Oleh : Fauziah Arof
MALAYSIA negara untuk orang gemuk? Negara yang kecil ini dikatakan mempunyai bilangan orang gemuk yang paling ramai di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia dan membelakangi beberapa buah negara Asia Barat.
Ini bukanlah sesuatu kenyataan yang melucukan atau isu remeh yang boleh dibuat lawak apatah lagi mengaitkannya dengan pencapaian yang cemerlang, jauh sama sekali.
Sememangnya masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini sudah lama berlaku. Sebelum-sebelum ini pun kita sudah didedahkan dengan banyak statistik mengenai bilangan obesiti yang membabitkan golongan tua, muda dan kanak-kanak di negara ini.
Dan semua orang pun tahu, obesiti boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis, dan kanser. Justeru, banyaklah kempen kesedaran dan peringatan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan terhadap orang ramai tentang bahayanya berat badan yang berlebihan ini.
Dalam pada itu, kita juga pun mengakui, negara kita ini mewah dengan makanan-makanannya. Kita memang mewah dengan budaya menjamu selera itu dan ini, rumah terbuka diadakan di sana sini walaupun Hari Raya sudah habis, sering ada majlis makan-makan, sehingga mesyuarat-mesyuarat yang kecil di pejabat-pejabat pun mesti ada jamuan makan.
Pun begitu, ada satu stigma negatif atau persepsi dalam masyarakat kita, yang tidak seharusnya ada tentang obesiti ini iaitu memandang rendah kepada keupayaan orang gemuk.
Bukan semua mempunyai tanggapan begitu tetapi pandangan mengejek apabila melihat orang gemuk kadangkala kelihatan walaupun tanpa disedari.
Dan disebabkan itu, ada yang tidak melihat kepada bakat dan kemahiran yang ada pada orang gemuk ini. Dan lebih teruk, sesetengah majikan pula tidak mahu mengambil pekerja yang gemuk.
Bukan kerja itu memerlukan dia berlari pun, bukan kerja itu menyuruh dia memanjat pokok kelapa, bukit atau gunung pun. Tetapi itulah, sebab dia gemuk, bakat dan pendidikan yang ada padanya diketepikan. Penampilan amat perlu!
Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan yang gemuk. Dia memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan saya mengakuinya. Membaca tulisan-tulisannya yang tajam dan adakalanya menyentuh perasaan, saya tahu dalam usia semuda itu, dia memang boleh pergi jauh.
Tetapi apabila dia meminta kerja dalam sebuah organisasi media, dia telah dihina semasa sesi temuduga. Dia dinilai melalui penampilannya, first impression kata orang, bukan dinilai daripada bakatnya.
Saya memahami jika dia tidak diambil bekerja kerana mungkin syarikat berkenaan tidak mahu menanggung bil-bil hospital atau klinik yang tinggi kerana bimbang dia akan mengalami banyak penyakit, tetapi janganlah sampai memperlekeh dan menghinanya.
Jika bukan kerana minatnya itu, sudah tentu dia tidak meminta bekerja di situ. Dia kini, saya kira sudah berjaya. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi dan saya amat bangga dengan ketabahannya.
Kita lihat sajalah dalam bidang seni pun, berapa ramai sangat orang gemuk diberi peluang dan sentiasa ke depan. Yang ada pun sebab mereka benar-benar bagus, menyerlah dan bakatnya memang tidak boleh dinafi dan diketepikan. Tetapi untuk mencapai ke tahap itu pun tentu ada cerita-cerita duka yang dilaluinya.
Saya juga mendengar daripada rakan-rakan saya yang gemuk, betapa berlakunya macam-macam diskriminasi terhadap mereka dalam kerja. Dan yang lebih menyakitkan hati mereka ini disifatkan sebagai bahan lawak dan memberi komedi dalam pejabat sahaja.
Itulah antara mentaliti kebanyakan orang kita, menilai orang melalui penampilan paras rupa. Yang diutamakan, wajah cantik dan segak bergaya. Kualiti kerja tolak ke tepi dulu. Dan persepsi atau stigma-stigma negatif yang telah berlarutan sekian lama ini, akhirnya berterusan ke generasi-generasi seterusnya.
Sebab itu, kita masih mendengar, anak-anak kecil yang gemuk diejek dan dijadikan bahan persenda oleh kawan-kawan mereka di sekolah.
Jika kanak-kanak itu tidak mudah sensitif atau jenis tidak kisah, tidak mengapa, bagaimana kalau yang cepat merasa rendah diri? Sudah tentu ini sedikit sebanyak menganggu proses pergaulan dan pembelajaran mereka di sekolah.
Itulah kadang-kala kita fikir bahawa penyakit diabetis, penyakit jantung dan penyakit-penyakit berkaitannya memberi stress atau tekanan kepada orang yang obes ini, tetapi hakikatnya yang mendatangkan lebih stress kepada mereka adalah stigma negatif masyarakat sekeliling!
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Hit: 13 Laman Asal