Tuesday

APAKAH ITU QARINAH?


1.         PENGERTIAN

Qarinah dari segi bahasa bermaksud beserta, bersama atau bersahabat. Dari segi istilah pula bermaksud sesuatu perkara yang menjadi dalil ada sesuatu atau tiada sesuatu.

            Mengikut pendapat Abdul Karim Zidan, qarinah bermaksud sesuatu yang mencakupi  dan merangkumi setiap yang boleh dijadikan bukti atau keterangan bagi mensabitkan tentang ada sesuatu atau tiada sesuatu.
           
            Menurut Undang-Undang, qarinah didefinisikan sebagai fakta-fakta yang ada hubungan dengan  fakta yang lain dengan apa-apa cara yang disebutkan dalam hukum syarak atau yang dihuraikan dalam perintah ini. Qarinah termasuk fakta-fakta yang mana meskipun tidak menjadi persoalan, berkaitan sedemikian dengan suatu fakta sebagai menjadi sebahagian dari urusan yang sama, samada ianya berlaku pada waktu dan tempat yang sama atau pada waktu atau tempat yang berlainan.  Contohnya jika A dituduh memukul isterinya B, apa jua yang dikatakan atau dilakukan oleh A atau B atau orang-orang yang melihat kejadian memukul itu tidak lama sebelum atau selepas pemukulan sebagai menjadi sebahagian daripada kejadian tersebut.

Berdasarkan kepada definisi ini, apa sahaja fakta di dalam apapun bentuk asalkan ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak ia adalah termasuk di dalam definisi qarinah yang boleh diterima sebagai salah satu dari bahan bukti di dalam mensabitkan satu-satu kesalahan.


2.         PEMBAHAGIAN QARINAH

2.1       Qarinah Maqaliah

            Qarinah ini bermaksud pembuktian berdasarkan perkataan ataupun maksud daripada perkataan. Contohnya seseorang mengatakan “Aku melihat singa sedang menulis”. Perkataan singa itu membawa maksud berani. Oleh itu ayat yang dimaksudkan sebenarnya ialah “ Aku melihat orang yang berani itu sedang menulis”.

2.2       Qarinah Haliah

            Qarinah ini bermaksud pembuktian berdasarkan hal keadaan atau suasana. Sebagai contoh, seseorang berkata kepada sahabatnya yang hendak pergi belayar “Semoga engkau dalam jagaan Allah”. Ayat ini menerangkan perihal keadaan ketika itu. Oleh itu ayat itu sebenarnya bermaksud “ Aku ingin menemani mu dalam pelayaran ini”.


3.         PENDAPAT PARA ULAMA’

            Abdul Karim Zidan mengatakan bahawa sesuatu qarinah yang boleh dijadikan bukti adalah sesuatu yang boleh kesan oleh pancaindera seperti dirasa, dipegang dan sebagainya. Sebagai contoh, seseorang keluar dari sebuah rumah dalam keadaan tergopoh-gapah sambil membawa sebilah pisau dan apabila dilihat di dalam rumah tersebut terdapat orang yang mati akibat disembelih. Oleh itu, bukti yang jelas ialah pisau yang dibawa oleh orang itu boleh menjadi punca atau alat untuk membunuh mangsa. Inilah yang dinamakan qarinah.

            Menurut Abdul Muniem al-Bahai,qarinah yang diterima pakai hanyalah qarinah yang kuat iaitu mempunyai bukti yang kukuh, jelas serta yakin. Qarinah ini adalah tanda atau alamt untuk sampai ke peringkat yakin tetapi tidaklah sampai ke peringkat yakin tanpa sebarang keraguan kerana untuk sampai ke peringkat ini hanyalah melalui dua cara iaitu ikrar dan kesaksian. Walaubagaimanapun qarinah yang lemah tidak akan diabaikan begitu sahaja. Ia tetap diterima sebagai keterangan bagi membantu sesuatu kes

            Menurut Al-Qurtubi, ulama’ fiqah menggunakan ayat “petanda yang menunjukkan” sebagai dalil dalam masalah fikh seperti qasamah dan sebagainya. Sebagai contoh, koyaknya baju Nabi Yusuf dari belakang adalah qarinah yang menunjukkan bahawa Nabi Yusuf tidak melakukan sebarang pencerobohan ke atas Zulaikha. Koyaknya baju Nabi Yusuf merupakan petanda yang menunjukkan tiada pencerobohan berlaku.

            Kebanyakan Ulama’ menerima qasamah sebagai salah satu cara pembuktian dalam kes pembunuhan yang tidak diketahui siapa pembunuhnya. Adalah jelas bahawa lauth ialah sebahagian daripada qarinah yang menjadi faktor penting dalam proses qasamah. Ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, beliau telah mengenakan hukuman hudud (zina) ke atas seorang wanita yang hamil tetapi tidak mempunyai suami. Qarinah yang digunakan di sini ialah hamil tanpa suami.

4.         DALIL GOLONGAN YANG MENOLAK QARINAH

            Golongan yang menolak Qarinah bagi menjadi bukti sesuatu kes mengatakan ianya tidak tetap dan tidak mantap dan telah terbukti bahawa qarinah seolah-olah kuat tetapi setelah diperiksa ternyata ianya lemah.

            Golongan ini telah menggunakan hadis Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah:
            Dari Ibnu Abbas r.a berkata, Rasullullah s.a.w telah bersabda : “ Jika aku hendak merejam seseorang tanpa keterangan, nescaya aku merejam perempuan yang pada zahirnya menimbulkan keraguan dari segi percakapan, keadaannya dan orang yang masuk kepadanya (ke dalam kediamannya)”.
5.         KEDUDUKAN QARINAH SEBAGAI BAHAN BUKTI

Di dalam mensabitkan  satu-satu kesalahan, qarinah tidak diterima sebagai bukti utama khususnya kesalahan-kesalahan yang melibatkan hukuman hudud dan qisas. Hanya iqrar dan shahadah sahaja yang diterima bagi menthbitkan kesalahan hudud dan qisas kerana kedua-kedua keterangan (bayyinah) tersebut dikira mempunyai tahaf pembuktian yang meyakinkan.  Di dalam Islam, hukuman hudud dan qisas perlulah digugurkan jika terdapat walaupun sedikit keraguan di dalam bukti-bukti yang dikemukakan. 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Jauhkan hudud apabila ada syubhat (kesamaran).

Berdasarkan kepada hadith ini jelas bahawa qarinah tidak boleh dikira sebagai bukti yang konkrit di dalam mensabitkan satu-satu kesalahan kerana di dalam qarinah ianya sukar dianggap sebagai suatu yang dianggap kuat. Namun di dalamnya masih terdapat kesamaran kerana di dalam qarinah berbagai-bagai kemungkinan boleh terjadi.

Walaubagaimanapun di dalam keadaan-keadaan yang tertentu, satu-satu jenayah  tidak dapat  dibuktikan melalui jalan biasa yang dipersetujui oleh majoriti ulamak seperti keterangan (bayinnah) atau iqrar (pengakuan). Sebagai contoh, jika seseorang wanita dirogol pada waktu malam yang gelap sudah tentu amat sukar untuk mengenali lelaki yang merogol wanita tersebut.  Jika jenayah tersebut hanya boleh dibuktikan hanya melalui shahadah (saksi) maka sudah tentu penjenayah tersebut akan terlepas begitu sahaja tanpa sebarang hukuman. Lelaki tersebut juga mungkin tidak akan mengaku melakukan perbuatan tersebut meskipun telah ditahan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan hukuman.  Jadi jika tertuduh tersebut hanya boleh didakwa dan dihukum hanya berpandukan kepada dua method penthabitan kes iaitu shahadah dan iqrar, maka sudah tentu lelaki tersebut akan terlepas begitu sahaja tanpa menerima sebarang hukuman dari perbuatannya yang terkutuk itu.
Lantaran itu, bagi menegakkan keadilan bagi mangsa dan bagi masyarakat seluruhnya, qarinah perlulah diambil kira sebagai salah satu bukti di dalam menthbitkan kesalahan rogol tersebut. Ujian DNA adalah merupakan salah satu method yang boleh digunakan dan sepatutnya diterima pakai bagi menthabitkan jenayah yang dilakukan.  Rakaman video yang dirakamkan melalui video yang mempunyai kemampuan mengambil gambar diwaktu malam (night vision) sebagai contoh juga dikira sebagai qarinah yang juga perlu diambil kira jika sekiranya bukti seumpama ini boleh dibentangkan di mahkamah. Begitu juga sekiranya terdapat gambar-gambar yang dirakamkan yang menunjukkan dengan jelas perbuatan tersebut seperti pedang yang dimasukkan ke dalam sarungnya dan wajah penjenayah dan juga mangsanya dapat dilihat dengan jelas serta dikuatkan lagi dengan pandangan pakar yang amanah dan adil menurut hukum syarak bahawa gambar-gambar tersebut adalah asli dan bukan ubahsuai melalui teknik super impose atau seumpamanya, maka bukti seumpama ini juga perlu diterima sebagai bahan bukti. Dengan cara ini penjenayah tidak dapat melepaskan diri begitu sahaja dan perlu bertanggungjawab di atas jenayah yang dilakukan ke atas mangsa.  Dengan cara ini, keadilan yang menjadi asas di dalam hukum syarak dapat ditegakkan. 

6.         QARINAH DALAM KES-KES HUDUD ( JENAYAH DALAM ISLAM)

6.1       Zina    

            Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ dalam mensabitkan zina melalui hamil tanpa suami atau tanpa pernikahan atau keraguan.

            Qarinah yang muktabarah (yang boleh diambil kira) dalam kes zina ialah kehamilan yang nyata bagi wanita yang tidak bersuami. Menurut pendapat Abu Hanifah, Syafie dan Ahmad bin Hanbal, kehamilan tersebut tidak boleh mensabitkan kes zina ke atas wanita tersebut dengan alasan bahawa kehamilan boleh berlaku dengan sebab  persetubuhan yang berunsur syubhah, atau kerana dirogol.  Ini bermakna bahawa punca  kehamilan wanita tersebut terdapat keraguan dan justeru itu hukuman hadd tidak boleh dilaksanakan.  Imam Abu Hanifah berhujah berdasarkan kepada kes Syarahah di mana beliau telah disetubuhi oleh se orang lelaki di dalam keadaan tidur.  Ali r.a telah tidak mengenakan hukuman hadd ke atas diri beliau.  Imam Abu Hanifah juga berhujah dengan bersandarkan kepada satu kes yang berlaku di zaman Omar r.a di mana beliau telah ditanya tentang seorang wanita yang telah disetubuhi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan lelaki itu kemudiannya melarikan diri.  Omar r.a tidak mengenakan hadd ke atas wanita tersebut kerana wujudnya syubhah. Imam Syafie juga turut mempunyai padangan yang selari dengan Imam Abu Hanifah.  Beliau berpendapat bahawa hukuman hadd tidak boleh dilaksanakna ke atas wanita tersebut meskipun wanita tersebut gagal membuktikan bahawa dia telah dirogol kerana menurut Imam Syafie hukuman hadd boleh dilaksanakan kecuali apabila telah disabitkan kesalahan tersebut melalui iqrar (pengakuan) dan juga shahadah (kesaksian).


            Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie  berpendapat tidak dikenakan hukuman hudud kerana kemungkinan kejadian hamil itu bukan disebabkan kerelaan atau secara tidak sengaja seperti seseorang itu dirogol atau terjadi perpindahan cecair antara lelaki dan perempuan secara tidak sengaja.

            Menurut Imam Maliki pula,hudud akan dikenakan jika ia seorang perempuan yang bermukim dan tidak asing melainkan jika terdapat tanda-tanda ia dipaksa seperti ia memekik atau menjerit meminta pertolongan

            Manakala bagi golongan Hanbali, ia tidak terus dikenakan hudud tetapi akan dibuat penyiasatan. Jika seseorang memang seorang dara dan kehamilannya secara paksaan atau terdapat keraguan maka tidak dikenakan hudud. Jika seseorang itu bukan dara, hamilnya bukan hasil pernikahan, bukan dipaksa atau tiada keraguan maka ia dikenakan hukuman hudud.

6.2       Curi

            Menurut sebahagian ulama, dakwaannya bahawa barang itu adalah miliknya menyebabkan timbulnya keraguan dan dengan itu gugurlah hudud.
           
            Pendapat lain pula berpendapat, jika kita menerima pendapat di atas, pencuri akan menggunakan pendapat ini sebagai dalih atau alasan. Dengan itu hukuman hudud sama sekali tidak akan dapat dijalankan ke atas pencuri.

            Bagi Ibnu Qiyyim, imam dan khalifah boleh menjatuhkan hukuman potong tangan jika didapati harta yang dicuri berada pada orang yang dituduh. Ini merupakan qarinah yang lebih kuat daripada kesaksian atau ikrar kerana kedua-duanya adalah khabar yang kemungkinan benar atau bohong, sedangkan ada harta yang dicuri dalam milik orang yang dituduh merupakan nas yang jelas.


6.3       Minum arak

            Bagi mazhab Syafie, Hanafi dan Thauri berpendapat bahawa tidak dikenakan hudud dengan hanya mendapati bau arak di mulut atau pada muntah seseorang jika tiada saksi yang menyaksikan ia minum arak atau tiada ikrar daripadanya. Alasan mereka ialah bau iti suatu kemungkinan atau kemungkinan juga ia minum kerana terpaksa atau jahil.

            Lain pula pendapat sebahagian ulama’ yang lain seperti Khulafa’ al-Rasyidin, Ahmad dan Malik yang mengatakan dikenakan hudud ke atas orang-orang seperti ini berdasarkan qarinah yang zahir



7. APLIKASI QARINAH DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG  JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

            Penggunaan Qarinah digunakan secara meluas di dalam undang-undang Syariah di Malaysia. Di dalam Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003 menjadikan qarinah antara aset terpenting di dalam penyampaian sesuatu pembuktian.

            Menurut Seksyen 5 Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan boleh diberikan mengenai fakta persoalan dan qarinah. Ini bermaksud ia tidak membenarkan kepada mana-mana orang memberikan keterangan mengenai apa-apa fakta yang dia tidak berhak membuktikannya menurut undang-undang yang berkaitan dengan tatacara mal.

            Undang-undang Jenayah Syariah sendiri menerima pakai kaedah qarinah kerana pembuktiannya yang jelas dan ianya lebih kepada tahap yakin.Kebiasaannya qarinah menjadi panduan kepada hakim dalam menegakkan keadilan.

            Penggunaan qarinah membantu hakim dalam membuat sesuatu alasan penghakiman. Sebagai contoh, kes yang berlaku di mana seorang perempuan didakwa atas kesalahan hamil tanpa nikah atau suami. Di dalam kes ini, ada bukti menunjukkan bahawa tertuduh tidak pernah berkahwin. Tertuduh juga mengaku bahawa dia telah melakukan persetubuhan haram yang menyebabkan terlahirnya anak luar nikah. Qarinah di sini iaitu mengandung tanpa nikah telah menjadi beban bukti yang kuat.

            Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, qarinah adalah satu perkara yang besar manafaat di dalam sistem kehakiman.  Jika qarinah diabaikan, maka ianya boleh menyebabkan hak sesetengah orang tidak dapat ditunaikan dan sekaligus kebatilan akan bermaharajalela.  Namun jika qarinah digunakan tanpa batasan tanpa berpandukan kepada prinsip-prinsip syarak. Ianya juga boleh menyebabkan kezaliman.

Sebagai contoh, keterangan isteri bagi kepentingan suami tidak harus jika ianya sebagai kesaksian Namun kenyataan isteri boleh diambil kira jika sebagai qarinah.  Begitu juga keterangan anak bagi pihak ayahnya tidak boleh diterima sebagai saksi tetapi boleh diterima sebagai qarinah kerana qarinah lebih luas dan syaratnya juga tidak begitu ketat dan ianya boleh diterima dan ditolak oleh mahkamah.  Tetapi keadaan berlainan bagi kesaksian kerana ianya mengikat mahkamah.

Sebenarnya bila diteliti cara penghakiman Nabi saw, di sini kita dapati bahawa Nabi menjatuhkan hukuman rejam terhadap lelaki itu berpandukan qarinah iaitu keadaan lelaki yang terketar-ketar ketika beliau ditangkap.  Keadaan lelaki yang terketar-ketar itu pula dikuatkan dengan perkataan dari lelaki-lelaki yang menangkpanya.  Pada hakikatnya, cara penghakiman tersebut sama seperti penghakiman yang dibuat di dalam kes meminum minuman keras (khamar) melalui bau arak serta muntah-muntah yang juga merupakan qarinah kerana lelaki yang meminum arak tidak mempunyai saksi yang menyaksikan sendiri lelaki tersebut meminum minuman keras. Begitu juga dengan penghakiman seseorang yang memiliki barangan yang dicuri di dalam kes sariqah(kecurian). Penghakiman melalui bau arak dan muntah ini telah disepakati oleh para sahabat.  Tambahan pula semasa lelaki itu ditangkap, selain dari dia berada di dalam keadaan terketar-ketar, tidak terdapat orang lain yang boleh disyaki melakukan perbuatan tersebut kecuali lelaki tersebut.  Ini semua disokong pula dengan ketidakwujudan fakta-fakta yang menunjukkan bahawa wanita tersebut mempunyai permusushan dengan lelaki yang tertuduh .   

Dengan gabungan beberapa qarinah yang dikemukakan, maka Nabi saw membuat keputusan bahawa yang tertuduh perlu dijatuhkan hukuman.  Meskipun dengan berdasarkan qarinah-qarinah tersebut, kemungkinan berlakunya penghakiman yang kurang tepat berdasarkan kepada kisah yang diceritakan di dalam hadith yang lalu, keadaan tersebut kadangkala tidak dapat dielakkan sama seperti kedua-dua cara pensabitan yang diterimapakai oleh para ulamak iaitu iqrar dan shahadah kerana di dalam kedua-dua cara ini kesilapan juga boleh berlaku.  Sebagai contoh mereka yang membuat iqrar juga kadangkala tidak boleh diterima kebenarannya kerana ada yang membuat iqrar tetapi pada hakikatnya bukan dia yang melakukan jenayah tersebut tetapi mengaku bersalah kerana semata-mata untuk menyelamatkan mereka yang dikasihi seperti anak, bapa, isteri dan sebagainya.                                                                                     

 Namun mahkamah tetap juga menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang membuat iqrar kerana itu adalah merupakan tuntutan undang-undang yang perlu dipenuhi kecuali jika terdapat keraguan di dalam iqrar barulah hukuman tidak dijalankan.  Begitu juga terdapat kes di mana tertuduh dihukum hanya berdasarkan kepada shahadah yang dibuat oleh saksi-saksi  yang akhirnya ternyata adalah saksi dusta. Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, jelas bahawa kesilapan di dalam sesetengah keadaan tidak dapat dielakkan. Namun bagi seorang hakim, mereka perlulah berhati-hati di dalam menggunakan qarinah sebagai bahan bukti bagi mengelakkan berlakunya kesilapan di dalam penghakiman kerana Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Tersalah memaafkan mereka yang dituduh adalah lebih baik dari tersalah di dalam menjatuhkan hukuman”.

KESIMPULAN

            Penggunaan Qarinah dalam undang-undang keterangan Islam di Malaysia amat penting bagi memenuhi keperluan sesuatu kes yang berlaku. Jika qarinah diabaikan, maka ianya boleh menyebabkan hak sesetengah orang tidak dapat ditunaikan dan sekaligus kebatilan akan bermaharajalela.  Namun jika qarinah digunakan tanpa batasan tanpa berpandukan kepada prinsip-prinsip syarak. Ianya juga boleh menyebabkan kezaliman. Konsep Qarinah yang begitu meluas pentafsirannya akan diterima pakai oleh hakim dan mahkamah apabila terdapat beban pembuktian yang kuat ke atas qarinah itu sendiri. Sebab itu undang-undang Islam mengamalkan penggunaan Qarinah ini kerana ia memainkankan peranan penting sama ada dalam kes mal mahupun kes jenayah. Namun begitu pengaplikasiannya di dalam kes jenayah ternyata qarinah banyak membantu sesuatu kes diselesaikan dengan mudah. Ini kerana qarinah itu sendiri menjadi sandaran atau kekuatan sesuatu bukti dalam mensabitkan suatu kesalahan terhadap seseorang. Jadi pengaplikasiannya di dalam kes jenayah Islam memang wujud dan diterima sebagai bukti atau fakta-fakta yang ada hubungan dengan  fakta yang lain dengan apa-apa cara yang disebutkan dalam hukum syarak.


No comments: