Isteri jutawan India yang hilang dedahkan rakaman perbualan telefon dengan suspek

2010/09/23   KLANG: S.Usharani, 27, isteri kepada jutawan dari India yang hilang, Allal Kanthan Muthuraja, 35, hari ini mendedahkan satu rakaman perbualan telefon antara beliau dengan seorang peguam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Usharani memperdengarkan perbualan selama kira-kira dua minit yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam terbabit yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan itu pada sidang media di pejabat Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam di Kapar di sini.
Rakaman melalui perbualan telefon bimbit jenis Nokia yang berlangsung dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh peguam Y. Murugan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek berkenaan keadaan suaminya, Allal.

Usharani berkata dalam perbualan pada 28 Januari itu, suspek mendakwa dia berada di Thailand dan hanya akan memberitahu beliau mengenai keadaan suaminya sebaik suspek balik dari negara itu. Turut dimainkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa dia adalah pegawai polis dari Bukit Aman bernama ASP Suresh. "ASP Suresh meminta saya wang bernilai RM1 juta untuk menyelamatkan suami saya kerana mendakwa ditangkap atas kesalahan penyeludupan dadah jenis ketamin di negara ini,

" kata Usharani melalui terjemahan oleh Murugan. Selain itu, beliau yang baru tiba dari Chennai, India semalam berkata turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia adalah Inspektor Muru dari Bukit Aman dengan tujuan yang sama iaitu untuk meminta wang daripadanya. Sementara itu, Manikavasagam berkata Usharani akan menyerahkan rakaman perbualan telefon itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar esok, kira-kira jam 11.30 pagi. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar semalam berkata kes kehilangan Allal kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan. Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.

Usharani membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat tengah hari tadi untuk memberikan keterangan kepada polis. - Bernama
Hit: 10 Laman Asal