SATU lagi peristiwa menarik yang berlaku pada Muharam adalah pembebasan Nabi Yusuf daripada penjara selepas difitnah oleh sekumpulan wanita yang mahu menggodanya.

abi Yusuf adalah seorang daripada 12 anak Nabi Yaakub. Baginda adalah seorang pemuda kacak, berbudi pekerti mulia dan berpersonaliti menarik.

Nabi Yusuf adalah seorang budiman yang dikurniakan Allah dengan nikmat, kasih sayang dan sentiasa dipelihara Allah. Oleh itu, baginda disanjung ahli rumah tuannya.

Masa berlalu, isteri tuannya meletakkan baginda pada kedudukan yang tidak sepatutnya. Dia jatuh cinta kepada baginda dan tidak dapat melupakan Yusuf.

Pada suatu hari, ketika ketiadaan suaminya, dia mendekati baginda dan berkeinginan untuk lebih rapat lagi dengan baginda. Yusuf mengelakkan diri daripadanya.

Baginda cuba melarikan diri, tetapi dia mengejar Yusuf. Dia menarik baju Yusuf daripada belakang lantas terkoyaklah baju baginda. Tiba-tiba muncul pembesar di tempat kejadian dan wanita sangat marah melihat keadaan itu.

Isteri pembesar sangat malu dan menangis kekecewaan kerana gagal melaksanakan perbuatan jahat yang dirancangnya. Dia menuduh Yusuf yang tidak bersalah, cuba mencabulnya.

Nabi Yusuf menerangkan kedudukannya yang sebenar dengan sokongan seorang pelayan sebagai saksi dan berkata: "Lihatlah bajunya. Ia terkoyak di bahagian belakang, Yusuf sangat tidak bersalah. Dia tidak sepatutnya dipersalahkan. Sekiranya koyak adalah di bahagian hadapan, tertuduh boleh dianggap penipu."

Apabila diperiksa, nyatalah baju Yusuf terkoyak di bahagian belakang dan baginda didapati tidak bersalah. Tuannya yakin bahawa Yusuf tidak bersalah dan merayu supaya dirahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan ramai. Kemudian dia menyuruh isterinya memohon maaf kepada Yusuf.

Ramai orang mendengar khabar peristiwa itu. Mereka heboh memperkatakan mengenai isteri pembesar yang jatuh hati dan cuba menggoda hambanya itu. Seluruh penduduk bandar bercakap mengenai kejadian berkenaan.

Apabila isteri pembesar mendapat tahu yang dia menjadi bahan bualan ramai, wanita itu merancang satu jamuan istimewa. Dia mahu menunjukkan kepada orang lain bahawa daya tarikan Yusuf amat sukar ditandingi. Jadi, dia menjemput kebanyakan wanita di bandar itu datang ke jamuan berkenaan.

Pada hari jamuan, tetamu berbual dan bergembira serta dihidangkan dengan makanan dan buah-buahan. Isteri pembesar itu memberikan sebilah pisau yang tajam kepada setiap tetamu wanita untuk mengopek kulit buah-buahan.

Sedang mereka sibuk menggunakan pisau itu, isteri pembesar berkenaan menyuruh Yusuf masuk ke ruang tetamu. Apabila terbuka saja pintu, suasana menjadi diam seketika dan Yusuf berdiri dengan tenang. Wanita berkenaan melihat ke arahnya dan terpesona dengan ketampanan baginda. Baginda sangat menarik hingga sebahagian besar daripada mereka terkejut. Mereka terlupa yang mereka sedang menggunakan pisau lalu mereka terpotong jari mereka dalam suasana yang menakjubkan.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah bermaksud: "Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): "Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka". Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupanya) dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: "Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia, Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia".

“Wanita itu berkata: "Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk dalam golongan orang yang hina.” (Surah Yusuf,12: 31-32)

Yusuf mendapati dirinya terjebak dalam masalah yang serius. Semakin lama masalah itu menjadi semakin rumit. Yusuf berdoa kepada Allah Maha Kuasa untuk mengurniakan perlindungan daripada wanita-wanita itu.

Baginda berharap dapat masuk ke dalam penjara daripada diperlakukan sedemikian. Baginda juga ingin melarikan diri daripada godaan naluri seksual mereka. Firman Allah yang bermaksud:

“Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku ini akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang yang bodoh." (Surah Yusuf, ayat 33)

Allah memakbulkan doanya untuk menahan daripada godaan syaitan. Golongan elit di bandar sedar bahawa wanita mereka telah terpikat dengan Yusuf. Mereka walaupun mengetahui bahawa baginda tidak pernah terbabit dengan sebarang jenayah, namun mengambil keputusan untuk memenjarakan Yusuf. Ini bagi mengelakkan kekecohan dalam masyarakat.

Baginda berada dalam penjara selama beberapa tahun dan mendapat kawan daripada golongan banduan. Di sana, baginda menyeru mereka kepada agama Allah dan berusaha memulihkan mereka yang terpegun dengan personaliti baginda.

Pada suatu hari, dua banduan mendapat mimpi aneh. Lalu mereka pun datang kepada baginda untuk mendapatkan tafsiran mimpi itu. Seorang daripada mereka berkata: "Aku melihat diriku sedang memerah arak," dan banduan kedua pula berkata: "Aku bermimpi membawa sebakul roti di atas kepala dan burung memakannya dari dalam bakul itu."

Yusuf menyuruh mereka menunggu hingga berakhirnya waktu makan tengah hari. Mereka tidak sabar-sabar untuk mengetahui keputusannya. Pada waktu ditetapkan, Yusuf memberitahu tafsirannya. Lelaki yang memerah arak, akan mendapat kebebasan dan akan menjamu arak kepada tuannya. Manakala seorang lagi akan disalib sebagai hukuman atas jenayah yang dilakukannya.

Firman Allah bermaksud: “Wahai kedua-dua penghuni penjara, "Adapun salah seorang antara kamu berdua, akan memberi minum tuannya dengan khamar; ada pun yang seorang lagi akan disalib, lalu burung memakan sebahagian daripada kepalanya. Telah diputuskan perkara yang kamu berdua menanyakannya (kepadaku)." (Surah Yusuf, ayat 41)

Tidak berapa lama kemudian, tafsiran mimpi itu menjadi kenyataan. Apabila lelaki pertama hendak meninggalkan penjara, Yusuf menyuruhnya mengingati tuannya. Dia pun berbuat demikian sebagai penghormatan, tetapi terlupa untuk memaklumkan kepada tuannya mengenai Yusuf. Jadi, dia terpaksa tinggal dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.

Baginda terus berdoa dan mengajarkan ajaran baik ketika di penjara.

Pada suatu hari, raja Mesir bermimpi yang tujuh lembu gemuk dimakan oleh tujuh lembu kurus. Raja itu juga bermimpi tujuh tangkai jagung yang elok dan tujuh lagi tangkai jagung yang layu. Raja Mesir begitu ingin mengetahui tafsiran mimpinya. Semua orang menjadi buntu kerana tidak ada seorang pun yang benar-benar dapat menafsirkan mimpi itu.

Bekas banduan yang bebas memberitahu mengenai Yusuf. Raja itu menghantar wakil bertemu Yusuf dalam penjara. Yusuf berkata: "Kamu akan menabur benih untuk tujuh tahun dengan gigih. Kemudian akan tiba tujuh tahun musim menuai yang mewah dalam negeri. Adalah lebih baik sekiranya disimpan sebanyak mungkin makanan kerana kemungkinan besar akan terjadi kemarau berpanjangan selama tujuh tahun. Dalam tempoh kesukaran itu, simpanan perlu dijimatkan. Selepas itu akan tiba musim hujan lebat yang akan memusnahkan tanam-tanaman."

Lelaki itu memaklumkan kepada raja tafsiran mimpi itu. Raja tertarik dan melahirkan keinginan untuk bertemu Yusuf. Dia segera memerintahkan supaya Yusuf dibebaskan daripada penjara tetapi ditolak oleh baginda hingga baginda didapati benar-benar tidak bersalah. Baginda mahu membersihkan nama yang tercemar.

Raja lantas memanggil wanita yang menyebabkan Yusuf dalam keadaan tidak selesa dan dipenjarakan. Mereka mengakui bahawa baginda sememangnya tidak bersalah.

Ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "... Berkata isteri Al-Aziz: "Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang yang benar." (Surah Yusuf, ayat 51)
Hit: 11 Laman Asal