PUTRAJAYA : Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih
menyertai projek 'Hati Nurani' iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi
kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata, dengan pembukaan
empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut
Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai
tahun lepas.
Katanya, SDH yang bakal dibuka
adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Sultan Haji Ahmad
Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang
Kerian, Kelantan.
Muhyiddin, yang juga Menteri
Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang
menjadi perintis kepada projek tersebut.
Beliau berkata demikian pada
majlis menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) Pelaksanaan Projek Hati
Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, Jumaat.
MoU tersebut adalah antara
Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi
hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian
Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.
Muhyiddin berkata, sejak
dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke
sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga
hospital tersebut.
Katanya, Hospital Serdang
mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala
Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala
pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital
Ampang.
"Ini menunjukkan bahawa
semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH
ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.
Justeru itu, beliau telah meminta
kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang
dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM).
Muhyiddin turut menyeru semua
pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh
dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.
Beliau berkata, pengurusan
program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi
memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana
rakan-rakan mereka di sekolah.
Katanya, kejayaan SDH bergantung
sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran
hospital, guru serta ibu bapa pesakit.
Muhyiddin berkata, kementerian
juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang
diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan
guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital
yang berkenaan.
Beliau juga membayangkan dalam
satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih
banyak hospital di negara ini.
Projek 'Hati Nurani' merupakan
cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan
kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati
pendidikan berkualiti. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan