Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM
ISTILAH akhlak bebeza dari
istilah adab pada umumnya. Di dalam budaya kita apabila disebut adab, maka yang
difokuskan ialah adab pergaulan kita, adat dalam sistem sosial orang Melayu,
terutamanya di antara anak-anak dan orang tua, seperti ketika sekumpulan
orang-orang tua sedang berbual sesama
sendiri, maka kanak-kanak tidaklah boleh masuk campur, ketika orang tua duduk
di atas lantai, kanak-kanak tidak boleh duduk di atas kerusi, atau tempat yang
lebih tinggi dari tempat duduk orang tua, dan ketika orang tua duduk,
kanak-kanak tidak boleh melintas dari belakang, haruslah lintas di hadapan
dengan menundukkan badan dan menghulur tangan ke bawah atau kalau terpaksa
melintas dari belakang juga, maka hendaklah minta izin nak lalu di belakang.
Inilah contoh beberapa adat
tradisi orang Melayu, yang termasuk dalam adab sopan kita, dan hal yang sama
juga dapat dikatakan ketika hendak makan, minum, bercakap dan sebagainya iaitu
ketika makan hendaklah ambil lauk pauk yang di depan dulu, kemudian baru ambil
yang jauh, kalau minum hendaklah dalam keadaan duduk, kalau tak ada kerusi pun
duduklah di atas lantai, atau kalau tempat itu tak sesuai untuk duduk terus
seperti di atas tanah lumpur atau pasir pantai yang basah dan sebagainya,
hendaklah duduk mencangkung.
Inilah sebenarnya adab atau adat
budaya kita yang diamalkan turun- temurun, tetapi kini mulai terhakis atau
tidak langsung diketahui oleh anak-anak kita bahawa kita mempunyai satu set
adat dan adab seperti itu.
Mereka tidak pernah mengetahui
bahawa ketika melintas di hadapan orang, mereka harus tunduk dengan
menghulurkan tangan ke bawah, atau ketika minum mereka haruslah mencari tempat
duduk, terutamanya ketika majlis-majlis seperti makan bufet pada masa kini yang
tidak mempunyai tempat duduk, seperti kerusi, maka orang yang makan dan minum
akan merasa lebeh senang berdiri saja.
Bagaimanapun kehakisan adab dan
adat ini tidaklah sangat memberi kesan buruk kepada tatacara kelakuan dan adab
sopan kita secara menyeluruh, sungguhpun dalam banyak keadaan kita masih
memerlukan adat dan budaya ini, seperti yang masih hidup segar di kalangan
masyarakat Jepun umpamanya yang masih tebal dan amat komited mengamalkan adab
dan budaya ini hingga ke saat ini.
Bagaimanapun adat dan adab budaya
ini tidaklah melibatkan dosa pahala secara langsung seperti hukum-hukum agama
yang muktamad.
Saya menulis hal di atas adalah
untuk cuba menonjolkan definisi "akhlak" termasuk dari pengertian
agama kita sendiri. Ketika dijelaskan oleh Baginda Rasulullah SAW bahawa
baginda diutuskan hanya sanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (di
kalangan manusia) maka akhlak yang dimaksudkan ini adalah lebeh besar makna dan
konsepnya dari pengertian adab dan adat yang kita fahami dari masyarakt Melayu
kita.
Malah ketika ALLAH SWT menerangkan
tentang sifat kecemerlangan Nabi Muhammad SAW dengan firmannya "Bahawa
sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) yang mempunyai akhlak yang amat
tinggi" maka pengertian akhlak ini juga adalah amat luas dan menyeluruh,
yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia ini atas sifat individu dan
masyarakat, masyarakat setempat dan masyarakat sejagat yang merentasi komuniti,
bangsa, budaya dan adat tertentu, kerana akhlak dalam pengertian ini adalah
termasuk dalam amalan agama yang baik sesuai dengan ajaran agama Islam sendiri
sebagai satu modul akhlak Islamiah yang universal.
Akhlak ini juga merangkumi adab
dan tingkah laku, perbuatan, perkataan, eskpresi diri dalam percakapan dan
tulisan, perilaku peribadi atau jemaah dalam diri sendiri, dalam keluarga,
masyarakat terhad atau masyarakat seluruhnya meliputi masyarakat alam manusia
dan haiwan, alam tabi'e dan angkasa lepas.
Inilah pengertian akhlak dalam
agama kita iaitu tingkah laku dan perbuatan manusia ketika menghayati
nilai-nilai hidup dalam akidah dan syariah juga ihsan. Maka dalam konteks
mencontohi akhlak Rasulullah SAW inilah keseluruhan, dukacita sekali bahawa
masyarakat Islam di dunia ini telah mengalami kerisis yang amat serius.
Masyarakat Islam mengalami krisis
moral dan akhlak yang amat serius kini, seperti yang berlaku ketika umat Islam
mengambil jalan kekerasan untuk menyelesaikan masalah mereka, menumpah darah
dan berbunuhan ketika mengalami kerisis pemikiran kerana perbezaan kefahaman
dan mazhab, menggadai nyawa dan harta benda ketika mencari penyelesaian
kepimpinan dan politik negara, atau sekurang-kurangnya menabur fitnah dan
permusuhan serta rasa benci dan hasad dengki sesama sendiri ketika mencari
kepentingan sendiri atau kelompok yang tertentu.
Krisis akhlak dan moral yang
serius inilah yang sedang kita melihatnya di dalam dunia Arab pada masa kini
iaitu keganasan dan peperangan yang berlaku sesama sendiri yang mengakibatkan
kerisis kemanusiaan yang serius, kehilangan nyawa, pelarian perang, kebuluran,
penderitaan, penyakit dan sebagainya.
Memang dari satu segi kita
bersimpati dengan kebanyakan rakyat beberapa negara Islam dan Arab yang
tertentu sehinggaa menimbulkan pemberontakan dan keganasan iaitu kerana dasar
ketua negara atau negara tersebut yang tidak mengamalkan demokrasi sebenarnya di
dalam pemerintahan, ketidak adilan dalam pengagihan harta kekayaan negara,
dasar kroni dan berat sebelah serta beberapa amalan lainnya yang menyebabkan
banyak kepincangan dalam masyarakat seperti kelemahan ekonomi yang menyebabkan
pengangguran, kenaikan harga barang, kadar gaji pekerja yang kecil, malah dalam
bidang politik dan pemerintahan negara, rakyat tidak dapat bersuara, termasuk
tidak dapat menyatakan suara mereka dalam menentukan kerajaan kerana tidak ada
pilihan raya untuk membentuk kerajaan.
Maka dalam keadaan ini rakyat
umumnya merasa terdesak untuk menyatakan
perasaan mereka dengan demonstrasi ganas dan berdarah, dan kerajaan pula
membalas keganasan itu dengan keganasan yang lebih banyak memakan korban nyawa
dan kemusnahan harta benda serta kerisis kemanusiaan yang lainnya.
Maka di sinilah berlakunya amalan
dan tindakan dari rakyat dan kerajaan yang tidak selaras dengan akhlak
Islamiah, ketika Islam telah meletakkan prinsip-prinsip tertentu dalam hubungan
di antara rakyat dan pihak berkuasa, di antara rakyat sesama rakyat, di dalam
prinsip syura, di dalam dasar toleransi dan persaudaraan, serta dasar keamanan
lainnya.
Maka dalam hal inilah saya
melihat bahawa dalam perkembangan
terakhir yang berlaku di dalam negara kita juga terdapat bibit-bibit keruntuhan
akhlak dan moral Islam ini ketika berlaku fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh,
jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain, taksub partisan yang
melampau, malah terdapat ssuara dan perbuatan yang menuju kepada matlamat
keganasan dan kekerasan seperti yang berlaku dalam perkembangan "Arab
Spring" sedangkan isu negara dan pemerintah negara-negara yang bergolak
dengan keganasan dan perang saudara itu sebenarnya tidak dikaji dengan halusi
untuk menjustifikasikan kehadiran "Arab Spring" di negara kita ini.
Perbuatan biadab yang mencemarkan
adab dan adat tradisi budaya kita sekarang ini nampaknya telah menjadi perkara
biasa dalam masyarakat kita.
Orang-orang muda telah melupai
nilai budaya dan adab sopan mereka kerana golongan yang lebih tua dan matang
telah mengajar atau menginspirasi kepada mereka supaya melakukan
perkara-perkara yang melanggar adab sopan dan nilai-nilai akhlak Islamiah ini
atas alasan menuntut keadilan, kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan
sebagainya, sedangkan Islam mengajar berbagai cara untuk menyelesaikan masalah,
mengurus konflik dan mengamalkan kelakuan yang bersopan dan bertamadun dalam
tindakan, tulisan, percakapan dan sebagainya, tetapi hal ini tidak dihiraukan
lagi, kerana "mentor" mereka telah menunjukkan "contoh"
yang seharusnya mereka tiru dan ikuti
ini.
Saya rasa kita mungkin boleh
bertolak ansur sekiranya anak-anak kita makan dan minum berdiri, atau ikut berbual
dengan orang-orang tua dan sebagainya kerana hal itu adalah merupakan adat dan
adab bagi bangsa kita, tetapi memaki hamun, memijak gambar orang, melakukan
kekerasan kepada penjaga keamanan, membuat fitnah dan tuduhan melulu kepada
institusi yang menjalankan tugas untuk menegakkan demokrasi dan kesejahteraan
masyarakat, menulis komen-komen yang lucah dan biadab terhadap orang lain, maka
semuanya ini adalah terang-terangan bercanggah denga akhlak yang diajar oleh
Islam, dan melanggar ajaran agama adalah satu dosa kepada ALLAH SWT, bukan
hanya melanggar adab dan budaya bangsa seperti makan dan minum dalam keadaan
berdiri atau melintas depan orang tanpa menundukkan kepala dan sebagainya.
Kita seharusnya segera menerapkan
ajaran kepada generasi muda kita, terutamanya dengan menunjukkan contoh
tauladan yang baik, bahawa akhlak Islam adalah sesuatu yang wajib dipatuhi,
bukan seperti adat tradisi kita yang boleh diikut atau tidak mengikut cita rasa
masing-masing. Melanggar akhlak Islam adalah bererti melakukan mungkar dan
perbuatan dosa, bukan kepada budaya dan adat bangsa, malah kepada agama dan
ALLAH SWT.
Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta
Malaysia ke Arab Saudi
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/