Sektor pelancongan banyak memberi faedah kepada negara. Tuliskan pendapat anda.

Kini,ekonomi negara Malaysia banyak bergantung kepada industri pelancongan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Kementerian Pelancongan telah melancarkan pelbagai program untuk menarik pelancong berkunjung ke negara ini. Saban tahun pelancong asing mahupun tempatan akan datang melawat ke negara ini. Tentunya pelbagai faedah diperoleh oleh kerajaan daripada sektor pelancongan ini.

Sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pendapatan negara sehingga kini. Hal ini berlaku demikian kerana darmawisata yang datang ke negara ini akan membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk berbelanja. Dengan ini, akan menjana ekonomi dalam negara. Sebagai contoh, darmawisata-darmawisata tersebut akan menyewa hotel dan membeli barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka. Sememangnya kedatangan para darmawisata ini telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara.

Selain itu, sektor pelancongan juga turut akan menjadikan negara kita terkenal di mata dunia. Hal ini berlaku demikian kerana para pelancong yang berkunjung ke negara ini pastinya akan menceritakan kepada kenalan mereka tentang pengalaman mereka ketika berada di negara ini. Sehubungan dengan itu, tentulah mereka akan berasa teruja untuk datang ke negara ini. Sebagai contoh, mereka akan turut mempromosikan kepada kenalan mereka tentang tempat-tempat yang menarik yang telah mereka kunjungi semasa melancong di negara ini.Melalui promosi secara tidak formal ini tentunya akan secara tidak langsung mempopularkan nama negara kita dalam kalangan mereka.

Di samping itu, industri pelancongan telah memberi impak yang besar kepada pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan terpencil di luar bandar. Hal ini berlaku demikian kerana ramai pelancong dari luar negara khususnya gemar melancong di kawasan yang jauh dari kesibukan kota. Dengan ini, banyak kemudahan infrastruktur akan disediakan oleh pihak pemaju di kawasan tersebut untuk keselesaan para pelancong.Tamsilnya, pihak pemaju akan membina chalet, jalan raya, perkhidmatan telekomunikasi dan sebagainya.Sehubungan dengan itu, kawasan yang dahulu jauh dari pembangunan tentunya akan menerima tempiasnya dan sekaligus dapat membantu penduduk-penduduk sekitarnya merasai nikmat pembangunan.

Tuntasnya, perkembangan industri pelancongan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini sememangnya memberi banyak faedah kepada negara. Lantaran itu, pihak governan haruslah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekalkan keunikan yang ada di negara kita supaya terus menjadi destinasi utama para pelancong. Dengan ini, sektor ini akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.Jelaslah bahawa industri pelancongan ini memberikan manfaat yang besar kepada negara dan juga rakyat di negara ini.

360 patah perkataan
Hit: 14 Laman Asal