Program Bantu Membantu Jana Wang

Wednesday, April 23, 2008

PLKN: Pemeriksaan kesihatan diwajibkan

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

KUANTAN 22 April - Para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mungkin diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan terlebih dahulu sebelum diserapkan ke kem-kem latihan pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

''Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha jabatan untuk mengadakan penambahbaikan program yang disediakan dari semasa ke semasa.

''Memang ada cadangan tentang perkara ini tetapi kita perlu mendapatkan pandangan semua pihak," katanya kepada pemberita di Kem PLKN Cahaya Gemilang Cherating dekat sini hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan sudah sampai masanya para pelatih PLKN diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan berikutan berlaku beberapa kes menyebabkan kematian akibat para pelatih enggan berterus terang tentang tahap kesihatan masing-masing.

Terdahulu, Abdul Hadi yang hadir sempena program motivasi dan latihan oleh ikon PLKN, Mejar Dr. Faiz Khaleed, melakukan flying fox sebagai suntikan semangat kepada para pelatih kem tersebut.

Turut melakukan aksi yang sama dengan jarak sejauh 100 meter dan ketinggian kira-kira 15 meter itu ialah Dr. Faiz serta Komandan kem, Leftenan Komander Mohd. Zailani Osman.

Seramai 429 pelatih kumpulan dua siri 5/2008 yang bermula 18 Mac lalu menjalani latihan di kem berkenaan termasuk anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Nurul Izzah Abdullah, 18.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, buat masa ini, para pelatih hanya perlu mengisytiharkan status kesihatan mereka melalui pemeriksaan kesihatan biasa yang dilakukan di kem-kem seluruh negara.

Pada masa sama, tegasnya, tidak adil menyalahkan JLKN atau PLKN jika timbul sebarang masalah kerana semua pihak bertanggungjawab memastikan segala-galanya berjalan dengan baik.

''Ada kes pelatih PLKN yang sudah keluar lebih sebulan tetapi masih dikaitkan dengan kita. Bagi saya, tidak adil masyarakat menyalahkan program ini dengan apa sahaja yang berlaku," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, hasil kajian keberkesanan terbaru PLKN oleh pihak pengurusan ke atas 3,100 pelatih pelbagai kaum mendapati matlamat yang disasarkan tercapai.

''Kesimpulannya, rata-rata maklum balas tentang keberkesanan program yang diberikan oleh para pelatih tidak kurang daripada 90 peratus. Saya boleh katakan program ini sangat berkesan," kata beliau.

Sehubungan itu katanya, satu kajian lanjut dan lebih terperinci tentang keberkesanan program itu akan dilaksanakan dengan keputusan atau hasilnya kelak akan diumumkan kepada orang ramai.

''Kajian seumpama ini penting kerana ia merupakan asas kepada pihak jabatan merangka program-program pada masa akan datang," katanya.

No comments: