Wednesday, March 21, 2018

Pilihan yang tepat.


Saya diminta duduk di meja utama. Antara yang duduk bersama ialah mantan Menteri Kabinet yang juga mantan Menteri Besar, mantan EXCO negeri, mantan Setiausaha Politik Menteri, Pegawai Daerah semasa, Ketua Polis Daerah semasa dan mantan Guru Besar sekolah.

Tiga tahun yang lepas saya menyertai satu program 'reunion' alumni sekolah lama saya Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Program berjalan beberapa hari di negeri-negeri Melaka dan Johor. Antara yang turut bersama ialah seorang yang senior enam tahun dari saya. Saya ada menceritakannya di sini. Ada enam bahagian cerita itu sebenarnya. 

Kebetulan senior itu bergelar Dato' dan menjadi  Yang Di Pertua, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM untuk negeri Pahang. Saya pula menjadi Setiausan Persatuan yang sama untuk Negeri Sembilan. Penglibatan kami dalam PPKM berupa 'reunion' untuk kami berdua. Kebetulan semasa program 'reunion' alumni SDAR itu ada Mesyuarat Majlis Tertinggi PPKM di Kuala Lumpur. Dato' adalah anggota tetap Majlis Tertinggi itu.

Saya terus tanya Dato' kenapa tidak hadir ke Mesyuarat itu? Jawapannya ' Yang ini (reunion) lagi mustahak'.  Itulah juga situasi yang saya hadapi dua hari yang lepas. 

Dua hari lepas iaitu 19 Mac 2018 saya berdepan dengan dua majlis yang sama-sama mustahak. Cawangan PPKM di Gemas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Yang Di Pertua negeri dan saya dijemput hadir. Di masa yang sama Timbalan Yang Di Pertua negeri kami yang juga Pengerusi PPKM Cawangan Jelebu menjemput kami berdua untuk satu program Silaturrahim Pesara di Kuala Klawang, Jelebu.

Yang Di Pertua atau boss saya memilih untuk ke Gemas kerana dia diminta memberi ucapan. Saya pula memilih untuk ke Jelebu. Boss saya mengarahkan saya turut sama ke Gemas tetapi saya tetap berdegil. Saya sudah bersedia untuk menghadapi risiko diambil tindakan. Jika itu berlaku saya akan merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh Dato' senior saya semasa program 'reunion' kami tiga tahun yang lepas.   

Ada dua sebab mengapa saya memilih Jelebu dari Gemas di hari itu. Lebih tepat saya memilih Kuala Klawang iaitu bandar utama untuk Daerah Jelebu. Pertama ia lebih dekat dengan rumah saya di Seremban. Jika ke Gemas belum tentu dapat balik seelum Maghrib.

Sebab kedua dan utama ialah ini berupa antara sedikit peluang yang saya dapat untuk bergaul dengan masyarakat Jelebu. Walau pun saya dilahirkan di Jelebu jika saya berjalan di bandar Kuala Klawang saya tidak mengenali sesiapa dan orang lain juga tidak mengenali saya.

Ini kerana saya tidak bersekolah menengah di Jelebu. Selepas tamat sekolah menengah saya terus bekerja. Di lain perkataan saya tidak menempuh zaman remaja di Jelebu. Saya cuma diberi peluang bekerja di Pejabat Kesihatan Jelebu selama dua minggu di penghujung tahun 1971 sebelum saya ditukarkan ke Kelantan. Pejabat Kesihatan Jelebu di masa itu cuma terletak beberapa puluh meter dari lokasi majlis di Kuala Klawang itu.

Saya bekerja di Kelantan selama setahun pada tahun 1972 sebelum bekerja di Majlis Perbandaran Seremban atau MPS dari tahun 1973 sehingga bersara pada tahun 2010.

Syukurlah selepas bersara saya dilantik menjadi Setiausaha, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Bahagian Negeri Sembilan. Mulai itulah saya baru bergaul dengan orang-orang Jelebu, walau pun mereka sama-sama pesara kerajaan seperti saya.

Hubungan saya dengan Pengerusi PPKM Cawangan Daerah Jelebu Dato' Ibrahim Che' Mat dan Setiausaha beliau Hj. Mahadi cukup baik. Dato' Ibrahim juga yang meminta saya duduk di meja utama seperti gambar di atas bersama-sama dengan Tetamu Kehormat Dato' Seri Utama Tan Sri Rais Yatim. Untuk melihat suasana di majlis itu sila lihat album Facebook saya SATU PETANG DI WISMA BUDI, KUALA KLAWANG, JELEBU.

Sekian.

No comments: