Budin seorang yang amat benci akan kucing. Entah apa silap
yang telah dibuat oleh kucing padanya tiada siapa yang tahu.
Walaupun begitu, jodoh pertemuan sememangnya ketentuan Ilahi.
Budin telah bertemu jodoh dengan Gayah yang sememangnya amat
suka dan cinta akan kucing.Bukan itu sahaja, sebelum berkahwin
dengan Budin, Gayah ada membela seekor kucing siam.

Maka dari hari ke hari, bertambah benci dan meluatlah Budin
pada kucing terutama si Tompok, kucing siam peliharaan isterinya.
Apa tidaknya,Gayah lebih memberi tumpuan kepada si Tompok dalam
kehidupan sehari-hariannya.Hal ini membuatkan Budin beranggapan,
Gayah lebih sayang si Tompok berbanding dengan dirinya.

Akibat tidak mahu terus tertekan dengan keadaan ini,
Budin membuatrancangan untuk mengusir si Tompok dari hidupnya
dan hidup isterinya,Gayah. Maka, bermulalah dengan rancangan
jahat Budin.

Pucuk dicita ulam yang mendatang, ketika isterinya sedang
asyik mandi ,Budin dengan tanpa segan silunya telah menangkap
si Tompok dan disumbatnya dalam karung beras. Tanpa berlengah
lagi dia terus menunggang laju motornya sehingga jauh dari
rumahnya.Lebih kurang 10 km, lalu dihumbanlah si Tompok
tanpa belas kasihan. Dengan hati gembira, baliklah dia ke rumah
dengan siulan mengikut rentak lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza.

Tapi, kegembiraan hanyalah sementara apabila tiba di rumah
si Tompok dengan sombong bongkaknya melanggok depan pintu
lagaknya menyambut kepulanganBudin. Sakitnya hati Budin
tidak dapat digambarkan.

Keesokan harinya, Budin meneruskan rancangan jahatnya. Kali
ini lebih jauh dibawa si Tompok, 20 km dari rumahnya. Tetapi
seperti semalam, Tompok berjaya mendahuluinya pulang ke rumah.
Budin tidak berputus asa begitu sahaja, alang-alang seluk pekasam,
biar sampai ke pangkal lengan.


Maka nekadlah Budin, kali ini dia bukan sahaja hendak membuang
Tompok lagi jauh tetapi dibawanya Tompok berpusing-pusing dahulu.
Habis semua jalan ditempuhinya, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan,
yang lurus, yang bengkok, segala simpang, segala selekoh habis
dilaluinya dan akhirnya si Tompok dibuang begitu sahaja.

Selang berapa minit kemudian, Budin menelefon Gayah.

Budin: Ayang, Tompok ada di dalam rumah tak?(tanya Budin dengan penuh saspens dan berdebar-debar)

Gayah: Ada, ada dekat depan pintu tu ha, kenapa? (tanya Gayah kehairanan).


Budin: Panggil dia! (herdik Budin dengan nada yang tinggi)


Gayah: Kenapa? (tanya Gayah lagi).


Budin: Aku nak tanya dia, bagaimana nak balik ke rumah. Aku sesat ni.(dengan nada tersipu-sipu)

Pengajaran: Janganlah menganiaya binatang
Hit: 15 Laman Asal