Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha- usaha yang dijalankan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak negara kita merdeka, semua pihak termasuk golongan istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) turut terlibat dalam pembangunan negara. Kerajaan berasa bangga dengan golongan ini kerana berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka dapat diubah sekiranya mereka berusaha dan diberi peluang untuk memajukan diri. Bagi golongan yang sempurna, peluang mendapat pekerjaan merupakan sesuatu yang lumrah, tetapi bukan kepada OKU. Hal ini suatu anugerah yang amat bermakna buat mereka.
Walaupun peratus OKU di negara ini kecil, namun kerajaan tidak ingin melihat mereka dipinggirkan. Mereka diberi hak persamaan mendapat peluang melalui penyediaan pelbagai kemudahan agar memanfaatkan kehidupan. Penyediaan kemudahan ini diharap dapat menjadikan golongan OKU lebih proaktif dan menggunakan peluang ini untuk memajukan diri. Selain itu, kerajaan turut menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan komuniti bagi OKU dalam RMK-9. Pusat itu menawarkan khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif bagi OKU.
Akta OKU akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta ini akan memberikan hak mereka untuk diterima oleh masyarakat dengan meningkatkan akses pendidikan dan latihan vokasional, pekerjaan, persekitaran, dan bergerak bebas. Selain itu, program mengintegrasikan OKU dalam masyarakat bertujuan membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus dipergiatkan. Golongan OKU tidak seharusnya menjadikan kepelbagaian kemudahan ini sebagai alasan untuk berusaha dan hanya mengharapkan bantuan pihak lain.
Kerajaan turut menyediakan peluang yang luas kepada OKU untuk memberikan khidmat bakti mereka kepada negara. Hal ini terbukti di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini pelbagai jenis pekerjaan dijawat oleh golongan istimewa ini. Pemberian peruntukan berbentuk geran berjumlah RM200 ribu turut memberikan peluang kepada OKU dalam bidang sukan. Bukan itu sahaja, pelbagai sektor termasuk swasta turut menyediakan latihan yang banyak serta peluang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar mereka mampu mandiri dan tidak bergantung kepada pihak tertentu sahaja.
Beberapa pihak telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan unit khas di Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membantu golongan OKU terlibat dalam bidang perniagaan. Unit ini perlu juga menggubal kurikulum khas dengan memasukkan elemen keusahawanan pada peringkat kursus dan latihan voksional. Secara tidak langsung langkah ini dapat memberikan kemudahan dan pendedahan kepada bakal-bakal usahawan kelak. Malah, unit ini turut disaran supaya memperkenalkan skim bantuan modal oleh institusi kewangan kepada individu yang kurang upaya.
Kesimpulannya, kehadiran golongan OKU dalam masyarakat tidak harus dipandang serong atau disisihkan dalam masyarakat. Kementerian Pelajaran turut memperluas bantuan elaun khas dan insentif kepada pelatih dan pelajar OKU. Kita harus menerima mereka sama seperti manusia normal yang lain. Golongan ini tidak mengharapkan simpati, tetapi menagih peluang supaya dapat hidup berdikari.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Sumbangan Orang Kurang Upaya Kepada Negara”, oleh Samat Buang, Dewan Siswa, Ogos 2006)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan