Monday 27 February 2012

PENDUDUK KG BENDAHARA LEGA PERMOHONAN TANAH LULUS.

Oleh :  Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 9 FEB 2012 : Penduduk Kampung Bendahara di Batu Caves kini boleh merasa lega apabila permohonan tanah mereka diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor bulan lepas.

Menurut  Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata seramai 220 penduduk kampung itu akan mendapat hakmilik tanah mereka tidak lama lagi setelah Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor meluluskan permohonan mereka.

Kelulusan itu diberi setelah Iskandar melakukan semakan ke atas permohonan-permohonan tersebut seperti yang diarahkan oleh Mesyuarat Exco akhir tahun lepas.

"Semakan telah dilakukan dengan bantuan Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Taman Templer, Hj Mohammad Abdul Rahman dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang, Zaidi Abu Talib," katanya.

Satu majlis kesyukuran telah diadakan di kampung itu 6 Februari lepas.

Kampung tersebut telah wujud hampir 20 tahun.

Iskandar di dalam ucapan beliau memberitahu bahawa permohonan penduduk telah diluluskan kerana mereka mempunyai rumah di atas tanah mereka dan telah tinggal lama di atasnya.

"Terdapat permohonan-permohonan di kampung itu yang ditolak kerana ianya melibatkan tanah-tanah kosong yang tidak dibina sebarang rumah kediaman," ujar Iskandar.

Menurut Iskandar adalah menjadi polisi kerajaan negeri untuk menolak sebarang permohonan bagi tanah kosong. Malah permohonan seperti itu tidak akan diangkat ke Mesyuarat Exco untuk pertimbangan.

Walau bagaimana beliau menambah mana-mana pihak boleh menawarkan untuk membeli tanah kerajaan yang kosong menurut harga pasaran semasa.

Iskandar juga di dalam ucapan beliau menyatakan rasa syukur kerana dua kes tanah telah berjaya diselesaikan di Selayang iaitu di Bukit Botak dan di Kampung Bendahara.