Ahad, November 01, 2009

Istishhadiyah

Istishhadiyah

Oleh : Ahkarim




NURFAH mati seperti dijadualkan, sungguhpun terlewat hampir lima belas minit. Mayatnya tidak dikembalikan kepada ibunya Farhah. Farhah pun tidak mengharap akan mendapat kembali mayat anak sulungnya.

Penduduk sekitar Kampung Termin sudah menyediakan sebuah keranda kosong, sebaik mendapat berita yang mengesahkan bahawa anak gadis Kampung Termin sudah mati. Gambar Nurfah sebesar 8 x 12 inci telah dicetak sebanyak 20 keping dan dilekatkan di papan sepanduk.

Besok seluruh warga Kampung Termin akan keluar berarak. Keranda kosong akan diselimut dengan bendera hijau. Keranda akan diusung oleh enam pemuda berbadan sasa. Sepanduk yang memuatkan gambar Nurfah dan beratus lagi sepanduk lain akan dijulang oleh pemuda dan pemudi Barisan Jihad.

Tepat jam 10 pagi besok, perarakan akan sampai ke Jalan Raufah. Di persimpangan Raufah dan Jalan Arafat, perarakan akan menjadi seribu lebih peserta. Ketua Panitia Perarakan Pengebumian Jihad akan mengambil alih pimpinan perarakan daripada pemimpin Termin apabila perarakan sampai ke penghujung Jalan Arafat. Sampai di situ jumlah peserta dianggarkan seramai tiga ribu.

Medan Rafah yang luasnya lebih kurang satu setengah padang bola sepak adalah destinasi yang dituju. Di situ wakil Pimpinan Jihad Hammas akan sedia menunggu ketibaan perarakan. Lebih kurang dua belas ribu peserta akan berkumpul di Medan Rafah.

Medan Rafah tiada sebarang pentas atau tempat khas untuk para pemimpin membuat ucapan. Dua tiga buah jip akan disediakan untuk tujuan itu. Para pejuang yang menutup muka mereka dengan Kiffiah Arafat seramai dua tiga ratus orang akan mengelilingi kawasan itu, sambil memegang rifle atau senapang automatik buatan Russia.

Apabila pimpinan tertinggi berucap dari atas jip, semua peserta akan mengurangkan pekikan ‘AllahuAkbar!’. Dari mula perarakan lagi para peserta sudah melaungkan kata-kata jihad dan berani mati untuk tanah air tercinta. Dentuman bunyi senapang yang akan ditembak ke langit oleh para pejuang menjadikan suasana perang dan kelam kabut di Medan Raffah. Namun nyanyian lagu semangat yang berselang seli dengan nama `Nurfah Wa Jihad, Jihad ul Jannah, Jannah tul Islam ...’ akan dinyanyikan serentak.

Sejam atau dua adalah masa yang diambil bagi menyudahkan perarakan, tergantung kepada berapa orang yang mati. Tetapi besok hanya Nurfah.

Farhah pasti akan menangis sehingga tidak terkawal. Pimpinan tertinggi Pasukan Jihad, yang akan berucap berapi-api lebih kurang lima belas minit sehingga serak suaranya ,bakal mengisytiharkan perarakan tamat. Penamat perarakan bagi mengenangkan syahidnya Nurfah ialah apabila kain bendera hijau penutup keranda dilipat dan diserahkan kepada Farhah sambil dahinya dikucup oleh pemimpin tertinggi Pasukan Jihad. Farhah akan dipimpin keluar oleh Pejuang dan dihantar kembali ke Kampung Termin dengan menaiki jip khas yang disediakan. Di dalam jip, satu sampul surat besar berisi USD 3000 akan diserahkan kepadanya oleh wakil Pimpinan Jihad.


II

Nurfah mendakap erat Farhah. Farhah yang berumur 35 tahun, berbadan tegap dan sedikit berisi, tidak mahu melepaskan dakapan balasnya. Dia mencium seluruh muka Nurfah. Sekali-sekala dia merenggangkan badannya daripada anak gadisnya itu untuk memegang dan memicit-micit bahu dan tangan anaknya itu. Farhah mahu merasa seluruh tubuh anak daranya itu buat kali terakhir.

Anak gadis berusia 19 tahun itu menahan sedu tangisannya agar tidak begitu ketara. Dia mahu kesedihan itu tidak menggugat semangatnya. Juga semangat ibunya. Dia mahu sedu-sedan itu semata-mata paparan kasih sayang ibu dan anak yang akan berpisah buat selamanya. Dia juga tahu sedu-sedan, esakan ibunya adalah tusukan perasaan yang tidak dapat dibendung. Malah dia tahu Farhah, ibunya, mempunyai semangat waja yang kental yang dikaguminya sejak dia mengenal erti hidup insan yang maruahnya dirobek, dicarik-carik.

Dari bilik tidur apartmen usang itu Nurfah menyongsong ibunya ke ruang tamu. Farhah masih belum mahu melepas dakapan erat badan anaknya itu. Dibiarkan Nurfah menarik menyongsong dua badan yang menjadi satu ke ruang tamu. Di ruang tamu, enam orang adik Nurfah duduk murung. Hatim, Nishah, Umair, Nasim, mula menangis apabila melihat kakak dan ibu mereka keluar dalam keadaan berpelukan. Ikhsan dan Aimna masih terlalu kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Hatim, Nishah, Umair dan Nasim, baru saja diberitahu yang kakak mereka akan pergi. Itupun mereka masih samar tentang kesudahan pemergian Nurfah. Mereka tahu Nurfah akan meninggalkan mereka dan mungkin selama-lamanya. Namun di mana, bagaimana, bila, dengan siapa dan apa yang akan terjadi atau yang akan dibuat oleh kakak mereka itu, mereka tidak pasti. Hatim rasa dia tahu. Dan sesungguhnya telahan di dalam benaknya itu adalah tepat.

Nishah menolak pinggan makanannya yang baru dua suap dijamahnya dan terus menerpa ke bilik tidur. Dia mencari kakaknya. Apartmen yang tidak sebesar mana itu diselongkarnya. Namun, Nurfah tidak kelihatan.

“Dia ke masjid. Dia akan balik selepas sembahyang Asar dan akan bertolak sebelum Maghrib.” Sebaik habis ayat itu dilafazkan oleh Farhah, Nishah menerpa keluar berlari menuju ke arah masjid yang terletak kira-kira tiga suku kilometer dari apartmen mereka.

Hatim terus makan dengan perlahan sambil menundukkan kepalanya. Sebagai remaja lelaki yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu sejak dia dilahirkan, dia amat faham. Umair, adik Nurfah yang ketiga selepas Hatim dan Nishah, yang berusia 14 tahun merenung wajah ibunya dengan penuh kemusykilan. “Ke mana kakak akan pergi, Ummi?” Umair yang pada mulanya tidak jelas duduk perkara sebenar cuba mendapat penjelasan selepas melihat kakaknya Nishah meluru keluar rumah. Namun, jawapan kepada soalannya itu terjawab apabila ibunya tidak menjawab dan terus memandang kosong ke dinding.

Nasim yang berumur 13 belas tahun itu merasa dia faham, tetapi mendiamkan diri. Dua lagi adik mereka yang berumur tiga dan dua tahun, tidak faham selebih daripada apa yang diberitahu oleh ibu mereka. Tetapi paparan wajah duka sudah mengenali mereka sejak mereka mengenal dunia. Raung tangis sedih sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Selepas Asar tadi, Nurfah kembali bersama-sama Nishah yang memegang erat pinggangnya. Selepas Nurfah masuk, adik-adiknya yang lain sekadar melihat Nurfah dengan wajah yang gundah. Nurfah terus ke bilik untuk bersendirian dengan ibunya. Nishah gelisah. Dipunggah beg sekolahnya. Buku-buku sekolahnya dipegang satu demi satu, sekadar cuba menenangkan fikirannya. Namun dia gagal sehingga Nurfah dan ibunya keluar dari bilik sambil menangis teresak-esak.

Suasana di ruang tamu, kalaupun boleh dipanggil ruang tamu dalam apartmen itu, kini menjadi bilik ratapan. Lapan beranak berpelukan. Nurfah membiarkan badannya dipeluk rangkul oleh ibu dan adik-adiknya.

Ketukan lembut disertai salam di pintu apartmen menghentikan raungan lapan beranak itu. Dengan perlahan Nurfah meloloskan dirinya. Dia bangun sambil meraih dukung kedua-dua adiknya yang kecil. Diciumnya pipi mereka bertalu-talu hingga kelihatan kemerahan berbekas.

