Bukit Kayu Hitam, 14.11.2011 - Seramai 136 orang pelajar SBP Integrasi Kubang Pasu (i-KUPs) telah selesai menduduki subjek pertama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Bahasa Melayu 2 telah selesai dijawab oleh pelajar-pelajar ini tepat pada jam 4.30 petang setelah 2 jam 30 minit memerah otak di dalam dewan peperiksaan. Suasana mendung setelah hujan pada tengah hari tadi memberi keselesaan kepada calon-calon menghadapi peperiksaan apabila cuaca sejuk dan mendamaikan jiwa. Sebelum itu mereka telah menduduki kertas 1 pada jam 8.00 pagi di tempat yang sama.
Menurut pelajar-pelajar, soalan-soalan yang dikemukakan pada hari ini tidak begitu sukar. Selain dua soalan tersebut ialah soalan Peperiksaan Percubaan SPM SBP 2011, beberapa soalan lain juga telah dibincangkan dengan terperinci di dalam kelas. Seorang pelajar yang tidak ingin dikenali menyatakan bahawa beliau bersyukur kerana kebanyakan soalan yang diberi tumpuan pada saat-saat akhir telah keluar dalam peperiksaan. Rakannya pula menyatakan, walaupun soalan tentang pelancongan [yang dijangkakan keluar] tidak ada dalam kertas Bahasa Melayu 1, namun ia langsung tidak menyebabkan beliau kecewa. Hal ini demikian kerana perbincangan secara intensif dalam kelas - kelas anjal yang dijalankan banyak membantunya menjawab soalan lain. "Yang pentingnya, kami telah didedahkan dengan teknik penulisan karangan yang tepat oleh guru-guru dan penceramah luar sejak awal tahun lagi." demikan kata seorang lagi pelajar yang tidak ingin dinyatakan namanya.
Sementara itu, soalan Bahasa Melayu Kertas 2 juga diyakini telah dijawab dengan baik oleh para pelajar. Mereka yang sibuk menyemak jawapan sesama sendiri bersyukur kerana kebanyakan soalan telah berjaya dijawab oleh mereka. "Semua ini berkat bimbingan para guru yang tidak pernah jemu mendidik kami, khususnya semasa jadual anjal" kata salah seorang pelajar terlibat.
Walaupun kertas Bahasa Melayu sudah berakhir, guru mereka mengingatkan mereka supaya tidak leka kerana masih banyak subjek yang belum ditempuh. "Jangan berhenti berdoa", kata penulis kolum ini :-D.
Penulis mengucapkan selamat menempuh peperiksaan kepada semua pelajar calon SPM 2011, i-KUPs dan bekas-bekas murid i-KUPs di mana-mana sekolahpun. Semoga beroleh kejayaan yang terbilang. Pastinya, jangan berhenti berdoa untuk mendapat A+ dalam Bahasa Melayu! Bersedia...
Memohon kepada Illahi
Mengharap restu Allah SWT
Kami doakan kejayaan anda, anak-anak i-KUPs
Bersiaga...
Pesanan daripada ayahanda...

Hit: 23 Laman Asal