Thursday, April 16, 2015

Bila Shammi Kapoor dikatakan pandai menyanyi.

Mendiang Shammi Kapoor

Baru-baru ini saya menerima satu video di 'whatsapp' yang dihantar oleh seorang kawan sekolah saya. Video yang dimaksudkan ialah nyanyian lagu Hindustan 'Main Chali Main Chali' yang dipetik dari filem 'Professor' lakunan Shammi Kapoor dan Kalpana. Lagu asal dinyanyikan oleh Allahyarham Muhammad Rafi dan Lata Mangeshkar yang 'meminjamkan' suara mereka kepada kedua-dua pelakon tersebut. Tetapi di 'whatsapp' ini lagu itu dinyanyikan oleh pasangan penyanyi-penyanyi semasa.

Saya meneka video ini tentu sebahagian dari satu konsert untuk mengingati pencipta lagu tersebut iaitu mendiang Shankar dan Jaikishan dan bukannya untuk mengingati Shammi Kapoor atau Muhammad Rafi yang juga sudah tiada. Apabila saya pergi ke laman 'Youtube' sangkaan saya itu didapati benar. Saya dapati ada dua belas konsert yang telah dipentas di seluruh India untuk mengingati Shankar - Jaikishan.

Ingatan saya pergi ke tahun 1963 apabila saya berumur 13 tahun dan berada di Tingkatan Satu di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak, sebuah sekolah berasrama penuh yang sekarang sudah berpindah ke Seremban. Saya baru setahun lebih mengenali lagu-lagu Inggeris. Penyanyi Cliff Richard dan kumpulan pengiringnya The Shadows menjadi pujaan saya dan apabila The Beatles muncul kemudiannya, seperti kebanyakan remaja lain saya juga memuja kumpulan itu. Tetapi minat saya kepada Cliff and The Shadows tak berubah.

Di tahun itu juga filem Junglee lakunan Shammi Kapoor datang ke panggung wayang di Tanjong Malim dan ia menjadi filem Hinduatan pertama saya tonton. Selepas itu saya tidaklah menyanyi Hindustan seperti saya menyanyi lagu-lagu Cliff Richard dan The Beatles. Tetapi ada seorang kawan sebilik saya yang senior dari saya dua tahun (Tingkatan Tiga) tergila-gila dengan lagu-lagu dari filem itu terutama lagu bernama 'Yaa Hoo'.

Dia menjerit 'Yaa Hoo' di sana dan 'Yaa Hoo' di sini, sehinggalah satu hari apabila dia berkata 'Sedap betul suara Shammi Kapoor'. Saya terus menegurnya dan berkata lagu itu bukan Shammi Kapoor yang menyanyi dan bukan Shammi Kapoor yang menjerit 'Yaa Hoo', tetapi seorang penyanyi bernama Muhammad Rafi. Dia terus mencemuh saya dan mengejek 'Kau apa tahu? Apa kau tahu tentang lagu Hindustan?' Saya jawab saya tahulah sikit-sikit.

Dalam beberapa bulan sebelum cuti penggal sekolah dia asyik mencemuh saya dan mengatakan Shammi Kapoor yang menjerit 'Yaa Hoo' dan bukan seorang Islam bernama Muhammad Rafi. Dia berkata lagi agaknya Muhammad Rafi ini pencipta lagu. Saya jawab 'Tidak, penciptanya ialah Shankar - Jaikishan'. Lagi marah dia kepada saya. Di zaman itu mana ada internet dan sepertinya untuk kam mencari kebenaran, jadi saya terpaksalah menerima sahaja cemuhannya. Hendak dilawan dia seorang senior.

Kemudian tibalah masanya untuk bercuti sekolah. Dia balik ke kampungnya di Langgar, Kedah dan saya balik ke Jelebu, Negeri Sembilan. Apa habis cuti dan kami berjumpa semula dia terus minta maaf kepada saya dan berkata memang benar apa yang saya kata bahawa suara Muhammad Rafi digunakan untuk filem-filem Hindustan bukan sahaja untuk Shammi Kapoor, tetapi untuk pelakun lain seperti Rajendra Kumar, Dilip Kumar dan Sunil Dutt.

Saya tanya bagaimana dia tahu? Dia jawab telah bertanya kepada abangnya seorang guru. Saya terus berkata padanya sebenarnya P. Ramlee dulu dibawa ke Singapura pada tahun 1948 untuk diberi tugas sama  seperti Muhammad Rafi. P. Ramlee diperlukan untuk meminjamkan suaranya kepada hero-hero Melayu seperti S. Roomai Noor dan Osman Gumanti di masa itu. Dia tanya 'Dari mana kau tahu semua ni?'. Saya jawab dengan membaca.

Sejak itu sehingga dia meninggalkan sekolah dua tahun kemudian dia tidak berani lagi mencemuh saya. Saya pula merasa bangga kerana mendapat penghormatan atau 'respect' yang sepatut darinya walau pun dia seorang senior.

Sekian.           

No comments: