Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun
yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini
mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan
program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang
kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah
dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka.
Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh
tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti
program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan
kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya
untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh,
dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih
tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya,
“kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi
sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion
masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya.
Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah
berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua
anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji,
mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat
dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak
saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah
harta kita yang paling berharga!”
“Kakak, sebenarnya keikhlasan
dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih
sukai. Bila kakak ikhlas
bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan
rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you
get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang
kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan
kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya
bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi
ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas
dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang
berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan
yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang
tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana
simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu
memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak
itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan
begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah
berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula
yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah
kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk
kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi
entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi
Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita.
Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita…
Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan
kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan
manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas
kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah
hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu
lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha
Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak
memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang
melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula
kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha
kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan
diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan
solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang
sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat,
gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji?
Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam
organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah,
kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan
menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat
apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan
untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan
kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin
akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan
isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal
tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah
Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang.
Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang
keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana
tidak dapat penghargaan…”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat
kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada
Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih,
apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali
daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam
Al Quran.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang
derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak
berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima
kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi
peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan
hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
Email yg saya terima dari rakan utk renungan kita bersama. Peringatan utk diri saya terutamanya.... Ikhlas lah dlm segalanya.... Ya ALLAH, kau permudahkan lah segala urusan ku di dunia dan di akhirat. Jauhi aku dari segala hasad dengki manusia.... AMINNNN.....
1 comment:
pernah dengar cerita ni....rexcell kalau tak salah.. tapi itu la..kite tak pernah terfikir benda2 mcm ni...baca balik benda ni baru terfikir balik benda yang saya dah lupe.. thanksss untuk perkongsian ni :)
Post a Comment