Saksi lihat ekor pesawat terbakar pada hari sama MH370 dilapor hilang OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
MARCH 12, 2014 Orang ramai tidak putus berharap akan keselamatan penumpang pesawat MH370. - Gambar The Malaysian Insider.Orang ramai tidak putus berharap akan keselamatan penumpang pesawat MH370. - Gambar The Malaysian Insider. Seorang petani mendakwa terlihat sebuah pesawat terbang rendah sekitar jam 2 pagi pada hari pesawat MH370 dilaporkan hilang, lapor Astro Awani.
Ibrahim Konok yang berasal dari Tumpat, Kelantan melihat kesan kebakaran pada ekor sebuah pesawat selama lima minit semasa berada di ruang angkasa sewaktu dia menanam lada di ladang semaian terbuka. “Pakcik pun melilau tengok atas ni nampak api keluar (hak) dekat belakang sekali. Di ekor dia tu. Nampak pelik kapal terbang tu. “Ia terus terbang ke laut. Ke Pantai Tujuh. Pakcik tengok sampai habis rokok sebatang di tangan,” katanya seperti dilapor Astro Awani. Ibrahim, 59, turut mendakwa terlihat lambangMalaysia Airlines (MAS) di ekor pesawat sebelum hilang daripada penglihatan kira-kira lima minit kemudian. Mendengar tentang berita kehilangan pesawat MAS itu, Ibrahim membuat laporan polis pada hari berikutnya. Bernama melaporkan lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di Marang mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat MAS MH370 yang hilang. Berikutan itu mereka membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi semalam. Seeorang penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang. Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena tsunami. "Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing. "Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," katanya seperti dilapor Bernama. Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai. Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu. – 12 Mac, 2014.
source : mi
Hit: 15 Laman Asal