Cerpen
MENJARING HATI KECILNYA
Oleh Abdul Razak Husin
WAJAH murid itu kurenung lama-lama. Bebola mata kami bertemu. Dia kemudian menundukkan kepala. Dia seolah-olah sudah dapat menelah isi hatiku. Pasti dirinya disangka akan menjadi sasaran api kemarahanku pagi ini. Kemarahan yang diibaratkan bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. Hatinya mulai gemirap.
Sudah dua bulan dia tidak hadir ke sekolah. Aku tidak menyangka dia akan muncul pagi ini. Bukanlah bermakna obligasiku terhadap profesion yang hampir 16 tahun kusandang kian terhakis. Kesibukan dan bebanan tugas yang semakin menggunung memaksa diri untuk menggantungkan sikap cakna buat sementara. Masalah ditambah pula peluang ke DG44 yang tidak juga muncul-muncul. Permohonan yang telah dibuat pada awal tahun ini masih belum mendapat khabar gembira. Bukan aku meminta sesuatu yang berlebihan atau di luar kewajaran. Cuma aku harapkan pengorbanan dan perjuangan dalam memartabatkan profesionalisme keguruan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan khususnya di bawah kepimpinan baru yang menyandang jawatan panas itu. Terlepas peluang ke DG 32 benar-benar membuatkan diri teraniaya. Perbezaan gaji yang dikira tidak masuk akal itu kadang-kadang mengundang rasa kecewa. Gaji yang diterima lebih rendah berbanding rakan-rakanku yang tidak menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Pengumuman tentang kenaikan harga petrol pada tahun ini sekali lagi mengundang masalah yang tidak kesudahan. Sudah pasti ia menjadi agenda vitalku buat masa ini.
Lantas, masalah murid itu tidak langsung bersimpati menjengah di hati. Kalau ikutkan prosedur, murid ini mungkin sudah dibuang sekolah. Disebabkan dasar kerajaan, murid ini tidak menerima tindakan. Apa yang pasti, kehadirannya tidak membawa erti. Malah ketidakhadiran membuatkan aku cukup selesa. Aku cukup lega. Aku tidak mampu lagi menipu diri sendiri.
Aku menghampiri murid yang duduk terpaku berhampiran tingkap yang rongak itu. Agak lama aku berdiri di sisinya. Kehadiranku tidak dipedulinya langsung. Kemudian aku melabuhkan punggung berhadapan dengannya. Kebetulan, seorang murid lain baru sahaja keluar kerana ada urusan. Perkara biasa bagi kelas semacam itu. Saban waktu ada sahaja kaunselor yang membawa lis nama pelajar yang perlu diberikan perhatian. Kaunselor di sekolah ini memang dedikasi menjalankan tugas. Mungkin kes datang lambat ke sekolah, ponteng kelas, merokok dan entah apa lagi kes-kes disiplin yang tidak larat untuk aku membuat telahan. Guru-guru sekarang kian tercabar dan tertekan dalam meneruskan profesion mereka.
“Kerja ini, cikgu yang mohon, cikgu tak bolehlah bersungut apabila diberi tugas tambahan,” terngiang-ngiang suara abang Yazid, kerani di sekolahku. Kata-kata disasarkan kepada beberapa orang guru yang melenting apabila diberi tugas tambahan. Aku tidak terkecuali, kadang-kadang rasa terdera juga oleh kata-kata itu.
Tumpuan aku hanya terhadapnya. Aku
Pelajar tingkatan 4 Pluto yang lain sedang melakukan rutin mereka seperti biasa. Entah mimpi apa hari ini, mereka beria-ia menyudahkan tugasan yang diberikan. Mungkin nak mengambil hati gurunya. Tumpuan yang tidak seratus peratus, sekurang-kurang sedikit ilmu melekat juga di benak mereka. Malangnya, murid itu tidak berasa teruja menyiapkan tugasan yang diberikan.
“Saya tak pernah mengganggu cikgu mengajar, saya tidur kerana letih.” Tiba-tiba terpacul keluar perkataan dari mulutnya. Aku terkedu seketika. Belumpun sempat aku bertanya, dia terlebih dahulu telah memberikan secebis jawapan yang bagiku cukup sinis. Menyindir aku agaknya, getus hati kecilku.
“Mengapa dah lama tak datang sekolah.” Sikap cakna aku terhadapnya mula berputik. Aku ingin sekali mencungkil rahsia dirinya yang masih belum tertutup untuk diselongkari. Dia bungkam. Kelas ketika itu sudah mula lenggang. Murid-murid lain sudah diberi kebenaran untuk berehat.
“Dia kerja malam, ikut bapak saudaranya niaga pasar malam,” celah Amin yang kemudian duduk berdekatan dengan Shahrul. Amin mungkin satu-satu rakan rapat Shahrul. Belakang Shahrul ditepuknya berulang-ulang kali. Shahrul masih membungkam. Aku tidak memerlukan pengantara ketika itu. Sementelah waktu-waktu ini, aku perlu bersama-sama Shahrul. Aku ingin jawapan yang aku ajukan.
“Betul kata Amin, Shahrul,” ucapku ringkas.. Shahrul mengangguk-nganggukkan kepalanya. Dia mengiakan kata-kata Amin. Amin menjadi jurucakap bagi pihaknya.
“Saya sedar diri saya cikgu, saya tak pandai macam murid lain. Saya tak nak menyusahkan emak bapak saya. Saya bekerja kerana saya nak cari duit sendiri untuk belanja sekolah.” Beberapa potong kalimat terhambur keluar dari mulut mulusnya.
“Kadang-kala saya bantu ayah saya betul paip rumah orang, baiki atap bocor, macam-macam saya buat cikgu untuk cari duit lebih. Sebab tu saya tak datang sekolah, saya ada kerja yang perlu saya buat. Kalau datang sekolahpun, saya tak dapat apa-apa. Baik saya kerja. Lagipun cikgu kat sekolah ni, benci saya. Cikgupun tak suka sayakan.” Penjelasan Shahrul yang panjang lebar menyentap hatiku. Seolah-olah ada batu besar yang dilemparkan terus menghempap pundakku. Wajarkah kata-kata Shahrul itu terhadapku? Perlukah aku menafikannya? Dia seolah-olah mencurahkan isi hatinya yang sudah lama terbuku. Kata-kata terakhir keluar dari mulutnya benar-benar menjentik perasaan seorang guru yang kian terhakis profesionalismenya.
“Saya perlu bina masa depan saya, cikgu, tempat saya bukan di sini, dunia sebenar saya di luar
“Awak boleh membaca,” tanyaku
“Awak boleh baca ayat tu.” Aku menunjukkan aksara-aksara yang membentuk ayat yang tertampal di dinding kelas itu. “Saya kenal huruf, tapi saya tak boleh nak sebut perkataan tu.” ucap Shahrul sambil menundukkan kepala. Baru hari ini aku sedar bahawa Shahrul tidak boleh membaca malah membatang suku katapun dia tidak mampu. Dia
“Saya ajar awak membaca,” kataku
Tanggungjawab yang terpikul di pundakku kian hebat. Kadang-kadang aku bertanya pada diri. Bertanya juga kepada beberapa orang rakan sejawat di bilik guru yang kutemui. Sampai bilakah aku benar-benar menjadi guru di kelas ini ? Aku tampilkan nama-nama murid kepada guru-guru lain yang pernah mengajar mereka. Mereka mengiakan kenakalan pelajar-pelajar yang kusebutkan beberapa namanya termasuklah Shahrul. Hanya beberapa orang pelajar seperti Sudirman, Azman, Hilmi yang boleh kusandarkan sedikit harapan untuk lulus dalam subjek yang kuajar.
Kisah hari pertama aku melangkah kaki ke kelas itu masih tergambar di ruang mata. Kelas yang terletak di sebuah taman mini di bilik Mata Pelajaran Vokasinonal(MPV) –Landskap dan Nurseri ini begitu menyejukkan mata. Rimbunan pohon hijau yang diusahakan oleh pelajar-pelajar MPV begitu indah. Pokok ati-ati, kenanga renek, pokok keladi dan pelbagai macam lagi menghiasi taman mini ini. Di dalam kelas pula terdapat sebuah kolam kecil yang begitu indah pada pandangan mataku. Deburan air yang keluar dari pasu bunga itu menjentik perasaan.
Ketika aku melangkah masuk, keadaan kelas agak gamat. Beberapa orang murid yang belum kukenal namanya duduk di atas meja sambil berbual-bual. Aku tidak mendengar butir-butir perbualan mereka. Mereka lantas duduk di tempat masing-masing. Senyap sepi seketika. Umpama sekumpulan askar yang setia sedang menunggu arahan daripada ketua komandan. Kelas kecil ini hanya boleh menempatkan 24 orang pelajar dalam satu-satu masa. Semua murid lelaki, tak ada seorang pun murid perempuan , detik hati kecilku.
Aku menuju ke arah meja guru yang terletak di penjuru bilik.
“Kalau awak tak nak belajar, awak boleh keluar dari kelas.” Suaraku agak lantang. Aku tidak sedar bila ungkapan keluar dari mulutku. Shahrul terus mencapai beg sandang lusuhnya yang diletakkan di bawah meja, terus melangkah keluar. Semua murid memandang dengan ekor mata mereka.
“Cikgu tak patut halau dia keluar cikgu, dia letih,” ucap Khairul lagak seorang peguam bela membela anak guamnya yang teraniaya. Aku memekakkan telinga. Sejak itu, wajah itu terus hilang.
“Cikgu, waktu rehat dah habis,” Lamunanku terus diragut oleh suara Shahrul yang bergetar. Aku bingkas bangkit dari kerusi. Aku memandang tepat ke wajahnya. Ada kristal jernih yang hampir sahaja keluar dari kolam matanya.
“Saya minta maaf, kalau saya pernah halau awak keluar dari kelas ini dahulu.”
“Cikgu tak perlu minta maaf, saya sepatutnya minta maaf dengan cikgu, sebab saya menyakitkan hati, cikgu. Lagipun tak ada apa yang boleh cikgu harapkan daripada saya.” Sharul menambahkan rasa kesal aku terhadapnya lagi.
“Kalau cikgu harapkan saya lulus Bahasa Melayu, memang tak mungkin. Saya pasti gagal. Cikgu jangan buang masa mengajar saya, baik cikgu ajar rakan-rakan yang lain. Mereka masih memerlukan cikgu,” ucapnya perlahan. Kata-kata Shahrul benar-benar menghukum diriku. Terlalu picik ilmu keguruanku. Murid yang masih mentah ini rupa-rupa lebih bijak dari segi tindakan dan fikrahnya.
Aku melangkah keluar dari kelas ini dengan rasa bersalah. Rapus Shahrul mungkin tidak mampu untuk kupujuk. Murid itu benar-benar rasa terhukum oleh sikap gurunya sendiri. Bilah-bilah kekesalahan tak putus-putus menjengah sudut hati.
“Kami letih cikgu, hari ini kita relax, ” ujar ketua tingkatan, Khairul sejurus ucapan salam diberikan. Mataku terus liar mencari seseorang. Aku meneliti lis nama murid yang tercatat di dalam Buku Cegah Ponteng yang diperkenalkan oleh pihak sekolah. Jam di bilik MPV sudah menunjukkan pukul 12.50 tengah hari. Cadangan Khairul yang kuanggap culas itu terus kubuang tanpa perlu dipertimbangkan. Aku terus mengedarkan lembaran kerja untuk disiapkan oleh mereka. Terdengar suara dengusan daripada beberapa orang murid yang kurang berpuas hati apabila layanan mereka tidak kuendahkan. Suara mereka semakin ramai. Semacam satu demonstrasi alaf baru yang menuntut perjuangan mereka didengari. Di sudut berhampiran dengan meja guru, terdengar juga kuapan nakal Nazri, yang khabarnya bekerja pada waktu petang hingga malam di sebuah kedai runcit di kampungnya.
“Cikgu cari Shahrul?” Dia dah berhenti sekolah, cikgu. Dia ada di pejabat”, beritahu Azman yang berbadan besar, tegap itu. Berita yang baru menjengah di cuping telinga tidak mengejutkanku. Aku sudah menjangka ia akan berlaku. Aku terus meninggalkan kelas dengan memberi pesanan kepada Khairul. Langkah kakiku terus menuju ke ruang pejabat yang terletak berhampiran dengan bilik guru. Setibanya di pejabat, Shahrul sedang duduk di sofa berhampiran dengan bilik Pengetua. Dia bangkit dan menyambut salamku. Sejuk tangannya kusambut.
“Cikgu, jangan risaukan saya, tahulah saya menjaga diri. Saya dah fikir panjang, cikgu.”
Itulah kata-kata terakhir yang kudengar dari mulut Shahrul. Sebelum beredar tubuh kurus itu kudakap erat. Aku menghulurkan sebuah buku Bijak Membaca yang sudah lama kusimpan untuk kuserahkan kepadanya.
“Awak ambillah buku ini. Hadiah saya untuk awak.” Saya harap awak akan manfaatkan buku ini. Anggaplah saya sentiasa bersama awak,” jelasku terus menggantungkan harapan dan memberi semangat kepadanya. Tanpa kusedari, manik-manik jernih mengalir dari empangan air matanya. Sejak itu , Sharul tidak pernah kutemui.
********************************************************
Telefon bimbitku berbunyi.
Aku mencapai telefon bimbit Nokia dari atas meja tulis yang terletak di penjuru bilik. Baju kot hitam diletakkan di birai katil. Ada khidmat pesanan ringkas yang baru diterima masuk. Mungkin kenalan yang ingin mengucapkan tahniah. Aku bersiap-siap untuk menghadiri majlis konvokesyen Ijazah Kedoktoran dari Univerisi Putra Malaysia. Jari telunjukku pantas menekan butang pada telefon bimbit itu. Aku membaca ayat yang terpapar pada skrinnya.
“Tahniah atas kejayaan cikgu ,”- Shahrul.
Ayat yang tertera pada skrin itu kubaca berulang-ulang kali. Bukankah aku telah berjaya menjaring hati kecilnya ?
(Cerpen ini telah memenangi Hadiah Pertama dalam Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Koperasi Sekolah Menengah Undang Rembau bagi tahun 2009) Untuk makluman cerpen ini terhasil daripada bengkel Penulisan Kreatif anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.Cerpen ini juga turut dimuatkan dalam antologi Warna-Warna Pelangi bersama dengan guru-guru Negeri Sembilan)
No comments:
Post a Comment