Monday, September 25, 2006

MAT REMPIT DAN KRISIS SOSIAL


Oleh: ZAMBRY ABD KADIR

ISU ‘mat rempit’ dan kerenah buruk mereka sering kali dipaparkan dalam media negara. Saban hari ada sahaja kes yang melibatkan mereka yang memeningkan masyarakat termasuk pihak polis. Dari kes perlumbaan haram, perbuatan jenayah, perilaku buruk yang tidak bermoral menjadi tajuk perbincangan semua.

Malah ada yang mengatakan bahawa `mat rempit’ membawa imej yang buruk kepada negara khususnya dalam sektor pelancongan. Malaysia dikatakan seolah-olah tidak mempunyai undang-undang sehinggakan `mat rempit’ menjadi seperti raja di jalan raya.

Aksi-aksi mereka yang mempertontonkan willy dan wilkang amat berbahaya sekali bukan sahaja kepada diri tetapi juga kepada pengguna-pengguna jalan raya. Saban malam khususnya pada malam minggu mereka mencetuskan suasana bingit yang teramat sehinggakan pihak polis sendiri hampir tidak dapat melakukan apa-apa.

Malah ada yang mengatakan bahawa jika fenomena ini tidak dibendung ia akan mewujudkan kelompok masyarakat “the Brownshirts” yang akan bertindak melakukan apa sahaja mengikut kemahuan sendiri dan tidak gentar dengan peraturan dan undang-undang. Akibatnya ada di kalangan mereka yang mengalami kecacatan kekal dan tidak kurang pula kehilangan nyawa.

Soalnya pernahkah kita bertanya siapakah sebenarnya mereka ini dan apakah gaya hidup mereka? Pernahkah masyarakat mengambil pendekatan yang lebih proaktif dan positif dalam menangani krisis sosial anak-anak muda yang semakin meningkat di negara ini?

Ia bukan sekadar berlaku di bandar-bandar besar tetapi di hampir setiap daerah dalam negara ini. Malah yang lebih membimbangkan ia turut berkembang di kawasan luar bandar dan kampung-kampung. Bilangan mereka bukan ratusan tetapi puluhan ribu.

Mereka yang terlibat ini terdiri daripada anak-anak muda yang berusia belasan tahun dan awal 20-an. Ada di kalangan mereka yang masih bersekolah, yang terkandas dalam pelajaran, dan ramai juga yang telah pun bekerja. Ia sudah berlaku sekian lama malah paling menyedihkan mereka adalah terdiri daripada anak-anak Melayu.

Apa yang menjadi polemik dan perbahasan masyarakat kita ialah bagaimana menghadapi krisis mat rempit ini? Ada yang mengusulkan pendekatan punitif, ada yang mencadangkan pendekatan pendidikan dan engagement. Pendekatan yang popular ialah punitif iaitu jangan memberi ruang kepada mat rempit ini dan pihak berkuasa perlu bertindak dengan lebih tegas.

Manakala pendekatan pendidikan dan engagement sering kali mengundang kontroversi. Ini disebabkan usaha mendekati kumpulan tegar ini perlukan kesungguhan, kesabaran melayani kerenah mereka, memahami pemikiran dan perasaan mereka, bercakap dalam bahasa mereka, dan membina keyakinan diri mereka. Akibatnya ada kalangan yang agak pesimis, sinis, dan kritikal dengan pendekatan ini.

Maka tidak hairanlah dengan apa yang dialami oleh Putera UMNO Malaysia baru-baru ini apabila mengambil pendekatan pendidikan dan engagement. Suatu perhimpunan besar-besaran melibatkan lebih daripada 8,000 ‘mat rempit’ seluruh Semenanjung diadakan di Teluk Batik telah mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat.

Ada yang menuduh Putera UMNO menggunakan pendekatan murahan untuk membina kredibilitinya dengan menghimpunkan ‘mat-mat rempit’. Akibatnya mereka ini dikatakan telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat setempat dengan pelbagai tuduhan keruntuhan akhlak. Malah Putera UMNO dianggap membuang masa kerana memberikan nasihat kepada golongan yang bagaikan “mencurah air di daun keladi”.

Sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan DUN Pangkor di mana tapak perhimpunan ‘mat rempit’ di Teluk Batik itu terletak dalam kawasan saya, perasaan bercampur baur dan was-was turut menyelubungi diri saya. Saya bertanya apakah cara menghimpunkan ‘mat rempit’ ini adalah cara yang terbaik untuk mengubah imej mereka? Kenapa memilih Teluk Batik dan tidak tempat lain? Kenapa saya perlu menanggung beban yang tidak sewajarnya?

Tetapi setelah saya merenung jauh ke dalam diri, dan bertanya berkali-kali dalam hati, kenapa saya tidak berani untuk sama-sama memberi khidmat menyelamatkan anak-anak muda Melayu ini dari terus terjerumus ke lembah kedurjanaan. Kenapa ketika ramai asyik menghentam, tidak ada langsung suara untuk membantu usaha Putera UMNO ini?

Kenapa ketika ceramah-ceramah di mimbar masjid dan surau menceritakan tentang keruntuhan akhlak, tetapi tidak ada yang berani turun membetulkan golongan tegar ini? Kenapa ketika diuar-uarkan krisis akidah umat dan bilangan yang menukar agama, tetapi masih tidak ada usaha untuk menyelamatkan golongan yang mudah tergelincir seperti mereka ini? Kenapa kita pantas menempelak tetapi tidak pantas mengajak? Ke mana perginya slogan-slogan jurubicara umat dan jurudakwah?

