Dan aku takut dihisab di atas dosa-dosaku setiap hari, dan lantas aku mengharapkan syafa’atnya, daku mengharapkan agar aku dimatikan Allah dalam suasana tidak dihisab, aku ingin mati dijalan-Nya dalam keadaan darahku menjadi saksi di hadapan Allah, bahawa aku salah seorang pencinta syuhada’ Badar, pencinta syuhada’ Uhud dan pencinta pejuang sepanjang hayat yang rindukan syahid.
Namun di hati kecil ini aku amat bimbang, apakah Allah akan menerima pengorbananku yang amat sedikit ini berbanding pejuang di awal generasi yang lalu, apakah aku ini ikhlas, kerana Allah itu hanya menerima pengorbanan dan jihad yang ikhlas sahaja, apakah cita-citaku ini akan kesampaian atau sebaliknya, hanya daku mengharapkan rahmat dari-Nya untuk menerima hasrat hati ini.
Berbalik kepada penunaian haji, mungkin kerana barakah daku sentiasa menyampaikan salam kepada Rasulullah saw melalui sahabat yang pergi ke tanah suci, lalu pada tanggal 2008’ Allah mengizinkan aku ke sana pula. Aku bertolak ke tanah suci dengan para sahabat dari satu jemaah dakwah yang kebanyakannya dari negeri serambi Makkah, Kelantan. Aku bertolak pada hujung bulan Sya’ban. Rombongan kami seramai 70 orang, 20 orang pergi menunaikan umrah dan selebihnya akan tinggal di sana sehingga musim haji. Ini bermakna aku akan tinggal di tnaha suci selama 4 bulan. Aku amat bersyukur padamu ya Allah kerana mengizinkan aku menjejaki bumi kekasih-Mu tercinta, bumi Madinah dan Makkah, bumi para syuhada, bumi para pejuang, bumi tangisan air mata kerana berjihad dan cintakan Islam serta rindukan Allah.
Pemergian aku ke sana diiringi sampai ke KLIA oleh bonda dan ayahandaku tersayang, isteriku tercinta, Siti Fatimah Ali, ibu dan bapa mertuaku serta kerabat-kerabatku. Terima kasih ibu ayah kerana membesarkan aku dalam cinta kepada Allah, terima kasih ayah ibu kerana mengajarku mengenal Allah, mengenal erti hidup yang sebenar, menyuburkan aku dengan dengan benih Islam dan cara hidupnya sejak dari kecil lagi, lalu sampai sekarang ajaran Islam dan adabnya yang disirami olehmu berdua menyuburi fikrah dan hatiku. Hanya Allah yang mampu membalasi pengorbananmu ibu ayah.
Buat isteriku yang tercinta, kaulah penawar dukaku di saat aku mencari erti seorang isteri yang sebenar, walaupun setahun jagung kau mengenaliku, namun kau sanggup menerimaku sebagai suamimu, dan doaku moga Allah mengganti yang terbaik untuk dunia dan akhiratku, Allah menqabulkan permohonan dan tangisanku untuk mencari perempuan solehah yang bernama isteri. Dan kini daku terpaksa pergi mencari redha illahi di bumi bakkah, kau iringi daku dengan lenangan air mata cinta dan bimbang serta mengharapkan kita dipertemukan kembali, air mata doa agar daku mendapat haji yang mabrur. Terima kasih isteriku. Selama 4 bulan ini adalah jihad bagimu dan juga aku, hanya kepada Allah kita sepatutnya berserah dan redha, dan 4 bulan adalah tempuh yang pernah dinyatakan oleh Saidina Umar ra, kita boleh tinggalkan isteri. Moga perpisahan ini mendatangkan rahmat dan barakah dari-Nya. Kesabaranmu dalam menungguku yang berulamkan air mata dalam doa setiap kali lepas solat setiap hari adalah penanda kau cinta padaku kerana Allah.
Kau isteriku, dan ibu ayah serta mereka semua meghantarkan daku dengan linangan iar mata, maklumlah sekiranya ditakdirkan aku pendek umur dan dipanggil Ilahi, ini adalah pertemuan yang terakhir antara kami. Dalam salam terakhir aku dapat merasai hangatnya air mata sedih dan sayang seorang ibu ayah terhadap anaknya, dan dalam ciuman terakhir daku dapat merasakan sendu dan cinta seorang isteri terhadap suami. Di saat itu hatiku menjadi sedih dan pilu kerana terpaksa berpisah dengan orang tersayang, namun cinta kepada Allah dan Rasulullah saw serta cinta kepada rumah-Nya menjadikan aku tabah dan dapat memadamkan persaan sedihku. Aku hanya menangis di dalam hati.