Oleh : Mohd Azizauddin Mohd Sani
Pada 30 Jun lalu, Mesir mula menerjah era baru politik apabila Dr Mohammed Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden pertama yang dilantik dari kalangan rakyat awam.
Tiada siapa menjangkakan bahawa sejarah Mesir tertulis sebegitu jika tidak berlaku Revolusi Mesir, khususnya di Dataran Tahrir dan peletakan jawatan Hosni Mubarak lebih setahun lalu. Pemilihan Morsi sebagai Presiden dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir pada 24 Jun lalu mengisytiharkan beliau memenangi pilihan raya Presiden dengan jumlah undi sebanyak 51.7 peratus menewaskan Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri era-Mubarak yang memperoleh 48.3 peratus undi.
Dengan kemenangan itu, Morsi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Sebenarnya Morsi adalah calon pilihan kedua bagi gerakan Ikhwanul Muslimin selepas calon pilihan mereka, Khairat El-Shater ditolak pencalonannya.
Cabaran utama Morsi bagi menghidupkan agenda ‘Mesir baru’ terletak pada faktor domestik yang mencakupi transformasi sistem politik dan antarabangsa melalui dasar luar serantau.
Morsi menghadapi cabaran besar yang memerlukan transformasi sistem politik yang akan memberi peluang kepada demokrasi dan kebebasan subur dilaksanakan. Perkara pertama yang harus dilaksanakan oleh Morsi ialah menyatupadukan rakyat Mesir yang terpisah berdasarkan fahaman politik seperti Islamis, nasionalis, liberal, sosialis, Kristian dan minoriti di samping peranan tentera yang masih menonjol dalam politik Mesir.
Morsi telah mengumumkan beliau akan melantik naib presiden beliau daripada kalangan wakil Kristian dan wanita. Beliau juga bercadang mempengaruhi perancangan untuk meminda Perlembagaan Mesir dengan mengetengahkan agenda perlindungan ke atas hak sivil awam dimantapkan, di samping tidak mengetepikan agenda Islamisasi sederhana bersesuaian dengan kehendak dan kebaikan umum.
Meskipun begitu, Morsi harus berhadapan dengan golongan birokrat yang masih ramai setia menyokong Mubarak. Golongan birokrat sebagai pelaksana dasar dilihat mampu merencatkan agenda pembaharuan Morsi sekiranya mereka tidak bekerjasama dengan beliau dan tidak menyokong dasar yang dirancang.
Tentera pula masih lagi berpengaruh dan telah menunjukkan niat mereka untuk membatasi kuasa presiden dan Eksekutif pimpinan Morsi. Telah berlaku perundingan belakang tabir antara pihak Ikhwanul Muslimin dengan tentera dalam usaha untuk berkongsi kuasa.
Masalah yang dihadapi Morsi ialah tentera masih menguasai penuh kuasa badan perundangan, khususnya yang menyangkut proses menyemak semula Perlembagaan dan juga kuasa penentu kepada dasar luar dan keselamatan.
Ini berlaku setelah mahkamah yang didukung tentera pada Jun lalu membubarkan dewan perundangan yang mana wakilnya dipilih secara demokratik, namun didominasi wakil Ikhwanul Muslimin.
Tentera juga menubuhkan sebuah majlis yang akan memberikan khidmat sebagai badan eksekutif tertinggi bagi dasar luar dan keselamatan. Presiden dan Perdana Menteri akan juga berada dalam majlis tersebut, namun kuasa dan suara mereka terbatas kerana majlis itu didominasi oleh jeneral tentera dan keputusan yang dibuat juga adalah secara majoriti, satu kelebihan terancang kepada tentera.
Terdapat ramai pihak yang bimbang akan penguasaan golongan Ikhwanul Muslimin di dalam politik Mesir menyetujui tindakan tentera itu.
Untuk menghindarkan konflik baru wujud antara Ikhwanul Muslimin dengan tentera di dalam era baru ini, kedua-dua pihak dilihat bersetuju untuk mencontohi model Turki dalam hubungan antara tentera dan kerajaan awam. Field Marshal Hussein Tantawi dan jeneral dalam Majlis Tentera sedang mengkaji sekiranya Model Turki dapat dilaksanakan di Mesir.
Morsi pula mahukan peranan tentera dibataskan dalam politik. Namun pemerintahan beliau haruslah bercirikan moderate Islamis seperti pemerintahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang popular dan mendapat mandat kuat daripada rakyat.
Bagaimanapun, pendekatan sekular Turki mungkin tidak akan dilaksanakan di Mesir yang mana penduduknya tidak sepenuhnya mengamalkan sekularisme. Menyedari hal itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menasihati eksekutif dan tentera Mesir sekiranya inginkan transformasi dan pembaharuan sistem politik, mereka harus berkompromi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Hit: 29 Laman Asal