Apabila mereka berhimpun di Teluk Batik, saya tidak dapat bayangkan begitu ramai ‘mat rempit’ dalam negara kita. Menurut Datuk Abdul Azeez Abd. Rahim, Pengerusi Putera UMNO, sebenarnya bilangan mereka jauh lebih besar daripada apa yang disaksikan di Teluk Batik.

Mereka ini adalah modal insan yang sangat berharga sekiranya didekati, dibimbing, dipupuk dengan nilai dan akhlak yang mulia. Bayangkanlah di tengah-tengah kelibat berpeleseran mereka, rupa-rupanya ada seorang daripada mereka yang dipanggil “Otai” memiliki lebih daripada 250 rangkaian menjual burger di Lembah Klang. Malah ada di kalangan mereka yang inovatif dengan mengubahsuai kuasa kuda motosikal masing-masing. Mereka tidak belajar secara formal, tetapi melalui laman-laman web. Malah yang agak menarik mereka turut sama menggembleng tenaga memberi khidmat masyarakat dengan mencuci kawasan sekolah, mengecat bangunan tadika, membina rumah orang miskin dan sebagainya.

Saya fikir kita perlu ada kepedulian sosial dalam menghadapi masalah ‘mat rempit’ ini. Mereka adalah suatu fenomena baru dan kelompok baru yang sedang bersarang dalam masyarakat kita. Ia adalah realiti baru yang sedang kita hadapi. Kelompok ini mempunyai jaringan tersendiri. Mereka turut mempunyai keupayaan ekonomi dengan memiliki motosikal (termasuk motosikal yang dibeli oleh ibu bapa) dan memiliki gaya hidup baru.

Hubungan antara mereka sangat akrab. Mereka merasakan kehidupan yang lebih bermakna apabila berada di kalangan mereka. Pada pandangan mereka sikap masyarakat di luar lingkungan mereka yang memandang jijik dan sinis terhadap mereka menjadikan mereka lebih akrab. Semakin mereka dipandang sampah masyarakat dan tidak dipedulikan, semakin itu mereka memencilkan diri dari arus perdana, dan akhirnya membentuk sebuah kelompok yang tegar dengan cara mereka sendiri.

Ketika saya memberitahu mereka bahawa ‘mat rempit’ juga adalah golongan insan yang mulia sekiranya memiliki kualiti dan nilai hidup yang baik, ada di kalangan mereka yang terkejut dengan kenyataan itu. Saya katakan sebenarnya masyarakat sayang dengan mereka, dan sebab itulah sentiasa diberi nasihat agar mereka tidak melakukan perkara yang tidak baik.

Lantaran itu saya katakan kepada mereka agar dapat mengubah perspektif ‘mat rempit’ kepada suatu yang positif dan hidup bermaruah dan berkeyakinan diri. Kalau mahukan perubahan maka perubahan itu sendiri terkandung dalam “R-E-M-P-I-T”. R bermakna rohani yang perlu diisi dengan ingatan kepada Allah, mengikut segala yang disuruh dan menjauhkan segala yang dilarang. E ialah emosi yang perlukan perasaan yang baik, memahami orang lain, tidak membiarkan emosi yang tertekan. M adalah material iaitu sebagai golongan muda mereka mesti bekerja dan ada kemampuan ekonomi dengan tidak menyusahkan orang lain.

P adalah peraturan iaitu mereka wajib mengikuti peraturan dan undang-undang negara termasuk undang-undang di jalan raya. I ialah ilmu yang berguna dan sentiasa membina keinginan untuk menuntut ilmu. T adalah teknologi iaitu mereka sebagai golongan muda yang kreatif dan inovatif perlukan pengetahuan teknologi terkini yang dapat memberi sumbangan kepada negara.

Mungkin ada yang bertanya apakah kita akan berjaya akhirnya untuk mengubah ‘mat rempit’ ini? Jawapan tidak mungkin dapat diketahui sekiranya tidak ada permulaan untuk berusaha mencari jawapan. Ia perlukan daya usaha, dan tentunya akan diketahui natijahnya.

Usaha untuk mengubah dan membimbing ‘mat rempit’ dan ‘minah rempit’ ini tidak mungkin dapat ditangani dengan menganjurkan tindakan keras semata-mata. Adalah tidak adil kita terus menempelak pihak polis yang dianggap tidak mengambil tindakan. Apakah yang dapat dilakukan oleh pihak polis dan JPJ sekiranya kawalan di rumah langsung tidak dilakukan?

Maka ibubapa adalah bertanggungjawab dalam menangani masalah ini secara efektif. Sekiranya ibu bapa tidak memberikan perhatian, pengawasan dan nasihat tentunya masalah ‘mat rempit’ ini tidak dapat diselesaikan. Dari pemerhatian yang dibuat terhadap ‘mat rempit’ dan ‘minah rempit’, mereka keluar dari rumah untuk mencari rakan sebaya yang dapat menghilangkan kebosanan mereka berada di rumah. Dalam rumah sering kali berlaku masalah pertengkaran ibubapa, manakala anak-anak tidak diberikan perhatian.

Pandangan dan sikap masyarakat sendiri perlu berubah. Soal ‘mat rempit’ bukan suatu hal akademik, atau bahan ceramah, tetapi merupakan perkara yang nyata yang sedang berlaku di hadapan mata kita sendiri.

Justeru apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengarahkan Pengerusi Putera UMNO untuk bertindak mengatasi masalah ini, ia adalah suatu kerja yang mulia tetapi penuh dengan duri dan ranjau. Moga usaha murni ini tidak terus ditempelak.

- Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak

0 Comments:

Post a Comment

<< Home