Tuesday, December 27, 2016

Sesak sekejap saja (Merlimau-Jasin-Durian Tunggal-Seri Menanti-Seremban).

Di kenduri pertama, hantar Faiz kahwin.

Hari Ahad lepas bersamaan Hari Krismas 2016 saya pergi ke dua kenduri. Pertama majlis menghantar anak biras saya Faiz kahwin di Bukit Beruang, Melaka. Kedua majlis kenduri keluarga isteri di Merlimau, Melaka. 

Setelah bermalam di Merlimau, esoknya pula (Boxing Day 2016) saya pergi ke kenduri kahwin Faiz di rumah keluarganya di Durian Tunggal, Melaka. Selepas itu saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk mengambil emak saya.

Tengah hari Boxing Day saya ajak isteri saya pergi ke Kg. Air Barok, Jasin untuk melihat rumah di mana dia dilahir dan dibesarkan sebelum keluarganya pindah ke Merlimau. Jalan Merlimau - Jasin walau pun Jalan Negeri (Melaka) amat baik dan boleh mengalahkan beberapa Laluan Persekutuan, contohnya FR6 di Pulau Pinang yang saya lalui hujung minggu sebelumnya. 

Dari Jasin saya ke Durian Tunggal, juga melalui jalan negeri. Tetapi nampaknya jalan ini perlu diturap semula di beberapa tempat. Saya boleh pergi melalui Bemban di mana jalannya lurus dan lebar, tetapi saya memilih jalan bengkang bengkok di mana kenderaan kurang.

Dari Durian Tunggal saya ke Seri Menanti, Negeri Sembilan. Jalan-jalan Negeri Melaka juga cukup baik seperti juga sambungannya di Tampin, Negeri Sembilan. Saya melalui Laluan Perseketuan FR1 sekejap sahaja sebelum melencong ke Johol dari Kg. Keru, Tampin melalui Ulu Yoh. Sekali lagi Jalan Negeri (Negeri Sembilan) cukup baik. 

Dari Johol saya melalui Laluan Persekutuan FR9 arah ke Kuala Pilah. GPS di kereta saya mengarahkan saya untuk terus ke Bandar Kuala Pilah sebelum ke Seri Menanti melalui Tanjong Ipoh. Tetapi saya tahu jalan Kuala Pilah - Seremban tentu sesak. Dari itu saya melencong ke Seri Menanti di pekan kecil Senaling.

Saya terperanjat melihat jalan Senaling - Seri Menanti sudah dilebarkan dari yang saya pernah tempuh sebelum ini. Ini mengesahkan ucapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang saya dengar beberapa bulan yang lepas yang berkata Jalan-jalan Negeri di Negeri Sembilan ada yang mengalahkan Laluan Persekutuan.

Cuma seperti dulu masih ada bom jangka atau 'time bombs' di atas jalan Senaling - Seri Menanti. Bom jangka yang saya maksudkan ialah tahi lembu. Pemandu juga kena berhati-hati di jalan ini terhadap lembu, kerbau dan kambing yang boleh tiba-tiba melintas..

Setelah mengambil emak saya di rumah adik di Seri Menanti saya pun terus ke Seremban melalui Jalan Seri Menanti - Terachi, juga Jalan Negeri. Di Terachi barulah saya menempuhi kesesakan di Laluan Persekutuan FR51 Kuala Pilah - Seremban. Saya sudah menjangka kesesakan ini yang biasa di hujung minggu, lebih-lebih lagi selepas cuti panjang.

Mulai Klinik Kesihatan Terachi kenderaan mula bergerak laju dan ini agak menghairankan saya. Tetapi apabila saja menurun Bukit Putus kenderaan mulai perlahan semula. Dalam pada itu ada juga seorang pemandu yang memotong di laluan kecemasan. Baguslah tidak ada pemandu lain yang mengikut jejaknya.

Di Paroi kenderaan berjalan lancar seperti biasa dan saya sampai ke rumah tanpa perasaan marah dan sepertinya.

No comments: