Penerbit Radio lebih kurang sama lah juga peranannya sebagai Pengarah dalam sesebuah filem. Juruhebah Radio sama seperti pelakon yang membawa berbagai watak dari filem mengikut arahan Pengarah filem. Justeru, tugas dan tanggungjawab Penerbit Radio bukanlah mudah kerana mereka lah yang menentukan baik buruknya sesuatu rancangan terbitannya.

Juruhebah pula umpama pelakon, jika filem itu punyai kekuatan dari segi jalan ceritanya tetapi jika pelakon itu lemah, maka lemahlah filem itu. Maksudnya, jika rancangan radio itu amat baik, tetapi jika Juruhebah Radio tiada berkebolehan untuk mengendalikan rancangan tersebut maka tempanglah jadinya. Maka, Penerbit dan Juruhebah mesti sama-sama berkebolehan di samping mempunyai inisiatif yang tinggi bagi menentukan rancangan itu bertenaga.

Oleh yang demikian, lazimnya seseorang Penerbit itu lahir dari seorang Juruhebah atau berkebolehan untuk menjadi Juruhebah. Penerbit bukan seorang yang hanya pandai mengarah semata-mata sedangkan tugas dan tanggungjawabnya terabai. Juruhebah juga mesti berilmu dan berpengetahuan luas dan sentiasa peka terhadap perkembangan dan isu semasa.

Untuk kita kongsi bersama, di sini di antara bidang tugas Penerbit Radio. Bidang tugas Penerbit Radio seperti yang aku senaraikan di bawah adalah ku petik dari nota pembelajaran semasa aku berkursus komunikasi di INTAN sebelum aku bersara. Jika anda berminat untuk menjadi Penerbit Radio, anda perlu bersedia untuk melaksanakan tugas-tugas seperti di bawah:

1. Menyediakan program /segmen yang hendak diterbitkan sepanjang 12 bulan dan menilai pencapaiannya.

2. Mentadbir, mengarah dan mengatur jadual kerja Penolong Penerbit dan Juruhebah termasuk tentang kebajikan mereka.

3. Membuat penilaian prestasi Pen Penerbit dan Juruhebah.

4. Menyediakan laporan tahunan terbitan rancangan-rancangan dan Juruhebah-Juruhebah.

5. Kebolehan mengawal perbelanjaan dengan menghasilkan produktiviti yang tinggi dengan mengarahkan kakitangannya di bawah tadbirannya membuat kerja-kerja dan rancangan yang baik dan sesuai yang menepati kehendak dan matlamat stesyen radio.

6. Menggalak dan membimbing idea-idea yang kreatif dalam format satu-satu rancangan.

7. Merancang latihan yang bersesuaian dengan bidang tugas Juruhebah Radio.

8. Menyediakan skrip/teks atau rangka penugasan Juruhebah.

9. Menyediakan jadual rakaman, jadual siaran dan tapisan bagi rancangan-rancangan
yang hendak disiarkan.

10. Apa jua tugas yang diarahkan oleh pihak atasannya.

11. Merancang penugasan Juruhebah mengikut kesesuaian dan gaya persembahan mereka.
Hit: 35 Laman Asal