Tuesday, April 29, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 14 (Hari ke 13)

Rabu 28 November 2007

Hari ini merupakan hari pertama kami membuat lawatan ke luar Makkah.

0330 - Bangun dan masih terasa demam

0430 - Bertolak ke Masjidil Haram dan bersolat Subuh di sana.


Salmah di lobi hotel sementara menunggu bas. Beliau tidak sihat.


0730 - Menaikki bas No. 1 untuk lawatan luar. Bas berjenama King Long yang saya difahamkan berasal dari Republik Rakyat China. Saya dapati Salmah kurang sihat juga. Terang-terang saya nyatakan kesihatan kami ini menghilangkan 'mood' kami untuk lawatan luar ini. Oleh kerana kurang sihat saya juga kurang mengambil gambar untuk hari ini.

Kami melawat tempat-tempat berikut :

1. Jab al Thur dimana Nabi Muhammad menyembunyikan diri dari musuh di sebuah gua. Baginda diselamatkan oleh seekor labah-labah yang merentangkan jaringnya di pintu gua dan mengelirukan musuh yang menyangka sudah tentu sesiapa yang ingin masuk ke gua tersebut akan merempuh jaring labah-labah tersebut.

2. Padang Arafah di mana Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke dunia. Di sinilah nanti semua jemaah Haji dari seluruh dunia akan mengerjakan Wukuf. Kami juga berhenti di Jab al Rahmah tetapi kami berdua yang tidak sihat tidak turun dari bas.

3. Muzdalifah di mana semua jemaah Haji akan mengerjakan Mabit serta memungut 7 biji batu untuk dilontar di Mina.

4. Mina di mana jemaah Haji akan melontar.

5. Jaranah. Disini kami berhenti untuk memberi peluang kepada mana-mana jemaah untuk bermiqat untuk mengerjakan Umrah. Kami berhenti di satu Masjid dimana jemaah boleh mandi sunat dan memakai Ihram. Oleh kerana saya dan Salmah tidak sihat kami tidak dapat menunaikan Umrah sunat ini.

Oleh kerana saya tidak sihat saya bersolat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya' di surau sahaja. Salmah pula pergi ke Klinik untuk kali kedua di Makkah ini. Di Klinik tersebut beliau diberitahu oleh doktor bahawa seorang jemaah dari Muar Johor yang sama-sama membuat lawatan luar tadi telah meninggal dunia di Hospital Aziziah. Beliau datang ke Tanah Suci ini seorang diri, sekurang-kurangnya beliau dapat juga melawat tempat-tempat ibadat Haji seperi Arafah, Muzdalifah dan Mina.



Bukit di belakang itu ialah Jab al Thur. Mutu gambar tidak baik oleh kerana saya menghadapi matahari.

Seekor unta dan penjaganya berhampiran Jab al Rahmah. Unta tersebut bukanlah untuk tunggangan, cuma untuk jemaah Haji menaikinya dan bergambar. Bagi saya ini tidak lain dari seksaan dan penghinaan kepada haiwan.


Bersambung ke Bahagian 15....

No comments: