Pemandu treler dijel empat tahun

KEADAAN treler yang merempuh empat buah kenderaan dan menyebabkan sembilan terkorban di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Plaza Tol Hutan Kampung pada 2007.

ALOR SETAR - Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan yang meragut sembilan nyawa termasuk tujuh sekeluarga di Plaza Tol Hutan Kampung, Lebuh Raya Utara-Selatan di Kepala Batas dekat sini lima tahun lalu dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM9,000.
Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainol Fitri Hassan, 39, dari Taman Melor, Kulim setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dalam kes itu.
Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung selama empat tahun mulai semalam.
Tertuduh yang merupakan pemandu lori bernombor PDR 7988 didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan sembilan nyawa melayang selepas merempuh empat buah kenderaan di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini pada pukul 3.50 petang 29 Mei 2007.
Tujuh sekeluarga yang terbunuh ialah Suraya Ilias, 32; Mohamad Azlan Ilias, 21; Sawiyah Ilias, 27; Muhammad Alif Syafiq Ilias, 6; Nurul Izzati Ilias, 4; Ilias Salleh, 54, dan Uzmadaniel Syahril, 1.
Dua lagi mangsa yang terbunuh ialah Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dan Mohd. Arif Irfan Mohd. Taqiyudin, 1.
Litar lumba haram panas digempur polis, JPJ

SEBAHAGIAN daripada pengguna jalan raya yang diperiksa polis dalam operasi di Lebuh Raya Besraya kelmarin.
KUALA LUMPUR - Keseronokan sekumpulan remaja yang menghabiskan masa pada malam minggu dengan menonton aksi pelesit rempit beraksi di Lebuh Raya Besraya di Serdang dekat sini tergendala apabila kegiatan mereka itu dihidu polis malam kelmarin.
Dalam operasi pada pukul 12 tengah malam itu, ratusan penonton yang sedang menonton persembahan pelesit rempit itu bertempiaran lari sebaik melihat kelibat pihak berkuasa.
Bagaimanapun, dua remaja lelaki daripada ratusan penonton pelesit rempit yang berusia 15 dan 17 tahun dicekup.
Dalam operasi sama, seorang pelesit rempit yang menunggang motosikal tetapi tiada lesen sanggup membuat pusingan sebanyak enam kali di Plaza Tol Sungai Besi untuk melarikan diri.
Namun tindakan lelaki berusia 20-an itu sia-sia apabila dia dapat diberkas selepas motosikal yang ditunggang terbabas.
Pegawai Operasi Unit Khas Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Khuzir Abd. Majid berkata, dalam operasi selama lima jam itu, seramai 200 pemandu kenderaan ditahan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk pelesit rempit.
Penyamun kereta mewah diberkas Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my

KEADAAN kereta Toyota Camry yang remuk selepas melanggar sebuah Proton Wira ketika dikejar polis di Kepong malam kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kegiatan licik sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kes samun termasuk samun kenderaan mewah dengan modus operandi melanggar belakang kenderaan sasaran mereka tidak bertahan lama apabila empat orang termasuk dua wanita diberkas polis kelmarin.
Dua suspek lelaki yang berusia 32 dan 37 tahun diberkas selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Desa Jaya, Kepong pada pukul 10.30 malam kelmarin manakala isteri dan teman wanita kedua-dua suspek itu pula ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di ibu negara tidak lama selepas itu.
Sebelum dua penjenayah itu diberkas, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta Toyota Camry warna putih yang dinaiki dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka di bulatan Kepong, Jalan Kuching di sini pada pukul 10.30 malam.
Sebaik dihampiri polis, kereta tersebut terus memecut menyebabkan polis terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh enam kilometer sehingga sampai ke persimpangan lampu isyarat di Desa Jaya di sini.
Suspek yang panik dikejar polis kemudian merempuh sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki seorang lelaki menyebabkan kedua-dua buah kenderaan itu remuk.
"Dua daripada tiga lelaki yang menaiki Toyota Camry itu keluar dan cuba melarikan diri," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.
Dadah: Mak andam, tiga lelaki diberkas polis Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

TIGA lelaki dan seorang mak andam dibawa ke Balai Polis Banda Hilir Melaka semalam untuk disiasat.
MELAKA – Gelagat tiga lelaki dan seorang wanita yang mencurigakan berada di hadapan sebuah bengkel kereta di Duyong di sini kelmarin terjawab apabila mereka rupa-rupanya disyaki sedang berurus niaga mengenai dadah.
Dalam serbuan pada pukul 10 malam, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 19 hingga 38 tahun. Wanita yang berusia 25 tahun dan merupakan kekasih kepada salah seorang suspek yang berusia 38 tahun turut ditahan.
Satu sumber berkata, keempat-sempat suspek itu ditahan oleh polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka semasa polis membuat rondaan Ops Tapis di kawasan Duyong.
Polis yang membuat rondaan curiga melihat ketiga-tiga lelaki yang berada di hadapan bengkel itu dengan salah seorang daripada mereka membawa beg sandang.
Polis yang memeriksa beg sandang tersebut menemui sejumlah pil eramin 5. Pemeriksaan dalam kereta Proton Perdana milik suspek berusia 38 tahun itu pula menemui 31.5 gram dadah syabu dan 335 pil ekstasi.
Rumah menantu P. Ramlee disita Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

SURIA berdiri di hadapan rumahnya yang bakal disita DBKL di Taman Setapak, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – “Hendak ku nangis tiada berair mata.”Bait lagu Di Mana Kan Kucari Ganti nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee cukup untuk menggambarkan perasaan satu-satunya menantu seniman agung itu, Suria Bakar, 35, yang terpaksa membesarkan dua anak lelaki dalam serba kekurangan.
Tambah memeritkan, rumah yang menjadi tempat berteduh tiga beranak sejak 20 tahun lalu itu akan disita pada 18 April ini akibat kegagalan Suria menjelaskan tunggakan cukai pintu yang kini berjumlah RM10,000 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Jelasnya, sejak kematian suami, Nasir P. Ramlee empat tahun lalu, dia hilang sumber pendapatan sekali gus kehidupan mereka lebih sukar.
“Saya bukan tidak mahu bayar tetapi saya tidak mampu.
“Sumber pendapatan saya hanyalah RM400 sebulan sumbangan Baitulmal, hanya cukup untuk kegunaan harian kami bertiga,” ceritanya sewaktu ditemui di Taman Setapak di sini semalam.
Menurutnya, dia pernah menerima sumbangan RM35,000 daripada seorang pemimpin negeri pada pertengahan 2010 bagi melangsaikan cukai tersebut.
Pameran seni tampilkan wanita bogel di Itali

DUA jurugambar merakamkan gambar seorang wanita berbogel sedang duduk pada pameran seni Madame Fisscher di Palazzo Grassi, Venice pada Jumaat lalu.

VENICE, Itali - Satu pameran seni berjudul Madame Fisscher diadakan di Palazzo Grassi di sini bermula pada 15 April sehingga 15 Julai depan.
Pameran itu yang menampilkan karya seni artis Switzerland, Urs Fischer menampilkan beberapa model wanita yang mendedahkan keseluruhan tubuh badan mereka.
Beberapa model itu melakukan pelbagai gaya dalam keadaan bogel seperti duduk dan berbaring. - Agensi
Hit: 12 Laman Asal