Selasa, 23 Julai 2019


Pemakanan sihat amat penting dalam kehidupan seseorang pada hari ini bagi mencegah pelbagai jenis penyakit.  Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan amalan pemakanan sihat kepada diri seseorang.  Jelaskan pendapat anda.

Pemakanan sihat ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan seseorang manusia. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada amalan pemakanan sihat ini.
Kepentingan pemakanan sihat yang utama ialah sikap ini menjadikan tumbesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Hal ini kerana tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat dan seimbang fizikalnya. Dengan itu, secara tidak langsung akan menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna.
Selain itu, pemakanan sihat memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Sebagai contoh, makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin yang cukup untuk menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit.Oleh itu, manusia yang mengamalkan pemakanan sihat akan mempunyai kesihatan yang lebih baik  berbanding yang  tidak mengamalkannya.
Akhir sekali, pemakanan sihat turut dikatakan turut mampu mengawal kadar obesiti seseorang. Hal ini kerana mengamalkan pemakanan sihat menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang akan menyihatkan badan mereka. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam kehidupan mereka.
Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan pemakanan sihat kerana semua manfaatnya yang telah dibincangkan tadi. Bukan sahaja individu tetapi seluruh anggota masyarakat perlu mengamalkan pemakanan sihat ini. Jika masyarakat tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah dan ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya bak kata pepatah“Tepuk dada tanya selera”.

Selasa, 2 Oktober 2018


Baru-baru ini anda telah menyertai Perkhemahan Perdana Unit Beruniform.
Ceritakan pengalaman anda sepanjang menyertai perkhemahan tersebut.

Pada minggu yang lepas,saya telah berpeluang mewakili pasukan Kadet Bomba untuk menyertai satu perkhemahan perdana unit beruniform. Pasukan unit beruniform yang terlibat ialah pasukan Pengakap, Kadet Bomba, Kadet Polis, Kadet JPJ  dan Bulan Sabit Merah. Perkhemahan itu diadakan di padang sekolah dan dijalankan selama tiga hari dua malam.
              
                Pada petang Jumaat itu, kami semua berkumpul di padang sekolah.Kami mendengar  taklimat daripada  Komandan Kem  iaitu Cikgu Sahabudin.Selepas itu, kami diagihkan mengikut pasukan uniform masing-masing.Kami kemudian dibekalkan dengan khemah dan diarahkan untuk memasang khemah masing-masing sebelum malam menjelang tiba. Pada sebelah malamnya, kami diarahkan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dimakan.

                Pada awal  pagi kami sudah bangun. Kami diarahkan solat Subuh secara berjemaah bagi yang beragama Islam. Selepas itu, kami melakukan senam robik yang diketuai oleh Cikgu Suhaili.Selepas bersarapan kami diarahkan mengemaskan khemah masing-masing.Pada pagi itu diadakan pemeriksaan khemah  paling cantik dan kemas.Khemah pasukan Kadet Polis telah diumumkan sebagai pemenang.

                Selepas itu,satu pertandingan memasak telah diadakan.Semua bahan telah disediakan oleh guru-guru penasihat .Kami diminta memasak nasi,lauk-pauk dan menggoreng ikan dengan menggunakan kayu sebagai bahan bakar.Pemenang dikira berdasarkan keenakan dan susun atur serta hiasan.Kali ini kumpulan saya telah muncul sebagai johan.

                Selepas makan malam,persembahan malam kebudayaan diadakan.Setiap persembahan mengikut unit uniform masing-masing.Antara persembahan adalah seperti nyanyian,tarian,lakonan dan sebagainya.Kali ini kumpulan pengakap menjadi johan dengan persembahan boria yang menarik.

                Keesokan harinya,kami bergotong-royong membersihkan kawasan tapak perkhemahan dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.Penyampaian hadiah dan sijil turut diadakan kepada para pemenang. Perkhemahan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Selepas itu,saya  dan  rakan-rakan  pulang dengan perasaan yang gembira. Saya berharap dapat menyertai lagi perkhemahan seperti ini pada masa akan datang.

Khamis, 30 Ogos 2018


Hampir setiap sekolah di negara ini mempunyai koperasi. Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh apabila menjadi ahli koperasi sekolah.

            Sejak beberapa dekad belakangan ini memang kita dapat menyaksikan peranan penting koperasi kepada warga sekolah. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, faedah yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Hal ini kerana terdapat pelbagai barang kelengkapan sekolah yang dijual di situ dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.Dengan ini, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang.
            Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Hal ini kerana secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Tamsilnya, perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek Prinsip Akaun dan Matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Dalam pada itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid yang pelbagai kaum. Hal ini kerana hubungan ukhuwah murid-murid memudahkan guru-guru dalam menguruskan koperasi kerana jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan akan berjalan dengan lancar. Natijahnya,  hubungan silaturahim antara guru dan murid juga terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing.
                Konklusinya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tadbir urus koperasi kepada tahap yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama.


Pada musim cuti sekolah lawatan sambal belajar merupakan aktiviti luar bilik yang paling popular di sekolah-sekolah di seluruh negara.Bincangkan faedah yang diperoleh para  pelajar sekiranya menyertai aktiviti ini

Kelab dan persatuan di sekolah sering menganjurkan lawatan sambil belajar apabila tiba musim cuti persekolahan atau selepas musim peperiksaan berakhir. Lawatan ini biasanya dianjurkan ke tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat menarik dan ke pusat-pusat pameran. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh para pelajar sekiranya menyertai aktiviti ini.
Antara kepentingan menyertai lawatan sambil belajar ialah para pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, jika mereka melawat ke Muzium Negara, mereka akan memperoleh banyak maklumat tentang sejarah negara.Dengan ini, mereka dapat menggunakan pengetahuan tersebut dalam mata pelajaran Geografi dan Sejarah di dalam bilik darjah.
               Selain itu, mereka dapat memanfaatkan masa lapang dengan dengan aktiviti yang berfaedah seperti menyertai lawatan  ini. Tamsilnya, jika mereka tidak mengikuti lawatan, mereka mungkin akan menghabiskan masa dengan hanya menonton televisyen atau bermain permainan video sahaja. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan masa yang berharga itu sia-sia begitu sahaja.
               Seterusnya, mereka akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolah . Tamsilannya, ketika mengikuti lawatan, mereka akan berkomunikasi dan bekerjasama dengan peserta lawatan yang lain. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra dalam kalangan rakan mereka yang berlainan kelas.
Dalam pada itu, mengikuti lawatan sambil belajar juga dapat menenangkan fikiran mereka setelah penat belajar menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana keadaan persekitaran yang nyaman dan tenang boleh memberikan kerehatan serta kesegaran minda kepada mereka. Sebagai contoh, tempat menarik seperti Cameron Highlands mempunyai cuaca yang sejuk dan suasana yang boleh mendamaikan para pengunjung yang mengujunginya.
               Kesimpulannya, mengikuti lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Oleh itu, jika ada kesempatan para pelajar janganlah melepaskan peluang untuk mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Dengan itu, mereka akan mengetahui tempat-tempat yang menarik yang terdapat di negara ini. Sesuai dengan kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan.

Ahad, 20 Mei 2018


Langkah-Langkah Mengatasi Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja

Pada era globalisasi ini, gejala sosial dalam kalangan remaja begitu membimbangkan dan berleluasa. Secara umumnya, gejala sosial ini dikaitkan dengan perlakuan negatif yang dilakukan oleh remaja kebelakangan ini. Oleh itu, inisiatif segera perlu diambil oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengekang kemelut ini daripada terus menular.

Pada hemat saya, peranan diri sendiri merupakan peranan utama bagi mengatasi gejala sosial ini. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dilakukan oleh seseorang remaja itu adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Oleh itu, sekiranya diri sendiri tidak mahu melakukan perkara yang menyalahi norma kehidupan, maka mereka tidak akan melakukannya.

Selain itu, peranan ibu bapa juga penting dalam mengekang masalah gejala sosial ini.Hal ini kerana sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah mendidik dan mengajar mereka dengan didikan agama yang syumul kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

Seterusnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa juga menyemai benih- benih salah laku dalam kalangan remaja justeru saluran media massa seperti televisyen, filem dan majalah perlu mendidik remaja agar tidak terlibat dengan kemelut kebejatan moral. Tamsilannya, siaran yang memaparkan remaja yang berjaya mesti sering dipaparkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Dengan itu, media massa berupaya untuk mengurangkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hingga ke peringkat akar umbinya. 

Konklusinya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja ini. Selain peranan ibu bapa dan media massa, masyarakat sekitar juga tidak boleh lepas tangan bagi menyelesaikan masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Sekiranya, masyarakat menegur tindakan golongan remaja ini sudah pasti gejala ini dapat dibendung agar tidak menjadi semakin parah.

Khamis, 8 Jun 2017

Kanak-kanak Hilang


Jadual di atas menunjukkan stasistik kes kanak-kanak hilang sejak tahun 2011 sehingga bulan November 2015. Jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan selama lima tahun adalah sebanyak 9751 kes. Manakala negeri yang tertinggi jumlah kes kehilangan kanak-kanak ialah negeri Johor iaitu sebanyak 1727 kes. Kehilangan kanak-kanak ini mungkin disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah disebabkan penculikan oleh pihak sindiket. Kanak-kanak ini diculik untuk dijadikan peminta sedekah di tempat-tempat tertentu. Terdapat juga kanak-kanak yang hilang ini telah dirogol dan dibunuh oleh penjenayah tersebut. Mayat mereka kemudiannya dibuang di kawasan-kawasan yang sukar ditemui oleh orang ramai. Kesimpulannya, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko untuk diculik.



                                                                                     105 patah perkataan

Isnin, 5 Jun 2017

Bersukan banyak memberikan kebaikan kepada seseorang. Huraikan faedah-faedah seseorang itumelibatkan diri dalam bidang sukan.



Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.            

Salah satu daripada faedah bersukan adalah dapat menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini kerana apabila kita bersukan badan kita akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita.Oleh itu, badan kita akan menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.            

Seterusnya, melalui bersukan, kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan menambah kenalan tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Tamsilnya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu-individu yang berada di kawasan itu. Justeru, hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum disesuatu kawasan tempat tinggal, bak kata pepatah bagai aur dengan tebing.           

Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat.Hal ini kerana sesi latihan  permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang. Dengan ini, kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri kita daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang tidak diingini.            

Di samping itu, dengan bersukan juga kita dapat mengharumkan nama sekolah.Hal ini demikian kerana sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Sebagai contoh, sekiranya kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita secara tidak langsung berjaya mengharumkan nama sekolah kita.


Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan. Justeru, kita perlulah bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk bersukan. Dengan itu, akan lahirlah masyarakat yang cerdas dan cergas pada masa akan datang.

Ahad, 26 Februari 2017

Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang Terhadap Ibu Bapa

            Ibu bapa merupakan insan yang banyak berjasa kepada kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu telah melahirkan kita manakala bapa pula sentiasa bersusah payah mencari rezeki untuk menampung segala keperluan kita. Oleh itu, sebagai anak, kita haruslah mentaati ibu bapa dan menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa dengan cara-cara yang tertentu.
   Pada pandangan saya, cara yang paling penting untuk kita mentaati ibu bapa ialah mencurahkan kasih sayang kita kepada ibu bapa sebagaimana ibu kita pernah menumpahkan kasih sayang dan menatang kita bagai minyak yang penuh. Sebagai contoh, kita bolehlah berbual-bual dengan ibu bapa, menghiburkan hati mereka dan membawa mereka melancong ke luar negara. Dengan berbuat demikian, kedua-dua ibu bapa akan berasa gembira dan tidak berasa diabaikan oleh anak-anak.
    Selain itu, kita haruslah memberi wang atau hadiah kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan dan tanda penghormatan. Hal ini kerana wang yang diberi boleh meringankan beban ibu bapa yang telah uzur dan tidak larat untuk bekerja. Tamsilannya, anak-anak yang sudah bekerja boleh memperuntukkan sebahagian daripada gaji mereka setiap bulan untuk diberikan kepada ibu bapa mereka.
    Dalam pada itu,seseorang anak juga perlu sentiasa mentaati dan mendengar kata dan arahan ibu bapa. Hal ini kerana sebagai insan yang lebih banyak makan garam, pastinya mereka telah mengharungi pelbagai cabaran yang belum kita tempohi. Dengan menunaikan setiap permintaan mereka tentu sekali dapat menggembirakan hati dan menyenangkan perasaan mereka.
    Di samping itu, belajar bersungguh-sungguh dan gigih menuntut ilmu juga satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa. Sebagai contoh, setiap anak perlu memastikan mereka mencapai prestasi yang terbaik dalam pelajaran..Amalan seperti ini boleh meningkatkan kasih sayang mereka kepada kita.  
    Konklusinya, berbagai-bagai tindakan boleh dilakukan untuk menghargai jasa ibu bapa. Sesungguhnya, seseorang anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa selagi nyawa mereka dikandung badan. Hal ini bukan sahaja untuk membalas jasa mereka tetapi juga agar mereka berasa bangga terhadap usaha yang dilakukan untuk membesarkan anak-anak.


                                                                                                              300 patah perkataan

Ahad, 12 Februari 2017

Kata Majmuk

15 kata majmuk yang telah mantap

1. Antarabangsa
2. Beritahu
3. Bumiputera
4. Jawatankuasa
5. Kakitangan
6. Olahraga
7. Kerjasama
8. Matahari
9. Setiausaha
10. Sukarela
11. Suruhanjaya
12. Tandatangan
13. Warganegara
14. Pesuruhjaya
15 tanggungjawab

Ahad, 5 Februari 2017

       

Saban hari berita tentang kemalangan jalan raya menghiasi dada-dada akhbar di negara kita. Justeru, pendekatan yang efektif perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah ini dapat diatasi.Mempunyai lesen yang sah merupakan syarat utama sebelum seseorang itu dibenarkan memandu sebarang jenis kenderaan di atas jalan raya. Hal ini kerana mereka yang tiada lesen memandu tidak akan memahami undang-undang jalan raya. Selain itu, ibu bapa juga perlulah melarang anak-anak mereka yang tiada lesen memandu daripada menunggang motosikal.Hal ini demikian kerana kes kemalangan yang melibatkan remaja yang tiada lesen memandu amat tinggi jumlahnya.Seterusnya, orang ramai juga perlulah bersikap bertimbang rasa semasa menggunakan jalan raya.Tamsilnya, terdapat sesetengah daripada mereka memotong kenderaan lain di kawasan yang tidak dibenarkan.Konklusinya pelbagai prakarsa boleh diambil bagi membendung peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita ini.


                                                                                                      100 patah perkataan

Kitar Semula

Related image

Kitar semula ialah suatu proses menggunakan semula bahan-bahan yang dibuang dalam bentuk lain. Antara faedah mengamalkan kaedah kitar semula ialah alam sekitar akan terpelihara. Hal ini kerana kerana sampah sarap tadi akan diproses kembali dan tidak dibiarkan mereput yang boleh menyebabkan pencemaran.Melalui kitar semula juga kerajaan dapat menjimatkan wang . Hal ini demkian kerana sampah sarap tersebut tidak perlu dilupuskan dan ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.Selain itu, kitar semula juga dapat menjana pendapatan. Hal ini kerana tin-tin dan kertas-kertas lama boleh dijual semula kepada pusat-pusat kitar semula sekali gus menjana pendapatan kita.Konklusinya, kitar semula adalah suatu program yang sangat bermanfaat.


                                                                                                         100 patah perkataan