Farhah bangun longlai, menjawab salam dan menuju ke arah pintu, tetapi Hatim mendahului ibunya dan membuka pintu. Dua wanita berpakaian jubah serba hitam terpacak di hadapan pintu. Menunggu.

Nurfah mengambil beg yang siap di belakang pintu. Nishah tunduk melutut menangis hingga terhinggut-hinggut badannya. Nurfah, yang sudah kering air matanya, meletakkan semula begnya itu dan kembali merangkul badan Nishah. Nishah meraung dalam pelukan kakaknya. Dia hanya dapat berkata, dalam sedu yang menerpa semula, “Sabar dik, kita bertemu di syurga”. Mendengar itu, raungan Nishah menjadi lebih kuat. Farhah yang tercegat di ambang pintu, segera mendapatkan Nishah. Dia memeluk anaknya itu dan mengangkat anaknya itu supaya berdiri. Farhah menyongsong kedua-dua anak daranya ke muka pintu.

Hatim dan Umair sudah berada di luar, di belakang dua wanita yang menunggu tanpa sebarang suara. Setelah reda tangisan Nishah, Nurfah sekali lagi memeluk dan mencium ibunya Farhah, tetapi sekejap dan melepaskannya semula. Di luar pintu, Nurfah memeluk Hatim dan Umair sambil berbisik, “Jaga Ibu dan adik-adik baik-baik”. Mereka mengangguk-angguk dengan genangan air mata dan sendu yang tertahan-tahan.

“Kakak, ambil ini,” Hatim menghulurkan sekeping gambar kepada kakaknya. Nurfah mengambil gambar itu lalu diciumnya dan dimasukkan ke dalam poket sisi begnya.

Nurfah langkah pergi dengan diiringi rapat oleh dua wanita berjubah hitam. Dia melambai dalam samar cahaya senja yang semakin pudar. Tujuh pasang tangan melambai balas sehingga bayang hilang daripada pandangan. Nishah tersepuk pengsan di hadapan pintu.


III

Gambar Wafa Idris di mana-mana.

Salinan dari majalah, keratan akhbar dan cetakan sebaran tertampal di dinding, di kulit buku, di beg dan merata-rata. Yang paling digemari oleh Nurfah ialah wajah Wafa yang dilukis tangan oleh pelukis jalanan yang dibelinya semasa berjalan-jalan selepas kuliah di Rafah.

Istishhadiyah. Label besar yang tertulis di dinding bilik apartmen Nurfah diwarnai terang dengan pena marker. Huruf alif, huruf pertama perkataan Istishhadiyah itu diwarnai merah dengan alir titisan darah. Huruf Ha`mabtutah, huruf terakhir perkataan itu disimpul menjadi sekuntum mawar berwarna merah jambu. Di bawah label itu terlekat gambar Wafa Idris yang dilukis oleh pelukis jalanan yang amat digemari Nurfah.

Sekeping keratan akhbar dilekatkan pula di bawah gambar Wafa yang tertulis: Januari 2002, Jalan Jaffa, Jerusalem. Gadis Palestin pertama syahid sebagai Istishhadiyah … peletup berani mati wanita. Semoga Allah menerima pengorbanannya.

Sekeping kertas bertulis tangan terlekat di sudut kanan dinding:

Wafa Mawar Syurga



Wafa

Wajahmu seiras Mariam

Yang menunggumu di serambi Jannah

Memimpinmu ke alam baqa

Menemui Allah yang Maha Esa



Nurfah Rashd Baghouti



Di sudut kiri dinding bilik Nurfah yang padat dengan pelbagai pelekat itu tertera pula sehelai kertas bercetak komputer yang ditulis dalam Bahasa Inggeris:

The Army of Roses



Wafa Idris

Reem Raisyshi

Loula Abbou

Ayat al-Akhras

“Nurfah Rashd Baghouti ???”



Di bawah tulisan itu tertulis pula dalam warna merah: “Sheikh Ahmad Yassin - Spiritual Leader of Hammas, Comes Out In Defense Of Istishhadiyah, Women Suicide Bomber, He Says, “There Ia a Worlf of a Difference Between Suicide And Martyrdom, Same Act But Different Intent.”

Di sisi katil, di atas sebuah meja kecil, terletak sekeping gambar berbingkai warna perak. Wajah seorang lelaki muda yang kacak bermisai. Di bahagian bawah gambar tertulis: `Rashd Baghouti, syahid Ramadan 2000’. Setiap malam sebelum tidur, Nurfah pasti mencium gambar ayahnya itu dan membisik sesuatu, yang hanya dia yang tahu.

Sungguhpun Nurfah berkongsi bilik dengan ibu serta adiknya Nishah, namun dua dinding bilik itu menjadi miliknya. Ibunya dan Nishah amat faham dengan gelagat Nurfah. Mereka membiarkan saja dia dengan ‘hobiny’ itu. Setiap kali dia berada dalam bilik itu, pasti dia akan menatap semua paparan di segenap dinding. Sekali Nishah pernah menanyakannya mengapa dia meletakkan namanya di senarai ‘Army of Roses’. Nurfah hanya senyum sambil menumbuk tangannya ke langit. Namun Nishah sudah terasa gerun memikirkan kalau ia menjadi kenyataan.


IV

Farhah sudah tidak menangis lagi. Dia mahu terus menangis, tetapi takungan air matanya sudah kemarau kontang. Selepas mendapat berita melalui TV tentang syahidnya seorang pejuang wanita yang meletupkan dirinya di sebuah pasar raya di bandar Tel Aviv yang turut mengorbankan lapan orang Yahudi, Farhah sudah tidak boleh menangis lagi. Tadi selepas dia dihantar pulang dengan sebuah jip berbekalkan USD 3000, dia bersama tujuh orang anaknya telah segera ke tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid Kampung Termin.

Hatim membaca doa di sisi pusara ayah mereka sambil diaminkan oleh ibu dan adik-adiknya. Nishah tiba-tiba meraung apabila Hatim menyebut nama ayahnya Rashd Baghouti dan kakaknya Nurfah. Hatim bukan sekadar meratap doa ke atas roh ayah dan kakaknya, malah mengungkap kata semangat menegaskan sudah terbela kematian ayah mereka. Dia menambah: “wahai ayah kami as-syahid Rashd Baghouti, wahai kakak as-syahidah Nurfah, kami bersumpah di atas pusara syuhada, demi Allah kematian kamu tidak kami persiakan. Kami tidak akan membiarkan ibu, adik-adik kami dan bumi ini terus dijajah. Kami akan pertahankan dengan nyawa kami seperti yang kamu berdua telah lakukan.”

Setiba di rumah tujuh beranak keluarga Baghouti disambut oleh jiran-jiran mereka yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang tidak turut serta dalam perarakan tadi. Mereka memeluk Farhah dan anak-anaknya sambil menangis hiba. Di ruang tamu telah tersedia makanan yang dihidangkan oleh jiran-jiran mereka. Beberapa orang jiran terus masuk ke ruang tamu dan makan bersama juadah yang sedia terhidang.

Nishah terus masuk ke bilik. Tidak beberapa minit kemudian dia keluar semula dan memanggil Hatim, Umair dan Nasim masuk ke bilik. Dia menunjukan kepada mereka pelekat di dinding yang bertajuk The Army Of Roses. Di bawah nama “Nurfah Rashd Baghouti ???” baru tertulis pula “Nishah Rashd Baghouti ???” Terbeliak mata dua beradik itu. Mereka saling berpandangan tanpa sebarang kata.

Nishah menunjukkan pula sekeping kertas kosong yang baru dilekatkannya di dinding. Dia menghulurkan pena marker kepada Hatim. Tanpa sebarang soal Hatim terus mengambil dan menulis di kertas kosong itu dan kemudian menghulur pula pena itu kepada Umair. Umair dan Nasim turut membuat perkara yang sama.

Farhah menolak perlahan-lahan membuka pintu bilik. Dia agak musykil kerana empat orang anaknya tiada di ruang tamu bersama jiran mereka. Sebaik melangkah masuk dia amat terkejut lalu menutup mulutnya. Penglihatannya berbalam lantas berkaca merenung tulisan di dinding:

The Army of Rashd Baghouti's Sons

1. Hatim

2. Umair

3. Nasim



Biodata :
AHKARIM, nama pena bagi Abdul Halim Karim yang pernah memenangi Sayembara Cerpen Cinta anjuran Majalah Jelita. Beliau turut memenangi Anugerah Cerpenis Alam Siber 2006 dan 2007 anjuran DBP dan esastera.com. Pemegang Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Organisasi (Sheffield) ini adalah bekas pegawai kanan kerajaan dengan jawatan terakhir Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Beliau kini dalam proses menerbitkan novel pertamanya, Diari Lusuh Seorang PTD.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails