Monday 26 March 2012

Sekiranya aku jatuh cinta...



MALAM ni mataku agak liat untuk dipejamkan. Ternyata semua ni disebabkan aku masih lagi terfikirkan mesej yang aku hantarkan pada seseorang yang bagi aku telah membuka episod baru dalam hidup aku iaitu  "CINTA". Tapi, aku masih lagi tak mengerti, adakah ia realiti, atau hanya momokan fantasi??? Sekiranya dialah insan yang Kau tentukan untukku, nescaya inilah kali pertama aku jatuh cinta.Kau datangkannya di waktu aku kesunyian, dikala aku memerlukan, seorang insan yang boleh memahami dan mengerti akan hidup berkasih sayang, dicinta dan mencinta. Enam purnama aku pahat ia sebagai memori, enam purnama aku mengekorinya dengan mimpi, dan enam purnama jugalah coretannya aku semadi di dalam hati tanpa diketahui. Detik sejarah bermula kini, setiap potret memori kubuka satu demi satu lipatannya. Kuadun dan kusulamkan dengan kalimah, kulayangkan ia ke jendela mayanya. Bukan untuk mengetuk jendela yang sudah dikunci, memadailah ia sebagai habuk tepian jalanan, yang tidak kira waktu dan ketika, seringkali datang berkunjung tiba.


Namun, aku tahu ia bukan suatu yang mudah untuk kulalui. Berdepan dengan insan ciptaan-Mu yang penuh dengan kemuliaan akhlak, jujur dan ikhlas dalam perhubungan. Ya, sesuatu yang mustahil bagiku untuk terangi zaman silamnya dengan kehadiran insan yang dhaif lagi hina ini di sisinya. Apatah lagi memori lampau masih berbekas di hati, dek kerana kecewa terhadap cinta yang disemai, dihempas berkecai sedemikian rupa. Janji manis hanyalah retorik semata, bukan sebagai alas, tika duka dan sengsara, membuatkan dirinya  lebih berjaga-jaga. 

Lantas dengan itu, aku berpendirian masakan jendela dibuka, selaknyapun masih bermagga. Tapi, setiap kali kucuba untuk lenyapkan, semakin kuat perasaan itu mencengkam, menarik segala kudrat fantasiku untuk menzahirkan ia menjadi realiti. Dengan kelembutan tutur kata, tingkah laku yang mulia, dan sifat keperibadian seorang perempuan desa telah mengetuk pintu hatiku untuk membuka seluas-luasnya kehadiran insan sepertinya membenih dalam hidupku. Tidak mustahil juga, "peringatan" ayahku kepadaku sedikit sebanyak telah membajai keinginanku untuk menjadikannya halal di sisiku. 

Malangnya, mungkin apa yang aku lalui sekarang ini hanyalah lorekan fantasi yang mewarnai kehidupanku kebelakangan ini. Sehinggakan nun jauh di sana, kuterbang bersama khayalan mencecah ke alam kekeluargaan. Tiap detik aku lorekkan menjadi satu kitaran hidup yang indah bersama isteri dan anak-anak tersayang. Bersama-sama menghadiri kuliah agama, berjemaah bersama, dan bersama-sama menegakkan syiar Islam  bagi menghidupkan kalimah Baiti Jannati. Itulah semaian yang aku letakkan di bawah pancaran fantasi. Yang mungkin bagiku, tetap kekal sebagai fantasi. Namun jauh dilubuk hatiku, aku tetap mendamakan insan sepertinya, mewarnai setiap denyutan nadiku dengan kasih sayang penuh mesra. Kerana hati ini berputik daripada Cinta Dua Insan, Adalah Kerana Cinta Yang Satu.









Ya Allah,
Hanya pada-Mu kuserahkan duniaku, bahagiaku,cintaku, dan kasihku,
Kerana Engkau tahu apa yang terkandung di lubuk hatiku,
Kehadirannya dalam hidupku mematangkan aku,
Untuk berusaha gigih menciduk ilmu di gedung agamamu,
Bagi santapan sebagai pemandu,
Sementara menunggu seruan-Mu.

Ya Allah,
Jagalah pandanganku, penglihatanku, tingkah-lakuku,
daripada kemaksiatan dan kemungkaran,
Jauhkanlah aku daripada setiap lubuk kemaksiatan dan kehinaan,
Kerana aku tidak sanggup untuk menahan jilatan neraka-Mu yang kepanasan.

Akhirilah dugaan ini dengan kemulian,
Berpasangan sebagai jalan penyelesaian,
Bagi memecah tembok keangkuhan kemugkaran. 

Satukanlah kedua-dua hati ini
dengan Rahmat dan Keberkatan-Mu.
Agar hati-hati ini, bercinta dan berkasih sayang,
hanyalah untuk-Mu.
Satukanlah hati-hati ini dengan kalimah membesarkan-Mu
supaya hati-hati ini hidup dan mati hanyalah untuk-Mu...


Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya 

kepada-Mu, untuk mencintai-Mu... 
Amin, Ya Rabbal 'Alamin...





"Manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam. Bukan dari kepalanya untuk menjadi atasnya. Bukan dari kakinya ntuk menjadi alasnya, malah dari sisinya untuk menjadi teman hidupnya. Dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat di hatinya untuk dicintai”.