Oleh: AZMAN AHMAD

Sungai Petani – Sebanyak sebelas buah rumah musnah atau hampir musnah akibat dipukul ribut yang berlaku di kampung Bukit Kecil, Simpor hari ini. Ribut yang melanda sekitar jam 4.30 petang bersama hujan lebat menyebabkan beberapa keluarga hilang tempat berlindung.


Rosli Darus, Pembantu Khas Wakil Rakyat Pantai Merdeka yang ditemui selepas melawat tempat kejadian memaklumkan, bancian awal mendapati sekitar sebelas buah rumah rosak dan empat daripada rosak teruk. Antara kerosakan yang dialami adalah bumbung diterbangkan angin dan bumbung pecah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Tikam Batu bersama sebuah jentera membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang terlibat setelah memastikan tiada mangsa yang cedera.

Seorang mangsa, Long Teh menceritakan kejadian cemas apabila terlihat sebatang pokok pinang menimpa rumah jirannya lantas menjerit memberitahu jirannya. ”Dalam waktu yang sama, tanpa disedari bumbung rumah saya sendiri telah ’hilang’ akibat diterbangkan angin,” ujarnya.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Pantai Merdeka yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut terus mengunjungi kawasan terbabit dan menyelaras kerja-kerja pembersihan serta membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat bancian kerosakan.

Rosli berharap penduduk yang terlibat supaya bersabar menempuh ujian dari Allah ini. Beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada dua orang MKK, Haji Darus Haji Md Isa dan Haji Mohd Taib Ahmad yang turut sama memainkan peranan membantu mangsa.

Rosli berharap JKM akan segera menghulurkan bantuan dan berharap kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan agar dapat menyalurkan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat di talian 04-438 0595 bagi memudahkan penyelarasan barangan keperluan.


Hit: 28 Laman Asal