula dijana oleh 7 buah empangan yang terdapat di Cameron Highlands. Empangan yang dimaksudkan ialah Empangan Woh, Empangan Sultan Yussuf, Empangan Odak, Empangan Habu, Empangan Kampung Raja, Empangan Terla dan Empangan Robinson Falls atau kini dikenali sebagai Empangan Lata Iskandar. Logi Terma Terdapat enam (6) buah logi terma atau logi bakar dengan keupayaan menjana tenaga elektrik berjumlah 4,435 MW dan beberapa logi bakar yang dikendalikan oleh syarikat jana bebas (IPP). Antaranya ialah logi Paka, Paka, Terengganu, Logi Connaught Bridge di Kelang, Selangor, Logi Port Dickson, Negeri Sembilan, Logi Pasir Gudang, Johor, Logi Serdang, Selangor, Logi Teluk Ewa di daerah Gelugor, Pulau Pinang, Logi Manjung, Perak, Logi Kapar di kelang, Selangor dan Logi Liberty Power. Logi-logi terma ini beroperasi melalui kaedah pembakaran bahan api seperti gas asli, minyak dan arang batu. Malamat dan visi TNB Misi TNB ialah untuk sentiasa beriltizam bagi mencapai kecemerlangan dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Manakala visi korporat TNB pula ialah untuk menjadi di antara badan korporat yang terunggul di dunia dalam bisnes tenaga dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Tarikh pengswastaan Kemampanan ekonomi pada penghujung 1980an, turut memberi kesan kepada TNB. Syarikat tenaga negara telah menghantar permohonan untuk meningkatkan kapasiti penjanaanya. Justifikasi permohonan TNB ialah berlaku permintaan tinggi untuk bekalan tenaga elektrik di seluruh negeri tanpa kapasiti menjana yang sepadan. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan pada masa itu telah menolak rancangan Tenaga Nasional Berhad. Natijahnya, berlaku satu situasi power blackout selama 48 jam di seluruh Semenanjung Malaysia pada 29 September 1992 yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada negara. Bertitik tolak daripada kejadian tersebut kerajaan telah mengambil pendekatan menswastakan industri tenaga negara pada tahun 1992, kerajaan memulakan penswastaan TNB dengan menjual 22% saham TNB di KLSE (www.tnb.com.my). Analisa selepas pengswastaan Kajian menunjukkan bahawa 20 tahun selepas penswastaan TNB, kerajaan gagal mencapai ketiga-tiga tujuan utama dasar penswastaan. Pihak kerajaan sendiri mengaku bahawa penswastaan penjanaan tenaga tidak begitu berjaya seperti yang dirancang. “…our past experience in privatizing power generation has not resulted in optimal result…” (CEO, 1 Malaysia Development Berhad). Syarikat 1 Malaysia Development Berhad merupakan syarikat milik kerajaan yang telah membeli aset tenaga Ananda Krishnan pada Mac 2012. Justeru, rasional penswastaan TNB merupakan suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan memandangkan ia adalah satu perusahaan milik kerajaan yang cukup berjaya dan sentiasa mencatat keuntungan. Ia bertentangan dengan dasar penswastaan negara sebenar di mana syarikat-syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian (unprofitable) sahaja yang akan diswastakan (Jack W. Plunkett, 2009). EMPAT (4) KELEMAHAN TNB Sukar untuk diterima bagaimana sebuah syarikat tunggal yang tiada saingan dalam menguruskan urusan elektrik negara boleh mengalami kerugian yang dasyat. Kerugian RM1 billion bukanlah satu kerugian yang sedikit dan sudah tentu ia menimbulkan keraguan tentang bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Ketenatan kewangan TNB menyaksikan ia terpaksa menanggung kerugian untuk menjalankan operasinya. Masyarakat umum melihat situasi ini sebagai satu keadaan yang amat mendukacitakan. Pelbagai cerita mula dibongkarkan yang menunjukkan entiti milik kerajaan (GLC) ini sudah tidak diuruskan dengan cekap. Di antara kelemahan yang terdapat dalam TNB ialah; Pengkorporatan mengakibatkan kenaikan tarif kepada pengguna. Kadar tarif merupakan suatu bayaran yang dikenakan oleh TNB kepada pengguna dalam kadar tertentu. Ironinya kebelakangan ini pengguna tenaga elektrik sering disajikan dengan tuntutan pihak TNB dan pihak kerajaan untuk menaikkan kadar tarif dengan alasan pihak TNB terpaksa menanggung kos yang banyak untuk menyediakan tenaga elektrik kepada pengguna ekoran kenaikan harga bahan mentah di pasaran. Cadangan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh agar amalan menaikkan kadar tarif setiap tiga hingga empat tahun dengan melibatkan pertambahan kadar antara tiga hingga empat peratus dapat dilaksanakan kerana ianya telah terbukti keberkesanannya di negara-negara maju (www.tnb.com.my). Kesannya pada hari ini terdapat juga kadar tarif yang dinaikkan secara senyap oleh pihak TNB. Situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana TNB merupakan sebuah entiti yang memonopoli penjanaan tenaga elektrik negara. TNB sepatutnya mampu menurunkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar tarif yang sedia ada walaupun terdapat kenaikan bahan mentah di pasaran memandangkan TNB merupakan sebuah syarikat GLC yang besar dan memonopoli industri tenaga elektrik negara. Lantaran itu sudah tentu TNB mampu menentukan kadar tarif dengan satu kadar yang lebih berpatutan. Kenaikan kadar tarif ini sebenarnya berpunca daripada beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh pihak TNB ekoran perbelanjaan berlebihan dalam aspek yang berhubung kait dengan IPP. Manakala pihak kerajaan tidak sepatutnya terus menyokong tanpa melakukan sesuatu kerana sebarang kenaikan tarif sudah semestinya akan membebankan rakyat dan menjadi penyebab kepada kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan lain. Penurunan kadar keuntungan bersih TNB. Penswastaan TNB secara tidak langsung telah memberi lesen menjana kuasa kepada syarikat-syarikat swasta lain. Daripada permulaan sehingga kini, kerajaan menjadi pemilik saham majoriti di TNB. Pada tahun 2011, 25% syer TNB dipegang oleh syarikat swasta manakala 75% dipegang oleh GLC dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Khazanah, KWSP, Amanah Saham dan lain-lain. Walau bagaimanapun, aspek penswastaan yang amat signifikan adalah penawaran lesen menjana kuasa elektrik kepada syarikat-syarikat IPP swasta yang diberi kontrak penjana tenaga bebas untuk menjana kuasa dan menjual kepada TNB untuk dibekalkan kepada pengguna. Di mana pihak kerajaan dilihat telah meluluskan lesen lima (5) IPP yang dimiliki oleh mereka yang tersenarai dalam 10 individu terkaya di Malaysia dalam Forbes Rich List. Pemilihan IPP dilaksanakan oleh Economic Planning Unit (EPU) di Jabatan Perdana Menteri tanpa pemilihan yang telus. Tidak ada tender terbuka dan mereka dipilih bukan berdasarkan kebolehan, pengalaman atau kepakaran mereka kerana kesemua mereka yang tersenarai tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini. Apa yang menarik ialah penawaran lesen kepada 5 IPP pertama juga tidak dipengaruhi oleh Dasar Ekonomi Baru kerana tidak ada kuota khas kepada kaum Bumiputera atau usaha untuk menghasilkan kelas korporat Melayu kerana hanya seorang Bumiputera sahaja yang terdapat dalam senarai 5 IPP tersebut. IPP yang dimaksudkan ialah YTL Power Generation Sdn. Bhd. Milik Tan Sri Dato’ Seri Dr. Yeoh Tiong Lay, Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. Milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Port Dickson Power Bhd. Milik Tan Sri T. Ananda Krishnan di mana ianya kini dibeli oleh 1 MDB , Power Bhd. Milik Tan Sri T. Ananda Krishnan dan Genting Sanyen Power Sdn. Bhd. Milik Tan Sri Lim Goh Tong. Pihak kerajaan pada masa itu telah meminta pihak TNB untuk menandatangani satu perjanjian dengan IPP. Di mana di bawah perjanjian tersebut TNB mesti membeli sejumlah kualiti elektrik daripada IPP walaupun TNB tidak memerlukannya. Contohnya, harga elektrik yang dibeli daripada IPP lebih tinggi daripada yang dijana sendiri oleh TNB dan mengakibatkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna. Menurut Tan Sri Ani Arope (2006), TNB menjana kuasa pada kos sen seunit (kwh) dan mampu menjualnya kepada pengguna pada harga 17 sen seunit, manakala kos menjana elektrik oleh IPP ialah 16 sen seunit (kwh) yang dijual kepada TNB pada harga 23 sen seunit dan TNB pula akan menjual kepada pengguna pada harga 30 sen seunit. Seterusnya, risiko penurunan dalam permintaan seperti berlaku semasa krisis ekonomi ditanggung oleh TNB. Malah TNB terpaksa menghentikan pengeluarannya semasa Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1977, sedangkan IPP terus beroperasi dan menjualkannya kepada TNB. Jumlah bayaran kepada IPP meningkat setiap tahun sedangkan pendapatan bersih TNB pula menunjukkan sebaliknya. Contohnya, TNB kini terpaksa membayar lebih RM4 billion setahun kepada IPP tanpa mengira sama ada kapasiti elektrik digunakan sepenuhnya atau tidak, yang mana beban kos tersebut tidak berpadanan dengan keuntungan tahunan TNB yang berjumlah RM1.5 billion. Perjanjian ini sangat memihak kepada IPP sehingga Tan Sri Ani Arope selaku Pengerusi Eksekutif TNB pada masa itu enggan menandatangani kontrak dan meletak jawatan. Apa yang nyata dalam perjanjian tersebut ialah IPP boleh memindahkan semua kos kenaikan harga bahan api kepada TNB ketika TNB sendiri tidak memiliki mekanisme berkaitan tarif. Ringkasnya perjanjian tersebut telah menghakis prestasi kewangan TNB dengan bayaran berbillion-billion ringgit kepada IPP. Pada tahun 2011, keuntungan bersih TNB turun dari RM3.2 billion pada tahun 2010 ke RM499.5 juta. Salah satu sebabnya ialah kerana TNB terpaksa membayar harga gas dan membeli bahan bakar ganti yang lebih mahal daripada IPP (Noraini Othman dan Sumit Kumar Mandal, 2000). Mutu perkhidmatan yang lemah. Walaupun TNB telah mengalami proses pengkoporatan selama 22 tahun namun minda kakitangan dan pihak pengurusan TNB masih lagi ditakuk lama. Tempoh masa sahaja tidak menjamin kejayaan sesuatu proses pengkorporatan sekiranya ianya tidak selaras dengan minda semua warga TNB. Buktinya kebelakangan ini profit TNB menujukkan penurunan keuntungan sedangkan TNB masih sebuah syarikat yang memonopoli penjanaan tenaga elektrik negara. Kakitangan TNB juga seperti berada dalam zon selesa apabila sering mengambil tempoh waktu yang panjang dalam mengambil sesuatu tindakan. Kakitangan bawahan TNB seolah-olah masih bekerja dengan sektor kerajaan yang sukar untuk memberhentikan pekerja walau hakikatnya Syarikat TNB kini berbangga dengan imej korporatnya. Contohnya jika terdapat panggilan aduan mengenai gangguan bekalan elektrik pada jam 2.00 petang, tindakan yang diambil kebiasaannya lewat iaitu selepas waktu pejabat. Apa yang nyata mereka sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan elaun kerja lebih masa dan ini sememangnya merugikan syarikat dan para pelanggan serta menyusahkan pengguna yang membuat aduan. Selain itu, mutu perkhidmatan yang lemah juga disumbang daripada kesan pelantikan CEO TNB. Kerajaan dilihat telah campur tangan dalam soal pelantikan CEO TNB. Mereka yang dilantik bukan terdiri daripada mereka yang pakar dalam urus tadbir TNB tetapi daripada luar. Justeru CEO dan pihak pengurusan tertinggi tidak dapat mengenalpasti permasalahan sebenar yang dihadapi oleh warga TNB dan seterusnya membantu meningkatkan keuntungan TNB. Kegagalan mencari alternatif lain. Pengkorporatan atau penswastaan sesuatu entiti juga tidak menjamin kedudukan entiti tersebut dalam pasaran. TNB dan IPP masih bergantung kepada subsidi gas dan tidak ada usaha untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif yang lebih murah dan hijau. Pihak kerajaan seperti merestui tindakan TNB yang tidak melakukan sebarang inovasi untuk mencari alternatif lain. Pada masa ini pihak TNB masih lagi berada pada tahap teknologi yang lama kerana masih lagi menggunapakai tenaga elektrik yang dijana daripada empangan hidroelektrik, pembakaran gas asli dan arang batu. Ironinya, bahan mentah seperti gas asli dan arang batu semakin berkurangan dan memerlukan kos yang tinggi untuk mengimportnya. Manakala empangan hidroelektrik pula memerlukan kawasan tertentu dalam saiz yang besar. Situasi ini amat merugikan negara kerana pembinaan empangan menuntut pengorbanan sejumlah besar hutan untuk tujuan tersebut (Noraini Othman dan Sumit Kumar Mandal, 2000). Umpamanya, empangan Kenyir yang menjadi kebanggaan masyarakat Terengganu merupakan sebuah empangan hidroelektrik terbesar di Malaysia yang dibina di tasik buatan manusia apabila sejumlah besar kawasan tadahan hujan dan kediaman hidupan liar telah dimusnahkan dengan rakusnya semata-mata untuk mencapai aspirasi kerajaan. KAEDAH MENGATASI Menamatkan kontrak dengan semua IPP. Penswastaan membolehkan pihak swasta yang berkemampuan boleh mendapatkan lesen untuk menjana elektrik. Fenomena ini telah terbukti di mana banyak IPP telah ditubuhkan sebagaimana pepatah Melayu “seperti cendawan tumbuh selepas hujan”. Pada permulaannya kerajaan telah campurtangan dalam perjanjian IPP dengan TNB apabila turut terlibat dalam perjanjian yang berat yang merugikan TNB. Natijahnya, peranan TNB seolah-olah mengorbankan diri sendiri supaya IPP boleh terus mandapatkan untung yang lumayan. Keputusan kerajaan membeli aset yang dijual oleh Tan Sri T. Ananda Krisnan adalah pengakuan bahawa model penswastaanya telah gagal. Justeru, pihak TNB perlu menamatkan kontrak dengan semua IPP kerana ia sudah tentu dapat menjimatkan berbillion-billion ringgit wang TNB dan rakyat Malaysia secara amnya. Dengan itu peranan kerajaan sekali lagi ditagih untuk memperbetulkan semula kesilapan perjanjian tersebut. Alternatif baru untuk sumber tenaga. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini TNB terpaksa membelanjakan sejumlah besar pendapatan mereka kerana masih lagi bergantung kepada subsidi gas asli, kos import arang batu yang mahal dan kos penyelenggaraan serta kos membina sesebuah empangan hidroelektrik yang tinggi. Pihak TNB sepatutnya bertindak lebih bijak dalam mencari alternatif lain yang lebih mesra alam dan menggunakan sejumlah peruntukan yang kecil untuk menjana tenaga elektrik. Sebagai sebuah negara yang terletak di kawasan tropika, Malaysia sudah tentu terdedah kepada cahaya matahari yang banyak. Oleh yang demikian, penggunaan panel solar untuk menjana tenaga elektrik merupakan suatu langkah bijak yang perlu direalisasikan. Panel solar juga terbukti lebih mesra alam berbanding dengan proses pembakaran gas asli dan arang batu oleh IPP untuk mendapatkan tenaga elektrik. Contohnya kerajaan negeri Melaka telah menjadi perintis kepada sumber tenaga hijau apabila negeri tersebut mula menggunakan panel solar untuk menjana tenaga elektrik. Selain solar terdapat pelbagai alternatif lain yang sesuai dilaksanakan di negara ini seperti penggunaan turbin angin atau kincir angin, penjanaan tenaga elektrik daripada sisa buangan, nuklear dan sebagainya. Rumusnya, masih terdapat pelbagai pilihan yang boleh diterapkan penggunaannya oleh pihak TNB dalam proses penjanaan tenaga elektrik seperti membangunkan sumber tenaga alternatif hijau selain daripada sumber tenaga yang sedang dipraktikkan pada masa kini. Ianya adalah seiring dengan malamat korporat TNB agar mengurangkan semaksimum mungkin kes-kes gangguan bekalan tenaga. Membaiki mutu perkhidmatan. Kelemahan yang paling ketara TNB ialah mengtransformasikan minda warga TNB sejajar dengan pengkorporatan entiti tersebut. Kakitangan dan pihak pengurusan TNB masih lagi berada dalam zon selesa sebagaimana kakitangan-kakitangan agensi kerajaan lain terutama dalam asek tempoh masa yang terlalu lama dalam menyelesaikan sebarang tugas dan juga aduan daripada para pengguna. Bagi memastikan syarikat terus menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan menyokong visi strategik, kepimpinan global dan kompetensi warga kerja TNB dipertingkatkan secara berterusan menerusi program-program yang tersusun. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, TNB juga menitikberatkan perhubungan komuniti demi memastikan masyarakat umum mendapat faedah dan manfaat sewajarnya daripada usaha-usaha yang dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, warga TNB tanpa mengira pangkat perlu menjalani pelbagai kursus, latihan kemahiran, kursus perhubungan pelanggan dan sebagainya secara konsisten agar isu kelewatan tersebut dapat diatasi segera. Malah kini TNB dilihat telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan sebuah universiti. Dengan kata lain, dalam pembangunan modal insan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah ditubuhkan untuk melahirkan individu-individu yang berbakat dalam pelbagai bidang. Usaha murni itu juga dilaksanakan agar TNB tidak akan mengalami kekurangan tenaga profesional dan pakar dalam pelbagai bidang yang berkaitan. Ia juga sebagai menyahut saranan daripada pemuda UMNO yang telah mencadangkan agar syarikat-syarikat GLC seperti TNB, TM dan Petronas berusaha mempertingkatkan keupayaan Bumiputera dengan menyediakan peruntukan melatih golongan Bumiputera dengan cara mewujudkan pusat-pusat pengajian tinggi mereka sendiri (Hashim Haji Wan Teh, 1993). Selain itu ia berperanan untuk terus mengukuhkan modal insan dan status kewibawaan TNB sebagai sebuah entiti korporat. Bertitik tolak daripada itu, maka TNB juga telah membina pusat latihan mereka sendiri di Bangi, Selangor (www.tnb.com.my). TNB juga telah mewujudkan laman sesawangnya mereka sendiri di www.tnb.com.my, laman facebook dan TNB Care Line untuk sebarang pertanyaan am mengenai TNB, aduan bekalan elektrik dan sebagainya. Ianya diharap mampu memberi pendedahan latihan kemahiran kepada pihak pengurusan dan kakitangan disamping melahirkan golongan pekerja yang profesional dan pakar dalam sesuatu bidang (www.tnb.com.my). Seterusnya TNB juga telah melaksanakan sistem perlaksanaan “Whistle Blowing” secara bebas tol pada bulan Ogos 2008. Objektifnya ialah untuk meningkatkan kepercayaan dan mempastikan integriti syatikat dan perkhidmatan yang dibekalkan sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan. Manakala dalam soal perlantikan CEO pula ahli lembaga pengarah perlu melantik mereka yang benar-benar arif tentang TNB atau mereka yang terdiri daripada warga TNB itu. Oleh yang demikian, seseorang CEO akan mudah untuk mengenalpasti permasalahan sebenar yang dihadapi oleh TNB dan berupaya memandu warga TNB untuk mencapai malamat yang telah ditetapkan. Berbeza dengan apa yang diamalkan sekarang, di mana jawatan CEO dilantik sendiri oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Kaji semula penswastaan TNB. Selain daripada metodologi yang dinyatakan di atas, kelemahan TNB yang masih membelenggu TNB sekarang boleh diatasi dengan memiliknegarakan semula industri penjanaan elektrik. Ini kerana TNB tidak seperti entiti lain yang diswastakan kerana masalah beban kewangan, sebaliknya TNB terbukti mencatat keuntungan sebelum proses penswastaan dilaksanakan pada tahun 1992. Oleh yang demikian, langkah pemiliknegaraan semula TNB adalah wajar dilaksanakan supaya zaman kegemilangan TNB dapat berulang. Apa yang diperlukan oleh warga TNB ialah semangat dan iltizam sektor swasta untuk mengaut keuntungan yang besar. KESIMPULAN Kesimpulannya, dasar pengkorporatan agensi awam merupakan langkah terbaik kerajaan dalam memajukan lagi agensi terbabit agar terus mampu bersaing dalam pasaran serta dapat menyumbang perkembangan ekonomi negara dalam merealisasikan hasrat negara untuk muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Pihak kerajaan dan khasnya TNB seharusnya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan halangan-halangan. Mereka perlu sentiasa berusaha secara konsisten untuk memastikan misi dan visi TNB dapai di capai dalam tempoh masa yang lebih singkat. Apa yang pasti TNB perlu sentiasa bersaing dalam pasaran domestik dan global sebagaimana kata-kata keramat Tun Dr. Mahathir Mohamad “Malaysia Boleh”, maka TNB juga pasti boleh mengharungi sabarang halangan yang datang. BIBLIOGRAFI Ahmad Atory Hussain. (1998). Reformasi pentadbiran di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd. Hashim Haji Wan Teh. (1993). UMNO dalam arus perdana politik kebangsaan. Kuala Lumpur: Manir Publications. Institut Pengurusan Malaysia. (2008). Pengurusan di Malaysia. Institut Terjemahan Negara Malaysia. Jack W. Plunkett. (2009). Plunkett’s Energy Industry Alwanac. Plunkett Reseach Ltd. Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin. (2004).Dasar Ekonomi baru:Intipati. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Noraini Othman, Sumit Kumar Mandal. (2000). Malaysia menangani globalisasi: peserta atau mangsa?. Universiti Kebangsaan Malaysia. Oxford Bussiness Group Malaysia. (2008). The Report: Malaysia 2008. Oxford Business Group. Laman sesawang. Sejarah Tenaga Nasional Berhad. Capaian pada 10 April 2014 di www.tnb.com.my.

No comments:

Post a Comment