Ahmad Baei Jaafar
Islam menganjurkan perkahwinan supaya
hubungan lelaki dengan perempuan menjadi halal. Namun senario yang berlaku pada
hari ini, lelaki dan perempuan secara sedar boleh bertepuk tampar malah bebas
keluar masuk rumah seperti suami isteri. Apakah mereka mencabar hukum Allah
atau tidak mengetahui hukum pergaulan atau mereka menyangka dengan bertunang segala
perhubungan sudah menjadi halal.
Sebenarnya Rasulullah SAW secara jelas bersabda:
“Sesungguhnya jika salah seorang antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum
besi adalah lebih baik daripada menyentuh seseorang yang bukan mahramnya.” (Riwayat
al-Imam al-Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabir)
Bolehkah anda bayangkan kesan cucukan jarum
besi yang sudah tentunya amat pedih. Rasa pedih itu masih Rasulullah katakan
sebagai lebih baik berbanding dengan perbuatan menyentuh seseorang yang bukan
mahram. Padahal sentuhan bukan mahram tidak sakit berbanding dengan sakit akibat
dicucuk jarum. Tetapi, dengan menyentuh pasangan yang bukan mahram kesannya
adalah neraka yang pedihnya berganda-ganda.
Memahami mesej daripada hadis di atas, umat
Islam wajib elak daripada sentuhan pasangan yang bukan mahram meskipun sudah bertunang.
Hal ini kerana pertunangan bukan menghalalkan pergaulan antara mereka tetapi
sekadar perjanjian awal untuk membolehkan pasangan itu membuat persiapan awal untuk
berkahwin.
Pertunangan dilindungi undang-undang
Apabila seseorang itu sudah sah bertunang,
maka haramlah orang lain untuk meminang si wanita tersebut. Malah haram bagi
wali wanita tersebut menerima peminangan orang lain dan membatalkan pertunangan
yang pertama. Islam tidak membenarkan amalan ini kerana tindakan itu seperti
merampas hak orang lain.
Hadis daripada ‘Uqbah bin Amir menyebut bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin itu adalah saudara
bagi mukmin yang lain. Maka tidak dihalalkan bagi seorang mukmin untuk membeli
barang yang sudah dibeli saudaranya dan janganlah seorang mukmin meminang di
atas pinangan saudaranya kecuali jika pinangan itu telah ditinggalkan.” (Shahih
Muslim 2/1034 no.1414)
Jelas di sini sesebuah pertunangan dilindungi
undang-undang. Maka mereka yang terlibat tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan
atau membatalkan pertunangan itu. Walau bagaimanapun pihak lelaki mahupun
perempuan ataupun wali si wanita boleh membatalkannya dengan sebab-sebab yang
munasabah dengan syarat dipersetujui bersama.
Oleh sebab itu jika pembatalan yang dibuat
kerana terdapat kecacatan pada pasangan atau sebelah pihak mendapati satu pihak
lagi tidak seperti yang diharapkan, bolehlah dibatalkan. Itupun jika kedua-dua
belah pihak boleh terima alasan tersebut.
Batal tanpa sebab
Pada dasarnya apabila termetrai sesuatu pertunangan,
tidak harus dibatalkan. Maka jika ada pihak yang mahu membatalkan pertunangan
tanpa sebab-sebab yang munasabah, pihak yang membatalkan itu wajib membayar ganti
rugi mana-mana yang membabitkan urusan pertunangan dan perkahwinan.
Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang
Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat
suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara
bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan
kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah
manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang
mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada,
atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh
atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu,
dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah."
Seksyen ini dengan jelas membezakan
pembatalan pertunangan bersebab dengan pembatalan tanpa sebab yang sah.
Pembatalan tanpa sebab yang sah merujuk kepada alasan yang tidak boleh diterima
oleh pihak yang satu lagi. Maksud ini dijelaskan lagi dengan ayat seterusnya
yang menyatakan bahawa pihak yang satu lagi masih mengharapkan berlaku perkahwinan
itu.
Jika berlaku keadaan ini, pihak yang ingkar
boleh didakwa di mahkamah syariah. Dan jika sabit kesalahan dia wajib membayar
ganti rugi perkara berikut:
- Memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.
- Membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh satu pihak untuk membuat persediaan bagi perkahwinan.
Katakanlah pihak yang membatalkan
pertunangan ialah lelaki, maka apa-apa pemberian tunangnya yang perempuan
seperti cincin, kasut, makanan dan seumpamanya sebagai pemberian balas
pertunangan perlu dipulangkan kembali. Manakala jenis makanan yang sudah habis
dimakan, perlu dinilai kadarnya. Begitu juga dengan barangan yang sudah haus
atau hilang perlu digantikan dengan yang seumpama dengannya.
Keadaan yang sama perlu dilakukan kalau
sekiranya pihak perempuan yang membatalkan pertunangan itu. Berdasarkan
peruntukan seksyen ini, pihak yang kena batal baik lelaki mahupun perempuan
tidak perlu memulangkan segala yang diterima.
Selain itu dalam tempoh pertunangan itu, tentulah
pihak perempuan atau lelaki telah membuat persediaan awal demi merealisasikan
perkahwinan itu seperti membaiki beranda rumah, membaiki dapur dan membeli
katil dan perabot. Malah boleh jadi semakin hampir hari perkahwinan mereka
sudah membayar deposit untuk majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah
baju serta pelamin.
Semua yang dibelanjakan itu perlu
ditaksirkan oleh pihak yang menanggung rugi. Maka pihak yang membatalkan
pertunangan itu boleh dituntut untuk membayar segala perbelanjaan yang telah dibuat
itu. Malah pihak yang kena batal boleh membuat dakwaan ke mahkamah jika pihak
yang membatalkan itu tidak mahu membayar secara rundingan. Namun pihaknya perlu
menyediakan bukti dan saksi bagi menguatkan dakwaannya di mahkamah.
Kuasa Mahkamah Syariah
Seperti yang dijelaskan di atas, jika pihak
yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum
syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi
kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Apatah lagi kalau
kedua belah pihak bersetuju berdamai dan saling bermaafan.
Tetapi jika salah satu pihak tidak
bersetuju dan mahukan keadilan, bolehlah satu pihak mendakwa di mahkamah syariah
atas seksyen 15 itu. Hakim akan memutuskan kadar yang perlu dibayar oleh pihak
yang mungkir secara adil. Dan pihak yang teraniaya dalam kes ini harus
berlapang dada dengan keputusan itu walaupun tidak memuaskan hatinya.
Inilah bidang kuasa mahkamah syariah dalam
melindungi umat Islam mengikut anekmen pentadbiran undang-undang keluarga
Islam. Oleh sebab itu mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk mendengar tuntutan
selain daripada di atas. Jadi, ganti rugi kerana rasa dimalukan oleh pihak yang
mungkir tidak boleh dibawa ke mahkamah syariah. Hal ini kerana persoalan ganti
rugi malu bukan urusan yang dibenarkan agama.
Kita pernah dengar satu pihak menuntut ganti
rugi malu kerana tidak dapat meneruskan majlis yang telah diketahui umum. Kononnya
bagi menutup malu dituntut jutaan ringgit kepada pihak yang membatalkannya.
Tuntutan sebegini tidak akan didengari oleh mahkamah syariah. Jika dia mahu bolehlah
menuntutnya di mahkamah sivil, itupun kalau mahkamah tersebut mahu
mendengarnya.
Perlu dijelaskan di sini bahawa Mahkamah
Sivil tidak ada kuasa untuk membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal
pertunangan kerana urusan tersebut termasuk dalam urusan agama. Apatah lagi
Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah mengeluarkan Mahkamah Sivil
daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara yang Mahkamah Syariah
mempunyai bidang kuasa ke atasnya.
Jadi, sebagai orang Islam kita wajib
mengikut adab dan adat yang terdapat dalam Islam. maka mereka yang bertunang
harus berpegang teguh kepada perjanjian dan sebaiknya tidak membatalkan pertunangan.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah
segala janji-janji kamu….” (Surah al-Ma’idah: 1)
Sungguhpun begitu kalau perlu dibatalkan
kerana sebab-sebab yang munasabah lakulah secara suka sama suka, dan berundinglah
secara baik. Jagalah akhlak orang Islam semasa bertunang apatah lagi ketika
hendak membatalkan pertunangan. Semua pihak perlu mengikut adab sopan yang
diajarkan oleh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan