Sunday, February 14, 2010

Macam ahli gusti




Saya dah lama juga tidak melihat pogram gusti di TV. Kadang-kadang apabila saya melihat program gusti semula setelah lama meninggalkannya saya terperanjat juga. Kerana apa? Kerapa ada ahli gusti yang sebelumnya saya puja kerana 'baik' perangainya tiba-tiba sudah jadi 'jahat'.

Ada juga sebaliknya. Ahli gusti yang dahulunya saya benci kerana 'jahat' tiba-tiba sudah jadi 'baik'. Juga ada pasangan ahli gusti yang selama ini bergusti dalam satu 'tag team' tiba-tiba berpisah. Seorang jadi 'jahat' dan seorang lagi kekal 'baik'.

Mungkin ada yang tidak bersetuju, tetapi sebenarnya sukan gusti professional yang popular di TV itu semuanya lakunan. Setiap keputusan seperti siapa yang menang dan kalah sudah diatur atau dirancang pada awalnya.

Mungkin ada juga yang tidak tahu ahli-ahli gusti tidak menggunakan nama sebenar tetapi nama lakunan. Timbullah nama-nama seperti 'The Iron Sheikh', 'Ultimate Warrior', 'Sting' dan 'Macho Man'. Ini menguatkan teori bahawa ahli-ahli gusti adalah seniman semata-mata, bezanya mereka mempunya 'muscle' atau otot.

Ada juga yang menggunakan nama samaran. Mana peminat gusti yang tidak kenal dengan ahli gusti yang tergambar di atas. Dia dikenali sebagai 'Hulk Hogan' sedangkan nama sebenarnya ialah Terry Bollea.

Dalam gambar di atas Hogan sedang berdepan dengan bossnya Vince McMahon yang menggunakan nama sebenar. Mereka bergusti seolah-olah mereka bermusuh, sedangkan kedua-duanya berkawan baik.

Apa yang saya baca Hulk Hogan memulakan kerjaya gustinya sebagai seorang 'jahat'. Apabila mengalahkan 'The Iron Sheikh' untuk menjadi juara World Wrestling Federation (WWF) dia menjadi baik. WWF kemudian ditukar nama menjadi World Wrestling Entertainment (WWE).

Walau pun sudah menjadi 'baik' Hogan pernah menjadi 'jahat' seketika dengan nama 'Hollywood Hulk Hogan'. Dia bersara dari bergusti dengan menjadi 'baik' semula.

Apabila seorang ahli gusti berpaling tadah dari 'baik' menjadi 'jahat' dan sebaliknya kawan-kawan atau 'gang'nya pun berubah. Jika dia yang pada asalnya berada dalam geng 'baik' tiba-tiba menjadi 'jahat' semua ahli geng 'baik'nya akan menjadi musuhnya.

Sebaliknya pula musuh-musuh asalnya yang berada dalam geng 'jahat' akan menjadi kawan-kawannya.

Mungkin pembaca akan bertanya apa kena mengena cerita gusti ini dengan gambar paling atas itu? Oh ya, dia telah meninggalkan partinya baru-baru ini. Tiba-tiba sahaja kawan-kawannya yang selama ini satu parti dengannya menjadi musuhnya.

Di samping itu mereka yang menjadi musuhnya selama ini sudah tentu merasa lega. Sudah ada di antara musuhnya mengajak beliau masuk 'geng' mereka pula.

Buat masa ini beliau tidak menjadi ahli mana-mana parti. Tetapi jika beliau masuk ke parti yang selama ini menjadi musuhnya sudah tentu musuh-musuh asalnya akan menjadi kawan-kawannya. Sama seperti kes ahli-ahli gusti yang saya ceritakan.

Kumpulan mana yang 'baik' dan kumpulan mana pula yang 'jahat' saya tak berani nak komen.

Ada kawan saya yang tidak percaya gusti professional itu adalah lakunan pernah bertanya saya begini "Kalau benarlah program yang kau gila-gilakan selama ini adalah lakunan dan semua keputusan sudah dirancang kenapa kau suka tengok?".

Saya jawab "Sebab ia lakunanlah saya suka tengok".

Saya hanya berharap yang keluar parti itu tidak berlakun.

No comments: