Saturday, September 19, 2009

Puisi Akhir Ramadhan - Tangisan Sedih

Aku duduk sendiri di malam sepi di satu sudut kesunyian
Tiada suara hingar bingar siang
Celoteh bising manusia pun tak kudengar
Aku ingin benar mengadu padaMU kelemahan dan kekurangan diri
Kerana tidak ada pendengar yang paling baik dan sempurna melainkan Zat Yang Ghafur dan Tawwab
Kerana Ramadhan pergi dengan haknya aku masih abaikan seperti masa yang lampau

Aku ingin sekali menangis teresak-esak bagai anak kecil menagih susu ibunya
Bagai hamba sahaya merayu belas kasihan daripada tuannya
Kerana DIAlah ar-Rahim yang penuh rahmat
Kerana DIAlah al-Alim yang luas tak berbatas ilmu-NYA
Kerana aku membiarkan Ramadhan pergi sedang nafsu masih menguasai diri
Kerana aku masih tertipu janji-janji bohong syaitan

Wahai Allah! Ampunkan aku kerana sebelum Ramadhan tiba aku susun dalam diari hatiku
Seribu baris rancangan memperbaiki diri
Seribu baris azam membetulkan diri
Seribu baris niat menghidupkan malam Ramadhan dan siangnya
Kini setelah Ramadhan pergi aku jadi takut, Wahai Allah!
Bukan islah nafsi yang ku capai tetapi rosak hati dan akli pula melanda kerana terikut-ikut manisnya bisik nafsu dan syaitan

Wahai Allah! Jangan KAU jauhkan rahmat dan maghfirahMU kerana kedaifan insan ini
Kasihanilah dia yang lemah ini dengan mengukuhkan kakinya di atas jalan agama dan dakwah
Kasihanilah dia yang suka main-main ini dengan menjadikan iman dan amal soleh perhiasan hatinya
Kasihanilah dia yang tak pernah sempurna memahami agama dan dakwah ini dengan menjadikan syirik, kufur dan kefasikan serta maksiat kebencian hatinya.
Wahai Allah! Sungguh-sungguh aku merayu padaMU
Wahai Allah! Sungguh-sungguh aku mengadu padaMU

SELAMAT JALAN RAMADHAN
MOGA KITA BERJUMPA LAGI

No comments: