Wednesday, October 29, 2008

CERITA USTAZ ABU SAIF TENTANG WASIAT OSMAN GAZI KEPADA ANAKNYA

WASIAT OSMAN GAZI KEPADA ANAKNYA ORHAN ( Pendiri Khilafah Turki Othmaniyah)

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Saya berasa gembira dan bersyukur di atas kesedaran ramai sahabat untuk mengambil tahu tentang sejarah Khilafah Osmaniyyah. Ia adalah siri sejarah panjang yang tidak selayaknya seorang mukmin yang da'ie mengabaikannya. Apatah lagi untuk memahami pelbagai krisis yang melanda umat Islam hari ini, akar umbi permasalahan itu lazimnya berbalik kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Osmaniyyah tersebut. Kerana kekayaan sejarah itulah, Profesor Necmettin Erbakan, pemimpin gerakan Islam di Turki pernah menyebut, "mereka yang tidak mempedulikan sejarah, maka tiada tempat baginya di persada masa hadapan".

Kemunculan pemerintahan keluarga Bani Osman yang mengasaskan Khilafah Osmaniyyah merupakan manifestasi fenomena tajdid bagi menghadapi gejala riddah yang sentiasa berulang muncul dalam sejarah kehidupan manusia. Kira-kira 50 tahun selepas kejatuhan Khilafah Abbasiyyah iaitu pada tahun 1258M / 656H, Osman Gazi mengasaskan Kerajaan Osmaniyyah di Bursa. Lantas mereka membuktikan apa yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 54-56:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika murtad dari kalangan kamu dengan berpaling dari agamaNya, nescaya Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia mengasihi mereka serta mereka itu mengasihiNya. Mereka merendahkan diri (adzillah) terhadap orang mukmin serta bersikap tegas meletakkan diri pada ketinggian terhadap orang-orang kafir.
Merek berjihad di jalan Allah serta tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Demikian itu adalah kurniaan Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah itu Maha Luas limpah kurniaNya lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya pembantu kamu hanyalah Allah, RasulNya serta orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, sedang mereka itu adalah orang-orang yang ruku' (patuh kepada Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman itu sebagai penolongnya, maka sesungguhnya (mereka itu adalah) golongan Allah, menjadi golongan yang menang"

Kehidupan Osman Gazi yang memerintah sehingga 1326, adalah kehidupan yang penuh dengan siri jihad. Perjuangan beliau dan kekuatan bala tenteranya berhadapan dengan serangan kuasa Byzantine telah meluaskan kuasa takluknya dari pusat pemerintahan di Bursa, berkembang pesat sehingga Sultan Alaeddin Keykubat (Kaukabat) yang memerintah kerajaan Seljuk Rome menyerahkan kuasa dan jajahan takluknya untuk duduk di bawah lembayung imarah Osmaniyyah pada tahun 1299 tersebut.

Ketika gering di pembaringan, Sultan Osman Gazi telah menyampaikan wasiatnya yang menjadi garis panduan dan ikutan para Sultan yang meneruskan teraju pemerintahan Osmaniyyah selepasnya. Wasiat yang disampaikan kepada anaknya Orhan (Orkhan) Gazi itu telah dicatat oleh muarrikh (pencatat sejarah) bernama Asik Celebi (Aa-shik Chelebi). Wasiatnya berbunyi:

"Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama' untuk mencari jalan penyelesaian"

"Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah..."

"Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh..."

"Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!"

Nasihat inilah yang menjadikan pemerintah Osmaniyyah sangat menitik beratkan ilmu dan institusi keilmuan, tentera dan institusi ketenteraan. Mereka juga sangat memuliakan ulama serta memelihara kewajipan jihad. Di bawah bendera Osmaniyyah itulah, sinaran Islam tersebar sehingga ke segenap penjuru alam; cemerlang memancar dari tembok Vienna di Austria sehinggalah ke tangan Haji Abdul Rahman Limbong di Tanah Melayu dan pendukung revolusi petani menentang penjajahan British.

Institusi ulama sangat penting kepada sekalian pemerintah Bani Osman. Gandingan ulama seperti Sheikh Ak Semsettin itulah yang menghasilkan Sultan Muhammad al-Fatih yang kemudiannya menawan Constantinople pada tahun 1453. Bahkan konspirasi menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II itu pun terpaksa menggunakan 'fatwa' oleh Sheikh Hamdi Afandi Mali disebabkan oleh sentimen masyarakat yang tidak mungkin merestui sebarang tindakan yang tidak mendapat lampu hijau para Ulama'.

"Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengiktibaran bagi mereka yang berpemikiran" (Surah Yusuf: 111)

ABU SAIF
RABIUL AKHIR 1425H

Sumber : http://saifulislam.com/

Monday, October 27, 2008

Jangan Merajuk Wahai Da'ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.


Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah Kisah seorang Nabi
Diuji Allah begitu sekali


Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.” (Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Anbiyaa’:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali-‘Imran:139)

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

http://bahantarbiyyah.info/v4

Sunday, October 26, 2008

10 Muwasofat Pendakwah Islam

10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah. Dari detik pertama seseoarang itu menjejaki alam tarbiyyah, dia tidak dapat di pisahkan dengan pembinaan muwasofat-muwasofat ini sehingga dirinya terus di baluti oleh Islam yakni menjadi individu muslim yang unggul. Berikut merupakan sedikit pendetailan terhadap 10 Muwasofat.


Berkata Iman Hassan Al-Banna ketika melalui marhalah ini 'Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami'

1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

* Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
* Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
* Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

Pendetailan Ciri:

1. Tidak menjampi kecuali dgn al-Quran yg ma’thur
2. Tidak berhubung dengan Jin
3. Tidak meminta bantuan dari orang yg meminta bantuan jin
4. Tidak menenung nasib
5. Tidak mendekati tukang tilik
6. Tidak mengusap kubur
7. Tidak meminta bantuan dari simati
8. Tidak bersumpah dgn selain Allah
9. Tidak mempercayai adanya sial
10. Mengikhlaskan amal kerana Allah
11. Mengimani rukun-rukun Iman
12. Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat
13. Sentiasa sedar Syaitan adalah musuh
14. Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yg di turunkan selain Allah swt

2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

* Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
* Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
* Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

Pendetailan Ciri:

1. Tidak menolak utk azan
2. Bersuci dgn sempurna
3. Sangat menghargai solat berjemaah
4. Sangat suka berjemaah di masjid
5. Memperbaiki mutu solat
6. Qiamullail seminggu sekali
7. Menunaikan zakat
8. Berpuasa wajib
9. Berpuasa sunat sehari setiap bulan
10. Ada niat utk menunaikan haji
11. Beriltizam dgn adab-adab tilawah
12. Khusyuk ketka membaca al-Quran
13. Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran
14. Berdoa pada waktu-waktu yg diutamakan
15. Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar
16. Menjadikan setiap amalan mempunyai niat
17. Menjauhi dosa-dosa besar
18. Sentiasa membaca zikir pagi
19. Sentiasa membaca zikir petang
20. Mengingati Allah swt pada setiap situasi
21. Menunaikan Nazar
22. Menyebarkan Salam
23. Menahan anggota dari perkara haram
24. Beri’tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang
25. Menggunakan sugi/siwak
26. Sentiasa bersuci (berwudhuk) sedaya mungkin

3. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

* Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

Pendetailan Ciri:

1. Tidak takabbur
2. Mempunyai pendirian
3. Tidak menipu
4. Tidak mencaci
5. Tidak mengadu domba
6. Tidak mengumpat
7. Tidak berdusta
8. Tidak mengejek
9. Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
10. Tidak berkawan dgn orang yg berkelakuan buruk
11. Mengasihi orang yg lebih muda
12. Menghormati orang yg lebih tua
13. Menunaikan janji
14. Menundukkan pandangan
15. Menjaga rahsia
16. Menutup dosa orang lain
17. Cemburu terhadap isteri
18. Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya

4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

* Walaupun kaya, perlu bekerja.
* Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
* Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
* Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
* Menjauhi riba dalam semua lapangan.
* Menyimpan untuk waktu kesempitan.
* Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
* Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

Pendetailan Ciri:

1. Mejauhi pekerjaaan yang haram
2. Menjauhi riba
3. Menjauhi judi
4. Menjauhi penipuan
5. Menunaikan zakat
6. Membuat simpanan walaupun sedikit
7. Tidak menangguh-nagguhkan tugasan yg diamanahkan
8. Memelihara harta awam
9. Memelihara harta peribadi

5. Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)

* Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
* Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
* Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
* Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

Pendetailan Ciri:

1. Mampu membaca dan menulis dgn baik
2. Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran
3. Memelihara hukum-hukum tilawah
4. Menghafaz setengah dari hadith 40
5. Menghafaz 20 hadith dari Riadhussalihin
6. Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yg penting
7. Mengenali sepuluh orang yg dijanjikan Syurga
8. Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci
9. Mengetahui hukum-hukum solat
10. Mengetahui hukum-hukum puasa
11. Membaca sesuatu diluar bidangnya. 4 jam seminggu
12. Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden
13. Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam
14. Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng
15. Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga
16. Mendengar dengan baik
17. Mampu memberikan pandangan
18. Bersedia menerima tugas-tugas kolektif
19. Tidak menerima syubahat yg dilemparkan keatas kita

6. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

* Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
* Rasulullah saw menitikberatkan soal ini.

Maksud Hadis : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan”

* Pesanan Imam al-Banna:

“Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan”

Pendetailan Ciri:
1. Bersih tubuh badan
2. Bersih pakaian
3. Tempat tinggal yg bersih
4. Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum
5. Tidak berjaga malam berlebihan
6. Iltizam dgn senaman 2 jam seminggu
7. Bangun sebelum terbit fajar/subuh
8. Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan
9. Meninggalkan tabiat merokok
10. Menjauhi tempat-tempat kotor
11. Menjauhi tempat-tempat berpenyakit

7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

* Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
* Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
* Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

Pendetailan Ciri:

1. Menjauhi perkara-perkara haram
2. Menjauhi tempat-tempat lalai yg diharamkan
3. Meninggalkan tempat-tempat maksiat

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

* Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
* Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka “..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.”

Pendetailan Ciri:

1. Bangun awal
2. Menggunakan masa tertentu utk belajar

9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

* Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
* Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

Pendetailan Ciri:

1. Penampilan yg elok
2. Tidak mempunyai hubungan dgn pihak yg menentang Islam

10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

* Daie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
* Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.
* Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
* Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Pendetailan Ciri:

1. Menunaikan hak ibu bapa
2. Menyertai majlis-majlis kegembiraan
3. Membantu orang-orang yg memerlukan
4. Membimbing orang yang sesat
5. Berkahwin dgn pasangan yg sesuai


Nukilan dari : http://www.dakwah.info

Carian Al Quran

Paparan Al Quran

Paparan Hadis

Badan Dakwah MKKK © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO