Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau hilang kata-kata dan tidak mampu mengungkapkan rasa kecewanya saat melihat Dr. Mahathir merangkul mesra Kit Siang.
Perasaan sama juga, kata beliau, turut dirasakan ketika menyaksikan bekas pemimpin UMNO lain yang memilih bersama-sama gerakan pembangkang yang sebelum ini dianggap musuh nombor satu parti.
Menurut Shahrizat, sepanjang lebih 20 tahun menjadi Presiden, Dr. Mahathir sentiasa mengingatkan ahli-ahli parti terhadap kelicikan politik pembangkang khususnya DAP yang sangat berbahaya kepada negara.
“Malangnya hari ini, beliau serta beberapa bekas pemimpin UMNO lain memililh pentas yang sama dengan DAP yang semuanya dilakukan menjurus kepada kepentingan peribadi.
“Apa yang lebih mengecewakan, Wanita UMNO tidak pernah sekali pun berpaling terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir sepanjang lebih 20 tahun beliau menjadi Presiden sama ada ketika susah atau senang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin mengingatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya tidak lupa bahawa perjuangan yang kononnya dipertontonkan mulia oleh Dr. Mahathir sebenarnya hanyalah wayang dan muslihat.
“Sebuah hipokrasi mengejar takhta, membina legasi dan empayar. Memang benar kata orang, di luar sana, bila tak berjawatan, cukup senang mengutarakan dusta namun sewaktu dia berjawatan prinsipnya cukup berbeza.
“Beliau sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa,” katanya.
Beliau berkata, kesanggupan Dr. Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO membuat pusingan U pastinya bukan kerana prinsip tetapi kerana mahukan kuasa sehingga sanggup berpegang kepada matlamat menghalalkan segalanya.
“Inilah yang mendepani kita sekarang, bukannya musuh politik biasa, tetapi musuh yang mengamalkan seni politik serba kemungkinan, seni politik sapu sahaja - janji boleh. Seni politik yang tiada setiakawan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Puteri UMNO akan terus setia kepada kepemimpinan dan perjuangan parti meskipun ada bekas-bekas pemimpin yang telah berpaling tadah.
“Kesetiaan kepada pemimpin dan parti umpama tiang seri yang akan memastikan kestabilan da­lam UMNO.
“Sejarah menunjukkan banyak negara besar dan agung, kemudiannya hancur berkecai kerana soal kesetiaan,” katanya.
Tegasnya, kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti adalah salah satu kekuatan asas yang mematangkan UMNO untuk kekal sehingga kini.
“Tanamkan niat kita secara jujur bahawa pada PRU ke-14 nanti, kita akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus kekal sebagai parti memerintah negara ini,” katanya.