This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Wednesday 7 October 2015

Contoh Teks Ucapan

TEKS UCAPAN YAB MENTERI BESAR

Bismillahirrahman nirrahim

Yang Berhormat Dato‘ Dr Awaludin bin Said
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri
Merangkap ADUN Kota

Yang Berhormat Dato‘ Hj Mat Ali bin Hassan
Setiausaha Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan

Yang Berhormat Dato‘ Hasim bin Rusdi
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani
Merangkap ADUN Labu

Yang Berhormat Dato’ Zaifulbahri bin Idris
Pengerusi Jawatankuasa  Bertindak Modal Insan
Merangkap ADUN Chembong

Tuan Zaidi bin  Johari
Pegawai Daerah Rembau

Tuan Hj Mustapa Umar
Pengarah Pertanian Negeri Sembilan

Pengarah Pengarah Bahagian,

Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan  Persekutuan

Pengerusi Pengerusi JKKK di Daerah Rembau

Dato’ Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan serta hadirin yang saya hormati sekalian

ASSALAMUALAIKUM WARRAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM 1MALAYSIA.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya, dapat kita berkumpul bersama di majlis yang penuh bermakna pada pagi ini. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana menjemput saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Majlis Perasmian Program Gerak Kerja Transformasi Pemulihan Dusun Zon Selatan Tahun 2015.

2. Sektor pertanian merupakan penyumbang ke empat terbesar kepada ekonomi Negeri Sembilan selepas sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Walaupun sumbangannya kepada KDNK negeri adalah kecil, namun sektor ini kekal penting dan masih lagi signifikan dalam meningkatkan sekuriti makanan dan pembangunan luar bandar. Sektor pertanian telah menyumbang sebanyak 7.6% kepada KDNK Negeri pada tahun 2013 berbanding 6.6% pada tahun 2010.

3. Menerusi moto Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan sektor pertanian seiring dengan pembangunan Negeri Sembilan sekaligus menjamin kesejahteraan hidup rakyat Negeri Sembilan khususnya. Dalam memastikan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, satu pelan halatuju sektor pertanian (2015-2020) telah diwujudkan. Bagi pengeluaran tanaman makanan kerajaan negeri telah memberikan tumpuan kepada tiga jenis tanaman utama iaitu padi, buah-buahan dan sayur-sayuran disamping industri asas tani.

4. Tumpuan kerajaan negeri adalah peningkatan produktiviti hasil bagi setiap jenis tanaman yang telah dikenalpasti. Secara mudahnya, produktiviti hasil ialah kuantiti hasil sebenar dikeluarkan berbanding hasil potensi dan ianya dikira dalam peratus (%). Lebih tinggi peratus produktiviti hasil adalah lebih baik. Setiap tanaman mempunyai potensi hasil yang berlainan dan untuk mencapai produktiviti hasil yang tinggi ia memerlukan teknologi yang betul. Umpamanya tanaman padi memerlukan air yang banyak (kecuali padi huma) berbanding tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran.

5. Jika teknologi yang diamalkan tidak bersesuaian dengan jenis tanaman, maka pertumbuhan pokok akan terbantut dan boleh menjejaskan produktiviti hasil. Produktiviti hasil yang rendah boleh mendatangkan kerugian. Ini merangkumi modal yang dilaburkan, tenaga yang dicurahkan dan juga masa yang digunakan. Jika ia berlaku berterusan, minat pengusaha terhadap sektor pertanian akan terus berkurangan dan boleh menjejaskan sumbangan kepada KDNK. Oleh itu penggunaan teknologi yang betul adalah perkara yang sangat penting dan kritikal untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian

6. Mengikut statistik sektor pertanian 2014, keluasan tanaman buah-buahan di Negeri Sembilan adalah seluas 8,200 hektar dengan jumlah pengeluaran 86,000 metrik tan dan menyumbang kepada 84% tahap sara diri (SSL). Kalau dilihat dari segi % SSL, kita masih perlu meningkatkan lagi pengeluaran buah-buahan bagi membolehkan penduduk Negeri Sembilan cukup bekalan makanan (100% SSL).

7. Pelan halatuju sektor pertanian mensasarkan pada tahun 2020 keluasan tanaman buah-buahan akan meningkat kepada 8,800 hektar dengan pengeluaran sebanyak 150 ribu metrik tan dan  SSL akan meningkat kepada 136%. Ini bermakna kita bukan sahaja berjaya menyediakan bekalan buah-buahan mencukupi kepada penduduk Negeri Sembilan pada masa tersebut, malah kita mempunyai lebihan dan ianya boleh dieksport keluar negara atau membekalkan kepada penduduk di luar Negeri Sembilan seperti di Lembah Klang. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan dusun-dusun di Negeri Sembilan ini sebagai Kebun Lembah Klang.

8. Program Pemulihan Dusun merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memajukan lagi industri pertanian negara khususnya bagi pembangunan buah-buahan. Bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan kita menyambut baik pelaksanaannya memandangkan Negeri Sembilan masih kekurangan bekalan makanan khususnya dalam sektor tanaman makanan.

9. Saya juga diberitahu pada tahun 2014, pelaksanaan Program Pemulihan Dusun di Negeri Sembilan telah mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dimana seluas lebih kurang 600 hektar dusun buah-buahan sedia ada telah terlibat dengan penyertaan seramai 542 orang petani yang mempunyai kebun buah-buahan kurang daripada 5 hektar.

10. Di antara jenis buah yang diberi fokus termasuklah durian, nangka, manggis, mangga, cempedak dan rambutan kerana telah pun mendapat beberapa laluan pasaran untuk eksport. Untuk makluman, di Negeri Sembilan kita mempunyai baki lebih kurang 7,600 hektar tanah dusun sedia ada yang diusahakan oleh petani tradisional atau kelompok yang berpotensi untuk dibangunkan dibawah program seperti ini. Dan saya percaya program-program sebegini rupa akan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan.

11. Negeri Sembilan telah termasuk dalam perancangan Malaysia Vision Valley (MVV) untuk tempoh 2015-2045 yang merangkumi bahagian timur Negeri Sembilan. Sektor pertanian akan menjadi tumpuan bagi memberi jaminan bekalan makanan yang mencukupi. Dengan peningkatan aktiviti ekonomi di bahagian timur Negeri Sembilan ini, kepadatan penduduk akan meningkat dan secara tidak langsung keperluan makanan juga akan meningkat. Ini merupakan satu cabaran baru bagi kita untuk merealisasikan program mensejahterakan rakyat melalui melengkapkan keperluan terutamanya makanan.

12. Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi pelancaran program peringkat zon selatan iaitu di Kg Hj Sulaiman. Kampung ini mempunyai keluasan dusun yang luas iaitu 102 ha dengan bilangan petani seramai 120 orang dan banyak ditanam dengan pokok durian terutamanya durian kampung. Potensi pengeluaran durian di kampung ini mampu dipertingkatkan melalui penanaman semula dengan klon-klon buah terpilih seperti D197.  Pembangunan kluster tanaman durian ini akan menjadi model kepada program pemulihan dusun di kawasan lain di Negeri Sembilan.

13. Saya berharap penerapan program yang menekankan kepada Amalan Pertanian Baik (APB) akan membolehkan semua pemilik kebun dapat menguruskan kebun mereka secara sistematik dan cekap serta menepati satu piawaian kualiti yang meliputi pengurusan ladang yang baik serta mengambilkira kebajikan pekerja dan kesejahteraan alam sekitar. Mudah-mudahan ladang yang mengamalkan APB ini akan menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat dimakan oleh pengguna-pengguna khususnya penduduk di Negeri Sembilan.

14. Saya berharap dengan Majlis Perasmian Program Gerak Kerja Transformasi Pemulihan Dusun Zon Selatan pada hari ini di Kg Hj Sulaiman, akan menjadikan kampung ini sebagai salah satu kawasan pengeluaran buah durian pada suatu hari nanti.

15. Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Pertanian kerana telah berjaya menganjurkan Program Gerak Kerja Transformasi Pemulihan Dusun Zon Selatan. Saya berharap program yang dijayakan ini dapat memberikan manfaat kepada petani-petani bagi meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya membangunkan industri pertanian Negara.

16. Dengan Lafaz Bismillah, saya dengan ini merasmikan Program Gerak Kerja Transformasi Pemulihan Dusun Zon Selatan.

Wabilahi taufik walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahiwabarokatuh.
Sekian, terima kasih.

Tuesday 6 October 2015

Kursus Membina Laman Web Interaktif





Sekitar kursus Membina Laman Web Interaktif 
PLPP Serdang
05 - 08 Oktober 2015