,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Saturday 3 May 2014

Jom cari keturunan Kita Di Perak, Tun Saban Pindahkan ke Simpang Lawin


KETURUNAN RAJA-RAJA YANG MEMERINTAH

1. Raja = Perak, Riau, Siak dan Selangor
2. Tunku = Johor, Negeri Sembilan dan Kedah
3. Tengku / Engku / Ungku = Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu
4. Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda = Brunei

KETURUNAN NABI MUHAMMAD SAW

1. Syed / Sayyid
2. Syarifah / Siti

KETURUNAN YANG BERASAL DARI LUAR MALAYSIA

1. Teuku, Teungku = Acheh
2. Raden = Jawa
3. Sutan, Sidi = Minangkabau
4. Daeng = Bugis

Sebagai Contoh :-

Perak :
Seorang Syarifah berkahwin dengan orang kebanyakan maka anak yang bakal lahir akan mengunakan gelaran Meor ataupun Mior. Adapun perbezaan ejaan di antara Meor dan Mior berlainan namun hakikat sebenar maksudnya sama yakni Meor.

Seorang Puteri Raja Perak yang berkahwin dengan orang kebanyakkan maka anak yang bakal lain akan mengunakan gelaran Puteri bagi perempuan dan Putera bagi lelaki ataupun Megat yakni bagi lelaki ( Jatuh dibawah maksud Kerabat bukan Waris Negeri).

*** Maka apabila Puteri berkahwin dengan orang kebanyakkan maka secara sendirinya tiada lagi gelaran yang bakal terbit. Sebagai contoh setelah di rujuk kepada YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa ( Sejarawan, Budayawan Adat Istiadat Seri Saguntang ) dan YAM Raja Shahruzzaman ibni Almarhum Sultan Idris Shah seseorang Puteri dari Puak Megat Terawis apabila berkahwin dengan orang biasa maka anak di berikan gelaran TUN..! ianya TIDAK SEPATUTNYA BERLAKU kerana Martabat Tun lebih tinggi dari Megat dan gelaran Tun merupakan martabat di bawah Gelaran Raja sebagaimana yang telah di kurniakan gelaran tersebut kepada Bendahara, secara tidak langsung adat itu telah tersasar.

Kelantan :
Seorang Tengku yakni wanita barang mengawini lelaki kebanyakkan maka anak yang bakal lain akan mengunakan gelaran Nik.

Selangor :
Seorang Waris Negeri yakni Perempuan berkahwin dengan orang kebanyakkan maka anak yang akan lahir mengunakan gelaran Wan dan seandainya anak yang di perolehi perempuan dan selepas dewasa berkahwin dengan orang biasa maka tiadalah gelaran yang akan bakal di gunakan kepada anaknya kelak.

Hakikat sebenar Martabat Gelaran Keturunan mempunyai taraf dan tidak semuanya sama... Asal Gelaran Keturunan yang paling tinggi adalah SAYYID yakni Keturunan Rasulullah SAW dan seseorang yang berdarah Sayyid sebagai tanda hormat harus di panggil dengan panggilan Tuan Sayyid namun gelaran Keturunan yang Raja yang turun dari Nabi Sulaiman yakni Raja Sulaiman akan mengunakan panggilan Yang Mulia.

GELARAN KETURUNAN
CATATAN
Sayyid, Syed
Keturunan Nabi Muhammad SAW
Raja
Keturunan Nabi Sulaiman AS
Tun
Seseorang bendahara yang di angkat menjadi Sultan dan setelah menjadi Sultan anak yang lahir selepas itu mengunakan TUNKU
Tunku
Tengku
Panggilan timbang-timbangan bagi Anak-anak Raja. ianya tetap sama hanya ejaan sahaja yang berlainan.
Engku
Ungku

Kebarangkali banyak orang di luar tidak dapat menerima dan memahami mengapa beih Raja-Raja mempunyai PUSAKA yakni Kadam sebagai contoh TABAL JIN di Negeri Perak, Untuk Makluman Tabal Jin bukan bererti Manusia menabalkan Jin tapi ianya merujuk kepada Jin Memperakui Raja itu Benih dari Nabi Sulaiman AS.

Pada masa pemerintahan Nabi Allah Sulaiman, semua binatang, syaitan dan jin adalah dibawah kekuasaan pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman. Kisah ini adalah diantara kisah-kisah yang terjadi semasa pemerintahan Nabi Allah Sulaiman. Oleh kerana baginda amat dihormati, ramailah manusia, binatang dan jin ingin berbakti kepada baginda.

“Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di hadapannya (dalam kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.” (Surah sabar, ayat 13).


Asal Usul nama MEOR @ MIOR 
 
MENCARI ASAL USUL NAMA MEOR/MIOR,

Ahlan Washlan, Marhabban! Salam sejahtera.


Sejarah warisan orang Perak tidak ada yang menerangkan dari mana asal usul Meor atau mior, bukanlah berasal daripada bahasa Arab, bukan juga pada asalnya bahasa Melayu asli. Hingga hari ini masih ramai orang malah penduduk Perak sendiri tidak tahu maksud atau asal usul nama “Meor” ini wujud. Ada pihak yang berkata asal usul Meor ini datang dari keluarga Syed dan Syarifah@Siti yang bermaksud “Puan”.

Yang jadi Meor itu sebab anak perempuan Syed dan Syarifah tadi berkahwin dengan orang kebanyakkan.Supaya tidak nanti putus silatulrahim hubungan keluarga, maka itu yang boleh disifatkan seperti “cubit peha kiri peha kanan pun terasa juga”.

Manakala yang jadi Mazatul ( anak perempuan ) atau Puteri ( anak perempuan ) atau Megat ( anak lelaki ) bila bapak nama Meor ini berkahwin pula dengan orang kebanyakkan. ( bangsawan ). SYED ( Tuan ) dikatakan datang dari Tanah Arab sebagai pedagang dan menetap di Perak, berkahwin dan bermastautin di Perak.

Ada pihak yang berkata Syed adalah guru agama yang datang atas jemputan Sultan Perak ketika sama sama membuka Perak. Mereka datang Kampar ( Pulau Sumatera ).Ketika itu, Istana Sultan Perak yang pertama di Tanah Abang ( Parit ) Daerah Bota ( Brahman ).

Keluarga Syed dikatakan dari waris keturunan Nabi yang datang dari waris keluarga Hassan dan Hussin. Mereka datang ke Tanah Melayu kerana menyelamatkan diri dari perbalahan puak di Tanah Arab ketika itu, seperti Syiah dan Muawiah .

Sementara dari teori lain, asal Meor di adaptasi daripada adat orang orang tanah Parsi dimana anak-anak lelaki keturunan Nabi Muhammad saw iaitu AMIR bermaksud penguasa/pemerintah. Jadi setelah para Sayyid ( Syed ) tiba di Tanah Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan, agar hubungan kekeluargaan itu tidak terputus, maka anak dari waris lelaki meneruskan keturunan sayyid dan anak dari keturunan Sharifah dengan penduduk tempatan diberi nama MIR ini telah di sesuaikan dengan lidah tempatan hingga ianya berubah menjadi MEOR.

sumber rujukan:,
Di susun oleh : team arab-families.com

Tun Saban tewas di tangan Megat Terawis 

Oleh: Kumprinx  





Makam Megat Terawis

Ziarah ke Makam Megat Terawis, di Kg. Bandar Lama, Kampung Gajah Negeri Perak pada 16 September 2012


Siapakah Mega Terawis
Papan tanda yang dapat dilihat di Jambatan Pasir Salak/ Kampung Bandar Lama. Makam Sultan Muhammad Iskandar Syah dan Sultan Ahmad Tajuddin tidak ditemui dalam ekspedisi ini memandangkan jalan kampung yang sempit dan semak. Disamping itu jalan di Kampung Bandat Lama mempunyai banyak persimpangan.
Papan tanda Kampung Bandar Lama. (juga dilihat dari Jambatan Pasir Salak/ Bandar Lama
 
Beliau adalah Bendahara Perak semasa pemerintahan Sultan Muzafar Syah I dan memakai gelaran  Orang Kaya Paduka Bendahara Raja. Beliau juga dipercayai berketurunan Daulat Yang DiPertuan Pagar Ruyung. Megat Terawis datang ke Perak bersama-sama dengan Sultan Muzafar Syah I, putera Sultan Mahmud Syah, Sultan terakhir Kerajaan Melaka dari Kampar, Sumatera.
Jalan ke Makam yang sempit dan semak.

Dipercayai Tok Saban, pembesar yang berkuasa di Hulu Perak telah membawa dan melantik Sultan Muzafar Syah I sebagai Sultan di Perak. Walau bagaimanapun, timbul perselisihan faham di antara Tok Saban dengan Sultan Muzafar Syah I dan ini membawa penentangan beliau terhadap Sultan. Sultan Muzafar Syah I kemudiannya menawarkan jawatan Bendahara kepada sesiapa yang berjaya menewaskan Tok Saban. Tawaran tersebut diterima oleh Megat Terawis dan berjaya mengalahkan Tok Saban.
Sekitar Makam yang semak dan setidak terurus.
 

Ekoran kejayaannya menewaskan Tok Saban,  Megat Terawis akhirnya dilantik sebagai Bendahara menggantikan Tun Muhammad dengan memakai gelaran Bendahara Paduka Raja. Sejak hari itu, keturunan beliau memegang jawatan Bendahara di Perak. Walau bagaimanapun semasa perintahan Sultan Iskandar Zulkarnain, (Sultan ke 15) berlaku perselisihan di antara keturunan beliau, Bendahara Megat Abu Kassim dengan baginda Sultan akibat tindakan baginda mendirikan Istana di Pulau Indera Sakti yang merupakan di bawah kekuasaan Bendahara. Akibatnya, Megat Abu Kassim meletakkan jawatan dan menyerahkannya semula kepada Sultan Iskandar Zulkarnain. Sejak itu jawatan Bendahara dipegang oleh keturunan Raja.
Makam

Tun Saban Balik ibni Tun Perak Menjadi JEBAT selepas Sultan Mudzafar Shah melantik kroni menjadi Bendahara
 
(1533m) Selepas Tun Saban Balik ibni Tun Perak/Tok Mamat mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah bebas di Hulu Perak sebagai tanda memberontak terhadap keputusan Sultan Mudzafar Shah (kerana berkecil hati tidak dilantik sebagai Bendahara Perak sedangkan beliau berjasa membawa Sultan Mudzafar Shah dari Kampar dan menjadi raja di Perak) perang meletus. Angkatan tentera Sultan Mudzafar Shah menghadapi kesukaran untuk menewaskan Tun Saban yang mempunyai ilmu kesaktian yang sangat tinggi.

Orang lama-lama cerita, Tun Saban menebang sebatang pokok tualang sebesar 3 pemeluk (secara berseorangan) kemudian melancarkannya dari kubu pertahanannya di Changkat Merah ke arah istana Sultan Mudzafar Shah. Berapa jauh batang tualang yang besar terbang melayang dan tepat mengenai istana dan mengakibatkan kerosakan yang teruk.

Sultan Mudzafar Shah tidak terus meneyerang balas, sebaliknya menghantar Megat Terawis (bendahara Perak ketika itu) untuk menghapuskan Tun Saban demi untuk menegakkan kedaulatan sultan. Megat Terawis pun berjalan kaki untuk mencabar Tun Saban.

Apabila Tun Saban dan Megat Terawis bertemu, lantas Megat Terawis mengacungkan senapang istinggarnya sambil membaca mentera-mentera. Kemudian terus menembak Tun Saban. Tun Saban bersedia dengan kuda-kudanya. Apabila peluru semakin hampir, Tun Saban mengangkat tangannya dan menangkap peluru tersebut dalam genggamannya. Namun begitu peluru tersebut sendiri telah diarahkan oleh Megat Terawis untuk membinasakan Tun Saban. Ia tetap bergerak dalam genggaman Tun Saban. Ketika itu Tun Saban tahu bahawa jika dia melepaskan peluru tersebut, peluru itu akan tetap mengenai tubuh beliau kerana ia telah dijampi oleh Megat Terawis dengan kesaktian sihir yang tinggi.

Megat Terawis dengan yakin meninggalkan Tun Saban bergelut dengan penumbuknya sendiri. Genggaman peluru di tangan Tun Saban tidak langsung dilepaskannya. Menurut cerita, Tun Saban bertahan selama sebulan mengenggam peluru yang sentiasa ingin menuju ke arah jantungnya. Akhirnya Tun Saban tidak berdaya lagi untuk menghalang sasaran peluru tersebut.


