Wednesday, September 8, 2010

Amalan Sunnah Aidilfitri

Aidil Fitri adalah hari kemenangan setelah melalui pelbagai dugaan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda :
"Kami pulang daripada jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar,sesungguhnya jihad melawan nafsu itu lebih besar"

Seharusnya momentum Ramadhan memperbanyakkan amal ibadah patut kita. Amal ibadat kita diteraskan sumber al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dan rujukan. Ianya bagi membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa).

 Sempena dengan hari mulia ini seharusnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan Allah sebagai mana Rasulullah bersabda :
Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas, diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu.
(Riwayat Bukhari )

 Antara amalan yang patut dilakukan ialah dengan menghidupkan sunnah Rasullullah s.a.w. Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan  Aidilfitri ini.

1.    Bertakbir 
    Amalan bertakbir bermula daripada malam 1 Syawal seusai terbenam matahari Ramadhan dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Disunnahkan bagi kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah menyerlahkan lagi syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat. Takbir bebas dilakukan sama ada di masjid, surau mahupun di dalam perjalanan. Selain tu, kita juga boleh memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih memuji Yang Maha Esa.
 
2.    Mandi Sunat Hari Raya 
   Sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri pada pagi Hari Raya sebelum pergi ke masjid. Disunnahkan mandi di pagi hari raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Antara mandi yang disunnahkan adalah mandi pada hari Jumaat, Hari ‘Arafah (9Zulhijjah), dan dua hari raya.

3.    Memakai Pakaian  Terbaik dan Berwangi-wangian  
    Pakailah pakaian terbaik dari koleksi pakaian yang ada. Ia bukanlah bertujuan menunjuk-nunjuk tetapi mestilah diiringi dengan penghayatan bahawa betapa banyaknya nikmat yang dikurniakan Allah pada hari Raya. Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.

Kita juga disunatkan membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”
 Hadis riwayat al-Nasaai

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian sekadar terhindar dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Namun diperhatikan dunia hari ini, kaum wanita yang berwangian berlebih-lebihan.
 
4.    Beramai-ramai menghadiri tempat solat
    Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang iaitu tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Tetapi ia merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil. Keadaan ini membolehkan semua jemaah dapat berhimpun bersama-sama. Juga peringatan agar perempuan tidak terlebih berwangian dan bawalah anak-anak yang mumaiyiz bersama.

5.    Keluar awal ketempat solat   
    Digalakkan bagi semua jemaah agar keluar awal menuju ketempat solat hari raya dan memenuhkan waktu itu dengan bertakbir dan bertahmid sepanjang perjalanan dan di tempat solat. Namun, tidak bagi Imam yang disunatkan lewat mengikuti jemaah.

6.    Menikmati juadah sebelum solat
    Jamahlah sedikit juadah yang ada sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sunat makan sedikit pada pagi itu sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya. Sebaiknya makan buah kurma dengan bilangan yang ganjil.

Daripada Anas r.a berkata :
" Biasanya Rasulullah s.a.w sebelum pergi solat Aidilfitri , terlebih dahulu baginda makan beberapa biji kurma "
( hadith Riwayat al- Bukhari , bab al'-Aid)

    Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya.

    Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.


7.    Keluar Jalan Kaki Dan Jalan Yang Berbeza Sewaktu Pulang
    Pergi menunaikan solat dengan berjalan kaki. Memilih laluan yang berbeza semasa anda pergi dan balik daripada menunaikan solat. Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan.

    Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh agar banyak langkahnya. Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.


8.    Segera Mengeluarkan Zakat Fitrah
    Masanya adalah di antara selepas solat Subuh hinggalah sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Waktu itu adalah masa yang afdhal untuk membayar zakat fitrah. Disunatkan berbayar ditempat kita berada pada malam hari raya.


9.    Ucap Tahniah
    Ucaplah tahniah bagi menzahirkan kegembiraan pada hari raya. Ucapkan selamat dan mendoakan kebaikan antara satu sama lain terutama  kalimah yang mengandungi pengertian semoga amalan puasa diterima Allah. Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain seperti mengucapkan:
Taqaballahuminna wa minkum
Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak

        Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w.

Penutup

    Inilah sebahagian daripada amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w. Jangan jadikan hari raya sebagai pesta maksiat dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan tabarruj berlebihan terutama kaum wanita.
 
Juga peringatan dalam suasana kegembiraan dan kemeriahan kita menyambut Hari Raya yang akan menjelang tiba, janganlah melupakan nasib mereka yang kurang baik yang hidup susah dan menderita disebabkan kemiskinan dan musibah yang menimpa mereka. Mudah-mudahan amal yang kita lakukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesengsaraan dan penderitaan yang mereka tanggung. Sabda Rasulullah s.w.t.  maksudnya:
"Dari Abi Hurairah r.a.: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: 
Barangsiapa melepaskan seorang mukmin itu suatu kesusahan dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di akhirat."

Akhir kata, asif jiddan atas segala khilaf dan kesalahan yang pernah berlaku. Moga Syawal ini menimbulkan keinsafan dan kita semua bererusan dibawah lembayung rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Salam Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin. Taqaballahuminna wa minkum. Semoga bertemu dengan Ramadhan akan datang Insya Allah.

No comments:

Post a Comment