photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, December 28, 2011

Dunia Yang Tidak Pernah Cukup


“Sesiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka di dunia dengan kesempurnaan dan mereka di dunia tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak memperolehi apa-apa di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”

[Huud 11: 15-16]

Kalau diikutkan hati memang semua benda kita nak.

Tengok rumah banglo, kita pun nak rumah banglo. Tengok orang pakai kereta BMW, kita pun nak BMW. Tengok orang pakai Sambung Galaxy Note, kita pun nak jugak. Tengok orang ada jam Tag Heuer, kita pun tak nak kalah juga.

Ya, itulah manusia.

Apabila nafsunya tidak dikekang, semua benda kita nak. Sebab itu Nabi s.a.w pesan manusia kalau diberikan selembah emas, dia akan idam selembah emas lagi.

Bab dunia mana ada yang pernah cukup. Bukan begitu?

Kalau bukan kerana iman, ia selamanya begitu.

Bila membawa ayat di atas, barulah tepuk dahi.

"Allah! Sepatutnya angan-angan kita lebih panjang dan menggunung di Akhirat. Dunia ni dah tentu-tentu tak lama mana."

Dunia oh dunia.

Memberi ingatan untuk diri sendiri.
read more...

Sunday, December 25, 2011

Asri dan Rafidah, Barakallahulakuma


"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui."

[Yasiin 36:36]

Antara tanda kebesaran dan kebijaksaan Allah Taala mentadbir alam ini dijadikan setiap sesuatu berpasang-pasangan.

Ada kaya ada miskin, ada siang ada malam, ada putih ada hitam, ada besar ada kecil, ada jantan ada betina dan ada lelaki ada perempuan.

Bayangkan kalau malam tanpa siang. Jenuh kita dibuatnya. Macam mana nak kira detik dan hari. Kalaulah semua orang berniaga, siapalah yang nak membeli. Memang haru birulah jawabnya.

Maka dengan berpasang-pasangan membuatkan ia sempurna dan teratur elok.

Justeru, Allah Taala menciptakan segala yang ada di alam ini berpasang-pasangan. Saling melengkapi, saling mengisi, bekerjasama, imbang-mengimbangi, mempengaruhi satu sama lain dan saling menyempurnakan.

Selamat Pengantin Baru, Asri

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa apabila seseorang baru berkahwin Rasulullah saw akan mendoakan:

"Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikkan"

Kata Imam An-Nawawi di dalam Al-Azkar, adalah disunatkan kita mengucapkan ucapan seperti yang didoakan baginda saw kepada pengantin baru.

Saya menghantar mesej khusus kepada sahabat serumah saya, Mohd Asri Silahuddin serta pasangannya, Rafidah Abd Kader yang melangsungkan perkahwinan mereka di utara tanah air.

Alhamdulillah semua telah selamat dengan jayanya.

Pastinya sebagai sahabat, saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan untuk mereka mengharungi samudera rumahtangga.

Pastinya tanggal 24 Disember 2011 menjadi batu tanda baru dalam kehidupan mereka berdua. Bermulalah fasa baru kehidupan.

Tertunai sudah sunnah Rasulullah saw.
read more...

Wednesday, December 21, 2011

KUIS: Hari Ini Dalam Sejarah, Selamat Mengundi


"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" [Al-Baqarah 2:148]


Sudah masanya untuk kita bangun bersama bersingsing lengan, bahu membahu demi sebuah kebangkitan yang terarah dan berakhlak.

KUIS tidak mampu lagi mengempang rempuhan pertelingkahan dan permusuhan yang hanya melambatkan gerak kerja dan menghalang kebangkitan kita untuk bergerak megah dan gagah.

Masa untuk perubahan. Detik untuk pencerahan. Zaman untuk penyatuan.

Setelah mara ke barisan hadapan, berhentilah sejenak. Bukan untuk berehat tetapi melihat ke dalam diri. Apa usaha untuk mengisi kemenangan. Sungguh mengisi kemenangan lebih perit dari berusaha mengecapnya.

Bersedialah duhai sahabat-sahabat. Bersedialah dengan ilmu dan amal.

Kalian menjadi tumpuan. Bicara dan laku diperhati orang. Maka perbetulkan niatmu andai melencong, tetapkan matlamatmu andai samar, perteguhkan pendirianmu andai goyah, perkemaskan langkahmu andai lemah.

Ada pemimpin yang merajuk bila jawatan yang diidam diambil orang. Ada juga pemimpin yang khianat bila bersama. Namun ramai pemimpin yang tulus niatnya. Hanya semata mengejar kebaikan yang dituntut Yang Maha Pencipta. Berlumba menjadi yang lebih baik.

Aku sudah lalui denai itu.

Pacat dan duri itu mainan. Sudah sunnah orang berjuang dicaci dimaki bukan lagi aneh. Sememangnya perjuangan ada maharnya. Dan ia bukan sedikit, mahal.

Untuk melangkah jauh, lupakanlah perbezaan. Berlapang dadalah kerana itu sebaiknya. Kita tidak punya masa untuk bertelingkah dan mengadu domba. Apalagi bermusuh-musuhan. Tiada musuh. Yang ada hanyalah rakan seperjuangan.

Kata As-Syahid Hasan Al-Banna, "kewajipan kita lebih banyak dari masa yang kita miliki".

Pemimpin akan berdepan dengan dilema. Sama ada patuh pada tuntutan legal atau tunduk pada desakan moral. Di sana kebijaksanaanmu diuji.

Hari ini dalam sejarah. Selamat Mengundi kepada Mahasiswa KUIS.


read more...

Sunday, December 18, 2011

KUIS: Nafiri PRK Sesi 2011/2012


Sudah lama saya tidak mengulas soal ini. Yang saya maksudkan ialah Pilihanraya Kampus (PRK) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

PRK 11 (Sesi 2008/2009) adalah PRK (dengan pengundian) yang paling akhir diadakan di KUIS sebelum ini.

Sepanjang PRK dilaksanakan di KUIS iaitu semenjak 1998 hingga 2010 hanya berjaya dijalankan sebanyak 11 kali sahaja (sepatutnya 13). 2 tahun tanpa PRK sebelum ini (sesi 2009/2010 dan 2010/2011) semua menang tanpa bertanding. Tiada rapat umum, manifesto, kempen dan pengundian. Lebih parah, yang tampilkan diri untuk bertanding dan menangpun masih belum cukup penuh kerusi. Masih lompong dan terpaksa mencari ke sana sini bagi penuhi kekosongan yang berbaki.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Kegopohan dan kejahilan mahasiswa memahami waqi' dan uruf adalah batu tanda kepada kelesuan itu. Kesedaran yang tidak diurus dan mobilisasi yang membuta menatijahkan apa yang terbina hari ini.

Saya dijemput untuk memberikan pandangan dan pengalaman atas kapasiti saya sebagai bekas Yang Di-Pertua majlis tertinggi mahasiswa di KUIS satu ketika dahulu.

Sungguhpun punya kekangan masa dan kerja, alhamdulillah kesempatan itu masih bersisa.

Prinsip saya mudah. Apabila kita berbicara soalan mahasiswa, saya sifatkan mahasiswa mesti mengorbit fakta dan kebenaran.

Mahasiswa apalagi pimpinan harus punya jatidiri. Tidak ke sana dan tidak ke sini. Punya akal budi yang mampu mentaakul uruf dan waqi'. Dalam hal ini, mahasiswa harus disiplin. Jangan hanya mudah terbawa dengan gelora emosi dan provokasi.

Yang pastinya bakal pimpinan mahasiswa sudah menggunung amanah menanti.

Dukacita dimaklumkan, anda akan bermula dari 0 bahkan mungkin - 3 atau - 5. Tekanan sudah bermula, beban kian terasa.

Saya dikhabarkan PRK kali ini akan berlangsung. Calon sudah mula berkempen. Tinggal lagi hari mengundi. Setelah dua tahun kepimpinan berganti, nampaknya demokrasi bagai baru tersedar dari komanya yang lama. Sayangnya usaha ini bukannya dari pimpinan itu sendiri tetapi dari jiwa-jiwa yang mahukan perubahan. Syabas duhai jiwa-jiwa merdeka.

Pesan saya, dalam siasah kampus ini anda akan bertemu dengan 2 kelompok pemimpin.

Pertama, mereka yang lantang berjuang bersuara dan bijak mengatur bicara tapi jahil mengurustadbir massa. Kedua, mereka yang bijak mengurustadbir massa tapi kelu bila berbicara, mendatar bila bersuara.

2 kelompok pemimpin ini pernah, sedang dan akan terus wujud. Mereka akan membawa masalah yang bukan sedikit. Namun begitu mereka lebih baik daripada yang mahu nama dan jawatan sahaja.

Tetapi saya sarankan jadilah yang kelompok yang ketiga, lantang menyuarakan hak dan kebenaran dalam masa yang sama bijak mengurustadbir massa.

Ingat, Islam memerlukan Umar dan Abu Bakar. Kelembutan dalam ketegasan, ketegasan dan kelembutan. Bertoleransi bak Uthman, bijaksana bak Ali.

Harus diambil perhatian, untuk meraih hasil dari apa yang kita semai hari ini, ia memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun. Ini bukan dunia magik. Inilah realiti yang akan didepani.

Selamat maju jaya. Harapan baru untuk mahasiswa!


read more...