Dengan saki-baki kekuatan yang ada pada dirinya, beliau mencampakkan peluru di dalam genggamannya sejauh-jauh yang boleh. Peluru tersebut berpatah balik dan terus meluru kembali ke arah Tun Saban. Tun Saban pun mati setelah sebulan bersabung nyawa.

MENJEJAKI MAKAM TUN SABAN

Salasilah Tun Saban 






Tun Saban ialah Keturunan Tun Perak(Bendahara Melaka)

 

Untuk melawat ke makam tersebut, mestilah terlebih dahulu melaporkan diri kepada pihak berkuasa. Biasanya orang persendirian tidak digalakkan melawat ke makam tersebut kerana perjalanan ke dalam hutan rimba banyak bahayanya. Kalau nasib tidak baik, akan terpijak jerangkap samar.

Ketika saya merancang melawat ke makam Tun Saban pada awal 1975, saya tidak mendapat gambaran yang sebenar tentang kedudukan makam tersebut. Saya hanya mengetahui sedikit latar belakang Tun Saban melalui buku sejarah Perak, sama ada yang dikarang oleh Winstedt, Buyong Adil, Abdullah Haji Musa atau buku bertajuk Hulu Perak Dalam Sejarah yang ditulis oleh tiga orang penulis, iaitu Raja Razman bin Raja Abdul Hamid (Tok Muda Orang Kaya-Kaya. Mahakurnia Indera Diraja Perak), Haji Meor Shamsuddin bin Haji Meor Yahya (Tok Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Perak) dan Hussain Mahmud.


Buku yang bertajuk Hulu Perak Dalam Sejarah banyak menyentuh latar belakang sejarah Tun Saban.
Cerita mengenainya sungguh menarik sehingga saya bercita-cita hendak menziarahi makam tokoh pembesar Perak yang dikatakan pernah berperang dengan angkatan perang Sultan Muzaffar Shah I, (Sultan Perak pertama memerintah negeri Perak pada 1528 T.M. hingga 1549 T.M.). Peperangan itu berlaku setelah Tun Saban yang berkuasa di sebelah Hulu Perak tidak mahu tunduk di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.


Satu sumber sejarah yang lain pula menyebut punca peperangan tersebut adalah kerana Tun Saban tidak mahu memberi anak perempuannya yang bernama Tun Merah, untuk dijadikan gundik Sultan.
Dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah pula, Tun Saban difitnahkan hendak derhaka kepada Sultan Muzaffar Shah. Lalu seorang pembesar Perak yang gila kuasa bernama Megat Terawis dititahkan untuk membunuh Tun Saban. Megat Terawis berjaya membunuhnya di tempat yang bernama Merah atau Changkat Merah, dan di situ jugalah Tun Saban dimakamkan. Kerana jasanya membunuh Tun Saban, Megat Terawis dilantik menjadi Bendahara Negeri Perak, menggantikan Bendahara Tun Mahmud yang pulang ke Johor. Cerita mengenai Tun Saban banyak terdapat dalam buku sejarah yang berkaitan dengan negeri Perak.


Cerita lisan daripada penduduk di sekitar Hulu Perak juga masih banyak boleh diperoleh.
Setelah mengenal pasti kedudukan Tun Saban seperti yang diperoleh daripada buku sejarah, saya pun mengambil keputusan untuk melawat makam tersebut.
Ura-ura tersebut saya hebahkan kepada teman-teman rapatku, tetapi mereka nampaknya tidak bersetuju saya melawat ke makam tersebut. Mereka bimbang kerana makam tersebut terletak dalam hutan dan dalam kawasan keselamatan. Tentulah banyak bahayanya, sama ada gangguan binatang buas, terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis atau halangan lain.
Setelah mengambil keputusana melawat makam Tun Saban saya pun memberitahu hasrat itu kepada Ketua Pengarah Muzium ketika itu, Datuk Sharom Yub.


Kajian saya lakukan di sekitar tapak makam Tun Saban di Changkat Merah. Tempat tersebut, pada masa dulu, ialah sebuah perkampungan orang Melayu yang besar. Tun Saban berkuasa di Hulu Perak dan tinggal di situ. Saya bertolak dengan kenderaan Jabatan Muzium.
Pemandunya ialah Abdul Aziz Muhammad. Kami menggunakan kereta jenis Ford Transit.
Di Lenggong, kami berhenti untuk mendapat beberapa orang jurupandu yang boleh memandu kami ke makam Tun Saban. Saya hampa kerana tidak seorang pun yang sanggup menjadi jurupandu. Alasannya ialah tempat tersebut terlalu jauh ke dalam hutan dan berbahaya. Ketika merayau-rayau, saya terserempak dengan seorang ketua Kampung Luat, namanya Awang Kecil. Orangnya bertubuh sasa berumur dalam lingkungan 50 tahun. Saya memang sudah lama mengenali beliau. Selain ada pertalian keluarga dengannya beliau juga seorang syeikh haji yang menguruskan orang Melayu naik haji ke Mekah.


Awang Kecil atau Tok Awang bersetuju menjadi jurupandu dan membawa kami ke makam tersebut.
Beliau pernah ke makam tersebut pada tahun 40-an.
Beliau menyuruh saya membeli seberkas cerut untuk bekalan. Saya pun membeli dua dozen cerut. Dia meminta saya turut menghisap cerut semasa dalam perjalanan dalam hutan ke makam Tun Saban untuk menghalau nyamuk. Nyamuk dalam hutan besar dan garang perangainya. Badan gajah pun boleh dicucuk.


Di Lenggong, seorang Tionghua yang dikenali dengan nama Akup bergaul ingin turut serta. Beliau ialah seorang Tionghua tempatan yang banyak bergaul dengan masyarakat Melayu setempat. Saya tidak tahu tujuan sebenar beliau mahu ikut sama ke makan Tun Saban. Beliau hanya memberi alasan bahawa cerita Tun Saban pernah didengarnya daripada cerita mulut orang-orang tua Melayu, dan makam Tun Saban itu sangat dipercayai oleh sesetengah orang Cina di Lenggong sebagai makam keramat. Mereka memanggilnya Kubur Datuk Merah. Nampaknya Akup ada tujuan untuk bernazar atau meminta sesuatu daripada kubur Datuk tersebut. Barangkali beliau mendapatkan kekayaan menerusi pemujaan atau menurun. Itu hanya ramalan saya.


Dalam perjalanan ke makam Tun Saban kami melalui sebuah kampung Melayu, iaitu Kampung Kenering.
Letaknya 20 kilometer ke utara Lenggong. Di kampung tersebut kami mendapatkan seorang jurupandu lagi, bernama Kasim, Ketua Kampung Sawa, sebuah kampung yang terletak dekat Kampung Kuala Kenering.


Beliau ialah penjaga makam tersebut. Sudah lama beliau tidak menjenguk ke makam tersebut. Kerana perjalanan memakan masa yang lama, kami terpaksa membawa bekalan makanan supaya tidak lapar.
Saya membeli beberapa bungkus nasi lemak, beberapa biji apam dan karipap. Karipap yang saya beli di warung yang terletak di pinggir jalan di Kampung Sawa itu sangat berbeza daripada karipap yang pernah saya makan di Kuala Lumpur. 


Karipap itu berisi serbuk kelapa yang digoreng, dicampur dengan bahan pewarna, kunyit dan udang kering. Rasanya lebih enak dan luar biasa. Penduduk Kampung Sawa menyebutnya sepera dan bila saya menyebut karipap, penjual yang menjual sepera gandum agak hairan dan tersenyum. Saya kira ada sesuatu yang luar biasa yang mencuit hati nalurinya.

Di Kampung Kuala Kenering, kami menyiapkan beberapa peralatan yang perlu dibawa. Saya berpesan kepada Abdul Aziz, pemandu kereta Jabatan Muzium supaya menunggu sahaja di Kampung Kuala Kenering.


Beliau tidak perlu ikut bersama kerana perjalanan dengan berjalan kaki agak jauh, kira-kira enam belas kilometer. Sejauh itulah kami berjalan menempuh hutan rimba yang tebal. Lagipun tanggungjawab Aziz adalah menjaga kereta jabatan.


Saya masih ingat lawatan itu jatuh pada hari Jumaat 12 Mac 1976. Hari itu hari lahir saya ke- 38. Itu hanya secara kebetulan kerana sepanjang hidup saya tidak pernah menulis dalam catatan harian tentang tarikh lahir. Saya tidak pula memikirkan tentang umur kecuali ketika berkahwin pada 1970-an. Saya hampir terlupa memberi tahu pada imam yang menikahkan mengenai usia sebenar saya. Rupa-rupanya saya hampir menjadi bujang terlajak.


Kami memulakan perjalanan kira-kira pukul lapan pagi. Cuaca tidaklah begitu baik. Pagi-pagi lagi hujan sudah turun tetapi tidaklah lebat. Kata Tok Awang jika hujan, sudah tentulah banyak pacat. Pacat di hutan, besar-besar. Kalau terkena gigit boleh menjadi pekung dan sukar diubati. Munasabah juga katanya itu kerana pacat mungkin membawa kuman yang berbahaya.
Walaupun saya bimbang dan seram, saya tidak mahu mengubah matlamat yang sudah dirancang. Saya bersedia menempuh apa juga halangan.


Kami menyusur tepi tebing Sungai Perak kerana jalan itu lebih selamat daripada mengikuti denai yang dilalui oleh babi dan binatang lain. Saya tidak begitu yakin laluan denai. Manalah tahu, mungkin ada harimau menunggu, atau mungkin terkena jerat babi atau jerat yang dipasang oleh pengganas komunis.


Orang kampung di Kuala Nerang menyebutnya jerat duduk. Kalau terkena jerat itu terus terduduk.
Jalan tepi tebing Sungai Perak itu agak sukar sedikit kerana terlalu banyak resam dan rotan. Lebih kurang dua jam berjalan sampailah kami di sebuah bukit kecil.


Bukit tersebut kelihatan dengan jelas dari seberang tebing Sungai Perak. Di situ, terdapat sebuah gunung kecil. Menurut Tok Awang Kecil, gunung tersebut bernama Gunung Lognai.
Di bahagian batu kukup yang menghala ke sungai, terdapat sebuah lubang gua. Pada masa dulu, menurut cerita orang tua, gua itu menjadi tempat persembunyian Sang Kelembai, seorang perempuan yang sangat masin sumpahannya. Kononnya Sang Kelembai itu tidak boleh menegur manusia. Jika ditegur, manusia yang ditegurnya itu terus menjadi batu.


Di Gua Puteri dekat Lenggong terdapat sepasang patung batu orang bersanding. Kononnya Sang Kelambai telah menegur pasangan pengantin baru itu menjadi batu. Orang kampung tersangat takut dengan sumpah Sang Kelembai. Entah bagaimana, pada satu hari Sang Kelembai ditipu oleh seorang teruna yang memujuknya untuk berkahwin. Teruna tersebut membawa Sang Kelembai ke Gua Lognai, kononnya untuk bersuka ria.


Waktu mereka dalam gua, orang kampung datang dan menutup pintu gua tersebut dengan ketul-ketul batu besar. Sang Kelembai dan kekasihnya terkurung dalam gua itu. Kononnya sampai sekarang Sang Kelembai masih hidup, dan sesekali menunjukkan mukanya di celah-celah lubang gua. Sesiapa yang bernasib baik dapat melihatnya. Begitulah menurut cerita Tok Awang Kecil. Kisah Sang Kelembai sangat popular di Hulu Perak.


Gua Lognai yang terkenal dalam cerita rakyat tidak lagi kelihatan pada masa ini. Gua itu hilang daripada pandangan manusia, bukan hilang kerana sumpah Sang Kelembai ataupun jampi David Copperfield, ahli silap mata terkenal, tetapi hilang ditelan air limpahan dari sebuah Empangan hidro elektrik yang dibina di Sungai Perak. Dengan tenggelamnya Gunung Lognai maka hilanglah sebuah artifak sejarah.


Dari Gunung Lognai ke makam Tun Saban saya kira kami baru berjalan separuh perjalanan. Kami meneruskan perjalanan. Kira-kira setengah jam kami bergerak dari Gunung Lognai itu, saya terdengar suara manusia.
Kami diserang kebimbangan. Suara siapakah itu?
Adakah suara hantu atau gerombolan pengganas komunis? Macam-macam anggapan menghantui fikiran aku.


Dalam berkhayal itu, tiba-tiba muncul beberapa lembaga di hadapan kami, kira-kira lima orang semuanya. Masing-masing mengendung sebuah guni atas bahunya, ada yang berisi hampir separuh guni dan ada yang sedikit sahaja. Mereka kelihatan letih. Saya kira kandungan di dalam guni gandum itu berat. Guni yang separuh berisi itu dipikul oleh seorang berbadan tegap berumur dalam lingkungan 35 tahun. Saya lihat begitu susah baginya memikul guni itu. Rupa-rupanya mereka ialah pencari bijih timah.


Mereka ini selalu masuk ke hutan-hutan berhampiran Changkat Merah kerana mencari bijih. Seorang daripada mereka memberitahu kami supaya berhati-hati bila berjalan di denai atau lorong yang berhampiran dengan makam Tun Saban. Di situ seorang pencari bijih telah terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis. Kaki kanannya terputus. Nasib baik nyawanya tidak melayang.


Berita yang kami terima itu tidak menyenangkan hati. Ini membuat saya berat meneruskan perjalanan ke makam Tun Saban yang saya kira lebih untuk berakit melalui Sungai Perak. Rakit tersebut boleh dibuat daripada batang buluh yang banyak terdapat di tepi tebing Sungai Perak. Lebih kurang setengah jam kami menghabiskan masa untuk membuat rakit buluh.
Setelah siap, kami pun mulalah berakit melalui jeram yang banyak batu batang tersembunyi di dalam sungai.


Akhirnya kami sampai ke tebing sungai di sebelah atasnya. Di situ kelihatan sebuah rakit kecil. Menurut Kasim, itulah Bukit Merah, dan di atas bukit itulah terletaknya makam Tun Saban.
Persekitaran bukit itu di zaman dulu di sebut Janing, dan pada awal abad ke-20 Janing pernah menjadi ibu daerah Hulu Perak dan selepas itu ibu daerah berpindah ke Grik.
Sewaktu kami berkemas untuk mendaki tebing Sungai perak yang sedikit curam itu tiba-tiba terdengar oleh kami bunyi suara yang sangat kuat, semacam hantu hutan. Bunyi itu rupa-rupanya suara beberapa ekor gajah yang sedang mengawan. Beberapa ekor gajah jantan sedang bergaduh merebut gajah betina.


Kata Tok Awang Kecil, kalau gajah itu tahu ada orang mengintainya sudah tentu haiwan gergasi itu naik berang. Gajahpun tahu malu, dan lebih dahsyat lagi binatang itu akan menyerang. Saya berhati-hati supaya gajah itu tidak nampak.
Ada sekawan lima ekor gajah yang sedang berkeliaran dekat dengan kawasan makam Tun Saban. Seekor daripadanya saya kira masih anak kerana gadingnya baru tumbuh sejengkal, sedang menggeselkan badannya pada pagar dawai yang memagar kawasan makam tersebut. Kerana badannya besar, sebahagian pagar dawai tersebut tumbang. Seekor lagi, anak gajah yang terkecil cuba mencabut sebatang pokok pisang hutan.


Dihentak-hentaknya pokok itu dengan telapak kaki hadapannya, kemudian barulah dimasukkan ke dalam mulutnya. Dua ekor gajah lagi, jantan dan betina ialah pasangan yang sedang mengawan. Lebih kurang setengah jam kami berada di kawasan makam Tun Saban kami pun balik ke Kuala Kenering.
Kami berakit pulang. Perjalanan berakit hanya memakan masa kira-kira tiga jam.





Saya mendapat tahun Bukit Changkat Merah, tempat terletaknya makam Tun Saban, ditenggelami air daripada sebuah empangan hidro elektrik. Nasibnya sama juga dengan Gunung Lognai. Makam Tun Saban telah dipindahkan ke Simpang Lawin sebelum kawasan Bukit Changkat Merah ditenggelami air.
Oleh: N.A. HALIM



AMUKANMELAYU - Sebenarnya Penulis malas nak menjejaki akar keturunan Pembesar Melayu ni.... tiada langsung yang berakhir dengan Pegangan Janji atau nasab, sebaliknya ianya selalu di sudahi dengan Peperangan atau Pergaduhan.....sukar untuk mempercayai semua ini, ini kerana hampir semua Sejarah Melayu di tulis oleh Penjajah atau Macai Penjajah.....